Wednesday, January 5, 2011

Kerjaya Anak-Anak...


Masa kita dulu, tak ada peluang untuk berbincang dengan ayah dan ibu pasal kerjaya masa depan. Ayah tak tahu apa. Begitu juga emak.

Seingat saya, masa di sekolah rendah dulu, setiap tahun ada borang yang perlu diisi tentang cita-cita. Tiga kerjaya yang popular pada masa itu adalah guru, polis, dan askar. Kerjaya yang lain-lain mungkin tidak tahu atau tidak didedahkan.

Guru, memang menjadi pilihan utama kerana kita selalu tengok guru kita. Begitu berautoriti dengan sebatang rotan ke sana ke sini di kawasan sekolah...

Polis dan askar pula mungkin kerana mereka nampak segak dan cantik dalam 'uniform'.

Pada masa kini, keadaan telah berubah. Informasi berada di hujung jari. Kita boleh tahu apa kerjaya dan maklumat tentang kerjaya tersebut dengan hanya menaip di komputer. Anak-anak kita mempunyai akses tentang maklumat kerjaya lebih baik berbanding dengan zaman kita. Tambahan pula, di sekolah ada guru kaunseling dan kerjaya.

Oleh yang demikian, skop pilihan kerjaya pelajar telah menjadi luas. Mereka mempunyai banyak pilihan untuk 'mengabdikan' diri mereka di masa depan sehinggalah mereka pencen.

Tetapi kadang-kadang, bila terlampau banyak pilihan juga menyusahkan. Membuatkan kita rambang mata dan sukar untuk membuat pilihan...

Masa inilah kita bertanya atau berbincang dengan ibubapa kerana takut-takut kita memilih bidang yang kurang sesuai dan akhirnya kita 'stuck' kat situ sepanjang hidup. Tetapi ada juga di kalangan masyarakat yang belajar di universiti bidang lain tetapi apabila bekerja di bidang lain. Jumlahnya tak ramai...


Setelah memilih kerjaya yang ingin kita ceburi atau tempohi, maka kita perlu belajar sedaya yang mampu bagi memenuhi kriteria kelulusan dalam matapelajaran-matapelajaran yang diperlukan di peringkat SPM. Bila kita cemerlang dalam SPM, pilihan kita untuk ke universiti agak luas. Begitu juga dengan peluang untuk mendapat bantuan biasiswa atau pinjaman...

Universiti yang ingin kita masuki juga seharusnya mendapat pengiktirafan dari pihak kerajaan. Ijazah dari universiti yang tidak diiktiraf hanya memberikan seseorang individu itu ilmu tetapi peluang pekerjaan mereka di sektor awam menjadi agak sukar.

Dalam kita hidup berjamaah, seharusnya perancangan kerjaya anak-anak selari dengan perancangan jamaah. Kita perlu ada anak-anak kita dalam semua perjawatan! Ada doktor, peguam, pensyarah, saintis, ustaz, askar, polis, pegawai tadbir & diplomatik, malah dalam politikpun perlu ada, disamping usahawan atau ahli perniagaan.

Semua perjawatan itu perlu dalam merealisasikan dakwah kita ke arah pembentukan negara Islam.

Kalau anak kita seorang doktor, biarlah ia menjadi seorang doktor yang islamik. Begitu juga kerjaya yang lain, menjadi seorang ahli politik tetapi ahli politik yang islamik. Tidak membeli banglo yang berjuta-juta diatas tangisan rakyat yang miskin dan daif. Tidak memiliki harta banyak tetapi rakyat susah.

Begitu juga peguam, polis, dan lain-lain. Menjadi seorang yang amanah, tidak rasuah, beretika kepada Allah, Rasul dan masyarakat.

Walau apapun perancangan, kecenderungan anak untuk menjadi 'apa' yang lebih penting! Kita hanya boleh memupuk semangat mereka ke arah perancangan kita tetapi 'at the end', dia yang akan belajar dan berkecimpung dalam bidang tersebut.

Anak-anak juga tidak mahu di'dictate' apa yang dia perlu 'jadi'... Biar mereka meneroka sendiri dengan bantuan, sokongan dan pengaruh dari kita.

