Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Tuesday, June 30, 2009
Biasanya Pelari Pecut DiKala Menuju Garisan Penamat
Apabila menonton pertandingan larian; baik 10,000m, 5,000m, 1,500m, malah 200m dan 100m pun, pelumba lari akan memecut sepenuh tenaga apabila mereka menuju ke garisan penamat.
Tidak pernah kita lihat, mereka bersahaja atau melengahkan larian apabila garisan penamat semakin hampir. Keinginan untuk menang mendorong pelumba berlari lebih pantas menuju ke garisan penamat...
Kita mungkin berlari jauh dan kadang-kadang terasa penat dan ingin berehat di tengah jalan. Arnab yang berlari laju pada awalnya kemudian berehat seketika sebelum kembali memecut...
Kadang-kadang banyak halangan yang muncul dikala berlari... Duri di tengah jalan, pokok besar melintang di perjalanan, bunga-bunga yang kembang dan semerbak mewangi menarik perhatian di kiri kanan jalan. Tak kurang juga betis dan paha terasa semakin kenyal, dan lutut semakin longgar. Tapi yang pasti kita perlu berlari dan terus berlari...
Semakin kita tua, sepatutnya semakin banyak kita beramal. Wang dan harta seharusnya lebih mudah kita belanja ke jalan Allah. Apakan tidak, kita sudah semakin stabil dan selesa dari segi kehidupan duniawi... Tidak salah kita mengumpul harta tetapi keluarkan hak-hak mereka jua dalam bentuk zakat dan sedekah.
"...Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menginfakkannya di jalan Allah, maka berikanlah khabar gembira kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) azab yang pedih. (Ingatlah) pada hari ketika emas dan perak dipanaskan dalam neraka Jahanam, lalu dengan itu diseterika dahi, lambung, dan punggung mereka (seraya dikatakan) kepada mereka, "Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah (akibat dari) apa yang kamu simpan itu." (At-Taubah; 34-35).
Ilmu agama juga semakin bertambah. Praktikkanlah! Ilmu bukan sekadar untuk dibaca dan dipelajari tetapi untuk diamalkan! Amal tanpa ilmu adalah sesat dan ilmu tanpa amal adalah sia-sia...
Ayuh, jangan tunggu lagi! Esok belum tentu masih ada bagi kita...
Monday, June 29, 2009
Inna Lillahi Wainna Ilaihi Raaji'un...
Tengahari tadi, sewaktu aku di Mersing, tiba-tiba telefon berdering... Suara adik iparku, Asmini menyatakan bahawa Cik Nab telah kembali ke rahmatullah jam 9 pagi tadi.
Hajjah Nik Zainab bt Nik Sulaiman atau dikenali sebagai Cik Nab oleh kami, merupakan adik kepada ibu mertuaku. Cik Nab adalah ibu saudara yang paling rapat dengan keluargaku berbanding dengan abang-abang atau adik ibu mertuaku yang lain. Mungkin disebabkan oleh ibu mertuaku yang agak karib dengannya maka kamipun tidak terasa kekok apabila bertandang ke rumahnya.
Aku terasa sungguh pemergiannya kerana setiap kali aku pulang ke Kelantan, jarang sekali aku tak pergi ke rumahnya. Setidak-tidaknya, di pagi aku hendak berangkat ke JB, aku sekeluarga dijemput untuk 'breakfast' di rumahnya. Begitulah, sikapnya yang mesra dengan aku dan Ma (isteriku dan anak saudaranya), disamping keramahan yang ditunjukkan kepada 9 orang anak-anakku...
"Cik Nab, Wan doakan semoga Cik Nab diampunkan segala dosa dan ditempatkan bersama-sama para solihin dan diberi ganjaran Syurga". Tiada apa yang dapat aku berikan selain doa yang mengiringi pemergianmu, Tok Nab (panggilan anak-anakku padanya)!
Aku ingin menziarahimu, tapi apakan daya... Untuk aku memandu pulang sejauh 12 jam perjalanan terasa agak sukar. Untuk aku mengambil 'flight' pulang bersama keluarga adalah di luar kemampuanku. Lagipun di sini, aku terpaksa menguruskan pergerakan anak-anak ke sekolah.
Sebenarnya, aku ke Mersing demi tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan untuk membantu memberi motivasi kepada pelajar-pelajar Tingkatan 5, Sekolah Menengah Islam Hidayah (SMIH). Aku ke sana sejak pagi Sabtu lagi dan baru kembali ke rumah waktu Maghrib tadi... Terasa penat juga...
