Tuesday, December 30, 2014

Adakah Ia Suatu Ujian Buat Ku?

Subhanallah... MasyaAllah... Betapa ia begitu berat untuk ditanggung.

Berat mataku memandang, berat lagi saudara-saudara seIslamku menanggung. Kesian mereka yang berada di Kuala Krai, Tanah Merah, Machang, Pasir Mas, Tumpat, Gua Musang dan Kota Bharu sendiri... Pendekata seluruh Kelantanlah walaupun mungkin Pasir Puteh taklah teruk sangat.

Tidak pernah banjir melanda negeriku seteruk ini. Pernah aku dengar banjir besar tahun 1967 tetapi pada masa itu aku baru berusia 3 tahun. Tidak tahu dan tidak ingat apa-apa.

Aku merasa bersalah kerana tidak dapat turut membantu mereka secara fizikal. Setidak-tidaknya, membantu kakak, abang, adik dan anak-anak saudaraku yang mana rumah dan kereta mereka ditenggelami air. Astaqfirullah, ampunilah dosa-dosaku dan dosa-dosa mereka ya Allah!

Sekarang mudah banyak untuk mengetahui status keadaan anak beranak. Wassup dan telegram yang tidak pernah kita terlintas suatu ketika dulu, sekarang dah boleh dapat info 'dan-dan'. Malah, ia 'free' pula tu.

Cuma, kadang-kadang ada sesetengah golongan manusia yang menyalahgunakan kemudahan ini. Disebarnya berita yang tak sahih, dihantarnya maklumat bagi pihak orang lain (orang ternama) walhal tuan punya diripun tak tahu dan bermacam-macam lagi.

Tak tahulah kenapa kita jadi begitu? Adakah dia merasa seronok apabila orang lain 'forward' mesejnya? Tak prihatinkah dia bahawa mesej yang tak betul itu akan merunsing saudara mara mangsa yang berada jauh dari tempat kejadian?

Apapun tujuan samaada untuk menarik perhatian pihak berwajib atau menggalakkan mana-mana pihak memberi pertolongan segera, ia adalah suatu perkara yang tidak wajar. Kita tidak seharusnya melapurkan berita bohong. Etika menulis berita perlu ada pada setiap manusia supaya orang tidak panik.

Jangan kita hendakkan 'glamour' aje. Ia bertentangan dengan agama, adab tatasusila dan budaya orang timur. Apatah lagi di dalam suasana yang dilanda musibah. 'Prank' atau seumpamanya tidak kena pada masa.


Sekali lagi, kalau kita bandingkan dengan 'Mat Salleh', mereka jauh lebih beretika dalam bab ini. Mereka lebih peka perkara-perkara sebegini. 'It's no joke!' Keprihatinan mereka untuk membantu sangat dipuji.

Kitapun sama... suka menolong tetapi masih ada mereka yang memilih bulu. Tak usahlah bermain politik dalam masa darurat. Tolonglah dengan seikhlas yang mungkin, baik pihak mana-mana sekalipun. Mudah-mudahan Allah SWT memberi petunjuk kepada orang-orang yang kita tolong nanti apabila kita pula perlukan pertolongan mereka.

Tak tahulah masyarakat kita ni... Terlampau taksub dengan politik. Sepatutnya masa musibah ini semuanya sama. Semua perlukan pertolongan!

Ada juga kelihatan mangsa yang tinggal di penempatan sementara di masjid. Mereka sepatutnya menghayati musibah yang dilalui dengan setidak-tidaknya bersama-sama mengerjakan solat berjamaah bersama ahli kariah yang lain. Tapi mereka berada di luar masjid dan duduk bersembang.

Kalaulah pada waktu biasa mereka 'susah' untuk berjamaah di masjid, inikan pula sudah berada di masjid! Apa masalahnya? Itulah orang kata kalau tidak mendapat hidayah dari Allah maka perkara yang sesenang itupun jadi susah. Perkara wajib... kalau tidak dilakukan bersama terpaksa juga dilakukan seorang diri. Mana lebih banyak pahalanya?

Tetapi bab solat ni, saya tengok nelayan yang berhari-hari di lautpun kurang peka. Pada hal, mereka bergantung seratus peratus kepada Allah. Ributnya, gelombangnya, semua dari Allah. Malah hasil tangkapan, ikan banyak atau sikitpun dari Allah. Pengalaman saya pergi memancing di laut dalam, awak-awaknya tak solatpun. Dulu ada la sorang yang solat.

Mereka tengok kita solat berjemaah dalam bot secara duduk. Lepas solat, kita baca doa al-ma'thurat pula tetapi ia tidak menjadi panduan kepada mereka. Ya Allah, ampunilah dosa kami dan dosa-dosa mereka.

Walau apapun, marilah kita sama-sama membantu mangsa banjir. Kalau tak mampu untuk memberi tenaga dan wang ringgit, kita panjatkan doa buat mereka supaya mereka redha dan menerima musibah dengan tenang dan dengan penuh penghayatan...insyaAllah.

Tuesday, December 16, 2014

Kesian Kepada Orang Tua...

Banyak tempat saya melihat orang tua bekerja. Di taman perumahan saya, ada beberapa orang tua yang bekerja sebagai jaga atau dalam bahasa inggerisnya sebagai 'security guard'.

Di universiti saya pula, ramai makcik dan pakcik yang bekerja sebagai 'cleaner'.


Saya kurang pasti samaada mereka bekerja secara sukarela atau kerana terpaksa. Mungkin sesetengahnya terpaksa bekerja kerana untuk memenuhi keperluan perbelanjaan keluarga. Harga barang yang kian hari kian meningkat mungkin memaksa orang-orang tua yang berpangkat datuk dan nenek ini bekerja.

Pendapatan anak-anak mungkin tidak mencukupi untuk menyara sebuah keluarga. Oleh itu, terpaksalah pakcik dan makcik keluar bekerja untuk membantu meningkatkan pendapatan keluarga.


Kalau mereka diberi pilihan untuk berehat dan beramal untuk bekalan hari akhirat, saya pasti mereka akan memilih untuk menyediakan bekalan untuk kehidupan yang kekal abadi. Cuba bayangkan mereka sudah bekerja dari masa muda... dan bila sudah tuapun masih belum boleh pencen.

Kerja jaga bukanlah sesenang yang kita lihat. Mereka terpaksa bercengkang mata di malam hari yang mana sesetengah yang sebaya mereka mungkin sedang enak tidur untuk bangun pagi untuk ke masjid. Tetapi mereka...

Begitu juga dengan pakcik dan makcik 'cleaner'. Kesian mereka yang sebaya dengan ibubapa kita yang terpaksa bertungkus lumus membersihkan pejabat, laluan dan tandas. Kalaulah mereka mempunyai pilihan, mahukah mereka bekerja seberat itu?

Saya pasti mereka akan memilih untuk berehat.

Tak mungkin seorang yang sudah lama bekerja ingin terus bekerja dan bekerja!

Pada hemat saya, sesuatu pekerjaan perlu ada tahap umur yang maksima yang boleh kita lantik. Dengan kata lain, seseorang individu tidak lagi boleh bekerja setelah mencapai tahap umur tertentu. Lainlah jika pekerjaan itu tidak memerlukan tenaga dan hanya memerlukan idea pemikiran dan pembacaan semata-mata.

Saya rasa mungkin secara tersirat kita mengenakan peraturan ini. Jika ingin dibuat secara tersurat, mungkin kita perlu mengubah akta buruh pula. Ataupun di dalam akta buruh sudah ada menyebut tentang perkara tersebut?

Jika ia sudah ada maka yang bersalah di sini ialah pihak kontraktor yang sengaja menggaji orang tua untuk diberi gaji yang murah.

Bukanlah maksud saya untuk menidakkan semangat keinginan bekerja seseorang. Tetapi saya lebih kepada untuk memberi ruang waktu rehat kepada warga tua.

Di sektor pertanian, kita dapati ramai pesawah padi yang mengerjakan bendang berumur sekitar 60an. Begitu juga dengan penoreh getah. Tetapi waktu kerjanya tidak panjang.

Penanam padi hanya bersusah payah mengerjakan sawah mereka hanya untuk beberapa bulan sahaja. Setelah padi mula naik mereka hanya perlu menyelia tanaman mereka dan disulami dengan proses membaja dan meracun.

Begitu juga dengan si penoreh getah. Mereka hanya bekerja di waktu pagi sahaja untuk mengutip susu getah. Jika waktu hujan, mereka tidak bekerja.

Walau bagaimanapun, mereka ini bekerja sendiri. Oleh itu, ikut suka hati merekalah samaada untuk terus bekerja atau mengupah orang lain untuk mengusahakan tanah mereka. Pun begitu, pada hemat saya mereka ini juga perlu diberi peluang untuk berehat. Kesian mereka...

Sunyi Tanpa Anak Isteri...

Kita mungkin tak pernah merasa bagaimana sunyinya sesebuah keluarga tanpa anak pinak. Kesian kepada mereka yang sudah lama berkahwin tetapi masih belum diberikan rezeki anak oleh Allah. Kesian juga kepada mereka yang masih belum mendapat jodoh dan masih belum punya anak.


Orang kata anak-anak adalah jambatan kasih sayang di antara suami isteri. Orang juga berkata anak-anak adalah penyeri hidup. Tanpa anak hidup tak berseri. Betul ke?


Tak kurang juga manusia yang buang anak. Membuang anak kerana merasa malu melahirkan tanpa ikatan perkahwinan. Betapa sanggup kita membunuh nyawa seorang budak yang tidak berdosa...

Ada juga yang dera anak. Disepak terajangnya anak-anak kecil macam berlawan dengan orang dewasa.

Walau apapun kepada mereka yang mempunyai anak isteri, cubalah hantar anak isteri balik kampung untuk 4-5 hari. Bagaimana kita merasa hidup seorang diri di rumah yang begitu banyak bilik?

Sunyikan? Takutpun ada... Tapi bab takut ni perlahan sikit, malu kepada anak-anak. Nanti anak kata, "Apalah abah ni, dah tua bangkapun takut lagi."


Yang paling terasa ialah tiada lagi pergaduhan yang berlaku. Tiada sindir menyindir... Tidak ada panggil memanggil dengan nama yang bukan bukan sesama mereka... Tiada suasana bising, hingar bingar dalam rumah!

Dan yang paling kurang seronok ialah tiada masakan ibunya. Anak-anak tidak makan bersama-sama dengan kita lagi.

Itu apa yang kita rasa. Cuba naik ke atas setingkat. Apa ibubapa kita rasa apabila tiada anak-anaknya pulang ke kampung untuk menziarahinya (Bagi mereka yang masih punya ibubapa).

Saya rasa sama aje kan? Apa yang kita rasa bila tiada anak-anak di rumah dan apa yang ibubapa kita rasa apabila tiada anak-anaknya melawat mereka.

Cuma bedanya ialah anak-anak kita TERPAKSA balik ke rumah kita kerana mereka masih tidak mempunyai mata pencarian dan berada di bawah tanggungan kita. Makan, pakai, tempat tidur masih bergantung kepada kita.

Kalau mereka sudah mempunyai pekerjaan dan keluarga sendiri maka makin susahlah untuk kembali ke rumah kita sepertimana apa yang kita perlakukan kepada kedua orang tua kita.

