Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Friday, December 17, 2010
Ikanku Mati...
Kolam di depan rumah sudah lama tidak berisi kerana menunggu untuk diperbaiki. Airnya meresap keluar!
Pernah isteri bersuara supaya diisikan tanah saja kolam itu dan dibuat tanam pokok...
Pada hujung minggu lepas, pekerja Prof Mahmood siap membuat 'water proofing' dan kolam ikan sudah tersedia untuk diisi semula.
Aku membiarkannya selama 2 hari supaya simen betul-betul kering. Sekembali dari Kuantan pada hari Selasa malam Rabu, aku terus mengisi air.
Di awal pagi Rabu, aku bersama Rasyid dan 'Ammar terus ke Kolej Dato' Onn Jaafar (Kolej 16 & 17) untuk mengambil kembali ikan-ikan ku yang ditumpangkan di kolam kolej buat beberapa purnama.
Rasyid begitu ceria menangkap ikan koi, lampam, sepat untuk dibawa pulang. Berbelas-belas ekor jugalah!
Kami membuat dua 'trips' kerana takut ikan yang telah ditangkap yang berada dalam baldi kehabisan oksigen. Lagipun perjalanan dari Kolej Dato' Onn Jaafar ke Taman Pulai Utama agak jauh...
Selesai memasukkan ikan-ikan tersebut di dalam kolam, PM Zahib pula tiba dengan 15 ekor ikan kelahnya untuk dimasukkan ke kolam ku.
Apabila dilepaskan ikan kelah ke kolam, nampak begitu gembira dan ceria sekali ikan-ikan tersebut kerana kolamku agak besar dan sebelum ini mereka menginap di tempat yang agak terhad.
Bila tiba waktu tengahari, Rasyid berteriak memanggilku. "Abah!, ikan mati!!" Aku melihat seekor ikan lampam terdampar di atas lantai di luar kolam. Beberapa ekor lagi sebesar tapak tangan tenggelam timbul dalam kolam... Anak-anak kelahpun sama!
Aku sudah meletakkan sebotol anti klorin dalam kolam. Segenggam garam juga telah dimasukkan...
Bilangan 'casualty' makin meningkat. Keesokan harinya, berbelas-belas ekor ikan mati. Baki yang tinggal iaitu 2 lampam dan 3 kelah telah aku, 'Ammar, dan Rasyid bawa semula ke kolam Kolej Dato' Onn Jaafar.
Cuma yang aku peliknya, seekor ikan sepat, 2 ekor kura-kura dan mungkin 10 ekor ikan koi yang berada dalam kolamku tidak mati. Mungkin ketahanan diri mereka lebih kuat untuk melawan air simen...
Begitulah kejadian Allah (SWT), ketahanan diri makhluknya berbeza-beza.
Sepatutnya aku menyapu kulit nenas dulu pada kolam tersebut sebelum meletakkan ikan. Kulit nenas bertindak meneutralkan alkali simen yang terdapat dalam air. Apapun, ia telah menjadi pengajaran buat ku.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment