Wednesday, February 11, 2015

Saya Berhijrah Ke Wordpress

Assalamu'alaikum wrth. wkth.

Untuk makluman tuan/puan yang melayari blog saya, saya telah berhijrah ke wordpress. Untuk ke sana, sila layari; http://fght.utm.my/wanibrisam/#. InsyaAllah, jika ada kesempatan saya juga akan meneruskan penulisan saya di blog ini.

Terima kasih.

Monday, February 2, 2015

Menuju Ke Negara Yang Kekal Abadi

Aku rasa tiada siapa yang tak takut untuk menghadapi maut. Baik orang alim, orang sederhana macam aku dan mahupun orang yang jahil, semuanya takut mati. Kita takut kerana kita tidak banyak amal. Kita takut kerana kita banyak melakukan dosa. Dan yang paling mengerikan lagi ialah siksa api neraka yang telah dijanjikan Allah kepada mereka yang kufur.

Walau apapun mati adalah pasti! 



"Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." (Ali-Imran; 185).

Semalam aku ada menerima mesej wassap yang berbunyi, "Dia langsung tak pernah solat atau pergi masjid. Satu hari dia pergi ke masjid, safnya paling hadapan. Dia bukan berhijrah tetapi sebagai jenazah."

Pagi ini, aku dapati ramai yang komen mengatakan bahawa mereka teramat sangat tersentuh dengan mesej tersebut. Begitu terasa sehingga ada sesetengahnya yang awal-awal lagi mandi untuk pergi menunaikan solat maghrib di masjid semalam...


"Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun dan tidak dapat pula mereka didahulukan." (Al-A'raf; 34).

Kita merasa takut kerana kita akan ditempatkan seorang diri di kubur yang sempit. Tiada lagi isteri... Tiada lagi anak-anak... Yang tinggal hanya kita bersendirian.

Harta tak payah cakaplah... Rumah besar, kereta besar dan segala-galanya ditinggalkan.

Semasa di dunia lagi, jika tiada anak isteri di rumah, betapa sunyi dan sepinya terasa diri ini. Apatah lagi apabila kita berada di penempatan yang baru yang hanya menunggu persoalan dan hukuman dari Munkar dan Nakir. Mampukah kita menjawab semua persoalan yang ditanya? Ma Rabbuka... Ma Imamuka... Ma Qiblatuka... dan sebagainya.

Takutnya siksaan yang sementara itu... sementara menunggu yaumul mahsyar, iaitu hari perbicaraan yang sebenar. Perbicaraan di hadapan Allah inilah yang akan menentukan nasib kita. Berbahagiakah kita atau celakakah kita?

Di kehidupan dunia, sekiranya kawan-kawan kita melawat atau menziarahi negara lain, apabila mereka balik kita boleh bertanya bagaimana keadaan negara tersebut?

Tetapi kawan-kawan kita yang telah pergi ke alam barzakh tiada seorangpun yang kembali dan menceritakan peristiwa di sana. Ini membuatkan kita tertanya-tanya bagaimana keadaan mereka? Dan yang pasti, kita juga akan ke sana dan tidak akan kembali lagi...

Teringat masa kecil-kecil dulu. Bila gelap aje, aku akan berfikir tentang alam kubur. Hanya tidur di sebelah ayah atau ibu sahaja yang akan mententeramkan aku.

Aku tidak boleh tidur di dalam gelap. Perlu ada pelita bernyala baru aku dapat melelapkan mata. Itu kisah masa budak-budak.

Kita hanya mampu berdoa dan berharap semoga kubur kita tidak akan gelap gelita. Ada yang menyatakan bahawa kalau kita rajin membaca surah al-Mulk dan al-Waqiah, kubur kita akan bercahaya, lapang dan boleh menjauhi dari siksa kubur. Akupun kurang pasti sumbernya. Mungkin boleh dirujuk kepada hadis-hadis sahih.


"Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh..." (An-Nisa; 78).

