Tuesday, November 26, 2013

Dilihat Dari Perspektif Positif...

Ujian Allah datang tidak kira masa dan ketika...

Malam tadi, aku menghadiri katibah yang telah dijadualkan. Sebenarnya, ia bermula pada jam 6.30 petang lagi. Kerana mentaati waktu yang ditetapkan maka aku hadir sekitar jam 6.29 petang tetapi pintu masih berkunci.

Agenda katibah antaranya ialah iftar jamaie, membaca al-ma'thurat, tilawah surah al-Anbiya', pengisian tentang rukun baiah at-Taah, qiamul-lail secara fardhi dan berjamaah dan bersurai sebelum solat Subuh.

Aku ditugaskan seperti biasa sebagai masul nizam...

Seusai program untuk pengukuhan rohani, aku bergerak ke Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid untuk mengerjakan solat Subuh. Aku sampai 'just on time' muazzin mengalunkan azan Subuh. Aku sempat solat 2 rakaat tahiyyatul masjid dan 2 rakaat lagi solat sunat fajar. Alhamdulillah, terasa iman yang semakin menipis mula meningkat sedikit... tetapi masih jauh berbanding rakan-rakan lain yang sibuk menjalankan dakwah baik kepada 'non-muslim' mahupun yang telah lama Islam.

Selepas mengerjakan solat Subuh, aku mula menghidupkan enjin untuk pulang ke rumah. Subhanallah... mata terasa amat mengantuk. Terdetik di hati untuk aku terus ke pejabat dan melelapkan mata di sana sementara memasuki kelas pada jam 9 nanti.

Tetapi naluri menyuruh untuk pulang ke rumah.

Aku meneruskan perjalanan untuk pulang ke Bandar Dato' Onn melalui Taman Impian Emas. Aku terlelap beberapa kali tetapi setiap kali aku tersedar aku mengucap panjang kerana Allah masih memeliharaku dari kemalangan.

Sebaik tiba di persimpangan susur jalan Kempas untuk menuju ke 'highway' ke Bandar Dato' Onn, tiba-tiba bangg...., terdengar bunyi kuat, aku tersedar dan melihat Kancilku telah melanggar sebuah kereta di depan.

Astaqfirullahal 'azim... aku telah melanggar sebuah kereta proton tepat jam 6.16am!

Aku pantas keluar dan memohon maaf dan menyatakan bahawa aku akan membayar kerosakan kepada keretanya. En. Mohamad hanya mengambil nombor telefonku kerana beliau akan ke 'workshop' untuk mendapatkan 'estimation' jumlah yang perlu aku bayar.

Beliau nampak tenang sambil menasihatiku supaya memandu dengan lebih berhati-hati sebelum berlalu pergi...

Pada petang tadi, aku telah menghantar Kancilku untuk dibaiki dan pihak bengkel telah 'estimate' bahawa kosnya ialah RM550 dan akan siap dalam masa 4-5 hari. Aku terus menelefon En. Mohamad bertanyakan berapa harus aku bayar untuk kerosakan keretanya pula.

MasyaAllah... En. Mohamad tidak ingin mengambil apa-apa gantirugi sebaliknya pula menanyaku kemana hendak dihantar anaknya ke kelas tahfiz semasa cuti?

Aku memaklumkan bahawa Sekolah Islam Hidayah ada menyediakan kepada pelajar-pelajarnya tetapi bukanlah secara intensif. Aku juga memaklumkan tentang Sekolah Tahfiz anjuran Jamaah Tabligh berdekatan dengan Sekolah Islam Hidayah.

Itulah ujian yang aku alami dan semoga ia menjadi pedoman kepada rakan-rakan agar lebih berhati-hati apabila memandu terutama apabila mengantuk. Ia BUKAN hanya membahayakan diri kita tetapi turut membahayakan diri orang lain.

1 comment:

  1. Alhamdulillah En Mohamad tidak mahu mengambil apa-apa ganti rugi..semoga jadi pedoman buat kita semua.

    From: Bila Karipap Boleh Bercakap

    ReplyDelete