Wednesday, September 10, 2014

Bicara Pengetua 1

BICARA PENGETUA
Bil.24       Semester II Sesi 2006/2007         Kolej 16 & 17                           Mac 2007

Assalamu’alaikum Warah Matullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera…

Ramai yang terkejut apabila seorang Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja dari UKM membuat kajian yang mendapati 886 dari 887 pelajar perempuan sekolah menengah di negeri Selangor pernah melakukan hubungan seks. Pensyarah, Menteri, masyarakat awam mempertikaikan dari segi kesahihan data yang diperolehi! Ada yang mengatakan takrifan hubungan seks tak jelas. Ada pula yang mengatakan responden menjawab soalan secara tidak jujur dan sebagainya.

Pada saya, apapun yang berlaku kita perlu ambil iktibar dari kajian ini. Tak payahlah kita ambil 99.89% yang mengaku pernah mengadakan hubungan seks, ambil saja 50%. Yang 49.89% kita reserve kepada responden yang tak faham definisi hubungan seks dan yang sengaja exaggerate atau sensasi jawapan kajian. Itupun saya rasa amat naïve bagi pelajar sekolah menengah tak tahu definisi hubungan seks. Kalaulah sekadar berlaga hidung dan bercium dah dikatakan membuat hubungan kelamin maka tiap-tiap malam kita dihidangkan adegan hubungan seks di kaca TV!

Janganlah kerana kesilapan sedikit metodologi kajian, kita tolak semuanya. Saya pasti pensyarah berkenaan sekurang-kurangnya melalui kursus asas penyelidikan dan mempunyai etika kerja (code of ethic) dalam jurusannya. Dan jangan pula kerana kita takut menghadapi realiti, kita buang terus dapatan kajian. Kalaulah kajian itu separuh betul, tak ternganga kita dibuatnya! Pada dasarnya, kajian yang dibuat di IPTA adalah bersifat ilmiah, menceritakan perkara yang sebenarnya kerana mereka tiada kepentingan.

Saya sebenarnya ‘takut’ sekiranya kajian dibuat di IPTA atau IPTS sendiri. Bagaimana pula dapatannya? Lima peratus, 10%, 20%, 30% atau 50%? Kalau begini hasilnya, alangkah gawatnya kita dalam menuju Negara Maju menjelang 2020. Itulah pentingnya nasihat-menasihati (Addin nun Nasihah). Agama kita menggalakkan kita saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Kalau tengok kawan kita intim ke sana ke mari berdua-duaan, nasihatilah mereka, takut mereka terlajak. Perhubungan positif dan negatif jarang tidak bercantum. Sudah lumrah kehidupan, paling tidak, berlaku berpegang-pegangan. Perkara ingat mengingati seharusnya menjadi sebahagian dari hidup kita. Tak kira yang tua menasihati yang muda atau sebaliknya.

Kita sudah tidak ada nabi lagi yang boleh ditanya seperti berlaku di zaman dulu, yang mana seorang lelaki datang menemui Rasulullah meminta izin untuk berzina. “Wahai Rasulullah, aku sudah tak tahan rasanya ingin berzina”. Maka jawab Rasulullah (SAW), “Apakah engkau sanggup jika ada orang yang berzina dengan ibu kamu? Adik perempuan kamu?”. Maka Si Lelaki tadi menjawab, “Tidak sanggup, ya Rasullullah”. Dan Si Lelaki tadi terus membatalkan hasratnya untuk berzina.

Dan alangkah lebih baik jika kita dapat menjadi seperti Nabi Yusuf (AS), seorang yang kacak, telah dipikat seorang wanita rupawan yang mempunyai darjat dan pangkat, ditutupnya semua tingkap dan pintu yang mana sudah tidak ada halangan lagi, sepertimana yang diceritakan dalam Al-Quran. “Dan perempuan yang di rumah tempat tinggalnya itu mencuba memujuknya supaya menurutkan kesukaannya, dan oleh perempuan itu ditutupnya semua pintu-pintu seraya mengatakan: Marilah ke mari!” “Dia (Yusuf) menjawab: Aku berlindung diri kepada Allah! Sesungguhnya Dia Tuhanku, yang telah memberikan tempat yang baik kepadaku, sudah tentu tiadalah beruntung orang-orang yang bersalah.” (Yusuf: 23). Sekian. Wassalam.

Bantulah Kami Dalam Membantu Anda


KAPT HAJI WAN IBRISAM FIKRY BIN HAJI WAN ISMAIL

PENGETUA KOLEJ 16 & 17

No comments:

Post a Comment