Yang penting, kita tidak melemahkan atau mematahkan semangatnya yang berkobar-kobar itu. Cumanya, kita perlu memberi penjelasan dengan baik kepada anak-anak supaya mereka tidak akan menyesal kelak dengan pilihan mereka. Anak-anak, kadang-kadang kurang faham dan tidak mempunyai pandangan jangka panjang. Apa yang mereka nampak hanya untuk beberapa tahun ke depan.

Keterbukaan kita untuk menerima pilihan kerjaya anak-anak juga penting.

Begitu juga anak-anak, mereka seharusnya membuka minda untuk menerima input dari kita sebelum mereka memproses maklumat untuk memilih bidang kerjaya mereka...

Akhirnya, terserahlah kepada mereka...

Sunday, January 2, 2011

Mukhayyam Pewaris...

Alhamdulillah UMIJ telah berjaya membantu Pusat mengendalikan Mukhayyam Pewaris di Hutan Gunung Ledang pada 01/01/2011. Peserta dan fasilitator seramai 128 orang telah mendaki Gunung Ledang dari Tapak Perkhemahan Lagenda Resort menerusi check point 1 hingga ke check point 4. Check point 4 ialah di mana terletaknya Kolam Gajah.

Pada malam 31 Disember, peserta-peserta juga telah mengedar 'flyers' tentang bahaya zina dengan memakai baju berlogo IKRAM di depan dan slogan Anda Bijak Menjauhi Zina di belakang bersama web page Raudatul Sakinah. Pengalaman yang luas di kalangan peserta membuatkan mereka tidak kekok untuk berinteraksi dengan golongan remaja dan ibubapa yang membawa anak-anak ke Dataran Muar dan Dataran Ledang.

Berikut adalah gambar-gambar peserta dan fasilitator di Gunung Ledang;


Fasilitator Berehat Di Check Point 4, Kolam Gajah Sekitar Jam 11.30 Pagi.

Fasilitator yang kelihatan di dalam gambar adalah Abu Nuha, Dr Faizul, Hj Shaharudin, Dr Kamarul Baharin sebagai Kem Komandan, Ustaz Azim Alias, dan Dr Mat Hussin.



Ustaz Asim Alias, Abu Nuha, dan Dr Faizul Amri Di Check Point 2, Batu Orkid.



Peserta Akhawat Sedang Menunggu Untuk Mengerjakan Solat Subuh Secara Berjamaah



Peserta Ikhwah Sedang Menunggu Untuk Mengerjakan Solat Subuh Secara Berjamaah

Program ini yang berlangsung dari 31 Disember 2010 hingga 2 Januari 2011, juga mendapat kerjasama dari pihak IKRAM Muar. Bantuan ikhlas dari Cikgu Abdullah (YDP IKRAM Muar), Cikgu Norhan, saudara Anuar, dan ahli IKRAM Muar yang lain amat dihargai. Semoga mereka mendapat balasan setimpal dengan pengorbanan yang begitu besar yang diberikan...



Antara peserta akhawat yang terakhir tiba di kaki gunung iaitu lebih kurang 6.30 petang. Di sini mereka berhenti sejenak untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan menuruni gunung.



Fasilitator akhawat yang mengiringi peserta dan ditempatkan di setiap check point bagi melakukan aktiviti. Rata-rata fasilitator akhawat adalah siswi UTM dan makcik-makcik dari Skudai.



Peserta-peserta akhawat sedang mendengar arahan dari fasilitator sebelum menuruni Gunung Ledang dari Kolam Gajah.



Ramai juga di kalangan peserta ikhwah dan akhawat terdiri dari anak-anak sahabat. Anak Hj Kamal Khalil, anak Hj Mokri Sabran, anak PM Dr Mustapha Din, anak PM Dr Abdul Rahim, anak PM Dr Tholudin, anak menantu Hj Jaafar, anak menantu PM Dr Razali, anak Dr Jamaluddin Mohd Sheriff, anak Prof Shamsuddin, anak Prof Awaluddin dan lain-lain.



Ikhwah melakukan solat Zohor dan Asar secara jamak serta qasar di Kolam Gajah sebelum menuruni gunung.


