Sekarang ramai sibuk bercakap tentang Lembaga Perumahan & Hartanah Johor (LPHJ) yang dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam.
Aku dan kawan-kawan pensyarah juga berbincang secara sepintas lalu. Tetapi kami tidak nampak ada banyak perbezaan.
Pada aku, jika seorang sultan itu berjiwa rakyat maka tuanku akan mempastikan bahawa setiap rakyatnya mempunyai keperluan asas iaitu rumah. Tuanku tidak akan sanggup melihat bumi Johor dipenuhi dengan warga asing yang membeli tanah dan rumah 'freehold' manakala rakyat beliau merempat di hutan belantara.
Memang kita ingin Iskandar Malaysia maju dan tersohor ke merata dunia. Tetapi tidak sehingga kera di hutan disusukan manakala anak sendiri mati kelaparan. Kita mesti ada batas atau 'boundary' setakat mana kita boleh bertindak untuk memajukan negara dan membenarkan rakyat asing memiliki bumi kita.
Aku pernah sebut apabila kita ke Pejabat Tanah untuk membayar cukai tanah atau ke Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menjelaskan cukai pintu, rata-rata kita hanya membawa sekeping geran tetapi bagi bangsa lain mereka membawa sebeban untuk membayar cukai. Maksud sebeban di sini ialah mereka membawa lebih dari 2 atau 3 pegangan harta.
Pada hemat aku, mungkin pada suatu masa mereka yang beratur untuk membayar cukai pintu atau cukai tanah di Johor Bahru bukan lagi rata-rata dari rakyat asing negara kita tetapi dari kalangan rakyat asing negara lain.
Aku rasa malas untuk mengulas tentang isu ini. Bukan aku tak sayang negeri Johor tempat kelahiran 6 dari 9 orang anak-anakku tetapi aku merasakan bahawa kita sudah jauh dari memiliki seorang raja seperti Sultan Mehmet al-Fatih.
Ok. Aku agak tertarik apabila seorang rakan pensyarahku berkata bahawa anak-anak kita perlu sedar mereka mungkin selesa sekarang, makan mewah, tidur di bilik berhawa dingin dan sebagainya. Apabila mereka keluar dari rumah kita nanti atau dengan kata lain, apabila mereka meningkat dewasa, belum tentu mereka akan merasai suasana sama seperti mereka alami sekarang.
Apabila mereka bekerja nanti, mampukah mereka memiliki rumah? Atau seperti kata sesetengah orang bahawa mereka hanya mampu menyewa rumah sehingga mati?
Rumah menjadi semakin mahal sehingga rakyat berpendapatan sederhana tidak lagi mampu memiliki rumah.
Sekiranya anak-anak kita tidak sedar dan masih beranggapan rumah yang mereka diami sekarang akan mereka duduki selama-lamanya maka mereka bermimpi di siang hari!
Oleh itu, pandangan saya kepada anak-anak muda yang telah mempunyai pekerjaan, belilah rumah sekarang!
Jangan tunggu lama-lama, harga rumah semakin meningkat. Tidak mengapa kita berkenderaan kecil tetapi kita mesti mempunyai rumah. Untuk mempunyai kenderaan serta rumah yang selesa sekali gus mungkin di luar kemampuan kita...
No comments:
Post a Comment