Tuesday, January 12, 2010

Wang Pos Malaysia...


Sudah banyak sistem kita yang menyenangkan pelanggan, contohnya ada 'internet banking' dan sebagainya. Cuma ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki!

Saya ke Pejabat Pos untuk memasukkan Wang Pos Malaysia atas nama anak, Wan Abdul Rahman ke dalam akaun Tabung Haji (TH) Wan Abdul Rahman. Kita semua maklum, Pejabat Pos menerima deposit TH dengan bayaran 60 sen untuk satu transaksi.

"Tidak boleh Encik, Wang Pos ini perlu ditunaikan dulu.", maklum pegawai kaunter Pejabat Pos. Kalau hendak kira, Wang Pos itu dikeluarkan oleh Pejabat Pos dan hendak didepositkan pula ke dalam akaun penama Wang Pos tersebut, dan bukannya hendak di'cash'kan atau dimasukkan ke dalam akaun saya! Tetapi tidak boleh dilakukan...

Saya ke pejabat TH pula, dengan andaian kalau kita boleh depositkan cek, takkan Wang Pos tidak boleh! Jawapan saya terima juga negatif. Wang Pos tidak boleh dimasukkan ke dalam akaun TH penama tersebut.

Nilai Wang Pos bukanlah banyak, hanya RM30, hadiah dari bapa saudara Wan Abdul Rahman diatas kejayaannya mendapat 9A dalam PMR. Hendak suruh tuan punya diri tunaikan di Pejabat Pos bukannya satu kerja mudah kerana dia sudah tinggal di asrama SMIH. Tiada Pejabat Pos berdekatan dan tiada kenderaan awam...

Kadang-kadang logik akal tidak boleh mengalahkan sistem kewangan kita...

Bayar Cukai Tanah Di Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru

Pada hari Ahad, 3 Jan 2010, aku telah ke Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) untuk membayar Cukai Pintu. Agak 'convenient' kerana jalan tidak sibuk, bayaran tempat letak kereta tidak dikenakan, dan orangpun tidak ramai. Pada hari Ahad, MPJBT membuka kaunter dari 9am hingg 1pm. Sesiapa yang membayar cukai untuk setahun, dihadiahkan sekaki payung!

Pagi tadi, aku ke Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru pula untuk membayar cukai tanah yang mana rumah yang aku bayar cukui pintu itu berada di atasnya. Kalau hendak tengok tanah memang tiada kerana telah dilindungi bangunan! Bayar Cukai Tanah sebanyak RM36, manakala Cukai Pintu sebanyak RM259.

Aku bergerak ke Pejabat Tanah pagi tadi lebih kurang jam 7.20am dan sampai lebih kurang pada pukul 8.09am kerana kesesakan lalulintas di Tampoi. Nombor aku dipanggil sekitar jam 9.05am.

Disamping menunggu giliran, aku membuat pemerhatian di dalam pejabat. Apa yang baiknya ialah semua wargatua diberi nombor yang berlainan dan mereka agak cepat mendapat layanan. Pada mulanya, aku ingat pengawal keselamatan hanya mencari wargatua dari kalangan bangsa Melayu sahaja tetapi tidak, semua wargatua Melayu, Cina, dan India diberi layanan yang sama. Terdapat 2 orang pengawal keselamatan bersenjata yang bertugas memberi nombor kepada pelanggan. Tidak pasti pulak, adakah itu tugas hakiki mereka?

Satu lagi perkara baik yang dilaksanakan oleh Pejabat Tanah ialah mereka membuka kaunter bayaran di pejabat pemaju perumahan terpilih. Yang aku ingat tadi ialah di Pejabat Pemaju Perumahan Taman Setia Tropika, ada 2 lagi tempat yang aku sudah lupa... Kalau tidak silap aku, di pejabat pemaju, Pejabat Tanah membuka kaunter pada hari minggu.