Dari Allah kita datang, kepada Allah jualah kita kembali! Semoga rohmu dicucuri rahmat Allah SWT....
Friday, June 26, 2009
Mengerjakan Ibadah Haji - 20
Majoriti yang menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia memakai jubah, baik lelaki mahupun perempuan. Sungguh cantik sekali, Pak Haji berjubah dan kain serban dililitkan di leher atau diletakkan di bahu. Mak Haji pula mengenakan jubah yang dibeli di Madinah atau di Mekah, bertudungkan dengan kain tudung Turki.
Apabila pesawat KT25 meluncur ke udara, maka fikiran mula melayang-layang menggambarkan bagaimana nasib anak-anak di kampung. Macamana makan minum mereka selama 43 hari? Bagaimana keadaan Sakinah yang berusia tak sampai 100 hari? Bagaimana Rasyid yang baru berusia setahun lebih? Dan macamana dan bagaimana....
Persoalan-persoalan yang dilupakan seketika mula kembali di kotak fikiran. Cuma yang seronoknya, hanya tinggal beberapa jam lagi, kami akan bersama mereka.
Di atas pesawat seperti biasa kita dijamukan... Juadah masakan atas flight memang dari dulu menjadi kegemaran saya. Sungguh berselera sekali...
Tiba di KLIA, kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu menggunakan Air Asia yang telah saya tempah pergi dan balik, sebelum menunaikan ibadah haji lagi. Di airport Kota Bharu kelihatan sungguh ramai manusia menunggu saudara mara mereka yang pulang dari Tanah Suci.
Anak-anak kelihatan memanggil nama ummi dan abah, sementara kami menunggu beg yang baru diletakkan di atas roller bagasi. Sungguh gembira nampak mereka! Yang pasti, mereka mesti bertanya apa hadiah yang dibelikan untuk mereka...
Keluarga sebelah isteri dan sebelah aku, ramai juga yang datang... Mereka merasa sungguh seronok melihat keadaan kami. Aku dan isteri alhamdulillah, tiada masalah kesihatan yang dihadapi. Cuma isteri mendapat batuk-batuk sikit...
Pada 25 Jun 2008, aku sekali lagi mendaftar untuk pergi menunaikan haji. Tahun pilihan menunaikan haji yang ku perolehi ialah 2022 bersamaan 1443H... Oleh itu, amat wajar tuan-tuan mendaftar sekarang kerana tahun kelulusan untuk menunaikan haji mungkin 15 atau 20 tahun akan datang! Cuma, apabila kita mendaftar haji, RM100 akan didebitkan dari akaun kita...
Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syari Kala Kalabbaik.....
Tuesday, June 23, 2009
Mengerjakan Ibadah Haji -19
Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syari Kala Kalabbaik Innal Hamda Wanni'mata Lakawalmulk Laasyariikalak...
Perjalanan dari Mekah ke Jeddah mengambil masa 5 jam. Perjalanan meninggalkan Kaabah atau Baitullah amat syahdu. Sayu untuk meninggalkan tempat Nabi Ismail ditinggalkan ibunya, Hajar untuk mencari air. Pilu mengenangkan Nabi Ismail rela menghulur leher hendak dikorbankan ayahnya, Nabi Ibrahim. Hiba mengingatkan peristiwa Nabi Muhammad dilempar najis ketika sujud di Baitullah, dan dibersihkan anaknya, Fatimah.
Ya Allah, jadikanlah kedatanganku ke rumahMu ini, bukanlah kedatangan yang terakhir! Amin...
Barang-barang atau beg tambahan dimuatkan ke dalam lori secara berasingan. Kita menaiki bas bersama 'hand luggage' sahaja menuju ke Radisson Hotel di Jeddah. Setiap jemaah haji yang mengerjakan haji secara pakej dengan TH diberi penginapan percuma semalam bersama isteri sebilik di Jeddah. Inilah pengalaman indah, makan, tidur, dan berada di hotel secara 'privacy'.
Tiba di Radisson Hotel waktu malam, kami dijamukan makan malam secara 'buffet'. Pihak TH memaklumkan bahawa barang-barang yang kita hantar melalui lori telah sampai di airport dan akan ditimbang. Jika barangan tersebut melebihi had, kita akan dikenakan caj tambahan.