Ikhwah sedang berkemas barang-barang sebelum berangkat turun. Pada malamnya, mereka akan membentangkan pengalaman penglibatan mereka dalam dakwah, pengalaman daurah di Kuala Lumpur, dan pengalaman mereka melalui aktiviti mukhayyam sepanjang pagi tadi hingga ke petang.

Hari ini (Ahad), mereka sepenuhnya akan melalui peringkat graduasi yang mana mereka yang berada di level ahli aktif 3 akan dinaikkan kepada ahli aktif 4.

Semoga penglibatan UMIJ selama sehari semalam diberi ganjaran oleh Allah SWT dan dikira sebagai sebahagian dari amal soleh kami, insyaAllah.

Wednesday, December 29, 2010

Anak Sahabat Kami Kembali MenemuiNya...

Balik dari main badminton petang semalam, aku lihat isteri sudah bersiap-siap untuk keluar. "Ada apa?", tanyaku. "Ada katibah, bermula dengan iftar bersama...", balas isteri. "Tengah tunggu Sabihah untuk pergi bersama", sambungnya lagi.

Sebentar kemudian, isteri mendapat panggilan telefon.

"Katibah cancel kerana adik Afiq, anak Norhisham Samiran baru meninggal di Klinik Penawar Taman Universiti...kerana semput", maklum isteriku. Isteriku amat mengenali Afiq dan nampak dia agak terkejut dengan berita tersebut.

"Ok, lepas solat maghrib... kita pergi ziarah", maklumku kepada isteri. "Nak ikut!", mula Rasyid. Kemudian, Syakir dan 'Ammarpun sama, mendesak supaya dibawa bersama. Aku memaklumkan kepada anak-anak bahawa hanya Ummi, Asmaa, dan abah aje yang pergi...

Masing-masing nampak kecewa. Arwah Afiq adalah senior setahun 'Ammar, dan junior setahun Achik semasa di Tadika Nahwal Iman lagi. Kemudian mereka sama-sama di SRIH dan SMIH.

"Baru-baru ini, Aman jadi fasi untuk Afiq", maklum abang. Abang menjadi fasilitator dalam salah satu program musim cuti sekolah anjuran IKRAM.

"Tu lah bang, kita kena bersedia untuk mati... Orang mudapun meninggal dan tak semestinya, tua macam abah baru mati", saja aku memberi tadzkirah kepada anak lelaki sulungku. Harap-harapnya, anak-anak yang lain juga mendengar dan mengambil iktibar.

Selesai solat maghrib, aku, isteri dan Asmaa keluar untuk ke Taman Mutiara Rini. Sebelum keluar, sudah telefon Hj Abdullah Zawawi, bertanyakan alamat rumah Norhisham.

Pusing punya pusing, namun tidak juga menjumpainya. Keluar dari kawasan Jalan Utama, pergi pula ke Jalan Bakti. Akhirnya, telefon lagi Dr Faizul. Balik semula ke kawasan Jalan Utama. Alhamdulillah, akhirnya berjumpa juga.

Di luar kawasan rumah, ada dalam 10 orang manakala di dalam mungkin berbelas-belas orang sedang membaca surah Yasin. Aku masuk ke dalam rumah bersama Asmaa yang sudah terlena, mungkin kerana lama berpusing-pusing tadi.

Di sudut depan ruang tamu, terbujur kaku adik Afiq yang baru berusia 13 tahun. Ya Allah, aku berdoa kepadaMu supaya menempatkan adik Afiq yang masih mentah ini di syurgaMu. Cucurilah rahmat ke atas rohnya, lapangkan dan terangilah kuburnya...

Selesai membaca surah Yasin, aku keluar rumah untuk memberi ruang kepada tetamu lain yang baru hadir. Ku lihat, berpusu-pusu orang datang, dari kalangan rakan taulan, guru-guru hidayah, dan sebagainya.

Semasa di luar rumah, aku sempat berbual dengan Azfar, abang kepada arwah... Azfar ini juga, ku kenali semasa di Tadika Nahwal Iman lagi.

"Petang tadi, arwah batuk-batuk... lepas tu, dia naik atas ke tandas untuk buang kahak. Bila keluar, dia guna 'inhaler' untuk ubat semputnya tapi tak jadi. Dia minta mesin, untuk pasang kat hidung... Tapi ubat itu masih tidak membuka rongga pernafasannya. Emak sapu minyak panas kat belakang Afiq... Tapi masih tiada kesan. Bila bawa ke klinik, dalam kereta nadinya sudah lemah... Sampai di klinik, doktor kata sudah tiada...", Itulah penerangan Azfar kepadaku.