Yang agak kurang baik ialah ialah kaunter yang disediakan adalah agak banyak tetapi yang dibuka operasinya hanya 2 pada awalnya, kemudian ditambah kepada 3. Sepatutnya, mereka membuka kesemua kaunter termasuk juga kaunter pertanyaan. Aku nampak tidak ramai yang bertanya, dan yang bertugas di kaunter pertanyaanpun nampak agak relax. Begitu juga dengan yang bertugas mengoyak nombor dan diberikan kepada pengawal keselamatan untuk diagihkan. Kerjanya boleh diambil alih oleh pengawal keselamatan!

Pejabat Tanah juga menyediakan pembayaran secara internet. Patutlah 'sms' aku kepada kawan-kawan menanyakan sesiapa yang ingin mengirim untuk membayar cukai tanah tidak berjawab! Kesemua kawan-kawanku mempunyai 'internet banking' dan mereka adalah IT savvy...

Satu lagi yang aku perhatikan ialah, bangsa Cina lebih ramai di Pejabat Tanah berbanding bangsa Melayu dan India, dan mereka membayar cukai lebih dari satu pegangan hakmilik!!! Apa maksudnya? Bumi Johor kepunyaan Cina???

Monday, January 11, 2010

Sayangkan Isteri, Kasihkan Ibu....


Suami rata-ratanya sayangkan isteri, lebih-lebih lagi apabila perkahwinan masih segar bugar. Kedatangan anak dalam kehidupan suami isteri akan membahagiakan dan mempereratkan lagi kasih sayang yang sedia terjalin.

Suami kadang-kadang alpa kepada ibu kerana terlampau sayangnya kepada isteri. Saya teringat suatu hari saya pernah 'menegur' ibu kerana kesian melihat isteri terpaksa berkemas rumah ibu saban waktu.

Pada masa itu, isteri tidak bekerja dan saya pula sibuk mencari kerja. Rumah ibu dikampung, kalau tidak bersepah angkara anak-anak saudara, kadang-kadang ayam naik ke atas rumah dan tahu-tahu sajalah... Ayam tidak turun ke tanah selagi tidak meninggalkan 'buah tangan'.

Saya tahu dan ingat sampai sekarang, arwah ibu terasa dengan teguran saya. Tetapi ibu... tidak pernah menunjukkan jiwanya terguris luka...

Saya juga tahu bahawa ibu sangat sayangkan saya, dan menantunya, isteri saya. Cuma kadang kala kita kurang peka perasaan ibu...

Ibu tak makan tak mengapa asalkan anak-anaknya makan. Ibu tidak ada pakaian baru tak mengapa, asalkan anaknya ada pakaian baru. Ibu tidak tidur kerana berjaga anak sakit tidak mengapa, asalkan anaknya lena dan semakin sihat...

Kita selalu dengar orang kata, "Ibu boleh memelihara anak-anaknya seramai 9 orang hingga besar tetapi anak-anaknya 9 orang belum tentu mahu menjaga ibu bila ibu sudah tua..."

Kita mungkin berkata dalam hati, "Ahh, itu orang lain, aku dan adik beradik lain mesti jaga ibu."

"Wahai anak-anakku, ingatlah jasa ibu! Berilah apa yang sepatutnya buat ibumu kerana jasa ibu tidak dapat dibalas sampai bila-bila..."

Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu. (Luqman; 14)

Sunday, January 10, 2010

Beberapa Keping Gambar Sepanjang Program Sehari R2J4 Bersama PALAPES


Disertakan gambar-gambar yang dapat dikongsi sepanjang program R2J4 bersama PALAPES. Mudah-mudahan mereka dapat mengambil tauladan perkara-perkara yang baik dan bermanfaat, dan meninggalkan segala perkara-perkara yang kurang baik.


Encik RSM, Sarjan Amir, Koperal Mustafa, dan staf yang lain memohon ampun dan maaf sekiranya ada terkasar bahasa dan terlanjur kata sepanjang program berlangsung. Nada suara yang tinggi, sedikit maki hamun, dan dendaan fizikal seperti 'front support' atau dalam bahasa orang awam 'pumping atau push-up' adalah asam garam kehidupan seorang askar untuk memantapkan mental dan fizikal mereka.


Saya bangga dengan peserta-peserta R2J4 yang berdoa dengan doa yang diajar Ustaz Hassanuddin sebelum mereka menjalani Program Night Walk Mencari Bintang. Terpaku Encik RSM apabila mereka berdoa dengan menepuk bumi, dan tidak cara konvensional yang selalu kita lihat....



