Monday, October 27, 2014

Anak-Anak Yang Ke Jurusan Agama Adalah Anak-Anak Kelas Kedua

Ramai di kalangan ibubapa menjadikan aliran agama hanya sebagai pilihan kedua iaitu setelah anak-anak mereka tidak berjaya memasuki aliran sains dan teknologi.

Sesetengah ibubapa inginkan anak-anak mereka mengambil bidang kedoktoran, kejuruteraan ataupun sains dan teknologi. Apabila semuanya tidak dapat, baik disebabkan oleh kerana saingan yang tinggi ataupun kerana kurangnya 'kecerdikan' di pihak anak maka mulalah ibubapa berpusing ke arah agama.


Kepada ibubapa, sekiranya anak mereka tidak berjaya dalam sains dan teknologi biarlah anak mereka menjadi ustaz atau mereka yang mempelajari agama. Sekurang-kurangnya, anak ini tidak akan menyusahkan mereka bahkan menjadi tempat mereka mendapat pertolongan di akhirat nanti. Anak-anak yang kurang pandai inilah yang diharapkan oleh ibubapa supaya mempunyai ingatan yang kuat untuk menghafaz ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis nabi SAW.

Sebenarnya mereka sudah mengetahui tentang tahap kemahiran dan kepandaian anak-anak mereka tetapi mereka mengharapkan 'miracle to happen'. Ya lah, inikan berjihad di jalan Allah, takkan Allah tidak membantu...

Itulah tanggapan sesetengah ibubapa.

Dengan kata lain, jarang berlaku anak yang bijak akan diberikan untuk memilih aliran agama. Aliran agama hanya untuk mereka yang kurang cerdas.

Akibatnya, kita dapat lihat betapa kurangnya ustaz yang berfikiran matang, tidak mudah menggelarkan orang lain dengan gelaran yang kurang sedap didengar dan mereka tidak dapat menguasai ilmu agama dengan baik.


Alangkah bagus, andainya ramai yang cemerlang di peringkat sekolah turut mengambil jurusan agama sebagai pilihan utama. Dengan demikian, kita mampu mengeluarkan sarjana-sarjana Islam yang berkaliber. Mereka inilah yang akan membuat tajdid kepada ajaran Islam yang kita dokongi.

Mereka mampu membuat ijtihad bersandarkan nas-nas yang telah dikaji dan melihat kepada keperluan semasa yang semakin meruncing. Kita tidak mahu para agamawan yang masih menggunakan hujah dan sandaran nas 1,400 tahun dahulu yang tidak dapat memberi jawapan kepada permasalahan terkini.

Islam adalah agama yang sempurna. Dijadikan Allah SWT sesuai untuk masa dulu, masa kini dan masa yang akan datang. Dan kita juga dijanjikan Allah SWT bahawa akan ada mereka yang membuat tajdid kepada agama Islam setiap seratus tahun.

Oleh itu, pada pandangan saya janganlah kita sebagai ibubapa menyekat anak-anak sekiranya mereka ingin mendalami ilmu dalam bidang agama berbanding ilmu perubatan, undang-undang, kejuruteraan dan sebagainya. Biar mereka 'indulge' dalam agama dan keluar menjadi seorang yang fakih dalam Islam.

Kita amat takut di akhir zaman ini, banyak ajaran-ajaran palsu yang boleh memesongkan kita dari aqidah Islam yang sebenar. Kita sudah berjanji dengan Allah bahawa hidup dan mati ini hanyalah di jalanMu, ya Allah. Dan tiada yang lain selain dari jalanMu...

Tuesday, October 21, 2014

Api Perkauman Semakin Dicanang...

Any Barisan Nasional (BN) leader found guilty of issuing racist statements should be sacked from the coalition, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi said today after the suggestion was made by Gerakan earlier this morning.
The Umno vice-president said it is only fair that the same treatment is given to all BN leaders regardless of race.
“Don’t just focus on Malay leaders who are talking about Malay rights. What about the non-Malays fighting for non-Malay rights?
“They say something racist, sack them. Sack everybody,” he told a news conference here.
Bangi (19 Oktober 2014)


Kenyataan di atas diambil dari The Malay Mail Online. 
Apa yang kita boleh pelajari dari kenyataan ini? Pertama, kita boleh katakan bahawa perasaan tidak puas hati dengan bangsa lain masih menebal di sanubari pemimpin negara kita. Walaupun kita sudah merdeka selama 57 tahun tetapi api perkauman masih ada. 
Samaada ia secara sengaja atau tidak dicetuskan oleh pemimpin parti hanya Allah yang mengetahui. Hanya Allah SWT yang mengetahui apa yang tersirat di hati mereka.
Mungkin juga ia merupakan strategi parti untuk menguatkan atau meraih sokongan kepada sesebuah parti.

Tetapi hakikatnya, kalau kita bertanya kepada seseorang individu samaada mereka mempunyai pilihan untuk menjadi seorang cina, atau melayu, atau india? Sudah pasti jawapannya ialah kita tidak punya pilihan! 
Mungkin kita terasa betapa susahnya menjadi cina di Malaysia dan alangkah bertuahnya jika dilahirkan sebagai seorang cina di negara China, Taiwan, Hong Kong atau Singapura. Begitu juga seorang melayu, alangkah bertuahnya jika kita dilahirkan melayu di Brunai. Seterusnya, begitu juga dengan seorang India dan sebagainya.
Tidakkah kita mengetahui bahawa tujuan Allah menzahirkan kita kepada bangsa-bangsa atau kaum-kaum tertentu bukan untuk kita bertelagah tetapi untuk kita saling kenal mengenali di antara satu sama lain?


"O mankind! We created you from a single (pair) of a male and a female, and made you into nations and tribes, that ye may know each other (not that ye may despise each other). Verily the most honoured of you in the sight of Allah is he who is the most righteous of you. And Allah has full knowledge and is well-acquainted with all things." (Al-Hujurat; ayat 13)
Nah, apa perlu kita mencari perbezaan lagi?
Memang kita berbeza dari segi warna kulit, rupa paras dan bahasa tetapi kita mempunyai banyak persamaan. Kita ingin hidup aman damai, saling hormat menghormati, bantu membantu dan bersatu padu.
Kita tidak mahu suatu kehidupan yang saling benci membenci, bertelagah sesama bangsa yang mana kita tidak punya pilihan untuk menjadi bangsa yang kita inginkan.
Dan kita semua mengetahui bahawa Allah SWT amat menyanjungi seseorang yang bertaqwa kepadaNya.


Ayuh, “Destiny is not a matter of chance; it’s a matter of choice”

                                                                                                                     William Jennings Bryan (1860 – 1925)


 ‘Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubah nasib mereka  (Al-Quran)



Masalah perkauman ini tidak timbul di kawasan-kawasan luar bandar. Kita lihat masyarakat cina di Kelantan, Terengganu dan Kedah fasih berbahasa melayu dan mereka hidup aman damai di sana.
Tidak salah untuk kita menyayangi bangsa kita selagi kita tidak menganiaya bangsa lain.
Jabatan Penerangan Malaysia seharusnya berperanan dengan mengeluarkan banyak sketsa-sketsa menarik yang mengajak masyarakat Malaysia untuk hidup secara harmoni sesama jiran yang berlainan bangsa. Sekira ia tidak ditangani dengan baik maka negara kita akan menjadi sebuah negara yang porak poranda.

Kitalah yang perlu berperanan dengan sebaik-baiknya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Kita perlu mengajar anak cucu kita supaya tidak mempunyai sikap rasis sesama manusia. Usahlah kita membangkitkan tentang siapa penduduk asal atau sebagainya. Ia hanya mengecilkan hati di pihak yang satu lagi. Sebenarnya kita semua ini adalah pendatang. Pendatang atau pengembara yang menunggu masa untuk berhijrah ke negara yang kekal abadi... 

Monday, October 20, 2014

Memotivasi Diri Sendiri...

Kadang-kadang hati merasa tersangat sedih. Kenapa?

Bila ada kelas yang perlu diajar dan akan mendatangkan hasil ribuan RM maka orang lain yang dapat. Pada hal, matapelajaran tersebut adalah matapelajaran yang kita ajar.


Walhal orang itu tidak pernah mengajar matapelajaran tersebut. Tetapi demi RM, apa saja dia sanggup ajar walaupun bukan bidang dia...

Begitu juga apabila perlu dibuat penyeliaan terhadap pelajar-pelajar yang sedang membuat latihan industri di seluruh pelusuk negara maka orang lain yang terpilih.

Dan apabila ada program yang perlu dibuat motivasi kepada pelajar yang tidak diberi apa-apa bayaran maka kitalah yang kena.

Adilkah begini?


Wahai tuan-tuan dan puan-puan yang budiman, adakah patut dibiarkan suasana begini berlanjutan tanpa ada jalan penyelesaian? Bukan setahun dua malah sudah belasan tahun ia berlalu...

Walau aku tidak menyuarakannya dalam mesyuarat tetapi kita di pihak yang mentadbir takkanlah tak nampak perkara yang berlalu sudah begitu lama.

Dan yang agak menghairankan aku ialah orang yang dah pencen masih boleh berada di UTM. Dengar-dengar ada pensyarah yang tak ada matapelajaran untuk mengajar dan terpaksa dikongsi bersama supaya ada kelas untuk dia mengajar. Tetapi yang kita mengambil orang pencen untuk menjalankan tugas buat apa kalau yang tak pencenpun tak ada beban tugas? Ini hanya merugikan wang negara...


Kalaulah yang pencen itu seorang profesor yang berkaliber ok juga diambil bekerja semula. Tetapi kalau satu buku atau artikelpun tak ada, baik lantik staf baru. Membazir duit kerajaan aje membayar gaji berbelas-belas ribu sedangkan gaji staf baru tak sampai lima ribupun.