Justeru, aku menyeru kepada diri dan anak isteriku supaya marilah kita banyak berbuat amal. Walaupun tak sebanyak mana tetapi sekurang-kurangnya ada juga bekalan pahala yang bakal mengurangkan siksa api neraka.

Ya Allah, ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami, dosa-dosa keluarga kami, dosa-dosa masyarakat kami dan dosa-dosa umat muslimin dan muslimat, baik yang telah meninggal dunia mahupun yang masih hidup. Berikanlah kekuatan kepada kami untuk beramal bakti kepada Mu ya Allah. Sesungguhnya, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba Mu. Tunjuki kami jalan yang benar dan berkatilah kehidupan kami. Kami memohon kepada Mu untuk memberi kebaikan di dunia dan kebaikan juga di akhirat. Perkenankan permohonan kami... ya Allah, ya Rabbal 'Alamin!

Sunday, January 18, 2015

Hidup Perlu Banyak Bersyukur

Betapa sukarnya aku... Orang lain mudah aje. Kenapa Allah uji aku sedemikian? Kenapa Allah tidak uji mereka seperti aku? Itulah ratapan yang sering keluar dari mulut kita ataupun sering bermain di minda kita.

Tidak adilkah Allah? Zalimkah Allah? Na'uzubillahi min zaalik.


Ya Allah, jauhkan daku dari berfikiran sebegitu. Sebenar-benarnya, Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan keupayaannya. Ayat di bawah jelas menceritakannya.

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala [dari kebaikan] yang diusahakannya dan ia mendapat siksa [dari kejahatan] yang dikerjakannya. [Mereka berdo’a]: "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma’aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir". (Al-Baqarah; 286)

Kita selalu melihat orang yang di atas. Jarang-jarang sekali kita melihat mereka yang di bawah. Itu fitrah kita. Kita selalu ingin seperti si A. Anak-anaknya semua menjadi, semua masuk universiti, semua bekerja pangkat besar. Kita ingin seperti si B. Hidup senang lenang, kaya raya, rumah besar dan berkereta besar.

Cuba sesekali kita hisab diri kita atau cuba membuat muhasabah diri. Lihat kesenangan kita, lihat kesihatan kita, lihat ketenangan jiwa raga kita. Seterusnya, lihat pula kepada keluarga kita. Tidakkah kita tertanya-tanya nikmat yang manakah yang kita dustakan?

Maka ni’mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Ar-Rahman; 51)

Ujian dan dugaan sering membuat kita merasa sempit. Seolah-olah hanya kita yang sedang menghadapi tribulasi. Orang-orang lain semua senang lenang, itu tanggapan kita... Tetapi hakikat sebenarnya ialah kita semua diuji. Diuji samaada dengan kesusahan mahupun dengan kesenangan atau kemewahan.


Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan [saja] mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? (2) Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (Al-Ankabut; 3)

Semua ujian dan tribulasi yang kita lalui hanyalah untuk mengetahui siapakah di antara kita yang paling baik amalannya.

Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Al-Mulk; 2)

Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau ampunkan dosa-dosa kami, dosa-dosa kedua ibubapa kami dan dosa-dosa keluarga kami. Engkau berikan kesabaran dan ketabahan kepada kami dalam menempuh segala ujianMu. Engkau berkatilah kehidupan kami. Ya Allah, sesungguhnya kami begitu mengharapkan syurgaMu. Berikan kekuatan kepada kami untuk sentiasa istiqamah di jalanMu. Amin ya Rabbal 'Alamin!

Wednesday, January 14, 2015

Happy 27th Wedding Anniversary

"Happy 27th Wedding Anniversary". Itulah ucapan yang diterima dari isteri sebelum aku bangun untuk solat Subuh di masjid pagi ini.

Orang perempuan memang tidak lupa tentang tarikh-tarikh sebegini; hari lahir kita, hari lahir dia, wedding anniversary, tarikh lahir anak-anak dan segala macam tarikh-tarikh lagi.

Semoga Kak Long berjaya menjadi doktor yang Islamik

Aku pula untuk mengelakkan dari lupa semua tarikh-tarikh yang aku kira penting, aku masukkan dalam diary. So, I've never missed the important dates to remember!

