Tuesday, July 28, 2009

Tak Sampai Hati...


Pagi tadi selesai solat Subuh di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid, aku kembali ke rumah. Pada mulanya, aku ingat hendak singgah di Pasar Taman U untuk membeli lauk pauk tetapi lupa untuk membawa alas. Biasanya aku membawa baldi untuk mengelakkan air ikan dan sebagainya tumpah ke 'carpet' kereta. Kalau tumpah, masyaAllah, tidak hilang baunya dua tiga hari...

Sudah agak lama aku tidak ke pasar. Selalunya ke Pasar Tani di Taman Sri Pulai setiap hari Ahad. Tetapi disebabkan setiap minggu ada program, agak-agaknya dah lebih tiga minggu tidak ke pasar. Itupun bila isteri menyuarakan lauk sudah tiada, aku sempat mencari ayam organik di kedai HPA di sebelah Pasaraya Giant berdekatan dengan rumahku.

Buka aje pintu, aku lihat Rasyid dalam pakaian sekolah sedang menangis. Maknya memaklumkan 'Ammar telah menyepak adiknya kerana suruhannya tidak dipenuhi oleh Rasyid. Terasa panas juga hati, lantas aku mencapai rotan dan menyuruh Sakinah memanggil 'Ammar.

Sambil menunggu 'Ammar, aku terus menyambung tilawah harianku... Sekarang aku tengah membaca Surah Sad, harap-harapnya sebelum Ramadhan aku dah khatam dan dapat memulakan yang baru pada 1 Ramadhan nanti. Rotan ku genggam erat di tangan kiri sementara Al-Quran di tangan kanan.

Kemudian 'Ammar muncul. "Kenapa 'Ammar sepak adik?", tanyaku. "Dia tak buat apa yang 'Ammar suruh", balasnya. "Kalau abah suruh 'Ammar buat sesuatu tetapi 'Ammar tidak buat. Boleh tak, abah sepak 'Ammar?", tanyaku lagi. Dia tunduk tanpa memberi jawapan kepada persoalanku.

"Dalam ramai adik-beradik, Rasyidlah yang paling sayang kepada 'Ammar", sambungku. Pernah sekali, bila 'Ammar mengikuti 'trip' sekolah selama beberapa hari, adik Rasyid yang bersuara, "Boringnya tak ada abang 'Ammar", ujarku lagi.

'Ammar dengan Abang seperti kucing dengan anjing. Tak pernah dia mengalah. Begitu juga dengan Achik yang 2 tahun lebih tua darinya. Jarang Achik menang...

Ku lihat, matanya mula mengalir manik-manik jernih... Lantas tak sampai hati untuk mengangkat rotan di tangan kiriku.

"Pergi minta maaf kepada Rasyid dan peluk dia", tegas aku. Dengan akur, 'Ammar melakukan apa yang aku suruh...

Diapun tahu, Rasyidlah adiknya yang selalu bersamanya dikala suka dan duka...

"Ya Allah, satukanlah hati anak-anakku... Jadikanlah mereka, anak-anak yang soleh dan solehah... Teguhkan hati mereka dengan agamaMu, ya Allah... Tetapkan pendirian mereka dalam Islam, dan hidupkan dan matikan mereka dalam iman. Amin ya Rabbal 'alamin"

Sunday, July 26, 2009

Kita Sebagai Khalifah...


Apa tugas kita sebagai khalifah di muka bumi ini?

Allah berfirman, "Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada Ku" (Az-Zariyat; 56). Begitu jelas sekali, Allah memaklumkan tentang tugas kita sebagai hambaNya...

Sebagai hamba, layakkah kita sombong terhadapNya? Bolehkah seorang hamba bertindak kasar atau lupa kepada tuanNya? Saya pasti tidak...

Alhamdulillah, kita dilahirkan dalam keluarga Islam. Tetapi setakat mana kita bertindak sejajar dengan sarananNya itu? Adakah kita sama sepertimana mereka yang belum mengenali Islam? Tindak tanduk kita, tutur kata kita, makan pakai kita sama seperti mereka?

Sudah tentu kita berlainan dari mereka. Hidup kita mempunyai misi dan visi! Kita ingin hidup dalam kesyumulan Islam; politiknya, sosialnya, dan ekonominya. Dan sudah barang tentu kita ingin bernaung dibawah pemerintahan Islam.