Masing-masing mengira berapalah mereka kena 'top up' bayaran. Barang-barang yang dibawa 2 atau 3 kali ganda lebih dari berat yang dibenarkan. Saya dan isteri memang tak banyak barang. Jadi kamipun sama-sama berdoa supaya tidak dikenakan caj yang berlipat ganda.
Keesokannya, kami berangkat ke airport Jeddah. Walau bagaimanapun, jemaah haji tidaklah berada di airport yang sebenar tetapi kami ditempatkan di terminal sementara. Terminal ini hanya beroperasi di musim haji.
Di sini juga, kami dimaklumkan bahawa semua barangan kita yang ditimbang dulu telah lepas dari pembayaran caj tambahan. Alhamdulillah, bukan main seronok lagi para hujaj yang banyak shopping...
Menunggu di terminal ini juga agak lama. Kalau tak silap, kita dibekalkan makanan oleh TH dalam pak polisterin.
Apabila tiba masa untuk berlepas, kita dibawa ke terminal sebenar dengan 'tram'. Di sini, passport haji (berwarna hijau) diperiksa di kawasan imigresen. Ada dikalangan hujaj yang membawa air zamzam tambahan dalam botol kecil tidak dibenarkan dibawa masuk. Mereka diminta meminumnya atau dibuang saja di situ sebelum menaiki pesawat.
Sebenarnya, setiap jemaah haji akan dibekalkan dengan 10 liter air zamzam apabila tiba di KLIA nanti.
Sebelum menaiki pesawat, setiap jemaah dibekalkan dengan sebuah mushaf bersaiz besar dari kerajaan Arab Saudi sebagai 'complimentary gift'...
Monday, June 22, 2009
UTM Menang Kontinjen Terbaik Perbarisan
Tahniah sekali lagi kepada Pegawai Kadet PALAPES UTM (sekarang bergelar Pegawai Muda) kerana memenangi perbarisan pada Sabtu lepas! Menurut sumber dalaman, markah UTM adalah sama dengan UM tetapi disebabkan kadetnya tumbang semasa perbarisan maka mereka jatuh ke tangga 9.
Tempat kedua dimenangi oleh UTHM. Manakala tempat ketiga, kalau tak silap saya UPSI atau UUM... Lupa pulak!
Hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato' Zulkifeli bin Mohd Zin di Dewan Sultan Iskandar.
Segala penat lelah sepanjang 3 tahun terbalas apabila usaha mereka menggapai kejayaan cemerlang di gelanggang sendiri. Syabas dan tahniah, sekali lagi.
Sekarang para Pegawai Muda ini sibuk membuat persiapan bagi acara terakhir mereka iaitu Makan Malam Rejimental (Mess Night). Makan malam ini yang akan dihadiri oleh YTM Tengku Mahkota Johor akan dilaksanakan di PERSADA Johor pada 24 Jun. Selesai saja istiadat makan malam ini, maka selesailah tugas mereka.
Yang tak kurang penting malah yang lebih utama selepas ini ialah meneruskan pengajian mereka sehingga tamat. Saya sangat berharap agar mereka terus gagah berjuang di pentas akademik sehingga mereka mendapat Ijazah Kepujian Kelas Pertama.
Para ibubapa yang datang melihat mereka ditauliahkan tempohari ingin datang lagi ke UTM untuk melihat mereka mendapat segulung ijazah pula. Ayuh parajurit! Teruskan perjuanganmu!
Sunday, June 21, 2009
Selamat Hari Bapa....
"Selamat Hari Bapa En. Wan", aku dapat pesanan ringkas dari Epul semalam. Epul baru saja melangsungkan perkahwinannya di Kota Bharu pada cuti sekolah baru-baru ni. Sibuk dengan pentauliahan PALAPES, aku hanya bercuti di Skudai dan tidak sempat menghadiri walimah Epul.
Epul sangat rapat dengan ku. Akulah yang menjadi penjamin baginya semasa beliau mengikuti kursus KPLI. Sekarang, kalau tak silap aku, beliau bertugas di Sabah.
Pagi tadi, semasa di Pasar Tani Taman Sri Pulai, Sakinah dan Rasyid, anak-anakku mengucapkan perkara yang sama. Akupun tak pasti, adakah hari ini disambut Hari Bapa...
Kalau betul hari ini Hari Bapa, aku agak hanya segelintir manusia yang perasan. Yang lain, samaada tak perasan atau tak berapa kisah...