Jangan main-main, sesetengah isteri sangat particular tentang benda-benda macam ni. Bagi kita, ia perkara kecil dan tak perlu diraikan setiap masa tetapi bagi mereka, inilah saat-saat yang perlu diingat.

Walau apapun ingatlah tarikh-tarikh tersebut semoga kita merasa semakin dekat dengan Allah SWT. Allah yang menjadikan kita. Kita sebagai hambaNya. Tugas kita ialah untuk beribadat kepadaNya. Kita yakin dengan alam Akhirat, dimana kehidupan kita yang kekal abadi, baik (syurga) atau buruk (neraka) kesudahannya.

Kita juga harus ingat tarikh-tarikh lahir kerana usia masing-masing semakin meningkat dan semakin hampir dengan kematian.

Kita harus ingat tentang tarikh anniversary kerana untuk mensyukuri betapa Allah masih mengekalkan hubungan kita sebagai suami isteri. Anak-anak masih sayang kepada kedua ibubapa mereka.

Anak-anak penyeri kehidupan

Tidak semua keluarga dapat mengekalkan ikatan perkahwinan. Ada kawan aku yang berpangkat besar tetapi perkahwinannya hancur setelah dia berkahwin seorang lagi.

Untuk mengekalkan ikatan perkahwinanpun tidak senang. Ada masa dan ketika bahtera kita begitu sejahtera bergerak maju. Dan ada masa dan ketika ia seperti hendak karam, ditiup angin kencang, dilambung gelora dan bagai hendak pecah berkecai...

Kejayaan kita mengekalkan atau sebaliknya, semuanya adalah rahmat Allah. Allah SWT mengetahui segala-galanya. Kalau ikatan perkahwinan kita kekalpun tetapi suasana kehidupan tidak semesra dulu dan selesa... pun tidak guna juga. Dalam kes ini, mungkin memulakan kehidupan baru lebih berbahagia...

Hadis riwayat Abdullah Ibn 'Amr Ibn 'Aas (RAA) relates that the Holy Prophet (SAW) said: The whole world is a place of useful things and the best thing of this world is a virtuous woman (wife). (Muslim)
Anak-anak saudara

Apapun, aku bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan. Akupun tidak pasti berapa lama lagi ia dapat bertahan... Dan yang paling utama, akupun tidak tahu bila masakah aku bakal meninggalkan alam dunia yang fana ini...

Ya Allah, yang Tuhanku, Engkau ampunkanlah dosa-dosaku, dosa-dosa isteri dan dosa-dosa anak-anakku. Engkau tetapkan kami di atas jalanMu yang benar. Engkau sejahterakanlah kehidupan kami. Engkau rahmatilah kami. Ya Allah, sesungguhnya kami amat berharapkan syurgaMu. Berikanlah kepada kami kesudahan yang baik. Berikanlah kami kebaikan di dunia dan juga kebaikan di akhirat. Amin, ya Rabbal 'Alamin!

Thursday, January 8, 2015

Kedatangan Yang Tidak Dirancang...

Aku sepatutnya mengetuai misi bantuan i-bantu Pertubuhan IKRAM Johor ke kawasan Tanah Merah. Itu yang aku persetujui dengan Pengarah i-bantu Johor, Ir.Dr. Faizul Amri.

Tarikh yang diberi ialah 4 hingga 8 Januari 2015. Aku memaklumkan bahawa aku mempunyai kertas peperiksaan akhir yang perlu diselia pada 5 Januari dan alhamdulillah Tuan Hj Shaharudin Mohd Said sanggup untuk menyelia kertas peperiksaanku.

