Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Wednesday, December 15, 2010
Mabruk Sahabatku...
Pada petang Isnin, aku bertolak ke Kuantan. Pajero dipandu Ummul sampai di Hotel Vistana kira-kira jam 10 malam. Pagi esoknya, kami dari Jabatan Pentadbiran Tanah, Fakulti Geoinformasi & Harta Tanah, berbengkel sehingga jam 5 petang.
Kemudian, aku, Zahib, Fadly dan Ummul bergerak menghala ke Skudai. Kira-kira jam 9 malam, kami sampai di Masjid Sultan Ismail, UTM. Selesai menunaikan solat Maghrib dan Isya' secara jamak ta'khir serta qasar, kami mengisi perut yang kosong di Papa Chop Mama Grill. Zahib yang belanja.
Sampai di rumah, aku terus membuka e-mail dan seperti diduga e-mail ku mencapai sehingga 60 lebih. Dalam banyak-banyak e-mail, satu e-mail yang begitu menarik perhatianku.
Seorang sahabat menulis bahawa dia akan menikah kali kedua pada esoknya iaitu pada hari ini. Sahabatku memohon doa supaya pernikahannya diberkati dan diberi kekuatan kepada dirinya, isteri pertama, isteri kedua, dan anak-anak mereka untuk terus istiqamah di jalanNya.
Sungguh mulia hati isteri pertamanya, Kak Saimah merelakan suaminya beristeri lagi dengan seorang janda beranak dua. Ya, Allah! Engkau anugerahi syurgaMu kepada Kak Saimah diatas keikhlasan dan pengorbanannya. Sungguh susah hendak mencari isteri yang rela dimadukan.
Sebelum ini, aku sudah dengar tentang iklan ada seorang janda yang ingin dimadukan. Janda ini bercerai hidup dengan suaminya. Maklumat ini diwar-warkan tetapi nampaknya tiada yang berani atau tanggungjawab untuk memiliki isteri lebih dari satu adalah satu perkara yang mustahil buat kami.
Alhamdulillah, akhirnya sahabatku yang sudi diuji bersama anak isterinya. Aku amat mengharapkan supaya sahabatku ini dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik dan akan menjadi contoh tauladan atau qudwah hasanah kepada yang lain-lain.
Banyak kita lihat mereka yang berpoligami tetapi tidak ramai yang 'smooth sailing'! Ada-ada aje tiupan angin taufan yang bergelora, yang menguji tahap keimanan kita sebagai da'ie...
Dan ramai yang tersungkur akhirnya...
Aku amat menghormati sahabatku ini yang sanggup mengambil isteri kedua demi menjaga kebajikan mereka. Isteri pertama dan anak-anak dari isteri pertama begitu sepakat membenarkan dan meraikan madu atau bakal mak tiri mereka. Itulah sepatutnya, isteri dan anak da'ie yang faham tentang Islam dan sanggup berkorban demi menjaga maslahah ummah. Allahu Akbar!
Ya Allah! Berkatilah kehidupan kedua-dua keluarga sahabatku dan berikanlah ketabahan dan kesabaran kepada mereka dalam menyelesaikan segala masalah yang bakal keluar di hari muka. Tempatkanlah isteri pertamanya yang sanggup berkorban demi madunya di dalam syurgaMu ya Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment