Sunday, October 12, 2014

Pengalaman Menemubual Ibubapa...

Sudah puluhan tahun rasanya menemubual ibubapa untuk kemasukan anak-anak ke Darjah 1 di Sekolah Rendah Islam Hidayah (SRIH), Johor Bahru.

Pada tahun ini, bilangan permohonan melebihi 350 dan pelajar yang akan diterima sekitar 212 orang sahaja!


Cuba bayangkan betapa besarnya harapan masyarakat untuk memasukkan anak-anak ke sekolah bercirikan Islam. Dah la yurannya agak mahal tetapi permintaan masih jauh melebihi penawaran. Kalau dibandingkan dengan sekolah kerajaan, berapa sangat bayaran yang perlu dibuat untuk membiayai anak-anak ke situ.

Saya sendiri telah menyara 8 orang anak ke Sekolah Rendah dan Menengah Islam Hidayah. Dan pada tahun depan, anak yang bongsu pula akan memasuki ke Darjah 1 di SRIH. Rasanya dah ratusan ribu ringgit telah dibelanjakan untuk pendidikan anak-anak di SRIH dan SMIH.

Rasa sedihpun ada kerana bagi kami kalau boleh kita hendak menerima kesemuanya. Tetapi kekangan fasiliti dan tenaga pengajar amat sukar untuk berbuat demikian.

Apabila ditanya kenapa mereka memilih Hidayah untuk anak-anak mereka? Jawapan yang selalu diperolehi ialah untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Mereka rata-ratanya takut dengan gejala sosial yang berleluasa di luar sana.

Pada hakikatnya, bersekolah di Sekolah Islam belum tentu dapat membendung akhlak anak-anak kepada aktiviti yang tidak Islamik. Tetapi harapan ibubapa memang tinggi supaya anak-anak dapat dibentuk di peringkat awal lagi dengan biah solehah. Alhamdulillah!


Kesedaran ini bukan hanya kepada ibubapa yang biasa sahaja tetapi mereka yang berkhidmat di universiti juga merasakan begitu juga.

Ibubapa yang saya menemubual semalam terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Antaranya pensyarah, guru, taukeh kereta import, 'businessman', malah warga Indonesiapun ada.

Apa yang menghairankan saya ialah bagi warganegara Indonesia yang sudah puluhan tahun berada di Malaysia, mereka mengatakan bahawa anak mereka tidak dibenarkan untuk belajar di sekolah kerajaan. Jadi mereka terpaksa menghantar anak ke Sekolah Hidayah.


Sepanjang pengetahuan saya, ramai di kalangan warga asing yang belajar di UTM, baik dari Indonesia, Mesir, Uganda, dan sebagainya menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerajaan.

Mungkin juga kebenaran ini hanya diberikan kepada anak-anak warga asing yang belajar di UTM dan tidak kepada warga asing yang bekerja di sektor pembinaan. Tetapi rasanya macam tidak logik!

Saya turut menyatakan bahawa sekolah ini adalah sekolah yang serba kekurangan dan memerlukan bantuan daripada ibubapa. Kita perlu banyak bantuan dalam menjalankan aktiviti gotong royong dan sebagainya maka masing-masing berjanji akan turut serta apabila diperlukan.


Saya juga memaklumkan kepada mereka bahawa antara sebab kejayaan yang diraih oleh SRIH ialah kerana komitmen guru-guru. Sungguhpun bergaji kecil berbanding dengan guru-guru di sekolah kerajaan mereka sanggup membeli dan memberi hadiah kepada pelajar-pelajar yang menunjukkan peningkatan prestasi.

Di samping itu komitmen ibubapa juga penting. Sekolah ini bukan hanya sekolah anak-anak kita, tetapi ia juga adalah sekolah kita bersama. Sepertimana kata, mantan Pengerusi Lembaga Pengelola Hidayah, Prof Dr Noor Azlan Zanzali, kita mahukan warga Hidayah menjadi 'one big happy family.' Itulah ramuan kejayaan sekolah kita.


Moga SRIH dan SMIH terus maju membentuk generasi yang soleh dan musleh...

Dan kita doakan juga kepada guru-guru yang sedang dan pernah berkhidmat di Hidayah supaya Allah SWT memberi ganjaran yang setimpal kepada mereka. Begitu juga kepada para dermawan yang sentiasa dan tidak putus-putus menghulurkan bantuan dan sumbangan. Semoga Allah SWT menerima amal kita. Amin!

No comments:

Post a Comment