Sebagai individu muslim, kita telah melafazkan syahadah, "Laailaha illallah Muhammadur Rasulullah". Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.

Selepas itu, kita wajib mempelajari ilmu Islam dan mempraktikkannya sedaya mampu. Kemudian kita wajib mengajak manusia lain, baik yang sudah Islam mahupun yang belum Islam bagi mengamalkan syariat Islam. Dan sudah pasti juga kita perlu mempertahankan Islam yang kita miliki ini...

Jangan pula tindak tanduk kita menjatuhkan imej Islam.

Petang tadi semasa berhenti makan di Kota Tinggi, saya lihat ada segelintir orang yang mempunyai warna kulit seperti saya berada dalam kedai nombor ekor. Terasa malu kerana orang yang mengaku dirinya Islam tetapi masih menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan peraturan Allah.

Di Taman Universiti, Skudaipun tak kurang hebatnya! Bila hari nombor ekor, jalan-jalan di depan kedai tersebut agak sesak... Dan tiada pihak berkuasa mengambil tindakan apa-apa.

Ya Allah, berikan mereka petunjuk dan lorongkan jalan keinsafan kepada mereka. Sesungguhnya, Engkaulah yang berkuasa memberi petunjuk!

Monday, July 20, 2009

Betapa Nikmatnya Sihat...



Pada hari Sabtu, 18 Julai 2009, aku ditugaskan untuk menemuduga bakal pegawai kadet PALAPES di Markas PALAPES UTM. Kak Ngah ada kelas tambahan di SMIH pukul 8 pagi. "Kalau Kak Ngah nak abah hantar, kita kena bertolak tepat jam 7.30 pagi", ujarku kepada Kak Ngah.

Sesudah menghantar Kak Ngah, aku tiba di Markas jam 8.30 pagi. Ketua Jurulatih (CI), Lt Kol Hj Samsuddin menyuruh kami bersarapan dahulu kerana Timbalan Komandan (TK), Dato' Kept Prof Dr Alias akan tiba jam 9 pagi.

Setelah TK tiba, proses temuduga dijalankan dengan 8 orang kadet sekali masuk. Bilangan kadet yang hadir pada kali ini adalah 82 orang. Bilangan mereka yang mengambil borang sebelum ini seramai 200 orang lebih, manakala bilangan mereka yang menjalankan pemeriksaan kesihatan pula 100 orang lebih. Dan akhirnya, yang datang temuduga hanya 82 orang dan kuota pengambilan kadet junior ialah 150 orang. Aku pasti ada lagi yang akan datang untuk temuduga... Mungkin hari ini mereka terlibat dengan SUKAM yang baru bermula!

Setiap meja pegawai penemuduga iaitu, TK, CI, aku, Ajutan, RSM, dan Pegawai Latih diletakkan sepiring kacang dan gula-gula disamping air mineral. Aku kunyah kacang sebiji sebiji dan ditambah lagi oleh Sjn Azmi apabila piring kosong sehinggalah jam 1.30 petang. Selesai temuduga, kami makan tengahari Nasi Ayam Penyet.

Petangnya, aku sudah berjanji untuk membelanjakan anak-anak dengan pizza. Sekembali dari menunaikan solat Maghrib di masjid UTM, kamipun singgah di Jusco dan membeli 4 biji pizza, 2 bersaiz 'large' dan 2 'regular'.

Jam 2 pagi, aku terbangun dan merasakan ibu jari kanan sakit. Aku agak 'gout' mula datang kembali setelah lebih 5 tahun pergi. Dan aku tidak pernah berpantang selepas itu.

Subuh pagi itu, aku solat seperti biasa walaupun dengan penuh kesakitan. Tetapi waktu Zohor dan Asar aku bersolat di atas kerusi. Jam 5 petang, isteriku membawa aku dan Acik ke Klinik Maimunah. Acik sudah 2 hari demam, sebab itulah malam-malam bila aku sedar dia berada di atas katilku.

Anak-anakku, jika mereka sakit atau kurang sihat, aku benarkan mereka untuk menumpang di katil kami...

Di Klinik Maimunah, aku ditanya oleh Dr Apa ya? (suami Dr Maimunah) samaada ingin ubat atau terus dicucuk. Aku menjawab, ikut suka doktorlah. Dan Doktorpun terus 'inject' satu jarum di punggungku.

Bila balik ke rumah, aku mendapat sms mengatakan ada ceramah Isra' dan Mikraj di Surau Taman Pulai Utama selepas maghrib. Aku terasa sangat hendak pergi apatah lagi ada jamuan 'aqiqah selepas itu. Namun, ibu jariku masih terasa sengal-sengal.

Pagi tadi, apabila aku bangun untuk solat Subuh, kesakitan ibu jari terasa macam dibuang-buang. Tanpa lengah seperti biasa, aku berjamaah di Masjid Sultan Ismail, UTM.

Sehari diuji Allah, kesakitan yang menyucuk-nyucuk kemudian diredakan seperti sediakala... Alhamdulillah, terasa begitu nikmatnya sihat! Ya Allah, sihatlah tubuh badanku supaya senang untuk aku beribadah kepadaMU!

Wednesday, July 15, 2009

Ya Allah, Berkatilah Bulan Rejab dan Syaaban dan Sampaikan Daku ke Bulan Ramadhan


Allahumma Baariklana Fi Rajab Wa Syaaban Waballighna Ramadhan....
Ya Allah, Berkatilah Bulan Rejab dan Syaaban dan Sampaikan Daku ke Bulan Ramadhan! Itulah doa kita semasa tibanya bulan Rejab. Hari ini tanggal 22 Rejab. Seminggu lagi, kita akan masuk ke bulan Syaaban. Dan seterusnya, insyaAllah jika kita dipanjangkan usia, maka bolehlah beramal di bulan Ramadhan.

Tekadkan niat dari sekarang, dari segi solat sunnatnya, tadabbur Al-Qurannya, zikir ma'thuratnya, sedekahnya, menjamu orang berbuka puasanya, dan sebagainya supaya kita beroleh kemenangan bila berakhirnya Ramadhan. Kita juga perlu setkan minda supaya Ramadhan tahun ini adalah lebih baik amalnya dari tahun-tahun yang lepas.

Kalau dulu, solat tarawikh begitu bersemangat di awal Ramadhan kemudian makin berkurangan di akhirnya kerana persiapan untuk Eid-ul-Fitri atau balik kampung, maka tahun ini, kita ubah supaya di akhir Ramadhan kita bertambah rancak. Bertambah rancak untuk mencari Lailatul Qadr di malam 10 terakhir.

Kalau dulu, kita khatam sekali tadabbur Al-Quran, tahun ini kita 'target' sekurang-kurangnya sebanyak 2 kali.

Kalau dulu, kita infaq RM300 di bulan Ramadhan, tahun ini insyaAllah kita 'aim for double the amount'.

Semua 'target' tersebut boleh dicapai jika kita membuat perancangan awal. Contohnya, kita tak perlu sibuk untuk 'shopping' baju raya kita dan anak-anak di kala bulan Ramadhan tapi buatlah dari sekarang.

Kita tidak perlu bersengkang mata membuat kueh raya di bulan Ramadhan tetapi hanya memadai dengan membeli kueh mueh yang sedia ada di pasaran. Kadang-kadang membeli biskut yang sudah siap lebih murah berbanding dengan membuatnya sendiri. Dengan kata lain, mereka membuat secara 'mass production' dan sudah pasti lebih murah dari membuat secara sedikit-sedikit...

Pastikan tubuh badan kita sihat dan tidak mengalami masalah seperti gastrik dan sebagainya.

Ayuh, gambarkan Ramadhan tahun ini seperti Ramadhan terakhir bagi kita! InsyaAllah, dengan persiapan minda, fizikal dan spiritual ini, kita akan menghadapi Ramadhan dengan lebih cemerlang... InsyaAllah!

Tuesday, July 14, 2009

Iman Tidak Dapat Diwarisi....


Kita pernah mendengar dendangan nasyid yang mengatakan "Iman itu tidak dapat diwarisi....".

Sejahat-jahat bapa, dia tidak ingin melihat anaknya juga menjadi sepertinya. Dia ingin melihat anaknya lebih baik dari dirinya. Apatah lagi, bapa yang soleh! Sudah tentu, dia ingin anaknya lebih soleh dan beriman lebih teguh darinya.

Bapa yang baik, amat prihatin dan sangat peka dengan ayat Allah yang berbunyi, "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (At-Tahrim; 6)

Bapa yang soleh cuba mendidik anak-anaknya menjadi insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Namun hasrat bapa tidak semestinya tercapai...