Memang, kalau nak dibandingkan dengan ibu, jasa ayah kurang terserlah! Apatah lagi kalau ayah hanya tahu memarahi anak-anaknya saja, minta disediakan makan minumnya dan tidak mempedulikan rumahtangga.
Pun begitu, aku pernah menasihati bekas pelajarku yang amat membenci ayahnya. "Ayah mungkin melakukan kesilapan malah mungkin tidak berlaku adil tetapi untuk kita terus membencinya buat selama-lamanya adalah tidak wajar", jelasku. "Tanpa ayah, kita tak mungkin wujud", tambahku lagi.
Martabat ibu di sisi Islam sungguh tinggi nilainya, tiada tolak bandingnya! Cuma, melupai langsung pengorbanan ayah adalah agak kurang manis...
Selamat Hari Bapa....
Friday, June 19, 2009
Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES IPTA ke -28
Pada 20 Jun 2009 bersamaan 26 Jamadilakhir 1430H, akan berlangsung Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES IPTA ke-28 di UTM. Upacara ini telah berlangsung selama 28 tahun, yang mana kadet IPTA dilatih selama 3 tahun bagi melayakkan mereka untuk dianugerahkan watikah oleh Seri Paduka Baginda (SBP) Yang DiPertuan Agong sebagai Leftenan Muda dalam kor Rejimen Askar Wataniah.
Kadet-kadet PALAPES dilatih sebagai aktiviti ko-kurikulum mereka pada hari Sabtu dan sebahagian dari cuti semester mereka. Tujuan latihan adalah untuk mendedahkan mereka dengan alam ketenteraan, disamping menjadikan mereka sebagai anggota tentera terlatih yang bersedia untuk digerakkan ke medan peperangan apabila negara memerlukan.
Bagi upacara pada tahun ini, SPB Yang DiPertuan Agong telah mewakilkan kepada Sultan Johor dan kemudiannya mewakilkan kepada YTM Tengku Mahkota Johor. Pada tahun lepas, UKM telah menjadi tuan rumah dan Almarhum Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan telah berangkat mencemar duli menyampaikan watikah.
Persiapan padang kawad dan Dewan Sultan Iskandar (DSI) bagi penyampaian watikah begitu teliti. Padang kawad perlu dihiasi sebaik mungkin bagi upacara perbarisan oleh kadet. Upacara besok dijangka bermula seawal jam 6.30 pagi. Setelah selesai di padang kawad sekitar jam 9.30 pagi, mereka akan bergegas ke DSI untuk menerima watikah. Seramai 1,198 pegawai kadet akan ditauliahkan pada tahun ini.
Upacara penyampaian watikah dijangka berakhir pada waktu tengahari. Seterusnya, mereka akan bergambar secara berkumpulan mengikut IPTA masing-masing di dalam DSI.
Suasana gembira dan meriah akan mereka rasai kerana ibubapa dan adik beradik mereka juga ada bersama. Ibubapa dijangka akan sampai pada malam ini dan mereka menginap di kolej kediaman bersama-sama anak mereka.
Apa yang diharapkan oleh pihak penganjur adalah supaya perjalanan istiadat berjalan lancar dan cacat cela dapat diminimakan.
Selesai saja program besok, pegawai kadet yang baru ditauliahkan ini akan membuat persiapan untuk upacara makan beradat (mess night) yang akan berlangsung di PERSADA pada 24 Jun. Mereka yang baru bergelar pegawai muda ini akan merasai buat pertama kali majlis makan malam secara rejimental bersama YTM TMJ.
Selesai program ini, episod baru iaitu untuk merekrut bakal-bakal pegawai kadet peringkat junior akan bermula. Kebiasaannya, pelajar-pelajar baru yang mendaftar pada bulan Julai ini akan diambil untuk mengisi kuota kadet junior. Selalunya kita ambil 150 kadet tetapi apabila tamat 3 tahun, yang masih kekal bersama hanya separuh darinya.
Saya doakan upacara istiadat pentauliahan esok berjalan lancar!
Thursday, June 18, 2009
Mengerjakan Ibadat Haji -18
Aku dan isteri boleh dikatakan tak pernah 'missed' solat di Masjidil Haram. Suatu hari, selesai solat Zohor kamipun keluar dari Masjidil Haram. Di celah ketiak aku, terkepit sejadah dan Al-Quran yang selalu menjadi teman setia apabila ke masjid.
Di Masjidil Haram memang banyak Al-Quran yang tersusun rapi dan hamparan permaidani merah yang cantik. Cuma kami merasakan lebih selesa membaca Al-Quran sendiri yang mana kita boleh tanda dimana kita berhenti. Sejadah pula digunakan apabila kita berada di kawasan yang kadang-kadang tidak bercarpet.
Dalam perjalanan, kami singgah di salah sebuah 'supermarket' untuk mendapatkan kurma muda yang rasanya manis dan kelat. Selesai membeli-belah, aku dan isteri kembali ke hotel.
Apabila tiba di hotel, aku dapati Quran kesayanganku tiada dalam lipatan sejadah. Al-Quran berwarna biru sebesar 6" X 4" memang sangat ku sayangi. Aku membeli Quran itu di Mekah sebaik tiba dari Madinah dengan harga 15 Rial.
Tanpa berlengah, aku terus menjejaki balik jalan-jalan yang dilalui termasuk 'supermarket' dan kawasan Masjidil Haram. Malangnya, tiada apa yang ku jumpai!
Aku balik semula ke hotel memaklumkan kepada isteriku bahawa Quranku tidak dijumpai! "Takpalah bah, beli yang lain", saran isteriku bagi menyedapkan hati. Memang, it's no big deal! Tetapi bagi aku, Quran itu sangat bermakna...
Keesokannya, selepas solat Subuh, aku mengajak isteriku untuk mencarinya pula di tempat 'Lost and Found' di dalam kawasan Masjidil Haram. Rupa-rupanya di booth 'Lost and Found' pelbagai benda orang tertinggal atau hilang ditempatkan di sana, termasuklah Al-Quran. Banyak Al-Quran, berpuluh-puluh tetapi tiada satupun menyerupai Quran biruku...
Isteri asyik mendesakku supaya membeli saja yang lain supaya aku tidak terasa kehilangannya. Tetapi 'deep down inside my heart' berkata aku akan dapat kembali Quran yang hilang itu.
Hari demi hari berlalu... Manusia semakin berkurangan kerana mereka telah kembali ke destinasi masing-masing. Kami diarahkan untuk membuat membuat Tawaf Wada' kerana kita akan bergerak ke Jeddah pula.
Pagi itu selepas Solat Subuh, kami balik ke hotel untuk breakfast. Setelah selesai 'packing' kamipun menuju ke Masjidil Haram untuk melakukan Tawaf Wada' sebelum bertolak ke Jeddah. Apabila selesai menunaikan solat sunat Tahiyyatul Masjid, kamipun melakukan Tawaf.
Setelah selesai, kamipun bergerak ke pintu dan tiba-tiba beberapa wanita berpurdah hitam mengagih Al-Quran biru sepertimana yang aku hilang tempohari. Diberikan satu kepada isteriku...
Alhamdulillah, Allahu Akbar, Allah mengembalikan Quran sebiji sama seperti Quranku yang hilang dikala kami hampir meninggalkan Tanah Haram Mekah....
Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syari Kala Kalabbaik....
Wednesday, June 17, 2009
Mengerjakan Ibadat Haji -17
Aku berada di Mina pada ketiga-tiga hari Tasyriq. Oleh itu, melontar ketiga-tiga jamrah yang merupakan Wajib Haji dilaksanakan pada tiap-tiap hari.
Pada 11 Zulhijjah, aku dan isteri melontar Jamrah Sughra 7 biji, kemudian Jamrah Wusta 7 biji, dan Jamrah Kubra 7 biji. Pada hari 12 dan 13 Zulhijjah pun demikian juga.
Seterusnya pada 13 Zulhijjah, kami menaiki bas untuk ke Mekah bagi menyelesaikan Rukun Haji iaitu Tawaf dan Sa'ie. Cara melakukan Tawaf Haji dan Sa'ie Haji adalah sama seperti kita melakukan Tawaf & Sa'ie Umrah tempohari. Cuma suasana berbeza kerana orang lebih ramai. Sungguhpun begitu, semuanya dibimbing oleh mutawif.
Sayugia diingatkan, aku dan isteri dikenakan dam Tertib dan Taqdir kerana mengerjakan Haji Tamattu'. Untuk membayar dam ini, kita boleh menggunakan perkhidmatan pelajar Malaysia di sana atau terus membayarnya kepada TH.
Apabila semuanya selesai, kita bolehlah menjalankan kehidupan sebagai suami isteri seperti biasa. Tiada lagi pantang larang...
Untuk bersama isteri, kita bolehlah mengambil kunci 'bilik berkat' yang disediakan oleh pihak hotel.
Kehidupan di Mekah kembali kepada rutin; pergi masjid, makan, tidur dan jika ada duit lebih, bolehlah menambahkan buah tangan kepada kaum keluarga di Malaysia. Manusia pelbagai warna dari seluruh pelusuk dunia begitu ramai tertumpu di Mekah, namun makin hari makin berkurangan kerana ada yang pulang dan ada yang pergi ke Madinah.
Bagi kami yang mengerjakan Haji Tamattu' (yang telahpun ke Madinah) hanya membilang hari untuk pulang ke Malaysia.
Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syari Kala Kalabbaik....
Saturday, June 13, 2009
Membuat 'Clue' Untuk 'Treasure Hunt'
7.30 pagi semalam, kami bertolak ke Kahang dari Sekolah Rendah Islam Hidayah (SRIH). Tujuannya ialah untuk merekabentuk soalan bagi tujuan 'treasure hunt'. Di pertengahan jalan, kami berhenti di Bandar Tenggara untuk sarapan pagi. Aku, Dr Mat Hussin dan Ramlee menjamah roti canai. Hj Hatta tidak mahu makan dan berkunjung ke tandas awam di kawasan Taman Selera ini.
"Tandas kami sentiasa bersih", begitulah slogan yang terpampang di luar bangunan tandas. Manakala di dalam tandas, perkara lain, dan tidak semestinya menepati apa yang ditulis.
Hakikatnya begitulah... Kita kurang peduli atau endah kepada harta awam. Kalau kita gunapun, kita lebih merasakan itu hak kita. Tiada secebis perasaan untuk menjaga dan 'maintain' kemudahan yang disediakan ini.
Seperti aku sebut dulu, kalau kita menggunakan tandas awam, tentukan najis kita dibersihkan. Tiada manusia lain yang ingin membersihkan peninggalan najis kita. Kalau kita jijik melihat najis orang, orang lainpun jijik melihat najis kita.
Tak pasti pula aku, adakah kita yang beragama Islam yang menekankan kebersihan lebih pengotor dari mereka yang 'tak cebuk'? Inilah orang selalu sebut, Islam itu cantik tetapi pengamal ajaran itu yang kurang cantik atau kurang baik...
Mentaliti kita kurang prihatin terhadap penjagaan kemudahan awam. Benar, mungkin kemudahan itu, kita tidak perlu tetapi ada sekelompok manusia yang memerlukannya. Kita menjaga sesuatu jika ia hak kita tetapi kita mengambil sikap acuh tak acuh atau sambil lewa jika ia adalah harta awam.
Aku rasa sepatutnya kita bersikap sebaliknya. Kita prihatin terhadap harta awam kerana ia adalah milik kita bersama. Kerosakannya bermaksud kerugian duit kita juga kerana kita juga adalah pembayar cukai. Jika ia rosak disebabkan oleh keganasan kita, mampukah kita untuk memohon kemaafan dari seluruh warga Malaysia?
Banyak kemudahan awam yang menelan jutaan ringgit disediakan oleh pihak kerajaan tetapi ia tidak dapat bertahan lama. Kita lihat betapa banyak tapak permainan kanak-kanak di sekitar taman kita. Berapa lama dia dapat bertahan? Jongkang jongkit hilang tempat pemegangnya... Buai tercabut sebelah skrunya... Telefon awam, berapa banyak gagang dibawa balik ke rumah dan hanya tinggal tempat dail aje?
Kita perlu berubah! Masyarakat kita ingin dikatakan maju. Kemudahan yang dibina kadang-kadang setaraf atau setanding negara maju. Cuma mentaliti kita belum maju... Kita masih jauh untuk bergelar masyarakat maju...
Tuesday, June 9, 2009
Pentauliahan Kadet PALAPES 2009
Seperti dicoretkan sebelum ini, 12 IPTA yang mempunyai kadet PALAPES telah berada di UTM sejak 31 Mei lagi. IPTA-IPTA tersebut ialah UTM, USM, UKM, UPM, UM, UUM, UPSI, UTHM, UniMAP, UMS, UniMAS dan UiTM.
Banyak acara yang telah dipertandingkan antara IPTA. Acara futsal baru pertama kali diperkenalkan pada tahun ini. Sebelum ini, bola tampar merupakan acara tradisi bagi pertandingan antara kadet lelaki IPTA. Pasukan kadet UTM sungguhpun mempunyai 'goal keeper' universiti tetapi hanya mampu meraih tempat ke 9 bagi acara futsal. Komen yang saya terima dari staf Unit Sukan UTM ialah kadet kita bermain bola di padang futsal. Katanya, "Bermain bola dan bermain futsal adalah berbeza".
Seterusnya, bola jaring yang merupakan acara yang sinonim dengan kadet wanita. Kita kalah tipis kepada UPSI 16-15, dan menjadi Naib Johan.
Bagi acara merempuh halangan (obstacle course), kita berjaya menjadi Johan dengan masa terpantas. 15 kadet lelaki dan 9 kadet wanita mewakili IPTA masing-masing melalui tembok 6 kaki, tembok 12 kaki, 'monkey rack', titi gantung, menembak M-16 pada jarak 25m dan lain-lain... Ada seorang kadet lelaki dari USM pengsan sebelum melalui obstacle course!
Pertandingan kawad kaki membuahkan sekali lagi pingat emas kepada UTM!
Bagi acara merentas desa, pasukan UTM sekali lagi menjadi juara! Secara keseluruhan, kita telah menjadi Johan. Tahniah UTM!
Bermula semalam, semua kadet IPTA berlatih berkawad bersama-sama bagi menjayakan Upacara Pentauliahan yang akan berlangsung pada 20 Jun nanti. Pada malamnya, mereka berlatih untuk menerima watikah dari YTM Tengku Mahkota Johor. Siang berkawad, malam menerima watikah! Begitulah latihan mereka sehinggalah ke hari jadi pada 20 Jun ini.
Saya sebagai Ketua Peringkat Senior sungguh berbangga dengan kejayaan mereka....
MEJ HJ WAN IBRISAM FIKRY B HJ WAN ISMAIL
Sunday, June 7, 2009
Menjadi "Event Manager" bagi Walimah Anak Sahabat
"Ihsan, make sure ambik goodies kat rumah pakcik Jai pukul 9am esok dan bawa ke Rumah Alumni". "Salman, minta tunjuk jalan kepada keluarga pengantin dari Kolej 14/15 dan Kolej 16/17 ke Masjid Taman U untuk upacara akad nikah". "AHAR, minta tolong bawa balik barangan hantaran dari Masjid Taman U ke rumah Jai". "AB, minta bersedia untuk menjadi penyambut tetamu dan membungkus makanan jika ada lebih". "MHY, please make sure Rumah Alumni dan makanan be ready by 10.30am" "MWA, be ready untuk bertugas sebagai penyambut tetamu". "YS, minta tolong untuk menjadi penyambut tetamu dan membungkus lauk pauk jika berlebihan". "SS, minta datang untuk menyambut tetamu dari fakulti". Itulah beberapa sms yang telah ku hantar malam tadi.
Senang aje menjadi Pengurus Program, arah dan arah dan arah... Pukul 8 pagi tadi, aku menelefon Salman menanyakan samaada tetamu sebelah pengantin sudah bersedia untuk dibawa ke Masjid Taman U atau lebih dikenali sebagai Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid. Aku juga telefon Ihsan, just to confirm sama ada goodies dah diambil ke belum. Aku rasa semua sudah diatur dan berjalan seperti yang dirancangkan...
"Oklah tu, boleh relax sementara aku bergerak ke Rumah Alumni pukul 10 nanti", jelasku kepada isteri. "Mana boleh, you have to go to Masjid Taman U to check everything in order", balasnya.
Menurut nasihat isteri, akupun bergerak ke Masjid Taman U. Setibanya di sana, aku lihat sungguh ramai sekali orang. Ada yang di dalam bilik mengikuti Kursus Perkahwinan dan ada yang baru sampai untuk mengikuti Kursus Haji. Kursus Haji akan bermula jam 9. Majlis pernikahan anak Jai akan berlangsung di dalam salah sebuah bilik dalam masjid, jam 10 pagi.
Sambil meninjau-ninjau di sekitar masjid, aku mendapati ada sebuah kereta yang sudah terbuka bootnya dan pemandu menanyakan kepadaku dimana hendak diletakkan sarapan bagi majlis pernikahan. Aku menanyakannya adakah sarapan ini untuk majlis Jai. Dia membuat panggilan telefon untuk mengesahkannya dan kemudian memaklumkan kepadaku bahawa sarapan itu untuk Jai.
Aku menelefon SA untuk mengesahkan person in charge (PIC) bagi sarapan. Dia tidak tahu... Aku menelefon pula Kak Su, juga kurang pasti. Aku menelefon Kak Norimah.... beliau juga tidak pasti.
