Sedang kami bermesyuarat Bakan Keluarga Fakulti Geoinformasi & Harta Tanah (BKFGHT), maka berita tersebar mengatakan salah seorang staf fakulti mengalami masalah setelah melahirkan 2 bayi kembar. Masalahnya ialah si ibu tidak boleh makan secara normal kerana pasti ia akan muntah kembali setelah menelan makanan tersebut. Perkara ini telah berlarutan hampir selama 2 minggu.
Apabila ditanya untuk menziarahi, aku bersetuju untuk menganggotai bersama sebagai pemandu Pajero disamping mewakili BKFGHT. Jadi yang pergi ialah aku, Abang Lan, Norin, Dzarith, Faridah dan Ana.
Setiba di HSAJB, aku mencari parkir dan alhamdulillah dilapangkan oleh Allah di depan Poliklinik. Kamipun bergerak ke Wad Timur Aras 2.
Kelihatan rakan kami yang sakit itu nyenyak tidur di katil tanpa sesiapa yang menemaninya.
Ada usaha dari pihak kami untuk mengejutkan beliau sehingga beliau tersedar.
Maka banyak jugalah soalan-soalan yang ditanya dari adik-adik perempuan kepada pesakit yang berpangkat kakak bagi mereka.
Bagi diriku, aku merasa kesian apabila melihat kepada pesakit. Apa tidaknya, dua orang anak kembar tidak bersamanya di wad tetapi dijagai oleh si suami di rumah. Cuba bayangkan si ibu terpaksa berpisah dengan anaknya setelah bersalin...
Setelah beberapa ketika, kamipun meminta diri untuk pulang dan mendoakan semoga si pesakit diberikan segala kemudahan, pertolongan dan kesihatan oleh Allah SWT.
Masing-masing menghulurkan wang ringgit sebagai bantuan bagi meringankan beban kepada si pesakit dan keluarganya yang terpaksa berulang alik ke hospital.
Saat inilah ia menjadi satu pertimbangan yang mungkin mendatangkan pahala atau hanya sekadar penat lelah sahaja.
Maksudku, di sini timbul persoalan keikhlasan. Hati berkata, "Takkan sekadar RM10 atau RM20 seperti staf lain yang hanya berpangkat Penolong Pegawai?"
Maka di sini akan diuji Allah kerana adalah amat sukar untuk mengeluarkan RM50 tanpa sampul dan akan kelihatan oleh rakan-rakan yang lain dan hati tawaduk kepada Allah SWT. Mungkin pemberian itu tidak mendapat apa-apa ganjaran dari Allah SWT.
Pun begitu, hati ini terus berdoa agar ia masih menjadi sebahagian dari amal soleh, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.
Ya Allah, Engkau ikhlaskanlah hatiku dalam apa jua tindak tandukku.... Amin!
No comments:
Post a Comment