Si anak pula, kadang-kadang kurang sedar hakikat ini sehinggalah dia pula menjadi bapa.

Namun, si bapa tidak pernah berputus asa. Kita pernah mendengar cerita Nabi Allah Noh menyeru kepada anaknya yang kafir supaya menaiki kapal bersamanya semasa banjir besar. Tetapi anaknya menjawab, nun di sana ada puncak bukit akan ku daki, mudah-mudahan terlepas dari bencana. Dan kita ketahui kesudahannya...

Begitu sayangnya, ayah kepada anak. Tetapi anak lupa diri, dari mana asal usulnya...

Rabbana hab lana min azwajina wa dhurriyyaatina qurrata a`yunin wa ij`alna li al-muttaqena imama. [Our Lord, grant us in our spouses and our children the joy of our eyes, and make us models for people who are righteous].

Thursday, July 9, 2009

Program Ziarah Dan Cuti Keluarga


Hari Rabu minggu lepas, aku cuba mendapatkan tiket 'flight' dari Johor Bahru (JB) ke Kota Bharu (KB). Awal-awal dulu, Air Asia ada membuat penerbangan terus dari JB ke KB. Tetapi disebabkan tiada sambutan, laluan itu diberhentikan. Jadi, semua penerbangan ke KB perlu ke Kuala Lumpur (KL) dahulu.

Air Asia hanya menyediakan satu penerbangan saja dari JB ke KL manakala KL ke KB agak banyak juga. MAS pula lebih kompetetif, dari segi bilangan 'flight' dan juga harga. Untuk 2 penumpang dewasa, 1 'child', dan 1 'infant', kosnya lebih kurang RM1,600.

Aku pergi pula ke Terminal Bas Larkin. Harga tiket bas Transnasional bagi seorang dewasa dari JB ke KB ialah RM64 manakala kanak-kanak RM39.50. Jadi, aku terus beli untuk 2 dewasa dan 4 kanak-kanak bagi perjalanan pergi dan balik. Harga keseluruhannya bagi perjalanan JB - KB pada 3 Julai 2009 dan dari KB - JB pada 5 Julai 2009 ialah RM572.

'Ammar, Rasyid, Sakinah dan Syakir begitu seronok untuk pulang ke Pengkalan Chepa. Mereka tak sabar untuk menemui Bu dan Tok Ayah mereka.. Tambahan pula, perjalanan kali ini agak berbeza, tidak seperti selalu menaiki Ford Spectron, JGB 6400 tetapi menaiki bas express. Masing-masing membilang hari...

Kak Ngah ada program di KL dari Jumaat hingga Ahad. Hanya Abang dan Acik yang tinggal di rumah. Inilah kali pertama kami meninggalkan anak-anak bersendirian buat beberapa hari...

Pada hari Jumaat, Dr Hishamuddin Alham menghantar kami ke Sri Puteri, lebih kurang jam 9.05 malam. Bas dari Larkin bergerak pada pukul 9 malam.

Masing-masing sudah bersedia dengan baju sejuk. Bas tiba lebih kurang jam 9.30 malam. Rasyid duduk bersebelahan 'Ammar, Sakinah bersebelahan Ummi, Asmaa di atas riba umminya, dan aku bersebelahan dengan Syakir. Sedikit bekalan berbentuk jajan telah aku beli di stesyen minyak Shell. Aku rasa anak-anak begitu seronok menaiki bas.... sehingga aku sendiri nyenyak tidur dan hanya tersedar apabila dikejutkan isteri.

Bas berhenti untuk menunaikan solat Subuh di Padang Pa' Amat, Pasir Puteh. Dan seterusnya tiba di Perhentian Bas Kota Bharu, jam 7.30 pagi. Kami dijemput oleh Mak Su Jan dan tiba di Pengkalan Chepa pada pukul 8 pagi.

Selesai mandi, aku terus bergegas ke kubur Cik Nab... Di sana, Ayah Mae (suami arwah) dan anak menantunya sudah berada di tanah perkuburan bagi menghadiahkan bacaan Al-Quran dan zikir. Semua anak menantunya ada, termasuklah Ida dan suaminya dari Seattle, WA. Aku agak seronok berbual dengan anak mereka, Adam.

Selepas makan tengahari, aku mengajak isteri dan anak-anak untuk ke KB. Wira bapa mertuaku menjadi kenderaan kami ke KB. Aku membawa mereka ke Tambatan Diraja, bersebelahan dengan Padang Bank. Bangunan Bank lama yang terletak di depan padang itu, suatu masa dulu dikenali sebagai Bank Kerapu!

Aku bertanya kepada anak-anak jika mereka ingin menaiki 'boat'. Seperti yang diduga, masing-masing bersorak ingin menaikinya. Dulu, ada pengkalan 'boat' untuk ke Palekbang tetapi sekarang hanya destinasi ke Kg. Laut yang tinggal. Aku membawa mereka menaiki 'boat' ke Kg. Laut. Perjalanan dari KB ke Kg. Laut mengambil masa 20 minit. Sampai di Kg. Laut, kami hanya menunggu di dalam 'boat' dan kemudian kembali ke KB. Tambang bagi perjalanan pergi balik hanya RM8. Panorama di Sg. Kelantan menarik perhatian anak-anakku.

Dalam perjalanan balik, aku singgah di rumah Nik Yam, tempat membuat martabak tersohor di Jalan Kelocor, KB. Aku membeli 2 martabak ayam dan 2 martabak daging, dengan harga RM12 setiap satu. Aku juga membeli Akok RM2 dan Jala Mas RM4.

Keesokan harinya, Kak Zah menjemput kami untuk 'breakfast' di rumahnya. Kami sampai di rumahnya di Palekbang lebih kurang 8.30 pagi. Aku terus menjamu selera dengan Nasi Kerabu Putih dan Pulut Pagi. Sekarang trend baru pulut pagi berair atau basah, mungkin sama metodnya dengan mee goreng basah. Pulut itu dicecah dengan kelapa parut.

Selesai di rumah Kak Zah, kami ke rumah Kak Cik. Sekali lagi dihidangkan dengan pulut pagi tapi 'original style'. Seterusnya, aku ke rumah Mak Su, adik bongsu arwah ibuku. Di sini, aku berjumpa dengan anak Mak Su yang sulung, Chegu Din yang baru saja pencen pada tahun lepas. Kami pergi juga ke rumah Mak Cik, adik arwah ibuku yang kedua tetapi dia berada di rumah anaknya, di Wakaf Bharu.

Selepas itu, aku ke rumah Abang Mad, abangku yang kedua. Dan akhir sekali, aku ke rumah sepupuku, Abang Zin dan Kak Lah yang baru balik dari mengambil cucu-cucunya dari Chabang Empat Tok Mek Ngah.

Sebelah malam, tepat jam 8 malam, bas kami bergerak dari Stesyen Bas Langgar, KB ke JB. Apabila bas mula berjalan, dan dengan bunyi enjinnya yang berlainan, aku dapat rasa yang bas ini kurang sihat. Bas mula buat hal apabila kami berlepas dari Chendor selepas berhenti makan.

Kami berhenti solat Subuh di sebuah surau in the middle of nowhere. Selesai solat, bas bergerak ke Machap sama seperti kelajuan kura-kura. Bas, lori, kereta, motorsikal semua memotong bas kami. Apabila sampai di Machap, bas dari JB (satu lagi bas dari KB yang sudah sampai pukul 7.30 pagi tadi) datang menjemput kami.

Akhirnya, aku sampai di rumah pada jam 12 tengahari... Alhamdulillah, satu ziarah dan percutian keluarga yang cukup padat dan bermakna buat anak-anakku!

Wednesday, July 8, 2009

Kampus Mula Sibuk...


Kampus UTM mula sibuk minggu ini setelah semua pelajar baru dan lama mulai mengikuti kuliah. Itupun ada segolongan mereka yang mengikuti Latihan Industri (LI) terpaksa menghabiskan 10 minggu 'attachment' mereka di pejabat kerajaan mahupun industri swasta, dan mulai kuliah pada minggu depan.

Seronok melihat taman ilmu (garden of knowledge) kembali aktif! Hari ini, ada Professor mengulas buku The Last Lecture by Randy Pausch di Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), yang akan dipengerusikan oleh Yg. Bhg. Dato' Naib Canselor.

Melihat keaktifan gelagat pelajar cerdik kadang-kadang merisaukan. Idea ada, rupa ada, sosial ada, wang juga ada dan malunya tiada... Itulah apa yang tersebar dalam akhbar minggu lepas, seorang ibu yang belum berkahwin meninggal dunia di asrama sewaktu cuba melahirkan bayi secara bersendirian.

Saya juga bertembung dengan bekas graduan (siswi) yang pernah datang menjual skim Takaful kepada saya, keluar atau berdua-duaan ke PSZ, makan di kafe bersama seorang pelajar lelaki Timur Tengah. Just like a couple! Apabila dia nampak saya, dia cuba melarikan diri... UTM sekarang ini begitu ramai pelajar dari Timur Tengah dan Afrika.

Apabila saya berkata malunya tiada, saya bermaksud pelajar-pelajar kurang peka tentang etika berpakaian. Ada pelajar yang memakai pakaian begitu menjolok mata! Kadang-kadang susah untuk dibezakan antara pelajar Islam atau bukan Islam.

Trend sekarang, pelajar-pelajar perempuan begitu gemar memakai jeans. Di atasnya bertudung, tetapi di bawahnya jeans yang sendat dan menampakkan bentuk tubuh badan. Dan sesetengahnya memakai T-Shirt walaupun UTM tidak membenarkan memakai T-Shirt tanpa kolar ke kuliah! Etika berpakaian sudah ada dan terpampang di dinding bangunan tetapi yang menguatkuasakannya hanya segelintar pensyarah yang pernah menjadi felo atau pengetua...

Keadaan lebih gawat apabila sekarang ini pelajar internasional begitu ramai memenuhi kampus. Seolah-olah etika berpakaian hanya ditujukan kepada pelajar-pelajar Malaysia saja...

Pada hemat saya, dalam keghairahan kita menurunkan ilmu kepada pelajar perlu disantuni juga dengan etika dan peradaban ketimuran yang jelas. Tingkah laku, pakaian, budaya, dan tutur kata seharusnya beracuankan peradaban kita... Malaysia maju di tahun 2020 dengan acuan kita sendiri. Kita tidak rela menjadi negara maju tetapi prinsip-prinsip agama dan maruah tergadai!!!

Thursday, July 2, 2009

Sketsa Kehidupan


Orang selalu berkata, "Hidup ini bagai roda, sekali di atas, sekali di bawah". Ada juga yang berkata, "Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari". Ada pula berkata, "Bumi mana yang tak pernah ditimpa hujan?".

Begitulah ungkapan-ungkapan yang diutarakan bagi menunjukkan bahawa kehidupan ini penuh ranjau dan duri. Kadang-kadang kita merasa sungguh bahagia dan kadang-kadang kita merasa sungguh sedih. Ia silih berganti dan memerlukan banyak ketabahan dan kesabaran.

Dalam Rukun Iman, kita wajib beriman kepada Allah, percaya kepada Rasul, percaya kepada Malaikat, percaya kepada Kitab, percaya kepada Hari Akhirat, dan percaya kepada Qadha dan Qadar.

Tidak ada niat untuk saya menghuraikan satu per satu kerana kita semua sudah belajar semasa di sekolah rendah dahulu. Cuma, izinkan saya untuk melihat kepada kepercayaan kepada Qadha dan Qadar secara sepintas lalu.

Kita semua percaya hal ini, apa saja yang kita buat semuanya telah disetkan oleh Allah SWT. Cuma kita perlu berusaha dan berikhtiar untuk menjayakan segala perancangan kita. Ingat! Allah tidak merubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang merubah nasib mereka....

Ketika berada di atas, kita merasa kitalah raja dan kitalah berkuasa. Tetapi bila berada di bawah, sunyinya dunia, tiada kenalan menyapa.... Tatakala ketika inilah, Allah begitu dekat terasa di jiwa.

Adilkah aku, masa senangku, Engkau aku lupai? Tetapi masa dukaku, Engkaulah penyelamatku....dan sangat kerap kudampingi....

"Kepunyaan Allahlah segala apa yang ada di langit dan di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang di dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah SWT akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatan kamu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendakiNya dan menyiksa siapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Rasul telah beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya. (Mereka mengatakan): 'Kami tidak membezakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari Rasul-rasulNya', dan mereka mengatakan: 'Kami dengar dan kami taat', (Mereka berdoa): 'Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kami kembali'.

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): 'Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami bersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maaflah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir'." (Al-Baqarah; 284-286)