Yang menyedihkan lagi, ayahnya masih dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Skudai semasa ketiadaan Afiq. Norhisham terpaksa mengambil flight dari KT ke KLIA dan dari KLIA diambil oleh sahabat-sahabat dari Skudai kerana flight KLIA ke JB sudah tiada.

Semoga Norhisham sekeluarga bersabar dan redha dengan ketentuan Allah... Inna lillahi wainna ilai hiraaji'un...

Monday, December 27, 2010

Kanak-Kanak Berdakwah Kepada Bukan Islam...


"Auntie nak masuk syurga tak?", tanya Qanitah kepada jiran sebelah rumahku. Qanitah, berumur 9 tahun, anak jiran sebelah rumahku di sebelah kanan manakala 'auntie' adalah jiran di sebelah kiri rumahku.

"Kalau auntie masuk syurga, apa aje auntie nak, akan dapat", sambung Qanitah lagi. Sebenarnya Qanitah, Rasyid, dan Sakinah bertiga bergerak dalam satu pasukan untuk mengajak makcik Cina, berumur lebih kurang 40 tahun kepada agama Tauhid.

Rasyid juga berumur 9 tahun dan Sakinah berumur 8 tahun.

"Tak pa lah, tak pa lah, auntie tak suka sembahyang kepada Tuhan yang tak nampak", balas auntie kepada anak-anak.

Sambil menunjukkan kepada tokong, auntie berkata, "Tuhan auntie tu bagi auntie sihat!".

"Macamana tokong yang orang buat boleh jadi Tuhan?", tanya Rasyid pula. "Tak pa lah, tak pa lah, tak baik cakap macam tu", balas auntie. Auntie mengalah dan mungkin tak ingin berbahas dengan anak-anak.

Sebenarnya, aku mendapat cerita ini dari Rasyid malam tadi. "Abah, abah... petang tadi, Qanitah, Rasyid, dan Sakinah tanya makcik Cina sebelah rumah kita bla... bla.....".

Pukul 8 pagi tadi, sebelum datang pejabat, Qanitah yang bertandang di rumahku pula menceritakan peristiwa yang mereka lalui. "Pakcik, semalam kita tanya makcik Cina sebelah rumah bla... bla....".

Kanak-kanak tak pandai menipu. Kanak-kanak juga tak fikir panjang.

Kita yang berfikir terlampau panjang pernah tak mengajak jiran kepada Islam? Nanti jiran terasa hati, nanti jiran tak tegur kita, nanti jiran itu dan ini... Seribu satu macam sebab yang menghalang kita dari mengajak mereka yang belum Islam kepada Islam.

Tetapi hakikatnya, itulah yang wajib kita buat. Rasulullah (SAW) mengajak manusia kepada Islam tanpa segan silu. Ada masa baginda kena herdik, ada masa baginda kena maki, dan ada masa baginda kena baling batu...

Baginda hanya inginkan umatnya menerima risalah tauhid. Beriman kepada Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Membawa keluar umatnya dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya kebenaran.

Pagi tadi, sedang aku membuka pagar untuk ke Masjid Sultan Ismail bersama Rasyid, suami jiran melaungkan 'morning' kepada ku. Suami 'auntie' bekerja di Singapura dan pukul 5.40 pagi sudah bergerak dengan motosikal untuk ke tempat kerja.

Aku rasa mungkin siisterinya menceritakan peristiwa tersebut kepadanya...

Thursday, December 23, 2010

Kem Tahunan PALAPES UTM 2010

Latihan Kem Tahunan PALAPES UTM 2010 berlangsung di sekitar kampus UTM, Kota Tinggi dan Pengerang dari 10 Disember hingga 24 Disember 2010. Sebelum itu, latihan tempatan telah bermula dari 6 Disember hingga 9 Disember di kampus UTM Skudai. Beberapa gambar menarik disertakan...


Lt. Kol Wee dari Markas Latihan, Mejar PM Dr Ahmad Ariffian & Mej Bad dari 501...


