Monday, April 9, 2012

Sahabat Pemberi Semangat Untuk Terus Di Jalan Dakwah

Sahabat atau rakan taulan amat penting dalam kehidupan. Tiada orang Tok Wae rasa yang tiada sahabat. Ada sahabat biasa, dan ada sahabat baik.

Sahabat biasa hanyalah setakat sembang-sembang kosong buat mengisi masa lapang.

Sahabat baik pula adalah seseorang yang kita boleh kongsi bersama masalah, kegembiraan, dan juga kesedihan. Makan minum kita tak berkira siapa yang bayar jika makan di kedai. Malah kita sentiasa ingin mendahului sahabat untuk membayarnya.

Begitu juga pinjam meminjam barangan. Kita tak berapa kisah jika sahabat rapat ingin meminjam barangan dari kita kerana kita tahu pasti sahabat kita tadi akan menjaganya dengan sebaik mungkin.

Sahabat yang rapatlah yang selalu memberi kata-kata semangat dan perangsang buat kita untuk terus tsabat di jalan dakwah.

Tuan-tuan dan puan-puan,


Jalan dakwah penuh dengan duri dan berliku. Ia tidak sesenang dan 'straight forward' seperti yang kita sangkakan. Onak, duri, ranjau, dan kemucut sentiasa menghambat kita. Setiap satunya akan melengahkan kita dan berusaha sedaya upaya supaya kita berhenti dari berterusan berdakwah.

Kalau kita tidak ada sahabat yang boleh menguatkan semangat, barangkali kita tersungkur jua seperti kawan-kawan yang lain.

Mengajak orang untuk mentaati Allah dan menjauhi laranganNya adalah sesuatu yang begitu tulus. Hati-hati yang sentiasa mengingatiNya sahaja yang mampu melaksanakan secara berterusan.

Ya lah. Pertama, kita sendiri mesti istiqamah dalam melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah. Bila kita sendiri konsisten maka bila kita mengajak orang lain ia akan lebih luhur dan tulus. Ajakan lahir dari hati yang ikhlas!

Turun naik iman adalah perkara biasa selagi kita digelar manusia. Sebab itu kita dituntut sentiasa berdoa, "Ya muqallibal qulub, tsabbit qalbi 'ala deenik".

Yang paling penting ialah ada sahabat yang saling ingat memperingati...

Sebab itu kita disuruh memilih sahabat. Sahabat huha huha memang ramai dan mudah didapati. Tetapi sahabat yang boleh menarik rambut kita apabila kita nyaris tenggelam tidak ramai.

Tok Wae menyarankan kepada anak-anak supaya pandai memilih dan membezakan kawan yang di kala senang dan kawan yang sentiasa bersama kita, di waktu senang mahupun di waktu susah. Itulah sahabat atau teman sejati...

No comments:

Post a Comment