Sunday, November 4, 2012

Melanggar Lampu Merah

Pagi tadi aku bersolat subuh di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid. Selepas mengimamkan solat, Ustaz Rifqi memberi kuliah subuh bertajuk 'Doa-doa yang dibaca semasa sujud'. Kita selalunya membaca Subha narabbial 'ala wabihamdih! Menurut beliau banyak lagi doa-doa yang boleh dibaca semasa sujud.

Dalam kuliah tersebut, beliau juga menyentuh tentang banyaknya ajaran sesat yang ada di negara kita. Ada yang meratib (berzikir) Ha Hu He dan sebagainya... Pelikkan ajaran sebegitupun ada pengikutnya. Ajaran Syiah yang tidak mengaku Abu Bakar, Omar dan Usman sebagai sahabat Rasulullah SAW, bahkan mengkafirkan mereka juga ada pengikutnya di Malaysia. Astagfirullahal 'azim!


Selesai kuliah subuh, mentari sudah terang dan akupun bangun untuk menunaikan solat sunat dhuha. Selesai solat akupun masuk ke dalam kereta dan melihat jam baru 7.01. Rupa-rupanya aku mengerjakan solat sunat dhuha sebelum masuk waktunya lagi.

Waktu dhuha bermula kira-kira 25 minit selepas tamat waktu subuh.

Akupun bergerak balik ke rumah. Seperti biasa, aku 'order' roti walnut yang diletakkan 'cheese' dan dipanaskan dalam 'microwave oven' daripada isteri tersayang.

Tiba-tiba telefon Samsung SIII ku berdering! Ku lihat tertera nama Firdaus.


"Assalamu'alaikum En. Wan. Ni Emily... Firdaus sakit dan minta tolong untuk dibawa ke klinik". Aku bergegas ke rumah mereka tanpa sempat menjamah sarapan.

Berpusing-pusing juga aku mencari alamat Jalan Kebangsaan 79. Maklumlah belum sempat menziarahi mereka selepas mereka keluar dari rumah felo Kolej Dato' Onn Jaafar.

Setibanya aku ke rumah mereka, ku lihat Firdaus mengerang kesakitan. Katanya cirit birit sejak pukul 4.30 pagi tadi. Perutnya memulas mulas setiap 5 minit. Katanya sakit dekat ulu hati.


Aku membuat keputusan untuk tidak ke klinik seperti permintaan asal mereka tetapi terus ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Melihat keadaannya yang sebegitu, pada firasat aku, klinik juga akan 'refer' kesnya ke HSAJB juga nanti. Jadi untuk menjimatkan masa, baik aku terus ke sana.

Tidak tahan mendengar Firdaus mengerang kesakitan di sebelahku, aku terus memasang 'hazard light' dan meluncur laju. Ada 2 'traffic lights' merah yang aku melanggarnya! Itupun bila aku melihat ia selamat dan tidak mengancam keselamatan kenderaan lain.

Di sepanjang Jalan Skudai, aku membawa 120km/j berbanding 80km/j 'speed limit' yang dibenarkan! Tak pasti pula, apa perasaan Emily yang berada di kerusi belakang Kancilku.


Sampai di HSAJB, aku terus membawa Firdaus ke foyer 'Accident & Emergency'. Dia dibawa masuk dan diberikan 'drip' air. Akupun keluar dan membiarkan Emily menguruskan apa yang patut untuk suaminya yang tercinta.

Di tempat menunggu, aku berkenalan dengan kawan Firdaus dan Emily yang baru tiba. Saudara Nazri, isteri dan anaknya yang belum lagi mencapai umur setahun juga datang untuk menziarahi Firdaus di HSAJB.


Sementara menunggu keputusan pemeriksaan doktor, aku melihat 2 orang anggota polis membawa seseorang yang digari. Bersama mereka ada dua orang lagi yang sibuk menceritakan bahawa si dia yang digari itu telah meragut beg isteri salah seorang dari mereka. Kata si suami, lelaki yang bersamanya itu telah diparang oleh si peragut itu. Jadi, kawannya dan si peragut dibawa ke HSAJB untuk diperiksa jika ada kecederaan yang dialami mereka.

Sedih juga aku melihat si melayu yang digari itu. Dia memang melayu kerana fasih berbahasa melayu dan berasal dari Ulu Tiram. Di lengannya kelihatan 'tatoo'. Dia ni katanya dah ada 5 kes polis. Dia juga katanya ahli 'gangster'.

Kalau dibandingkan badannya yang kecil dan kurus, aku rasa aku lebih layak untuk menjadi 'gangster'! Apapun kita hidup mengikut apa yang kita pilih... Kita mahu jadi orang jahat maka jahatlah kita dan jika kita memilih untuk menjadi baik maka baiklah kita.


Sementara menunggu keputusan pemeriksaan doktor juga, aku dan Nazri sempat mencari 'breakfast' di gerai Hutan Bandar. Sambil aku mengenakan lontong kering dan Nazri mengenakan nasi lemak, sempatlah kami bermuayasyah dengan lebih terperinci.

Setelah kembali ke HSAJB, kami dimaklumkan bahawa Firdaus tidak mengalami apa-apa masalah. Walau bagaimanapun pihak Hospital akan menempatkannya di wad D 4 bagi tujuan pemantauan.

Pelik juga melihat keadaan dirinya yang merengkuk kesakitan dalam kereta dan terketar-ketar dalam bilik pemeriksaan di Emergency Room tapi setelah dibuat x-ray tiada apa-apa penyakit...


Aku memaklumkan kepada Firdaus bahawa Emily bolehlah balik semula ke rumah bersama Nazri dan keluarga untuk mengambil pakaian dan keperluan kegunaannya di hospital. Apabila Emily ingin datang semula ke hospital bolehlah aku dan isteri membawa Emily kembali ke sini...

Dengan pesanan itu, akupun bergerak pulang...

2 comments: