Tuesday, July 1, 2014

Beza Berpuasa Semasa Kita Sebagai Anak Dan Kita Sebagai Bapa...

Kalau kita merenung kembali 40 tahun yang lalu, kita dapat merasakan betapa seronoknya waktu itu.

Aku pada masa itu baru berusia 10 tahun. Seronok ke SRJK(I) Kg. Laut waktu tengahari. Pagi mengaji al-quran dengan nenek, yang dikenali sebagai Mak Teh oleh orang-orang kampung. Mak Teh memang hebat mengajar al-quran, apabila muridnya salah membaca mana-mana ayat, dia akan menegurnya walau dari jauh di dapur.

Mak Teh atau nama sebenarnya ialah Hajjah Che Esah Binti Awang Latiff adalah ibu kepada ibuku, Hajjah Che Zainab Binti Haji Che Hussin.

Selesai mengaji, kami akan bermain 'toll jail'. Permainan ini agak mudah yang mana kita dibahagikan kepada 2 kumpulan. Ahli bagi setiap kumpulan dipilih supaya ia nampak 'fair' dari segi kekuatan fizikal. Pada satu-satu masa, satu kumpulan akan berlari manakala kumpulan yang satu lagi akan mengejar.

Jika dapat ditangkap maka si mangsa tadi akan dimasukkan ke dalam penjara (jail) yang digaris bulatan di atas tanah. Rakan-rakan yang belum ditangkap boleh pada bila-bila masa datang untuk 'rescue' si mangsa dalam penjara dengan hanya menyentuh tangan. Dengan demikian, si mangsa bebas semula!

Kumpulan berlari akan kalah apabila semua ahlinya berada dalam penjara. Kini kumpulan yang mengejar pula akan melarikan diri dan kumpulan kalah tadi pula akan mengejar.

Alangkah seronoknya pada masa itu. Badan sihat berpeluh kerana berlari. Selepas itu, pergi mandi bersiap untuk ke sekolah pula. Untuk ke sekolah berjalan kaki pula melalui jalan keretapi sejauh 3 km.

Banyak lagi permainan kami semasa kecil. Antaranya ialah gelap cerah, dechok, dan sebagainya. Anak-anak sekarang tak tahu mainan seperti itu...

Berpuasa 4o tahun yang lalu pada aku adalah satu perkara yang wajib dilakukan oleh mereka yang mampu. Kalau dah masuk Darjah 1 dan kalau tidak berpuasa lagi maka ia amat memalukan.


Ingatan yang ada padaku, kita berpuasa pada masa itu ialah supaya kita dapat berbuka bersama mereka yang berpuasa! Kalau tidak berpuasa jangan diharap untuk merasai berbuka bersama keluarga.

Juadah berbuka di kampung sangat istimewa. Kalau kita menghantar 5 piring kuih muih kepada jiran dan taulan maka kita akan mendapat balik 5 piring kuih muih yang berlainan pula. Jadi, dari satu kuih yang kita buat, sekarang dah jadi 6 jenis kuih muih.

Aku juga pernah ke pasar Kg. Laut hanya untuk mendapatkan buah kemunting di bulan puasa. Beli dua, tiga puluh sen dah cukup. Di bulan puasa, selera kita beraneka ragam. Kadang-kadang pernah juga mengayuh basikal ke Chabang Empat Tok Mek Ngah untuk mendapatkan air tuak. Dalam bahasa yang sedap didengar air tuak dipanggil sebagai air nira.


Aku di masa dulu juga tidak pernah bersahur tanpa nasi! Makan semasa sahur sama aje dengan makan semasa berbuka. Semua 'heavy'. Tapi sejak aku berkahwin, makan sahur padaku hanya sekadar semangkuk 'cereal' dan segelas air. Kalau tidak ada 'cornflakes', maka sahurku hanya dengan beberapa biji kurma dan satu atau dua gelas air.

Tradisi 40 tahun dulu bersahur bersama ayah ibu dengan nasi, sudah aku tidak amalkan lagi bersama dengan anak-anakku. Kecuali apabila kami bersahur di rumah mertuaku maka kami akan makan nasi seperti biasa.

Dulu semasa berpuasa, aku tak kisahpun samaada aku menunaikan solat tarawih atau tidak tetapi agenda selepas tarawih itu penting bagiku, iaitu memakan juadah moreh!

Pelbagai juadah disediakan semasa moreh, ada roti jala, nasi arab, mee bandung, mee rebus, rojak dan sebagainya. Main mercun juga satu lagi perkara biasa!

Kini aku sudah tua. Apabila berpuasa di bulan Ramadhan, aku tidak lagi 'highlight'kan tentang juadah berbuka kepada anak-anak. Tetapi kita jelaskan tentang betapa besarnya ganjaran mengajak atau memberi orang lain berbuka puasa, banyakkan sedekah dan infaq, banyakkan membaca al-quran, solat sunat tarawih, solat sunat tahajud dan pelbagai lagi.

Kita pentingkan beramal di bulan Ramadhan al-Mubarak dari berpesta makanan.

Dulu ada kita kisah bahawa membuat amalan sunat di bulan Ramadhan dan Allah ganjarkan sebanyak pahala wajib. Kita juga tak peduli tentang membuat amalan fardhu akan diganjari Allah sebanyak 70 kali lipat.

Dulu lain sekarang lain.

No comments:

Post a Comment