BICARA
PENGETUA
Bil.23 Semester II Sesi 2006/2007 Kolej 16
& 17 Februari 2007
Assalamu’alaikum Warah Matullahi
Wabarakatuh dan Salam Sejahtera…
Saya
rasa banyak perkara kita terlepas pandang dari segi tatacara kehidupan sopan
dewasa ini. Tak kurang kita baca di akhbar-akhbar tentang kebejatan sosial yang
melanda generasi kita. Kadang-kadang, saya nampak sesetengah akhbar suka
mensensasikan berita. Tak tahulah apa strategi mereka atau apa yang ingin
diterapkan kepada minda generasi kita. Cerita-cerita rogol dihalusi dengan
terperinci supaya pembaca dapat menggambarkan keadaan perlakuan mereka.
Seolah-olah mengajak kita mencuba atau mengajar bagaimana ingin dilakukan
perkara yang sumbang itu. Pada saya sekiranya matlamat untuk melariskan jualan maka
ia amat tidak berbaloi untuk dipertaruhkan. Etika kewartawanan harus diikuti
dan ditegakkan. Kerosakan akhlak atau kejatuhan tamadun lebih tinggi nilainya untuk
dijudikan. Gambar-gambar artis, kadang-kadang sudah tidak nampak beza pegangan
agamanya. Fesyen berkemban yang menjadi pakaian generasi 70an semasa ke perigi
telah menjadi ikutan, cuma bezanya jenis kainnya saja!
Kita
yang berada di Menara Gading tak ketinggalan dari segi mengikut fesyen masa
kini. Kadang-kadang melangkah ke dewan atau bilik kuliah merupakan satu
tempat untuk memperagakan ‘fashion show’. Baju-baju yang singkat sehingga
menampakkan pusat sudah tidak asing lagi. Puas pihak HEP mengeluarkan poster
dan peraturan bertulis supaya diikuti, namun masyarakat amnya tidak
mempedulikannya. Poster warna-warni hanya sekadar menghiasi dinding-dinding
fakulti dan pejabat kolej!
Apa
harus kita lakukan? Adakah kita biarkan saja supaya lama kelamaan menjadi ‘norm’
kehidupan dan kemudian menceduknya menjadi sebahagian dari budaya kita? Banyak
perkara yang dahulunya bertentangan dengan adat budaya rumpun kita tapi
sekarang sudah tidak asing lagi. Contohnya yang paling mudah ialah minum air
dari botol. Kalau dulu tiada yang minum air tanpa cawan atau gelas kerana
dianggap biadap. Nah sekarang dari sekecil-kecil orang sampai ke sebesar-besar
orang melakukannya.
Sheikh Abdullah Nasih Ulwan mengupas
panjang lebar tentang bencana pakaian wanita yang menjolok mata. Beliau menulis;
Semua ini akan menarik perhatian
anak-anak muda remaja belasan tahun dan orang-orang dewasa. Mereka tidak mampu
melawan fitnah si cantik manis yang terdedah setengah badannya. Semua itu tentu
sekali mengganggu urat saraf, merosakkan akhlak, serta menghalang mereka dari
bekerja bersungguh-sungguh.
Beliau
juga menyentuh tentang bahaya filem-filem berunsur jenayah dan seks. Ujar
beliau, “Di antara gejala-gejala barat yang akan menyelewengkan anak-anak, dan
menyerahkannya kepada kejahatan dan penjenayahan serta berkelakuan pincang dan
kerosakan moral ialah membiarkan mereka menonton filem-filem lucah, atau
cerita-cerita polis dan gangster. Kemudian mereka membaca pula majalah-majalah
lucah dan cerita-cerita yang menaikkan nafsu. Semua ini adalah menarik kepada
penyelewengan dan penjenayahan, dan dia juga merosakkan akhlak orang-orang tua,
apatah lagi dengan anak-anak kecil yang baru mencapai usia belasan tahun”. Tegasnya
lagi, wajib bagi si ayah atau pendidik atau orang yang bertanggungjawab
melarang anak-anak mereka pergi menonton filem-filem seks dan filem-filem
detektif yang lucah. Sesungguhnya pembacaan atau penontonan ini akan
membahayakan aqidah serta menarik mereka kepada kerendahan moral dan jenayah. “Wahai
orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api
neraka.” (At-Tahrim: 6). Sekian. Wassalam.
Bantulah Kami Dalam Membantu Anda
KAPT HAJI WAN IBRISAM FIKRY BIN HAJI WAN
ISMAIL
PENGETUA KOLEJ 16 & 17
No comments:
Post a Comment