BICARA
PENGETUA
Bil.19 Semester I Sesi
2006/2007 Kolej
16 & 17 Ogos
2006
Assalamu’alaikum Warah Matullahi
Wabarakatuh dan Salam Kemerdekaan…
SUKAM XIV masih hangat. Semua kolej cuba memburu
sebanyak mungkin pingat. Kolej kita setakat ini berjaya meraih 2 pingat emas
(larian 5000m & 1500m) dan 2 pingat gangsa (larian 100m & 200m) dalam
acara olahraga. Harapan kita pada tahun ini, lebih banyak piala dapat dibawa
pulang untuk dipamerkan dalam almari buat tatapan umum. Pada tahun lepas, hanya
piala pusingan bolasepak pantai dapat kita pegang selama setahun.
Pada bulan ini juga kita akan
menyambut bulan kemerdekaan. Selama sebulan kita rayakannya, bermula dari
pertengahan Ogos hingga ke pertengahan September. Saya menyeru kepada semua
siswa supaya menghargai dan menghayati erti kemerdekaan. Negara kita sudah
merdeka selama 49 tahun. Merdeka dari penjajahan British dan bergerak menuju ke
era negara maju menjelang 2020.
Saudara-saudara yang dikasihi,
Sedar tak kita, negara Palestin dan
Lubnan telah dimusnahkan kemerdekaan mereka angkara Israel durjana. Lebih
menyedihkan lagi, serangan yang dibuat diberi laluan oleh negara-negara barat,
terutamanya negara yang menjajah kita 49 tahun lalu iaitu Britain dan sekutunya
Amerika Syarikat. Negara Palestin yang telah menjalankan pilihanraya mengikut
kerangka demokrasi dan rakyatnya telah memilih HAMAS untuk membentuk kerajaan
tetapi dinafikan oleh Israel, Amerika dan sekutunya. Lihatlah betapa tidak
bertamadunnya mereka yang bergelar negara demokratik yang cuba menyerap
demokrasi ke pelusuk dunia lain. Apabila Palestin melaksanakan demokrasi
melalui pilihanraya dinafikan pula.
Seluruh dunia menyelar serangan
Israel ke atas negara Palestin dan Lubnan. Sungguhpun kita lihat, serangan
udara itu telah mengorbankan beratus-ratus nyawa, lebih-lebih lagi kanak-kanak,
wanita dan orang tua. Tetapi tiada siapa yang berani untuk melakukan sesuatu.
Serangan Israel ini telah menyalahi peraturan peperangan konvensional yang mana
kaum wanita, kanak-kanak dan orang tua sepatutnya tidak boleh dibunuh. Askar
hanya berperang dengan askar. Tetapi bangsa yahudi ini sejak dari zaman dulu
lagi tidak pernah mengikut arahan malah nabi-nabipun dibunuhnya mereka.
Badan
pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Organisation
of Islamic Countries (OIC) dan lain-lain senyap seribu bahasa. Kadang-kadang
terdengar juga kata-kata mereka tapi sekadar melepaskan batuk di tangga.
Senario yang menarik ialah apabila semua pertubuhan politik di Malaysia, baik
kerajaan mahupun pembangkang dan NGO bersatu hati mengutuk Israel dan
sekutunya. Pun begitu, hati kecil ini merasakan betapa kerdilnya kita, apabila
Amerika bersuara bahawa Osama bin Laden itu jahat, Dr. Azahari bin Hussin itu
pengganas maka tanpa lengah kita bersama menyetujuinya dan cuba menangkapnya.
Tapi apabila kita kata Israel itu pengganas, pihak Barat hanya diam membatu.
Bunuhlah orang tua, bunuhlah wanita dan bunuhlah anak-anak Palestin dan Lubnan.
Tidak mengapa, Amerika, Britain, biarkan saja Israel durjana bermaharajalela...
Fikirlah
saudara-saudara, betapa “double standard”nya Barat dalam mengamalkan demokrasi.
Betapa “double standard”nya Barat apabila melabelkan seseorang. Mereka
menggelar Osama sebagai terrorist tetapi askar Israel yang membedil
kanak-kanak, wanita dan orang tua bukan “terrorists”. Saya menyeru
saudara-saudara supaya ada sedikit perasaan perikemanusiaan terhadap masyarakat
Palestin dan Lubnan. Sekiranya terdaya berilah sumbangan sekadar mampu.
Setidak-tidaknya, panjatkan doa pada Ilahi supaya Allah menjaga masyarakat
Palestin dan Lubnan. Sekian. Wassalam.
Bantulah Kami Dalam Membantu Anda
KAPT HAJI WAN IBRISAM FIKRY BIN HAJI WAN
ISMAIL
PENGETUA KOLEJ 16 & 17
No comments:
Post a Comment