Wednesday, July 8, 2009

Kampus Mula Sibuk...


Kampus UTM mula sibuk minggu ini setelah semua pelajar baru dan lama mulai mengikuti kuliah. Itupun ada segolongan mereka yang mengikuti Latihan Industri (LI) terpaksa menghabiskan 10 minggu 'attachment' mereka di pejabat kerajaan mahupun industri swasta, dan mulai kuliah pada minggu depan.

Seronok melihat taman ilmu (garden of knowledge) kembali aktif! Hari ini, ada Professor mengulas buku The Last Lecture by Randy Pausch di Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), yang akan dipengerusikan oleh Yg. Bhg. Dato' Naib Canselor.

Melihat keaktifan gelagat pelajar cerdik kadang-kadang merisaukan. Idea ada, rupa ada, sosial ada, wang juga ada dan malunya tiada... Itulah apa yang tersebar dalam akhbar minggu lepas, seorang ibu yang belum berkahwin meninggal dunia di asrama sewaktu cuba melahirkan bayi secara bersendirian.

Saya juga bertembung dengan bekas graduan (siswi) yang pernah datang menjual skim Takaful kepada saya, keluar atau berdua-duaan ke PSZ, makan di kafe bersama seorang pelajar lelaki Timur Tengah. Just like a couple! Apabila dia nampak saya, dia cuba melarikan diri... UTM sekarang ini begitu ramai pelajar dari Timur Tengah dan Afrika.

Apabila saya berkata malunya tiada, saya bermaksud pelajar-pelajar kurang peka tentang etika berpakaian. Ada pelajar yang memakai pakaian begitu menjolok mata! Kadang-kadang susah untuk dibezakan antara pelajar Islam atau bukan Islam.

Trend sekarang, pelajar-pelajar perempuan begitu gemar memakai jeans. Di atasnya bertudung, tetapi di bawahnya jeans yang sendat dan menampakkan bentuk tubuh badan. Dan sesetengahnya memakai T-Shirt walaupun UTM tidak membenarkan memakai T-Shirt tanpa kolar ke kuliah! Etika berpakaian sudah ada dan terpampang di dinding bangunan tetapi yang menguatkuasakannya hanya segelintar pensyarah yang pernah menjadi felo atau pengetua...

Keadaan lebih gawat apabila sekarang ini pelajar internasional begitu ramai memenuhi kampus. Seolah-olah etika berpakaian hanya ditujukan kepada pelajar-pelajar Malaysia saja...

Pada hemat saya, dalam keghairahan kita menurunkan ilmu kepada pelajar perlu disantuni juga dengan etika dan peradaban ketimuran yang jelas. Tingkah laku, pakaian, budaya, dan tutur kata seharusnya beracuankan peradaban kita... Malaysia maju di tahun 2020 dengan acuan kita sendiri. Kita tidak rela menjadi negara maju tetapi prinsip-prinsip agama dan maruah tergadai!!!

No comments:

Post a Comment