Wednesday, December 8, 2010

Ceramah Tauhid Ust Shazili...


Alhamdulillah semalam sempat hadir kuliah Ustaz Shazili yang menceritakan tentang tanda-tanda kebesaran Allah dan Al-Quran sebagai mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad (SAW).

Ustaz adalah penuntut kepada Prof Dr Abdul Majeed Zindany semasa di belajar di Yaman dahulu. Buku Tauhid, karangan Zindany adalah menjadi silibus anak-anak kita di Hidayah.

Nabi Muhammad (SAW) sebagai seorang yang ummi (buta huruf). Kenapa dipanggil ummi? Kerana ramai di kalangan ummi (ibu-ibu) yang buta huruf.

Banyak cerita-cerita dalam Al-Quran yang menepati sains dan teknologi dan terbukti pada masa kini. Adalah sukar untuk Nabi Muhammad (SAW) untuk mereka cerita yang terdapat dalam Al-Quran, apatah lagi beliau seorang yang buta huruf!

Seorang bukan Islam bertanya tentang Islam dan dia ingin mengetahui samaada Islam mempunyai buku atau kitab. Apabila diberitahu ada iaitu Al-Quran, maka dia menyatakan bahawa agama yang lain sepert Yahudi, Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain juga mempunyai kitab. Dan dalam kitab-kitab ini, banyak yang bercanggah dengan Sains & Teknologi. Jadi, Al-Quran sudah pasti sama dengan kitab-kitab lain dan mempunyai percanggahan-percanggahannya.

Tetapi apabila diteliti, ternyata Al-Quran tidak mempunyai percanggahan walau satupun. Bahkan banyak perkara yang diterangkan Al-Quran lebih 1400 tahun dahulu ternyata pada hari ini. Ramai saintis yang takjub dengan apa yang terdapat dalam al-Quran.

Dikhabarkan Dr Maurice Buccaile telah menjadi penasihat kepada Al-Malik Faisal (Raja Kerajaan Arab Saudi dahulu). Dr Maurice merasa agak pelik apabila melihat seorang pembesar (Raja) masih menyembah Allah 5 kali sehari. Kebiasaannya, di kebanyakan negara, Raja adalah wakil atau setaraf dengan Tuhan. Beliau juga memeluk Islam akhirnya.

Banyak ayat-ayat yang dikupas Ustaz tentang kejadian Allah. "Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kebesaran Kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Quran itu adalah benar. Tidak cukupkah bagi kamu bahawa Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?" (Fussilat; 53)

Antaranya Ustaz menceritakan tentang ombak di permukaan laut dan satu lagi wujudnya ombak di dalam laut. "atau keadaan orang-orang kafir seperti gelap gulita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh gelombang demi gelombang, di atasnya ada lagi awan gelap. Itulah gelap gulita yang berlapis-lapis. Apabila dia mengeluarkan tangannya hampir tidak dapat melihatnya. Barang siapa tidak diberi cahaya petunjuk oleh Allah, maka dia tidak mempunyai cahaya sedikit pun." (An-Nur; 40)

Kita pernah melihat dalam filem 'Discovery National Geographic' bahawa ikan-ikan di lautan dalam mempunyai lampu kerana keadaan laut dalam yang begitu gelap. Dan begitulah diumpamakan Allah kegelapan (zulumat) hati orang-orang yang kufur seperti gelap di lautan dalam.

Ustaz juga menceritakan bahawa manusia akan menjadi lebih yakin apabila melihat sendiri dengan mata mereka akan sesuatu kejadian Allah. Seperti juga Nabi Ibrahim (AS). "Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata, "Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati." Allah berfirman, "Belum percayakah engkau?" Nabi Ibrahim menjawab, "Aku percaya, tetapi agar hatiku tenang." Allah berfirman, "Kalau begitu ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah olehmu kemudian letakkan di atas masing-masing bukit satu bahagian, kemudian panggillah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera." Ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana." (Al-Baqarah; 260)

Apa yang ditakuti ialah apabila kita telah mati dan melihat sendiri ancaman neraka, maka kita memohon kepada Allah untuk kembali ke dunia untuk berbuat amal. Sesungguhnya, tiada lagi peluang untuk kita kembali ke dunia. Hanya penyelasan yang tinggal!


"Dan seandainya engkau Muhammad melihat ketika mereka dihadapkan ke neraka, mereka berkata, "Seandainya kami dikembalikan ke dunia tentu kami tidak akan mendustakan ayat-ayat Tuhan kami, serta menjadi orang-orang yang beriman." Tetapi sebenarnya bagi mereka telah nyata kejahatan yang mereka sembunyikan dahulu. Seandainya mereka dikembalikan ke dunia, tentu mereka akan mengulang kembali apa yang telah dilarang mengerjakannya. Mereka itu sungguh pendusta. Dan tentu mereka akan mengatakan pula, "Hidup hanyalah di dunia ini, dan kita tidak akan dibangkitkan." (Al-An'am; 27-29)

No comments:

Post a Comment