Tuesday, December 16, 2014

Sunyi Tanpa Anak Isteri...

Kita mungkin tak pernah merasa bagaimana sunyinya sesebuah keluarga tanpa anak pinak. Kesian kepada mereka yang sudah lama berkahwin tetapi masih belum diberikan rezeki anak oleh Allah. Kesian juga kepada mereka yang masih belum mendapat jodoh dan masih belum punya anak.


Orang kata anak-anak adalah jambatan kasih sayang di antara suami isteri. Orang juga berkata anak-anak adalah penyeri hidup. Tanpa anak hidup tak berseri. Betul ke?


Tak kurang juga manusia yang buang anak. Membuang anak kerana merasa malu melahirkan tanpa ikatan perkahwinan. Betapa sanggup kita membunuh nyawa seorang budak yang tidak berdosa...

Ada juga yang dera anak. Disepak terajangnya anak-anak kecil macam berlawan dengan orang dewasa.

Walau apapun kepada mereka yang mempunyai anak isteri, cubalah hantar anak isteri balik kampung untuk 4-5 hari. Bagaimana kita merasa hidup seorang diri di rumah yang begitu banyak bilik?

Sunyikan? Takutpun ada... Tapi bab takut ni perlahan sikit, malu kepada anak-anak. Nanti anak kata, "Apalah abah ni, dah tua bangkapun takut lagi."


Yang paling terasa ialah tiada lagi pergaduhan yang berlaku. Tiada sindir menyindir... Tidak ada panggil memanggil dengan nama yang bukan bukan sesama mereka... Tiada suasana bising, hingar bingar dalam rumah!

Dan yang paling kurang seronok ialah tiada masakan ibunya. Anak-anak tidak makan bersama-sama dengan kita lagi.

Itu apa yang kita rasa. Cuba naik ke atas setingkat. Apa ibubapa kita rasa apabila tiada anak-anaknya pulang ke kampung untuk menziarahinya (Bagi mereka yang masih punya ibubapa).

Saya rasa sama aje kan? Apa yang kita rasa bila tiada anak-anak di rumah dan apa yang ibubapa kita rasa apabila tiada anak-anaknya melawat mereka.

Cuma bedanya ialah anak-anak kita TERPAKSA balik ke rumah kita kerana mereka masih tidak mempunyai mata pencarian dan berada di bawah tanggungan kita. Makan, pakai, tempat tidur masih bergantung kepada kita.

Kalau mereka sudah mempunyai pekerjaan dan keluarga sendiri maka makin susahlah untuk kembali ke rumah kita sepertimana apa yang kita perlakukan kepada kedua orang tua kita.

Anak-anak sebenarnya amanah! Amanah kepada kita untuk mendidik mereka supaya mereka mengenal Pencipta mereka. Kita perlu mendidik mereka supaya mereka tahu bahawa mereka hanya hamba. Sepertimana firman Allah SWT di dalam al-Quran bahawa 'Tidak aku jadikan jin dan manusia hanyalah untuk beribadat kepadaKu.'

Begitu juga dengan kedua ibubapa, mereka juga amanah kepada kita. Kita diamanahkan untuk menjaga mereka kembali setelah mereka menjaga kita sejak dari kecil. Dan apabila kedua ibubapa kita meningkat tua, kita sama sekali dilarang dari berkata ah atau uhh... Apatah lagi menyakiti hati dan perasaan mereka.

Bahkan kita disyorkan untuk berdoa kepada mereka, 'Ya Allah, kasihanilah dan berkatilah kedua ibubapa kita sepertimana mereka menjaga kita semasa kita masih kecil.'


Rumusannya, kita tidak dapat tidak akan juga merasai kesunyian di suatu hari nanti. Maka banyakkanlah berdoa semoga al-Quran dan zikrullah akan menjadi teman setia kita apabila kita dipinggirkan oleh anak menantu nanti...InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment