Tuesday, October 30, 2012

Membuat Sedikit Peraturan Supaya Hati Kita Tenang Semasa Solat Sunat

Mengerjakan solat di masjid nampaknya semakin menjadi pilihan utama bagi kebanyakan kita. Siapa yang tak mahu mendapat ganjaran pahala yang lebih?

Daripada  Abu Hurairah RA katanya: “Nabi SAW bersabda : “Pahala sembahyang jemaah bagi seseorang lebih daripada sembahyang bersendirian, sama ada di tempat kerjanya (di pasar) atau di rumahnya dengan gandaan dua puluh lima darjat. Kerana orang yang telah menyempurnakan wuduk kemudian pergi ke masjid dengan tujuan untuk bersembahyang semata-mata, maka setiap langkah perjalanannya itu diberi satu darjat (pahala) dan dihapuskan satu dosa sehingga dia masuk ke dalam masjid. Dan apabila dia berada di dalam masjid dia dianggap seperti orang yang bersembahyang selagi dia menunggu untuk berjemaah. Dan para malaikat mendoakan untuk seseorang selagi dia berada di tempat sembahyangnya dengan doa : Ya Allah ya Tuhanku, rahmatilah dia, ampunilah dia, terimalah taubatnya selama dia tidak menyakiti, dan tidak berhadas di tempat itu.”


Walau bagaimanapun, bilangan mereka yang pergi ke masjid boleh dipertingkatkan lagi. Seelok-eloknya biarlah masjid yang begitu indah, besar dan luas di bumi Malaysia ini dimakmurkan dengan sebaik-baiknya.

Kadang-kadang apabila kita ke masjid yang tersergam indah, yang menelan belanja jutaan RM untuk membinanya hanya dipenuhi dengan satu atau dua saf sahaja. Di waktu subuh lagilah... Sungguh mendukacitakan!


Kesedaran untuk bersolat jamaah di masjid nampaknya semakin rancak berbanding puluhan tahun yang lalu. Tidak lagi mereka yang ke masjid hanya dikalangan mereka yang pencen sahaja tetapi sudah ramai anak muda yang hatinya begitu bertaut dengan masjid.

Isu yang ingin saya timbulkan di sini ialah tentang berapa lama sesudah azan, muazzin sesebuah masjid itu melaungkan iqamah?


Ia nampak remeh tetapi kadang-kadang apabila kita sedang menunaikan solat sunat maka tiba-tiba si muazzin melafazkan iqamah maka kitapun tak sempat untuk menyempurnakan solat sunat. Memang solat sunat lebih elok dilakukan dengan banyaknya di rumah.

Tetapi maksud saya ialah seperti solat tahiyyatul masjid, solat sunat fajar dan sebagainya.

Sesetengah masjid yang prihatin, mereka melihat dan memandang ke kiri kanan jika ada para jamaah yang masih melaksanakan solat sunat maka ditunggu dulu sebelum diteruskan dengan iqamah. Sesetengah masjid pula, muazzinnya lebih 'brutal' nampak seperti tidak mempedulikan, bila dia datang terus diqamatnya!


Saya merasa cukup seronok apabila sesebuah masjid itu menetapkan waktu iqamahnya. Contohnya, ada masjid yang menetapkan waktu iqamahnya 10 minit selepas masuk waktu (azan). Bila ada ketetapan begini, kita boleh agak samaada kita masih sempat untuk mengerjakan solat sunat atau tidak.

Kadang-kadang bila tidak ada ketetapan yang dibuat, apabila kita tiba di masjid kita merasa serba salah samaada mahu mengerjakan solat sunat atau tidak. Bagi masjid yang mempunyai bilal yang berhemah kita akan merasa lebih tenang. Mereka menunggu sehingga kita habis solat sunat.


Ya betul, memang kita boleh berhenti mengerjakan solat sunat bila-bila aje apabila iqamah dilaungkan tetapi kita merasakan seperti ada sedikit ketidakadilan. Kalau imam atau khatib dan sebagainya yang mengerjakan solat sunat mereka tunggu tetapi kalau rakyat biasa mereka teruskan iqamah...

Pada pandangan saya, dengan menetapkan waktu iqamah seperti 10 minit selepas azan dan sebagainya akan membuat hati kita lebih tenang untuk kita 'calculate' samaada kita masih sempat untuk bersolat sunat atau tidak?


Dengan berbuat demikian juga, kita boleh mengagak jika kita masih berada di rumah samaada kita masih sempat untuk datang ke masjid untuk berjamaah.

Sesetengah masjid pula tidak ingin meletakkan waktu iqamahnya kerana kadang-kadang imamnya sendiri masih belum sampai walau 10 atau 15 minit selepas waktu azan. Ini berlaku terutamanya di waktu solat subuh.

Saya juga pernah 'terpaksa' naik menjadi imam kerana imamnya tidak datang pada waktu subuh!!!

1 comment:

  1. Saya setuju dengan tuan penulis. Mana-mana masjid atau surau kena tetapkan peraturan sebegini. Tetapkan masa 15 minit untuk qamat lepas Subuh, dan 10 minit untuk waktu2 lain.

    Kalau tak ditetapkan, jd macam surau kat tempat saya. Azan 5.45, pukul 6.15 baru nak solat. Itu pn masih ada jemaah yang mengada-ngada (pada saya) nak solat sunat dan sebagainya.

    Pada saya la kn, klu nk solat sunat qabliah ke, solat sunat fajar ke, datang la awal sikit. Disiplinkan diri..

    ReplyDelete