Kept Dato' Prof Ir Dr Alias selaku Timbalan Komandan PALAPES UTM memakaikan pangkat kepada salah seorang pegawai kadet intermediate selepas mereka berjaya melakukan serangan ke atas pasukan senior...


Upacara penutup Kem Tahunan PALAPES UTM 2010...


Lt. Kol Hj Samsudin selaku Ketua Jurulatih PALAPES UTM, Lt. Kol Rizal dari Markas Latihan sedang menikmati jamuan makan malam bersama wasit di Restoren Hassan Ong, Kota Tinggi...


Jamuan makan malam bersama para wasit...


Jamuan makan malam bersama para wasit...


Mej Hj Wan Ibrisam Fikry, Ketua Jurulatih, Ketua Cawangan Latih, dan pegawai-pegawai lain sedang mendengar kadet membaca perintah serangan. Perintah serangan dibuat dengan simulasi model supaya semua anggota kadet intermediate faham sebelum membuat serangan ke atas pihak musuh pada keesokan harinya...


Model simulasi keadaan tanah, sungai, topografi, tanaman, jalan, dan lain-lain dibuat bagi menunjukkan paksi serangan ke atas pihak musuh...


Anggota kadet intermediate tekun mendengar arahan perintah Ketua Platun supaya serangan yang akan dibuat berjaya... Penugasan diberikan kepada semua ketua seksyen, IC mortar dan semua yang diberi jawatan... Mereka yang berjawatan ini perlu memahami segala tugas dan perincian pergerakan mereka. Koordinasi antara seksyen, petugas senjata GPMG, mortar, dan lain-lain bakal merealisasikan kejayaan sesebuah serangan...


Pegawai-pegawai yang memberi input ke arah pembaikan penyampaian perintah...

Tuesday, December 21, 2010

Bengkel Jabatan Pentadbiran & Pembangunan Tanah Di Vistana Kuantan

Jabatan Pentadbiran & Pembangunan Tanah, Fakulti Geoinformasi & Harta Tanah telah menjalankan Bengkel Strategik pada 14 Disember 2010, bertempat di Vistana Hotel, Kuantan. Antara mereka yang hadir adalah seperti dalam foto-foto berikut;


Saudara Ummul Baharin selaku urusetia...


Hj Wan Ibrisam Fikry Hj Wan Ismail juga diminta hadir walaupun sedang cuti belajar


Kamaruzaman Abd. Rasid...


PM Dr Mohammad Tahir Sabit Hj Mohammad, Cik Robiah Suratman, dan Puan Nurdaliza...


Ketua Jabatan, Dr Hj Harun Shah Mat Zin...


Cik Faezah nun di hujung sana selaku urusetia...




Prof Salleh Buang...


PM Dr Hj Ismail Omar dan PM Hj Mohd. Zahib Hj Deraman...


KJ sedang memberi taklimat tentang halatuju, cabaran, saingan, dan harapan Jabatan...



Bengkel ini merancang halatuju Jabatan untuk 5 tahun akan datang... Nampak gayanya sesiapa yang bakal menerajui Jabatan ini pada masa depan akan menempuh pelbagai dugaan dan cubaan, baik di peringkat dalaman mahupun luaran.

Monday, December 20, 2010

Sekitar Majlis Penutup Kem Tahfiz Hidayah 2010...

Majlis Penutup Kem Tahfiz Hidayah 2010 berlangsung pada hari Ahad (19 Disember, 2010), jam 11 pagi hingga 12.30 tengahari. Dua tiga orang ibubapa turut serta dalam majlis penutup ini.

Majlis Penutup Dimulakan Dengan Bacaan Surah Taha, Ayat 1 hingga 37 oleh Wan Abdul Rahman & Terjemahannya oleh Yaqin


Majlis Penutup Dirasmikan Oleh Ustazah Zuraidah


Besarlah Harapan Ibubapa Untuk Melihat Anaknya Menjadi Seorang Hafiz @ Hafizah...


Semoga Pengorbanan Wang Ringgit Ibubapa Diterima Allah & Diberi Ganjaran Sewajarnya...


Antara Peserta Banin & Banat Kem Tahfiz Hidayah 2010


Peserta Banat Kelihatan Ceria...