Walaupun mereka diuji dengan pelbagai cubaan dan dugaan sepanjang 'night walk' di dalam Hutan Rekreasi UTM, semua peserta tabah dan berjaya melaluinya tanpa gagal walaupun seorang.


Saya amat berharap program singkat ini dapat membekalkan peserta R2J4 dengan semangat kental, disiplin tinggi, bertanggungjawab, dan semangat setiakawan apabila mereka bergerak ke Jawa nanti.


Akhir sekali, saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Prof Arshad dan isteri kerana turut sama hadir semasa 'obstacle course' dan 'night walk'; Kak Nailah dan Kak Azimah sepanjang program (Physical Trainning) PT pagi dan menembak M-16 dan LMG; PM Dr Zin semasa PT pagi; Ustaz Marzuki dan isteri, Hj Zainal Sidi, dan Kak Anisah semasa 'night walk'; dan abang dan kakak fasilitator (Asyraf Aminuddin, Asmaa Ahmadon, Abidah Ali, Nusaibah Hishamudin dan lain-lain) yang sentiasa membantu adik-adik junior mereka. Jazakumullahu khairan kathira....

Friday, January 8, 2010

Sehari R2J4 Bersama PALAPES...

Esok 'truck' askar akan mengambil peserta Road To Jawa 4 (R2J4) dari Kolej 17 dan membawa ke Markas PALAPES sekitar jam 0730. Seramai 23 peserta banin dan 25 peserta banat akan menjalani latihan selama sehari semalam di persekitaran markas. Program 'outdoor' ini agak berlainan dengan program 'indoor' yang telah mereka lalui sejak 1 Januari di bilik seminar Kolej 17.

Mengikut penerangan dari jurulatih (Encik RSM), mereka akan didedahkan tentang senjata M-16 dan Light Machine Gun (LMG). Mereka juga diberi peluang untuk menembak peluru kapur (blank). Seramai 10 orang jurulatih akan bersama mereka di sepanjang program.

Pada petangnya, mereka akan menjalani pengujian 'obstacle course' yang kebiasaannya digunakan oleh kadet-kadet PALAPES untuk membuat latihan fizikal. Kadet-kadet mengharungi halangan bersama 'bag pack' dan senjata M-16. Peserta R2J4 akan merempuh halangan dengan tiada apa-apa beban yang perlu dipikul atau digalas.

Sebelah malamnya pula, mereka akan dibawa ke kawasan hutan untuk 'Program Mencari Bintang'. Program dijangka tamat sekitar jam 0200 dan mereka akan di'ferry' pulang ke Kolej 17 dengan 'truck' 3 ton.

Peserta R2J4 diminta untuk membawa 2 pasang 'track suit' bersama kasut sukan, kain telekung, tuala dan sabun jika mereka ingin mandi, dan selipar untuk ke tandas.

Objektif program ini antaranya ialah untuk memberi pendedahan tentang penggunaan senjata, melatih peserta supaya berkemampuan melepasi 'obstacle course', berani, semangat setiakawan, berdisiplin, mematuhi arahan, menepati masa, 'self-confident' atau yakin diri, dan mempunyai tahap kesiapsiagaan mental yang tinggi.

Thursday, January 7, 2010

Apabila Ilmu Diperdagangkan....


Penulisan saya kali ini adalah berkaitan dengan coretan saya bertajuk "Susahnya Hendak 'Forward'kan Pandangan Ke Atas...", dan "Dasar Sesebuah Negara Adalah Dinamik" yang diposkan pada bulan November 2008. Seperti biasa, coretan saya sekadar meluahkan perasaan yang terbuku di hati dan 'purely academic', tiada maksud untuk mengecilkan hati atau 'condemn' sesiapa!

Minggu lepas, semua staf UTM yang sedang menyambungkan pelajaran mereka, baik diperingkat Sarjana atau PhD dipanggil ke Dewan Senat. Yang Berbahagia Dato' Prof Naib Canselor menyampaikan amanat serta halatuju UTM kepada kami semua.

