Banyak benda yang kita tak tahu tapi ada orang lain tahu... Antaranya ialah ada perkhidmatan bas ekspress dari Skudai ke KLIA. Oleh itu, jangan kita malu atau segan untuk bertanya. Kata pepatah, malu bertanya sesat jalan! Kita yang tahu pula jangan malas untuk berkongsi dengan orang lain. InsyaAllah, apabila kita sama-sama membantu dan mudah-mudahan Allah akan bantu kita lagi.
Saya baru tahu minggu lepas. Itupun setelah dimaklumkan oleh rakan saya yang mana anaknya selalu menggunakan perkhidmatan ini apabila ingin kembali ke tempat pengajiannya di USA.
Anak saya, Kak Long akan kembali ke Mesir untuk menghabiskan pengajiannya di Cairo University. Tiket 'flight' sudah dibeli dua minggu lepas. Beliau akan bertolak dari KLIA pada 16 Oktober, iaitu pada hari raya kedua.
Pada hari Jumaat lepas, saya telah meminta bantuan kawan saya untuk membeli tiket di perhentian bas di Taman Tun Aminah. Di situlah katanya tiket untuk ke KLIA dijual. Harganyapun tak mahal sangat hanya lima puluh lebih saja.
Kalau kita terpaksa 'drive', cuba bayangkan penatnya, masanya, kosnya termasuk tol dan minyak...'unless' kita anggapkan ia sebagai 'family outing'.
Saya sudah 'check' tiket flight dari Senai ke KLIA tetapi harganya seratus lebih. Mungkin kerana hari raya kedua, tiket masih mahal!
Pada 16 Oktober itu juga Sekolah Islam Hidayah menganjurkan program qurban yang akan menumbangkan 12 ekor lembu. Semoga diberi ganjaran oleh Allah SWT kepada mereka yang berkorban. Amin!
Pada 17 Oktober pula, fakulti saya iaitu Fakulti Geoinformasi & Harta Tanah (FGHT) akan melaksanakan ibadah qurban. Kami akan menyembelih tiga ekor lembu dan dua ekor kambing bagi ibadah qurban dan aqiqah. InsyaAllah, seekor lembu dan 2 ekor kambing akan dimasak bagi tujuan jamuan makan kepada staf dan juga pelajar-pelajar. Daging yang lain, insyaAllah akan diagihkan kepada fakir miskin, staf FGHT, dan juga kepada mereka yang berkorban. Ini merupakan kali kedua FGHT menjalankan ibadah qurban dibawah pengendalian Badan Keluarga FGHT.
Apapun, saya mendoakan semoga semuanya berjalan lancar dan masing-masing mendapat habuan pahala dari Allah SWT. Tidak dilupakan, saya juga memohon kepada tuan-tuan untuk mendoakan keselamatan anak saya semasa pengajiannya di Mesir nanti. Jazakumullahu khairan kathira....
No comments:
Post a Comment