Semuanya all set. Tiba-tiba keluar pula iklan yang memerlukan 'Ketua Misi' untuk program i-bantu ke Pasir Mas, bertarikh 31 Disember 2014 hingga 3 Januari 2015.
Bergambar sebelum bergerak

Memandangkan final exam aku jatuh pada 5 Januari dan sekiranya aku mengambil misi ke Pasir Mas maka aku dapat menyelia sendiri 'final exam'. Tanpa melengahkan masa, aku terus menghubungi Dr. Faizul untuk menukar misi Tanah Merah ke misi Pasir Mas. Beliau dengan sukahati menerima pertukaran misi tersebut.

Dengan menerajui misi ini dan dengan mendapat 'blessing' dari Pengarah i-bantu Pertubuhan IKRAM Kelantan, Prof. Dr. Din Suhaimi Sidek dan yang paling utama iaitu dengan kehendak dan iradat Allah SWT yang menggerakkan hati Prof. Din supaya kami keluar sendiri menyantuni mangsa-mangsa banjir maka aku dapat membawa satu bas sukarelawan untuk membantu rakyat kampungku yang telah lama ditinggalkan.

Aku sama sekali tidak menjangka bahawa aku akan ke Palekbang dalam misi ini. Usah difikirkan untuk menemui sanak saudara...

Itulah apa yang dikatakan "Wamakaru wamakarallah, Wallahu khairul maa kirin". Kita merancang dan Allah juga merancang dan Allahlah sebaik-baik Perencana!
Aku bersama anak saudara Wan Imanul Amin

Misi ini telah menemukan aku dengan Tok Penghulu setidak-tidaknya, yang mana belum pernah aku berurusan dengannya.

Dan aku amat bersyukur kepada Allah SWT yang menemukan aku dengan sepupu sepapat yang menjadikan misi ini sebagai asbabnya. Alhamdulillah...

Aku menjumpai Chegu Din dan isterinya Chegu Sah dan anak-anak mereka. Chegu Sah sudah 4 tahun pencen dan sudah pasti Chegu Din lebih awal lagi.

Aku juga menjumpai Mohd Zali (adik Chegu Din) dan isterinya (akupun sudah lupa namanya) yang mana aku kira sudah puluhan tahun aku tidak menjumpai mereka. Mohd Zali, sepupuku inilah yang memboncengkan aku dengan 'cupchai'nya ke pejabat JPA Kuala Lumpur sekitar tahun 1982 semasa aku mengambil cek pendahuluan untuk ke California. Itulah kali pertama aku menjejaki kaki ke Kuala Lumpur! Sebelum itu, negeri-negeri yang pernah aku lawati hanyalah Kelantan dan Terengganu.

Negeri-negeri lain belum ada dalam peta mindaku pada masa itu. Berbeza dengan anak-anakku, Sekolah Islam Hidayah telah membawa mereka ke seluruh pelusuk tanah air. Kekangan ekonomi kedua ibubapaku yang membataskan untuk aku mengenali tempat-tempat lain.

Aku juga berpeluang untuk berjumpa dengan Kak Lah, isteri Abang Zin (sepupuku). Kak Lahlah yang menjaga Kak Long (Wan Khairunnisa) suatu ketika dahulu untuk beberapa waktu... Kak Lah dan Abang Zin mempunyai 11 orang anak dan sekarang kalau tidak silap dengar semasa dia memberitahuku baru-baru ni, sudah mempunyai 41 orang cucu. Rata-rata anak-anak Kak Lah berjaya memasuki universiti dan sudah pasti kehidupan mereka jauh lebih senang berbanding suatu ketika dahulu. Masa anak-anaknya masih kecil, kedai runcit arwah ibukulah tempat mereka datang mengambil barangan makanan.
Allahyarhamah ibu, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.


Aku juga berjumpa dengan Arif anak Suhaimi (adik Chegu Din). Anak-anak Chegu Din juga aku jumpa tetapi yang aku ingat nama hanya yang sulung, Yo (Shaharul) namanya. Yo kini sudah mempunyai 3 orang anak.

Mereka semua berkumpul untuk membersihkan rumah nenek mereka iaitu emak saudaraku, yang aku panggil Mak Su. Mak Su adalah adik kepada arwah ibuku. Malangnya aku tidak dapat berjumpa dengan Mak Su kerana beliau menginap di rumah anaknya yang lain.

