Kali ini aku balik kampung bersama 'Ammar dan Rasyid. Aku balik ke Kelantan menggunakan perkhidmatan Firefly. Kalau tak silap aku, ia adalah anak syarikat MAS. Seperti biasa aku telah menempah tiket ini sejak bulan Mac yang lalu untuk mendapatkan tambang yang murah. Tiket pergi balik untuk 3 orang hanya RM334. Lebih murah dari perkhidmatan bas dan keretapi. Dan lebih menjimatkan masa.
Masa itu penting! Ia tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.
Disamping melawat kedua orang tua (bapa dan ibu mertua) di Pengkalan Chepa, pusara kedua ibubapa dan adik beradikku di Palekbang, aku juga berjaya menubuhkan Tabung al-Qardhul Hassan keluarga Haji Wan Ismail dan Hajjah Che Zainab.
Tujuan penubuhan tabung ini adalah supaya kami, anak dan cucu arwah ayah dan ibuku dapat menyimpan wang untuk masa depan. Sekiranya mereka terdesak untuk meminjam wang di waktu kecemasan ada peruntukan yang membolehkan mereka berbuat demikian tanpa dikenakan sebarang faedah atau 'interest'.
Seramai 20 orang telah memberi persetujuan untuk bersama dengan tabung ini.
Sebenarnya telah lama aku mengimpikan hasrat ini untuk direalisasikan oleh kaum keluargaku. Aku melihat kawan-kawanku di Johor telah lama menubuhkan tabung ini dan menamakan sebagai Yayasan Si Anu bin Si Anu.
Banyak faedah hasil dari penubuhan tabung ini. Pertama, ia memupuk semangat menabung. Kedua, ia mempunyai konsep taawun atau bantu membantu sesama keluarga. Ketiga, ia menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah. Keempat, ia menyediakan perkhidmatan khairat kematian. Kelima, ia menyatukan atau merapatkan ukhuwah sesama keluarga. Dan banyak lagi.
Lama-kelamaan setelah duit tabung banyak, kita juga boleh menceburi dalam bidang perniagaan pula.
Aku merasa puas dan gembira kerana berjaya membawa idea ini kepada keluargaku. Semoga ia berjaya, insyaAllah!
No comments:
Post a Comment