Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam
Sejahtera…
Sejak kebelakangan ini kita dengar Rukun Negara
dilaung-laungkan kembali. Malah disarankan supaya semua IPT menubuhkan Kelab
Rukun Negara di kolej-kolej kediaman. Seingat saya, kita hafal Rukun Negara
semasa di bangku sekolah rendah dan dari segi penghayatan mungkin sedikit.
Apabila memasuki sekolah menengah ia sudah menjadi rutin dan apabila memasuki
universiti sudah tidak kedengaran lagi.
Dasar Rukun Negara yang dilancarkan sekitar tahun 1970 oleh
Allahyarham Tun Abdul Razak bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat
Malaysia bahawa kita mesti berpegang kepada 5 prinsip utama iaitu;
v Kepercayaan
Kepada Tuhan
v Kesetiaan
Kepada Raja dan Negara
v Keluhuran
Perlembagaan
v Kedaulatan
Undang-undang
v Kesopanan
dan Kesusilaan
Apa itu dasar? Sesebuah dasar itu digubal oleh kerajaan bagi
menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi oleh masyarakat pada ketika itu.
Kita tahu bahawa pada tahun 1969, kita menghadapi krisis perkauman iaitu
Peristiwa 13 Mei. Tak kurang juga sekitar tahun tersebut kita menghadapi
ancaman komunis sehinggalah mereka dibawa ke meja rundingan di Baling. Bijak
tak Tun Razak dalam mengatur dasar negara?
Sudah pasti langkah memperkenalkan
dasar Rukun Negara pada waktu itu amat tepat sekali. Masyarakat perlu berpegang
pada Rukun Negara bagi mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara.
Berdasarkan Rukun Negara, kita bukan rakyat Malaysia
sekiranya kita tidak percaya kepada Tuhan. Dalam akhbar kita baca sudah ada
belia remaja yang terjebak dengan budaya Black Metal yang tidak lagi
mengagungkan keesaan Tuhan bahkan mereka memuja syaitan. Dan sekiranya kita
percaya kepada Tuhan, kita tidak akan lakukan perkara-perkara laranganNya.
Berapa ramai kita baca remaja terlibat dengan seks luar nikah sehingga kerajaan
terpaksa membuat dasar baru memberi kondom percuma bagi mengelakkan penularan
gejala AIDS. Berapa ramai orang Islam yang meninggalkan solat lima waktu
sehingga ada kajian mengatakan 80% masyarakat Islam Malaysia tidak memenuhi
tuntutan solat lima kali sehari. Kita menuju kearah budaya hedonisme yang
menggalakkan hiburan semata-mata.
Setiakah kita pada raja dan negara sehingga kerajaan
terpaksa menghabiskan jutaan ringgit bagi melaksanakan Program Latihan Khidmat
Negara. Taatkah kita pada undang-undang dan perlembagaan negara yang telah
diluluskan di parlimen? Sopankah kita berurusan dengan orang tua sehingga
kempen Budi Bahasa Budaya Kita terpaksa diperkenalkan?
Pada hemat saya, amat wajar dasar Rukun Negara ini digembar
gemburkan kembali supaya kita back to basic. Kita hayati semula apa yang
disarankan oleh Tun Razak supaya kita tidak tersasar jauh dalam usaha untuk
menjadi negara maju menjelang 2020.
Kepada siswa Islam elok juga kita tinjau
atau buat revisit kepada Rukun Iman dan Rukun Islam yang kita dukungi
selama ini. Adakah ia masih padu atau kian hari kian terhakis dari pegangan?
No comments:
Post a Comment