Aku juga sempat berjumpa dengan Man, kawan sama-sama berkhatan pada tahun 1976. Rumahnya terletak berhampiran dengan bas yang kami parkir. Rumah kayu besar yang berwarna biru. Man juga merupakan dua pupuku atau Mat Salleh kata second cousin. Maknya dan arwah makku adalah sepupu.

Abangnya, Md. Nor memaklumkan bahawa beliau mendapat bekerja dengan UMK sebagai Pengurus Projek setelah bersara. Adik Man, Yah (tak ingat nama penuh) memperkenalkan suaminya kepadaku.
Menghubungi Tok Penghulu...

Secara tidak langsung, aku juga sempat berjumpa dengan kakak (Wan Azizah), abang (Wan Mohd Ghazali) dan anak-anak saudara (Mad, Hafiz dan lain-lain).

Itulah takdir Allah... Misi bantuan yang mempertemukan saudara atau menghubungkan tali sillaturrahim. Aku amat bersyukur kepadaMu, ya Allah!

Ya Allah, ya Tuhanku, Engkau kuatkan ikatan kekeluargaan sesama kami. Ya Allah, Engkau ampunkanlah dosa-dosa kami. Engkaulah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani... Amin!

Monday, January 5, 2015

Misi Bantuan Ke Kelantan...

Arahan misi yang diperolehi ialah Petugas Untuk Klinik Sementara. Tempat: Pasir Mas, Kelantan. Tarikh: 31 Disember 2014 hingga 3 Januari 2015. Sukarelawan: 30 orang (1 bas). Keperluan lokaliti: Makanan, dapur/keperluan memasak, air minuman, khemah, selimut, toto, ubat-ubatan, keperluan anak-anak dan wanita. Nota yang diberikan: HUSM telah set up klinik sementara di lokaliti. IKRAM Health menyediakan para doktor. Mereka kekurangan petugas-petugas untuk tolong urus klinik tersebut.
******************************************************************
Taklimat oleh Dr Harris
Bergambar sebelum bertolak

31 Disember 2014 - Kami bertolak dari Kompleks IKRAM Johor pada pukul 4.30 petang, berjumlah seramai 29 orang dewasa dan seorang kanak-kanak berusia 6 tahun. 13 orang lagi akan dipungut di Masjid Yong Peng.

Antara sukarelewan wanita

Solat Subuh di Masjid Jertih

Apabila sampai di Masjid Yong Peng, kamipun menunaikan solat Asar qasar secara berjamaah. Bas dipenuhi dengan 43 orang sukarelawan, termasuk seorang kanak-kanak.

'Family pack' yang dibuat
Agihan ke rumah-rumah

Kami menunaikan solat Maghrib dan Isya' secara jamak qasar di  Masjid Segamat. Seterusnya, kami makan malam di gerai yang berada di persimpangan antara jalan Segamat dan jalan Bandar Muazam.
Bergambar dengan Presiden IKRAM

1 Januari 2015 - Kami tiba di Masjid bandar Jertih sekitar 5 pagi. Kami menunaikan solat Subuh bersama-sama penduduk tempatan. Di sini kelihatan banyak lori 1 tan yang dihiasi cantik dengan lampu-lampu yang beraneka warna. Mereka juga dalam perjalanan ke Kelantan dalam rangka untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir.
Mengambil 'family pack' dari bas untuk diagihkan

Kami tiba di Hospital USM (HUSM) sekitar jam 8 pagi. Kami disambut oleh Dr Harris. Dr Harris adalah graduan dari CUCMS di Cyber Jaya. Beliau juga berasal dari Johor Bahru dan datang ke HUSM semata-mata untuk menjadi sukarelawan. Beliau sudah berhenti dari menjalankan 'housemanship' kerana ingin menjalankan perniagaan sendiri dan saya agak mungkin untuk membuka klinik sendiri.
Bahu jalan yang runtuh