Anak-anak sebenarnya amanah! Amanah kepada kita untuk mendidik mereka supaya mereka mengenal Pencipta mereka. Kita perlu mendidik mereka supaya mereka tahu bahawa mereka hanya hamba. Sepertimana firman Allah SWT di dalam al-Quran bahawa 'Tidak aku jadikan jin dan manusia hanyalah untuk beribadat kepadaKu.'

Begitu juga dengan kedua ibubapa, mereka juga amanah kepada kita. Kita diamanahkan untuk menjaga mereka kembali setelah mereka menjaga kita sejak dari kecil. Dan apabila kedua ibubapa kita meningkat tua, kita sama sekali dilarang dari berkata ah atau uhh... Apatah lagi menyakiti hati dan perasaan mereka.

Bahkan kita disyorkan untuk berdoa kepada mereka, 'Ya Allah, kasihanilah dan berkatilah kedua ibubapa kita sepertimana mereka menjaga kita semasa kita masih kecil.'


Rumusannya, kita tidak dapat tidak akan juga merasai kesunyian di suatu hari nanti. Maka banyakkanlah berdoa semoga al-Quran dan zikrullah akan menjadi teman setia kita apabila kita dipinggirkan oleh anak menantu nanti...InsyaAllah.

Monday, December 15, 2014

Kenapa Kita Tidak Maju?

Suatu persoalan yang sering ditanya. Suatu waktu dulu, ekonomi kita setaraf  atau kalau tidakpun 'neck to neck' dengan negara Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan sebagainya. Begitu juga dalam sukan, Pesta Bola Merdeka, kita sering memasuki 'final' dengan Korea Selatan. Tetapi sekarang Jepun dan Korea Selatan sudah memasuki Piala Dunia dan kita masih terkial-kial untuk bergelar juara Asia Tenggara.


Pada hemat saya, masalah kita yang utama ialah kita tidak boleh ditegur! Tegur menegur masih bukan menjadi budaya kita.

Kita seringkali menyalah anggap orang yang menegur kita. "Dia ni mesti nak jatuhkan aku." "Dia ni mesti dengki atau 'jealous' dengan aku." Pada hal, si penegur hanya ingin menambahbaik sistem yang ada sekarang demi kebaikan kita bersama.

'Of course' cara menegur mesti sopan dan tidak menjatuhkan air muka. 'One to one and face to face'. Kalau boleh bahasa yang digunakan mesti berlapik, ibarat kata pepatah seperti menarik rambut dari tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan berselerak!

Adap dan tatasusila mesti ada. Orang muda ingin menegur orang tua atau si anak ingin menegur ibubapa mestilah pandai berbahasa.

Dalam al-Quran sendiri kita disuruh berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran (Surah al-Asr). Islam itu sendiri dikatakan ad-din nun nasihah. Nasihat menasihat sesama manusia yang sifat semulajadinya sentiasa lupa ditekankan supaya kita sentiasa berada di landasan yang benar.

Apabila kita tidak boleh ditegur maka budaya ampu mengampu akan bermaharajalela.

'Why should we head on with him (the boss)?' Dan ada juga yang berkata, 'If you can't influence or defeat them, then join them.'

Pada saya, kalau kita tidak boleh bersama mereka, elok jauhkan aje dari mereka. Masakan kita nak 'join them' dalam perkara-perkara yang tidak baik, apatah lagi perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam yang kita anuti.


Setiap perkara mesti ada tahap limitasi. Setakat mana kita boleh menerima, menanggung dan bersama dalam sesuatu perkara. Kalau ia telah menyalahi peraturan, adab-adab dan norma kehidupan manusia maka sudah pasti kita akan meninggalkannya.

Suatu perkara lagi yang saya tidak dapat menerima ialah kita hanya berdiam diri apabila kita berada bersama dalam sesebuah organisasi dan tidak membuat teguran atau pembetulan tetapi apabila kita sudah keluar maka banyak pula teguran yang dibuat. Kenapa begitu?