Dato' menyatakan kita perlu pastikan 2 lagi kekosongan Research University (RU), salah satunya mesti diisikan oleh UTM. UM, UKM, dan UPM sudah bertaraf RU, dan USM lagi hebat bertaraf Apex (accelerated programme for excellence) University.

Menurut The Star Online, "Higher Education Minister Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin said with apex status, USM will be expected to move up the World University Rankings with a target of top 200 in five years' and top 100, if not top 50, by 2020."

Antara kriteria yang dilihat untuk mencapai RU atau menaikkan 'ranking' sesebuah universiti ialah 'student:lecturer ratio' mesti kecil. Jadi untuk mengecilkan kadar ini, samaada kita menambahkan pensyarah atau mengurangkan bilangan pelajar 'undergraduate'. 'The easy way out is to minimise the number of undergraduate intake'.

Dato' juga ada menyebut pasal kita perlu menjadi 'boutique' universiti. Maksudnya, UTM bukanlah pasaraya yang semua orang boleh datang (beribu-ribu dari segi bilangan) tetapi hanya membelanjakan dua tiga ratus bagi setiap orang. "Biar 10 atau 20 orang yang datang ke UTM tetapi membelanjakan RM20,000 atau RM30,000 bagi setiap orang", ujar Prof Zaini.

Sudah jauh berbeza pandangan NC Dato' Zaini dengan NC Tan Sri Ainuddin Wahid. Kalau Tan Sri Ainuddin dulu, kita perlu ramaikan jurutera di kalangan bangsa Melayu. Biarlah kita jual barangan yang murah-murah tetapi mampu dimiliki oleh anak bangsa kita...

Sayugia diingatkan jasa Tan Sri Ainuddin Wahid, namanya diabadikan di Masjid Jamek Taman Universiti, di kala dia masih hidup!

Bukan senang untuk mendapat nama diabadikan sebegitu dikalangan mereka yang bukan berdarah raja atau terlibat dalam politik... Apatah lagi, di kala nyawa masih dikandung badan!

Wednesday, January 6, 2010

Buat 'Porch' Untuk Teduhkan Van Dan Kolam Ikan


Orang biasa sebut 'awning' tapi yang sebetulnya penggunaan bahasa ialah 'porch'. Maksud 'awning' ialah a sheet of canvas on a frame, used for shelter. Manakala 'porch' pula ialah a covered shelter over the entrance of a building.

Hari ini proses membuat 'porch' di rumahku bermula. Dua orang pekerja Prof Mahmud telah datang lebih kurang jam 8.30 pagi tadi. Kayu-kayan telah berada di depan rumahku sejak petang semalam. Agak risau juga takut kayu dicuri orang... Semalaman lampu luar aku nyalakan!

Apapun aku bersyukur kepada Allah SWT kerana akhirnya dapat juga van berteduh di bawah naungan 'porch'. Kolam ikanpun, insyaAllah tidak lagi akan diselaputi 'algae' atau lumut kehijauan.

Sudah lama aku ingin dapatkan 'porch' sepertimana orang lain tapi sedikit demi sedikitlah... 'Last year' dah buat 'kitchen cabinet'. 'The year before' buat 'water proofing' dua bilik air yang bocor.

Tahun ini, insyaAllah buat 'porch' dan buat pintu untuk 'store room'.

Prof. Mahmud ada bertanya samaada hendak pasang 'tile' di bawah 'porch'. Aku kata, niat memang ada tapi biar dululah, insyaAllah lain kali...

Aku puji Prof Mahmud kerana beliau praktikkan kepakaran beliau. Sebagai profesor dalam bidang kejuruteraan awam beliau mempunyai syarikat sendiri yang diuruskan isteri beliau, Che 'Ah.

Pernah juga, aku melawak kepada kawan-kawan satu fakulti. "...katanya, bidang kepakaran pengurusan harta tanah tetapi rumah hanya ada satu! Kenapa tidak buat urusniaga beli rumah, jual rumah dan sebagainya..." Tetapi ada juga seorang dua yang mempunyai beberapa buah rumah dan rumah kedai untuk buat bisnes.