Thursday, September 11, 2014

Bicara Pengetua 2

BICARA PENGETUA
Bil.18              Semester I Sesi 2006/2007            Kolej 16 & 17                   Julai 2006

Assalamu’alaikum Warah Matullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera…

Selamat kembali kepada warga kolej dan selamat datang kepada mereka yang baru bersama kita. Saya rasa banyak sekali pengalaman dan pengajaran yang diperolehi sepanjang cuti semester baru-baru ini. Untuk pengetahuan warga kolej, kita telah menjalankan program Khidmat Siswa di Bachok, Kelantan pada 3 hingga 11 Jun 2006. Hasilnya amat memberangsangkan, baik dari perbualan masyarakat kampung mahupun ulasan pelajar-pelajar SMK Badak dan SRK Chantum. Kalau kita hayati lagu Keunggulan Terbilang, Perkhidmatan Kepada Watan adalah salah satu agenda UTM dalam memartabatkan bangsa disamping Perundingan, Penulisan, Pengajaran dan Penyelidikan. Semasa cuti baru-baru ini juga, Kolej telah menambahkan satu lagi kemudahan sukan iaitu padang bola tampar pantai yang berada di antara Blok XB1 dan XB2. Gunakan kemudahan yang disediakan dengan sebaik yang mungkin.

Saudara-saudara yang dikasihi,
Di sini saya ingin menarik perhatian tentang beberapa perkara yang akan berlaku pada semester ini. Pertama, SUKAM XIV akan berlangsung bermula dengan pelancaran pada 19 Julai ini. Saya berharap saudara dapat mengambil bahagian dan membentuk pasukan terbaik yang kita ada. Pada tahun lepas, kita menjadi Johan bagi acara Bola Sepak Pantai, meraih Naib Johan bagi acara Olahraga, Sepaktakraw, Bola Sepak, Bola Keranjang dan Orienteering dan pada tahun ini saya berharap kita akan mencapai tempat yang lebih baik dalam acara-acara yang dipertandingkan. Pada saya, ramai pemain yang tersohor tidak menjaminkan kemenangan tetapi keserasian dan kesefahaman dalam sesebuah pasukan adalah paling utama. Lihatlah pengalaman World Cup baru-baru ini!

Kalau saudara perhatikan banyak banner yang dipasang menyatakan tentang “Smart Day” pada hari Isnin, “Uniform Day” bagi mereka yang terlibat dengan pasukan beruniform pada hari Rabu, dan keluar kampus selepas 12 tengah malam. Untuk makluman saudara, pihak HEP akan melaksanakan peraturan dengan tegas bermula semester ini. Saya syorkan supaya saudara pastikan berpakaian kemas pada hari Isnin untuk ke kuliah, pejabat kolej dan pejabat-pejabat yang lain. Kalau boleh berpakaian kemas bagi setiap hari kuliah lagi baik. Lagipun ini selaras dengan tuntutan agama supaya kita sentiasa bersih dan kemas. Jika saudara perlu untuk keluar kampus sehingga melebihi jam 12 tengah malam, pastikan saudara mengisi borang yang akan diluluskan oleh saya. Banyak insiden yang tidak diingini berlaku kepada pelajar-pelajar kita selepas 12 tengah malam pada semester lepas; ada yang kena tikam, ada yang kena tetak dan bermacam-macam lagi. Justeru itu, saya cadangkan supaya saudara hanya makan di sekitar kampus sahaja bagi mengelakkan musibah yang bakal terjadi. Lagipun makan selepas tengah malam tidak baik untuk kesihatan.

Pada semester ini, Iftar atau berbuka puasa setiap hari Isnin dan Khamis akan diteruskan lagi. Sesiapa yang berpuasa bolehlah mengambil kesempatan untuk sama-sama menjamu selera di Surau Arked dan Surau Blok. Setiap hari Jumaat, Badan Keluarga Kolej 16 & 17 (B2K) dengan murah hati menyediakan sedikit jamuan selepas solat jumaat di Pejabat Asrama. Jika ada kesempatan datanglah disamping kita berkenal mesra. Makanan tidaklah banyak dan kita sediakan mengikut first come first serve basis. Akhir sekali, saya ingin menasihati saudara untuk meletakkan kenderaan ditempat yang betul. Wang yang ada tak perlu dibazirkan untuk membayar saman. Kadang-kadang kesenangan yang kita rasai dengan meletak kenderaan sesuka hati sebenarnya menyusahkan orang lain. Bertimbang rasalah pada kawan dan jiran kita. Sekian. Wassalam.

Bantulah Kami Dalam Membantu Anda


KAPT HAJI WAN IBRISAM FIKRY BIN HAJI WAN ISMAIL

PENGETUA KOLEJ 16 & 17

No comments:

Post a Comment