Adakah mereka tidak dapat menerima teguran atau kita saja mendiamkan diri untuk menjadi 'yes man' supaya periuk nasi tidak terjejas? Inilah dikatakan manusia yang hipokrit.

Islam mengajar kita tentang tatacara memperbaiki sesuatu apabila ia menyalahi Islam. Hadis Nabi (SAW) yang maksudnya, "Apabila kita melihat sesuatu kemungkaran maka hendaklah kita ubah dengan tangan (maksudnya kuasa yang ada pada kita), jika kita tidak mampu maka ubahlah dengan perkataan dan sekiranya kita masih tidak mampu maka tegurlah dalam hati (sekurang-kurangnya dalam hati kita menolak perlakuan yang tidak baik itu) dan itu adalah selemah-lemah iman."


Seseorang ketua yang baik, sepatutnya tidak merasa terkilan terhadap teguran yang diterima malah menganggap mereka yang menegur tersebut adalah pembantu or penolong yang mengeluarkan dirinya dari api neraka. Kita selalu mendengar sirah bagaimana Saidina Omar al-Khattab memesan kepada rakyatnya supaya membetulkan dirinya sepanjang pemerintahan beliau.

Akhir kata, marilah kita memupuk kembali semangat atau suasana pesan memesan ini supaya kita menjadi insan yang lebih baik dan sudah pasti cara atau metodologinya mestilah bersesuaian.

Wednesday, December 10, 2014

Ibubapa Tidak Dapat Ajar Semuanya...

Sayang dan kasih kedua orang tua kepada anak-anak tidak dapat dinafikan lagi. Bagi ibubapa, kalau boleh ingin diajari satu per satu tentang kehidupan supaya apabila anak-anak mereka membesar, mereka tidak akan ditipu, dianiaya, dizalimi dan sebagainya.

Tetapi amat susah dan tidak mungkin untuk kedua ibubapa mengekori setiap pergerakan anak-anak. Oleh itu, anak-anak rata-ratanya akan belajar sendiri tentang kehidupan. Ada yang dipelajari dari kawan, ada yang diikuti hasil perbuatan kedua orang tuanya, ada yang dipelajari dari saudara mara dan sebagainya.


Sesetengah anak yang 'curious', dia akan balik bertanya kepada orang tuanya tentang pengalaman yang dilalui pada hari ini. Anak-anak ini akan mendapatkan satu 'answer script' dari orang tuanya supaya apabila berlaku peristiwa yang sama maka dia sudah ada 'marking system' untuk menjawabnya.

Tetapi sesetengah anak-anak, dia cuba menghadamkan sendiri peristiwa yang berlaku tadi. Apabila ini berlaku, anak-anak itu sendiri yang akan menilai baik buruk sesuatu tindakan. Dia sendiri juga yang akan menilai samaada peristiwa yang dilaluinya boleh diaplikasikan kepada orang lain pula.

Apa yang teramat penting bagi seseorang individu untuk menilai sesuatu perbuatan sebelum membuat tindakan ialah dengan meletakkan Allah dan Rasulullah sebagai neraca.


Mizan ini cukup jelas untuk mencorak tindakan kita.

Kita pula sudah lama berikrar untuk hidup berpaksikan Al-Quran dan as-sunah Rasulullah. Sejak dalam perut ibu lagi.

Sekiranya, anak kita sentiasa mendapat hidayah dan diberikan kefahaman yang mendalam tentang Islam maka kita tidak perlu risau apa tindakan yang akan mereka ambil apabila mereka menghadapi sesuatu rintangan atau musibah.

Apa yang kita takut ialah tindakan yang diambil berdasarkan cerita-cerita sensasi masa kini. Ramai orang barat dan juga orang timur (Jepun, Korea, Taiwan) yang mencabut nyawa sendiri sebagai salah satu opsyen untuk keluar dari kemelut masalah. Janganlah anak-anak kita pula mengikuti jejak langkah mereka.

Na'uzubillahu min zaalik.