Dr Harris membawa kami ke Pusat Islam HUSM. Di sini kami diberi taklimat dan sarapan pagi. Kalau mengikut Dr Harris, beliau mahu kami untuk berehat dahulu dan mula bertugas sekitar jam 2 petang tetapi Prof Dr Din Suhaimi yang mengetuai Pusat Operasi Bantuan Banjir NGO-NGO di HUSM mahukan kami terus berkhidmat.
Kelihatan sukarelawan berbangsa India yang membantu

Menurut beliau (Prof Din), kalau kita berehat dulu, ia akan mematikan semangat kita yang membuak-buak untuk membantu. Jadi, selepas makan kami terus ke Bangunan 12 Ubat Kompeni, Rejimen Askar Wataniah di dalam HUSM. Di sini, barang-barang dari seluruh negara yang dihantar oleh NGO dikumpulkan.
4WD yang datang mengambil barangan

Tugasan kami ialah mencatit inventori barangan masuk dan keluar. Tugasan kami juga termasuklah membuka semua kotak yang diterima yang mana terdiri dari makanan seperti sardin, biskut, garam, gula, susu tepung, susu pekat, tepung gandum, mi segera, kacang bersos, minyak, beras, mee hoon dan lain-lain lagi. Banyak juga 'pampers', sabun, berus gigi dan tuala wanita yang diterima. Air mineral beratus-ratus kotak.
Bergambar bersama Tok Pa yang berkunjung

Setelah dibuka semua kotak-kotak tersebut yang datang melalui kapal terbang dan juga jalan darat, kami mengisikan ke dalam beg plastik yang dikenali sebagai 'family pack'. 'Family pack' ini dimuatkan serba sedikit barangan tersebut bagi keperluan keluarga untuk jangkamasa seminggu. Jadi, pandai-pandailah kita mengagaknya...
Sesi membaca al-ma'thurat di Pusat Operasi

Pakaian juga banyak yang diterima. Ini termasuklah pakaian kanak-kanak dan dewasa, kain sarung, kain pelikat, kasut dan sebagainya. Pakaian dalam seperti coli dan seluar dalampun diterima dan semuanya yang baru. Untuk pakaian, kami tidak membuat inventori.
Sesi taklimat

Sungguhpun barangan banyak yang sampai di Pusat Operasi tetapi dengan bilangan kami yang ramai maka urusan 'unpacked' dan 'repacked' berjalan lancar dan boleh dikatakan ramai dikalangan kami yang merasakan bahawa kami adalah 'under utilized'.
Penyerahan bantuan kepada mangsa banjir

Kerja-kerja kami tidak terhad kepada 'packaging' semata-mata tetapi kami juga membuat 'unloading' dan 'reloading' dari kereta, 4WD dan lori yang datang menghantar dan mengambil barangan. Pakaian-pakaian yang dihantar secara 'bundle', kami lipat kembali supaya ia tersusun mengikut kategori kanak-kanak, dewasa, lelaki dan perempuan dan nampak lebih 'presentable'. Pun begitu, masih terasa kita tidak di'fully utilized'. Oleh itu, saya sebagai ketua misi membuat 'shift' supaya separuh dari kami balik berehat di Pusat Islam HUSM.
Memberi taklimat kepada sukarelawan

Disamping itu, kita juga tidak mahu para sukarelawan bekerja secara 'over worked' dan esok menjadi 'exhausted' dan tidak lagi mampu melaksanakan kerja dengan sempurna.
Agihan coklat dan gula-gula kepada kanak-kanak

Para sukarelawan tidak mempunyai 'authority' untuk mengeluarkan barangan kepada mana-mana pihak yang datang untuk mendapatkan barangan. Mereka yang ingin mendapatkan barangan perlu mendapatkan kebenaran dari pihak urusetia di bangunan 12 Ubat Coy dan membawa surat kepada kami di gudang barangan. Apabila urusetia meluluskan berapa kotak air mineral dan 'family pack' yang boleh dikeluarkan maka kami akan memuatkan barangan tersebut ke atas kenderaan mereka.
Antara mereka yang datang membantu dengan barangan