Wahai pihak pentadbir, lihatlah apa perkembangan yang berlaku semoga engkau selamat dunia dan akhirat. Selamat di dunia belum tentu selamat di akhirat.

Akupun tak pasti, adakah aku boleh redha dengan apa yang mereka telah lakukan kepada diri aku. Kalau aku tak halal maka kita semua akan membuat sedikit perkiraan di akhirat esok. Perkara-perkara seperti + atau - dosa dan pahala akan berlaku.

InsyaAllah, Allah akan menghukumkan makhluknya dengan sebaik-baik hukuman. Allah itu tidak zalim dan Allah Maha Adil lagi Maha Bijaksana.

Sunday, October 12, 2014

Pengalaman Menemubual Ibubapa...

Sudah puluhan tahun rasanya menemubual ibubapa untuk kemasukan anak-anak ke Darjah 1 di Sekolah Rendah Islam Hidayah (SRIH), Johor Bahru.

Pada tahun ini, bilangan permohonan melebihi 350 dan pelajar yang akan diterima sekitar 212 orang sahaja!


Cuba bayangkan betapa besarnya harapan masyarakat untuk memasukkan anak-anak ke sekolah bercirikan Islam. Dah la yurannya agak mahal tetapi permintaan masih jauh melebihi penawaran. Kalau dibandingkan dengan sekolah kerajaan, berapa sangat bayaran yang perlu dibuat untuk membiayai anak-anak ke situ.

Saya sendiri telah menyara 8 orang anak ke Sekolah Rendah dan Menengah Islam Hidayah. Dan pada tahun depan, anak yang bongsu pula akan memasuki ke Darjah 1 di SRIH. Rasanya dah ratusan ribu ringgit telah dibelanjakan untuk pendidikan anak-anak di SRIH dan SMIH.

Rasa sedihpun ada kerana bagi kami kalau boleh kita hendak menerima kesemuanya. Tetapi kekangan fasiliti dan tenaga pengajar amat sukar untuk berbuat demikian.

Apabila ditanya kenapa mereka memilih Hidayah untuk anak-anak mereka? Jawapan yang selalu diperolehi ialah untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Mereka rata-ratanya takut dengan gejala sosial yang berleluasa di luar sana.

Pada hakikatnya, bersekolah di Sekolah Islam belum tentu dapat membendung akhlak anak-anak kepada aktiviti yang tidak Islamik. Tetapi harapan ibubapa memang tinggi supaya anak-anak dapat dibentuk di peringkat awal lagi dengan biah solehah. Alhamdulillah!


Kesedaran ini bukan hanya kepada ibubapa yang biasa sahaja tetapi mereka yang berkhidmat di universiti juga merasakan begitu juga.

Ibubapa yang saya menemubual semalam terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Antaranya pensyarah, guru, taukeh kereta import, 'businessman', malah warga Indonesiapun ada.

Apa yang menghairankan saya ialah bagi warganegara Indonesia yang sudah puluhan tahun berada di Malaysia, mereka mengatakan bahawa anak mereka tidak dibenarkan untuk belajar di sekolah kerajaan. Jadi mereka terpaksa menghantar anak ke Sekolah Hidayah.


Sepanjang pengetahuan saya, ramai di kalangan warga asing yang belajar di UTM, baik dari Indonesia, Mesir, Uganda, dan sebagainya menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerajaan.

Mungkin juga kebenaran ini hanya diberikan kepada anak-anak warga asing yang belajar di UTM dan tidak kepada warga asing yang bekerja di sektor pembinaan. Tetapi rasanya macam tidak logik!

Saya turut menyatakan bahawa sekolah ini adalah sekolah yang serba kekurangan dan memerlukan bantuan daripada ibubapa. Kita perlu banyak bantuan dalam menjalankan aktiviti gotong royong dan sebagainya maka masing-masing berjanji akan turut serta apabila diperlukan.


Saya juga memaklumkan kepada mereka bahawa antara sebab kejayaan yang diraih oleh SRIH ialah kerana komitmen guru-guru. Sungguhpun bergaji kecil berbanding dengan guru-guru di sekolah kerajaan mereka sanggup membeli dan memberi hadiah kepada pelajar-pelajar yang menunjukkan peningkatan prestasi.

Di samping itu komitmen ibubapa juga penting. Sekolah ini bukan hanya sekolah anak-anak kita, tetapi ia juga adalah sekolah kita bersama. Sepertimana kata, mantan Pengerusi Lembaga Pengelola Hidayah, Prof Dr Noor Azlan Zanzali, kita mahukan warga Hidayah menjadi 'one big happy family.' Itulah ramuan kejayaan sekolah kita.


Moga SRIH dan SMIH terus maju membentuk generasi yang soleh dan musleh...

Dan kita doakan juga kepada guru-guru yang sedang dan pernah berkhidmat di Hidayah supaya Allah SWT memberi ganjaran yang setimpal kepada mereka. Begitu juga kepada para dermawan yang sentiasa dan tidak putus-putus menghulurkan bantuan dan sumbangan. Semoga Allah SWT menerima amal kita. Amin!