Balik dari main badminton petang semalam, aku lihat isteri sudah bersiap-siap untuk keluar. "Ada apa?", tanyaku. "Ada katibah, bermula dengan iftar bersama...", balas isteri. "Tengah tunggu Sabihah untuk pergi bersama", sambungnya lagi.
Sebentar kemudian, isteri mendapat panggilan telefon.
"Katibah cancel kerana adik Afiq, anak Norhisham Samiran baru meninggal di Klinik Penawar Taman Universiti...kerana semput", maklum isteriku. Isteriku amat mengenali Afiq dan nampak dia agak terkejut dengan berita tersebut.
"Ok, lepas solat maghrib... kita pergi ziarah", maklumku kepada isteri. "Nak ikut!", mula Rasyid. Kemudian, Syakir dan 'Ammarpun sama, mendesak supaya dibawa bersama. Aku memaklumkan kepada anak-anak bahawa hanya Ummi, Asmaa, dan abah aje yang pergi...
Masing-masing nampak kecewa. Arwah Afiq adalah senior setahun 'Ammar, dan junior setahun Achik semasa di Tadika Nahwal Iman lagi. Kemudian mereka sama-sama di SRIH dan SMIH.
"Baru-baru ini, Aman jadi fasi untuk Afiq", maklum abang. Abang menjadi fasilitator dalam salah satu program musim cuti sekolah anjuran IKRAM.
"Tu lah bang, kita kena bersedia untuk mati... Orang mudapun meninggal dan tak semestinya, tua macam abah baru mati", saja aku memberi tadzkirah kepada anak lelaki sulungku. Harap-harapnya, anak-anak yang lain juga mendengar dan mengambil iktibar.
Selesai solat maghrib, aku, isteri dan Asmaa keluar untuk ke Taman Mutiara Rini. Sebelum keluar, sudah telefon Hj Abdullah Zawawi, bertanyakan alamat rumah Norhisham.
Pusing punya pusing, namun tidak juga menjumpainya. Keluar dari kawasan Jalan Utama, pergi pula ke Jalan Bakti. Akhirnya, telefon lagi Dr Faizul. Balik semula ke kawasan Jalan Utama. Alhamdulillah, akhirnya berjumpa juga.
Di luar kawasan rumah, ada dalam 10 orang manakala di dalam mungkin berbelas-belas orang sedang membaca surah Yasin. Aku masuk ke dalam rumah bersama Asmaa yang sudah terlena, mungkin kerana lama berpusing-pusing tadi.
Di sudut depan ruang tamu, terbujur kaku adik Afiq yang baru berusia 13 tahun. Ya Allah, aku berdoa kepadaMu supaya menempatkan adik Afiq yang masih mentah ini di syurgaMu. Cucurilah rahmat ke atas rohnya, lapangkan dan terangilah kuburnya...
Selesai membaca surah Yasin, aku keluar rumah untuk memberi ruang kepada tetamu lain yang baru hadir. Ku lihat, berpusu-pusu orang datang, dari kalangan rakan taulan, guru-guru hidayah, dan sebagainya.
Semasa di luar rumah, aku sempat berbual dengan Azfar, abang kepada arwah... Azfar ini juga, ku kenali semasa di Tadika Nahwal Iman lagi.
"Petang tadi, arwah batuk-batuk... lepas tu, dia naik atas ke tandas untuk buang kahak. Bila keluar, dia guna 'inhaler' untuk ubat semputnya tapi tak jadi. Dia minta mesin, untuk pasang kat hidung... Tapi ubat itu masih tidak membuka rongga pernafasannya. Emak sapu minyak panas kat belakang Afiq... Tapi masih tiada kesan. Bila bawa ke klinik, dalam kereta nadinya sudah lemah... Sampai di klinik, doktor kata sudah tiada...", Itulah penerangan Azfar kepadaku.
Yang menyedihkan lagi, ayahnya masih dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Skudai semasa ketiadaan Afiq. Norhisham terpaksa mengambil flight dari KT ke KLIA dan dari KLIA diambil oleh sahabat-sahabat dari Skudai kerana flight KLIA ke JB sudah tiada.
Semoga Norhisham sekeluarga bersabar dan redha dengan ketentuan Allah... Inna lillahi wainna ilai hiraaji'un...
No comments:
Post a Comment