Dalam kumpulan kami ada seorang doktor (Dr Rosdina), seorang pelajar tahun akhir jurusan kedoktoran (Izzati) dan seorang 'nurse' lelaki (Muhammad). Mereka ini keluar bersama doktor-doktor tempatan dan doktor yang datang dari luar Kelantan untuk memberi perkhidmatan kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar daerah Pasir Mas. Antara lokasi yang telah mereka membuka kaunter perkhidmatan ialah di Masjid Beijing di Rantau Panjang dan di Masjid Kasa, Pasir Mas.
Mengagihkan bantuan dalam keadaan air belum surut sepenuhnya

Sedang kami melaksanakan tugas, tiba-tiba Tok Pa datang melawat ke pejabat urusetia, Pusat Operasi Bantuan Banjir HUSM. Beliau datang untuk mendapatkan maklumat dari para doktor yang bertugas. Prof Dr. Din Suhaimi memberikan taklimat kepada Tok Pa dan selepas itu beliau datang menemui para sukarelawan i-Bantu dari Pertubuhan IKRAM Johor. Pada hari yang sama, Datuk Seri Idris Jusohpun datang ke HUSM.  
Mendaftar barangan yang masuk

Kami sepatutnya menginap di Sekolah Sri Aman iaitu di surau al-Banna tetapi kami mengambil keputusan untuk berada di Pusat Islam, HUSM sahaja kerana lebih dekat dan hanya 'walking distance' dari Pusat Operasi. Bilangan kami yang seramai 25 lelaki dan 17 perempuan menginap di Pusat Islam, HUSM yang mana di tingkat bawah didiami oleh ikhwah manakala di tingkat atas oleh akhawat.


Kesemua kami balik dari Pusat Operasi ke Pusat Islam, HUSM kira-kira jam 11 malam.
Pusat Islam, HUSM

2 Januari 2015 -  Kami memulakan hari kedua dengan solat Subuh dan membaca al-Ma'thurat. Selesai mengambil sarapan yang disediakan oleh pelajar-pelajar Kolej Komuniti di Pusat Islam, kami bergerak ke Pusat Operasi.
Zakini Nasi Kukus

Prof Dr Din Suhaimi kesian kepada kami kerana tidak dapat turun ke medan kecuali 3 orang yang 'medical related' yang keluar membuka kaunter perkhidmatan kesihatan. Beliau menyuruh kami untuk membawa sebahagian barangan yang kami bawa untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir secara terus. Sebahagian barangan kami telahpun dikeluarkan kepada mereka yang datang mengambilnya di Pusat Operasi semalam.
'Unload' barang-barang yang sampai

Pada pukul 10 pagi, kami 'reload' barangan yang kami bawa seperti dapur, khemah, selimut, beras dan lain-lain disamping 30 'family pack' ke dalam perut bas kami. Kami juga membawa sedikit pakaian. Saya memaklumkan kepada Prof Din bahawa kami akan ke Palekbang, Tumpat untuk mengagihkan barang-barang tersebut.
Di pusat operasi bantuan banjir NGO, HUSM

Saya telah menghubungi Tok Penghulu Palekbang memaklumkan bahawa kami akan datang dengan sebuah bas untuk mengagihkan barangan kepada mangsa-mangsa banjir.
Pengagihan bantuan

Setibanya di Palekbang, kami terpaksa meletakkan bas di persimpangan 3 berhampiran Balai Polis kerana jalan ke arah Kg. Laut sudah dipenuhi dengan kereta di bahu-bahu jalan yang masih tinggal. Kebanyakan bahu jalan telah runtuh dibawa arus deras semasa banjir.

