Thursday, July 9, 2009

Program Ziarah Dan Cuti Keluarga


Hari Rabu minggu lepas, aku cuba mendapatkan tiket 'flight' dari Johor Bahru (JB) ke Kota Bharu (KB). Awal-awal dulu, Air Asia ada membuat penerbangan terus dari JB ke KB. Tetapi disebabkan tiada sambutan, laluan itu diberhentikan. Jadi, semua penerbangan ke KB perlu ke Kuala Lumpur (KL) dahulu.

Air Asia hanya menyediakan satu penerbangan saja dari JB ke KL manakala KL ke KB agak banyak juga. MAS pula lebih kompetetif, dari segi bilangan 'flight' dan juga harga. Untuk 2 penumpang dewasa, 1 'child', dan 1 'infant', kosnya lebih kurang RM1,600.

Aku pergi pula ke Terminal Bas Larkin. Harga tiket bas Transnasional bagi seorang dewasa dari JB ke KB ialah RM64 manakala kanak-kanak RM39.50. Jadi, aku terus beli untuk 2 dewasa dan 4 kanak-kanak bagi perjalanan pergi dan balik. Harga keseluruhannya bagi perjalanan JB - KB pada 3 Julai 2009 dan dari KB - JB pada 5 Julai 2009 ialah RM572.

'Ammar, Rasyid, Sakinah dan Syakir begitu seronok untuk pulang ke Pengkalan Chepa. Mereka tak sabar untuk menemui Bu dan Tok Ayah mereka.. Tambahan pula, perjalanan kali ini agak berbeza, tidak seperti selalu menaiki Ford Spectron, JGB 6400 tetapi menaiki bas express. Masing-masing membilang hari...

Kak Ngah ada program di KL dari Jumaat hingga Ahad. Hanya Abang dan Acik yang tinggal di rumah. Inilah kali pertama kami meninggalkan anak-anak bersendirian buat beberapa hari...

Pada hari Jumaat, Dr Hishamuddin Alham menghantar kami ke Sri Puteri, lebih kurang jam 9.05 malam. Bas dari Larkin bergerak pada pukul 9 malam.

Masing-masing sudah bersedia dengan baju sejuk. Bas tiba lebih kurang jam 9.30 malam. Rasyid duduk bersebelahan 'Ammar, Sakinah bersebelahan Ummi, Asmaa di atas riba umminya, dan aku bersebelahan dengan Syakir. Sedikit bekalan berbentuk jajan telah aku beli di stesyen minyak Shell. Aku rasa anak-anak begitu seronok menaiki bas.... sehingga aku sendiri nyenyak tidur dan hanya tersedar apabila dikejutkan isteri.

Bas berhenti untuk menunaikan solat Subuh di Padang Pa' Amat, Pasir Puteh. Dan seterusnya tiba di Perhentian Bas Kota Bharu, jam 7.30 pagi. Kami dijemput oleh Mak Su Jan dan tiba di Pengkalan Chepa pada pukul 8 pagi.

Selesai mandi, aku terus bergegas ke kubur Cik Nab... Di sana, Ayah Mae (suami arwah) dan anak menantunya sudah berada di tanah perkuburan bagi menghadiahkan bacaan Al-Quran dan zikir. Semua anak menantunya ada, termasuklah Ida dan suaminya dari Seattle, WA. Aku agak seronok berbual dengan anak mereka, Adam.

Selepas makan tengahari, aku mengajak isteri dan anak-anak untuk ke KB. Wira bapa mertuaku menjadi kenderaan kami ke KB. Aku membawa mereka ke Tambatan Diraja, bersebelahan dengan Padang Bank. Bangunan Bank lama yang terletak di depan padang itu, suatu masa dulu dikenali sebagai Bank Kerapu!

Aku bertanya kepada anak-anak jika mereka ingin menaiki 'boat'. Seperti yang diduga, masing-masing bersorak ingin menaikinya. Dulu, ada pengkalan 'boat' untuk ke Palekbang tetapi sekarang hanya destinasi ke Kg. Laut yang tinggal. Aku membawa mereka menaiki 'boat' ke Kg. Laut. Perjalanan dari KB ke Kg. Laut mengambil masa 20 minit. Sampai di Kg. Laut, kami hanya menunggu di dalam 'boat' dan kemudian kembali ke KB. Tambang bagi perjalanan pergi balik hanya RM8. Panorama di Sg. Kelantan menarik perhatian anak-anakku.

Dalam perjalanan balik, aku singgah di rumah Nik Yam, tempat membuat martabak tersohor di Jalan Kelocor, KB. Aku membeli 2 martabak ayam dan 2 martabak daging, dengan harga RM12 setiap satu. Aku juga membeli Akok RM2 dan Jala Mas RM4.

Keesokan harinya, Kak Zah menjemput kami untuk 'breakfast' di rumahnya. Kami sampai di rumahnya di Palekbang lebih kurang 8.30 pagi. Aku terus menjamu selera dengan Nasi Kerabu Putih dan Pulut Pagi. Sekarang trend baru pulut pagi berair atau basah, mungkin sama metodnya dengan mee goreng basah. Pulut itu dicecah dengan kelapa parut.

Selesai di rumah Kak Zah, kami ke rumah Kak Cik. Sekali lagi dihidangkan dengan pulut pagi tapi 'original style'. Seterusnya, aku ke rumah Mak Su, adik bongsu arwah ibuku. Di sini, aku berjumpa dengan anak Mak Su yang sulung, Chegu Din yang baru saja pencen pada tahun lepas. Kami pergi juga ke rumah Mak Cik, adik arwah ibuku yang kedua tetapi dia berada di rumah anaknya, di Wakaf Bharu.

Selepas itu, aku ke rumah Abang Mad, abangku yang kedua. Dan akhir sekali, aku ke rumah sepupuku, Abang Zin dan Kak Lah yang baru balik dari mengambil cucu-cucunya dari Chabang Empat Tok Mek Ngah.

Sebelah malam, tepat jam 8 malam, bas kami bergerak dari Stesyen Bas Langgar, KB ke JB. Apabila bas mula berjalan, dan dengan bunyi enjinnya yang berlainan, aku dapat rasa yang bas ini kurang sihat. Bas mula buat hal apabila kami berlepas dari Chendor selepas berhenti makan.

Kami berhenti solat Subuh di sebuah surau in the middle of nowhere. Selesai solat, bas bergerak ke Machap sama seperti kelajuan kura-kura. Bas, lori, kereta, motorsikal semua memotong bas kami. Apabila sampai di Machap, bas dari JB (satu lagi bas dari KB yang sudah sampai pukul 7.30 pagi tadi) datang menjemput kami.

Akhirnya, aku sampai di rumah pada jam 12 tengahari... Alhamdulillah, satu ziarah dan percutian keluarga yang cukup padat dan bermakna buat anak-anakku!

2 comments:

  1. alhamdulillah.
    habis juga baca semua post pkck.
    best.
    byk pngajaran.
    boleh buat bahan bacaan ni.
    huhu. :D
    harap keluarga sihat wal afiat selalu.
    senyum sokmo. :D

    ReplyDelete
  2. Thanks Min.. Pakcik saja nak share pengalaman dengan anak-anak dan mereka yang sudi membaca...

    Mudah-mudahan bermanfaat. TQ.

    ReplyDelete