Wednesday, June 25, 2014

Berkaitan TNB & SAJ...

Di sini ingin saya perturunkan beberapa pedoman kepada rakan-rakan supaya tidak rugi apabila bermuamalat dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Johor (SAJ) atau syarikat-syarikat yang seumpamanya.

Saya telah menjual sebuah rumah kepada seorang pembeli yang mana rumah itu dibiarkan kosong sementara pembeli tersebut mendapat kelulusan pinjaman perumahan daripada pihak kerajaan.

Kita hendak sewakanpun susah kerana kita tidak tahu berapa lama 'loan' tersebut akan lulus. Kalau proses pinjaman cepat lulus nanti kita kena halau pula penyewa! Nak tak nak, rumah itu dibiarkan kosong walaupun bertalu-talu, orang bertanya untuk menyewa.

Itu bukan apa yang saya ingin tuan-tuan pelajari. Yang ingin saya ajar kepada tuan-tuan ialah berkaitan memberhentikan perkhidmatan elektrik dan air sebaik tuan-tuan tidak lagi menggunakan rumah tersebut.

Yang jahatnya ialah SAJ. Setiap kali dia datang baca meter, dia akan caj RM5 walaupun tiada penggunaan air yang dibuat. Selagi kita tidak pergi ke SAJ untuk memaklumkan supaya memotong perkhidmatan, selagi itulah dia akan caj RM5 setiap bulan.

Saya tidak melakukan apa-apa selama 6 bulan kerana tidak tahu apa nak buat dan bil tertunggak dikira sebanyak RM30, iaitu RM5 sebulan. Akhirnya, ada seorang manusia menasihatkan supaya saya pergi memaklumkan kepada SAJ bahawa saya ingin perkhidmatannya dipotong.

Pun begitu, setelah saya memaklumkan supaya perkhidmatan air dipotong, 2 hari kemudian SAJ datang lagi untuk membaca meter dan saya dicaj lagi RM5 (mungkin untuk mempastikan tiada penggunaan air sebelum perkhidmatannya diberhentikan. Kita juga dicaj RM35 untuk urusan pemotongan.

Akhirnya, deposit yang dibayar belasan tahun dulu sebanyak RM90, hanya RM20 dikembalikan kepada kita.

TNB agak baik sikit kerana dia tidak akan caj kita jika tiada penggunaan elektrik. Walaupun saya tidak membuat apa-apa selama 6 bulan, tiada caj yang dikenakan.

Cumanya, setelah saya memaklumkan kepada TNB untuk memotong perkhidmatan, sebulan kemudian saya mendapat balik deposit sebanyak RM279.80 yang dikreditkan ke dalam akaun bank saya walaupun deposit yang dibayar belasan tahun dahulu ialah RM280.

Pengajaran yang boleh diambil ialah;

i) Apabila berurusan dengan SAJ, terus maklumkan pemotongan perkhidmatan apabila kita tidak lagi menginap di situ. Kalau tidak, wang deposit kita akan berkurangan. Saja-saja dia caj kita RM5 sebulan ikut suka dia saja. Ingatlah wahai SAJ, orang tidak halal pengambilan wang secara begini...

ii) TNB sepatutnya membayar balik jumlah deposit secara penuh, iaitu kalau RM280 maka bayaran balik juga mesti RM280, kalau tidak lebihpun. Siapa yang akan halalkan, walaupun 20sen?

iii) TNB telah menaikkan deposit dari RM280 (untuk rumah teres 2 tingkat) kepada RM500.

iv) Syarikat telefon AT&T dan kebanyakan syarikat utiliti yang lain di Amerika Syarikat membayar balik deposit kepada pengguna bersama keuntungan apabila seseorang itu menamatkan perkhidmatan. Syarikat GLC kita, bukan nak bayar keuntungan tetapi kalau boleh ingin dikurangkan lagi deposit tersebut walaupun mereka telah menyimpannya selama puluhan tahun.

Oleh itu, wahai pembesar-pembesar SAJ dan TNB!,

Takutlah kamu kepada Allah! Kami tidak akan halalkan cara pengambilan wang secara paksa begitu! InsyaAllah, akan kami tuntut bahagian kami di yaumul mahsyar nanti...

No comments:

Post a Comment