Kami disambut oleh Tok Penghulu dan kami masing-masing berjalan kaki memasuki kampung mengagihkan bantuan. Kami terpaksa berulang-alik mengambil bekalan dari perut bas.
Penyampaian bantuan kepada mangsa banjir

Satu peristiwa yang agak menarik di sini ialah kami didatangi oleh seorang lelaki dari bandar Tumpat yang datang bertanya samaada kami ingin nasi bungkus. Katanya, orang jarang memikirkan tentang kebajikan para sukarelawan, jadi dia datang untuk memberi nasi bungkus kepada kami. Subhanallah, ada juga orang yang prihatin kepada para sukarelawan. Apa lagi, saya tidak menolak permintaan orang yang ingin membuat kebajikan...

Selepas selesai urusan pengagihan, kami bertolak ke Masjid Muhammadi di Kota Bharu untuk menunaikan solat Jumaat.
Akhawat berada di tingkat atas Pusat Islam, HUSM

Di Masjid, saya terpaksa berada di saf kedua kerana di saf pertama nampak sejadah dihampar rapi mungkin untuk para pembesar. Pada tangkapan saya, mungkin Sultan Kelantan akan bersolat di sini. Selepas azan dilaungkan, rupa-rupanya Ketua Polis Negara, Ketua Polis Kelantan dan katanya Tengku Temenggung dan kerabatnya yang datang. Sebelum duduk, KPN menghulurkan tangan kepada saya dan saya menyambutnya.
Pusat Islam, HUSM

Selesai solat Jumaat, saya membawa rombongan sukarelawan untuk makan nasi kukus Zakini di Berek 12. Alhamdulillah, walaupun bilangan kami tidak sampai 40 orang tetapi harganya hampir RM500. Ya lah masing-masing mengambil 2,3 lauk dan ada yang mengambil ketupat sotong. Ketupat sotong adalah makanan 'special' di Kelantan dimana sotong diisikan dengan pulut dan kuahnya agak manis. Saya tidaklah peminat tegar ketupat sotong...
Masing-masing berkongsi duit untuk meraikan diri sendiri

Kami sampai semula ke Pusat Operasi sekitar jam 2.30 petang dan meneruskan kerja-kerja 'packaging'. Pada waktu petang, kami beramai-ramai membaca al-ma'thurat di Pusat Operasi.
Singgah solat Zohor dan Asar di Masjid Muazam Shah di Bukit Besi

Perkhidmatan kami tamat sekitar jam 11 malam setelah meraikannya dengan hidangan 20 biji pizza dari Domino's bersaiz 'regular'. 13 biji untuk ikhwah dan 7 biji untuk akhawat. Para sukarelawan i-bantu Pertubuhan IKRAM Johor berkongsi sesama mereka dengan mengeluarkan duit masing-masing.
Prof Dr Din Suhaimi sedang memberi taklimat kepada petugas-petugas

Kami juga memaklumkan kepada Prof Din bahawa esok pagi kami akan berangkat pulang ke Johor.
Menghantar bantuan

3 Januari 2015 - Kami bangun pada pukul 5 seperti biasa untuk menunaikan solat tahajjud. Selesai solat Subuh secara berjamaah kami membaca al-ma'thurat sughra bersama-sama.
Menghantar bantuan kepada mangsa banjir

Kami bersarapan dengan mee hoon yang mana sebelum ini, dua hari berturut-turut kami dihidangkan dengan nasi goreng oleh pelajar-pelajar Kolej Komuniti.
Proses 'unpacked' dan 'repacked'

Kami bergerak pulang pada pukul 9.15 pagi dan sampai di Kompleks IKRAM Johor jam 10.20 malam.
Pinjam 'wheelbarrow' orang kampung untuk mengangkat barangan bantuan banjir kepada mangsa
 Nota: Ada beberapa perkara yang saya rasa perlu di'highlight'kan di sini. Pertama, ada seorang sukarelawan wanita yang bernama May dari Australia (berdarah kacukan, rasanya Australia dan Malaysia) berkhidmat sepenuh masa di Pusat Operasi ini. Kedua, ada seorang perempuan muda berbangsa India menaiki 'flight' dari KL dengan membawa 'medical supply' datang ke HUSM untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Ketiga, ada 2 orang engineer berbangsa Cina datang berjumpa saya untuk melapur diri untuk menjadi sukarelawan.