Monday, October 27, 2014

Anak-Anak Yang Ke Jurusan Agama Adalah Anak-Anak Kelas Kedua

Ramai di kalangan ibubapa menjadikan aliran agama hanya sebagai pilihan kedua iaitu setelah anak-anak mereka tidak berjaya memasuki aliran sains dan teknologi.

Sesetengah ibubapa inginkan anak-anak mereka mengambil bidang kedoktoran, kejuruteraan ataupun sains dan teknologi. Apabila semuanya tidak dapat, baik disebabkan oleh kerana saingan yang tinggi ataupun kerana kurangnya 'kecerdikan' di pihak anak maka mulalah ibubapa berpusing ke arah agama.


Kepada ibubapa, sekiranya anak mereka tidak berjaya dalam sains dan teknologi biarlah anak mereka menjadi ustaz atau mereka yang mempelajari agama. Sekurang-kurangnya, anak ini tidak akan menyusahkan mereka bahkan menjadi tempat mereka mendapat pertolongan di akhirat nanti. Anak-anak yang kurang pandai inilah yang diharapkan oleh ibubapa supaya mempunyai ingatan yang kuat untuk menghafaz ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis nabi SAW.

Sebenarnya mereka sudah mengetahui tentang tahap kemahiran dan kepandaian anak-anak mereka tetapi mereka mengharapkan 'miracle to happen'. Ya lah, inikan berjihad di jalan Allah, takkan Allah tidak membantu...

Itulah tanggapan sesetengah ibubapa.

Dengan kata lain, jarang berlaku anak yang bijak akan diberikan untuk memilih aliran agama. Aliran agama hanya untuk mereka yang kurang cerdas.

Akibatnya, kita dapat lihat betapa kurangnya ustaz yang berfikiran matang, tidak mudah menggelarkan orang lain dengan gelaran yang kurang sedap didengar dan mereka tidak dapat menguasai ilmu agama dengan baik.


Alangkah bagus, andainya ramai yang cemerlang di peringkat sekolah turut mengambil jurusan agama sebagai pilihan utama. Dengan demikian, kita mampu mengeluarkan sarjana-sarjana Islam yang berkaliber. Mereka inilah yang akan membuat tajdid kepada ajaran Islam yang kita dokongi.

Mereka mampu membuat ijtihad bersandarkan nas-nas yang telah dikaji dan melihat kepada keperluan semasa yang semakin meruncing. Kita tidak mahu para agamawan yang masih menggunakan hujah dan sandaran nas 1,400 tahun dahulu yang tidak dapat memberi jawapan kepada permasalahan terkini.

Islam adalah agama yang sempurna. Dijadikan Allah SWT sesuai untuk masa dulu, masa kini dan masa yang akan datang. Dan kita juga dijanjikan Allah SWT bahawa akan ada mereka yang membuat tajdid kepada agama Islam setiap seratus tahun.

Oleh itu, pada pandangan saya janganlah kita sebagai ibubapa menyekat anak-anak sekiranya mereka ingin mendalami ilmu dalam bidang agama berbanding ilmu perubatan, undang-undang, kejuruteraan dan sebagainya. Biar mereka 'indulge' dalam agama dan keluar menjadi seorang yang fakih dalam Islam.

Kita amat takut di akhir zaman ini, banyak ajaran-ajaran palsu yang boleh memesongkan kita dari aqidah Islam yang sebenar. Kita sudah berjanji dengan Allah bahawa hidup dan mati ini hanyalah di jalanMu, ya Allah. Dan tiada yang lain selain dari jalanMu...

No comments:

Post a Comment