Akupun menemui Noja masjid bagi mendapatkan tempat untuk menyediakan hidangan. "Pergi kat belakang masjid, di sana ada meja", jawab Noja. Aku membantu pengusaha tersebut menghidangkan mee hoon, karipap dan tehnya di atas meja tanpa alas.
Keluarga pengantin yang dibawa Salman sudah lama sampai. Aku mempelawa mereka untuk menjamu selera. Makin lama makin ramai yang datang. Agak susah untuk mengenalpasti samaada yang datang itu untuk Kursus Haji atau majlis pernikahan Raihan. Aku bergerak ke hulu ke hilir menanyakan mereka bagi menjemput untuk bersarapan.
Apabila urusan sarapan pagi selesai, dan mereka mula bergerak ke bilik kecil bagi upacara akad nikah, akupun bergerak ke Rumah Alumni bagi memastikan semua persiapan di sana berjalan lancar.
Jai memaklumkan bahawa selepas upacara akad nikah, mereka akan bergerak ke Rumah Alumni bagi upacara makan bersama keluarga dari jam 10.30 hingga jam 12 tengahari. Kemudian tetamu undangan akan diraikan dari jam 12 tengahari hingga 4 petang.
Alhamdulillah, setibanya di Rumah Alumni, Bob anak Mak Jah (caterer) sudah bersiap sedia menghidangkan segala makanan. Pekerjanyapun kelihatan agak ramai.
Majlis makan berjalan lancar sehingga jam 4.30 petang. Kemudian kami bersiap-siap bagi mengemas barangan sebelum pulang ke rumah. Aku bergerak pulang sekitar jam 5.30 petang.
Rasa begitu puas setelah selesai membantu Jai menganjurkan majlis pernikahan anak pertamanya. Jai sebenarnya banyak membantu aku dulu. 6 tahun lepas, setelah van yang dibawa isteriku mengalami kerosakan akibat berlanggar, aku terpaksa membawa isteri dan 7 orang anak menaiki Kancil ke sekolah. Cuba bayangkan betapa sendatnya Kancil membawa 9 orang di dalamnya....
Melihat kesusahanku, Jai mempelawa aku menggunakan Iswaranya, JGU 749. Iswara Jai aku gunakan selama sebulan sehingga vanku siap diperbaiki....
Aku mendoakan semoga Jai sekeluarga bergembira bersama anak menantunya. Mudah-mudahan mereka dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah, amin!
Wednesday, June 3, 2009
Rehlah Keluarga
Selepas mengambil 'Ammar di SRIH jam 9.30 malam tadi, aku sekeluarga terus memecut ke Sedili Damai Resort. 'Ammar baru pulang dari lawatan 3 hari ke Kuala Lumpur, anjuran SRIH. Aku sepatutnya bersama kawan-kawan setaman (Taman Pulai Utama) mengadakan rehlah keluarga bermula jam 2 petang semalam.
Apabila sampai di Ulu Tiram, PM Dr Mat Hussin menelefon, bertanyakan sudah sampai dimana? Aku mengatakan mungkin akan sampai hampir jam 12 tengah malam. Alhamdulillah kerana trafik tidak banyak, aku sampai di resort pukul 11 malam. Dan kelihatan Dr Mat Hussin membuka pintu pagar kawasan resort untuk aku membawa van masuk ke dalam.
PM Dr Tholuddin mengeluarkan nasi arab kambingnya yang masih panas. Sungguhpun jam 11.30 malam, aku, isteri, dan anak-anak berselera sekali menikmati nasi arab bersama BBQ ayam, ikan, sotong dan udang sebagai lauk. Air asampun ada... Sepatutnya, program BBQ pukul 8 tadi. Kebetulan kakak dan anak saudaraku juga turut sama dalam rehlah ini. Merekapun turut menikmati hidangan istimewa ini.
Kakakku Wan Azizah adalah nombor 3, manakala aku adalah nombor 6 dari 7 orang adik beradik, seibu sebapa. Anaknya, Nurul Amin sedang menuntut di UIAM dalam bidang undang-undang.
Sebenarnya, setiap keluarga telah ditempah sebuah chalet. Aku dan isteri bersama 8 orang anak, dicampur kakak dan anak saudara pula, sudah pasti tidak muat untuk sebuah chalet. Aku sudahpun pinjam 2 khemah dari Kolej 16 & 17. Dan Dr Mat Hussin dengan bermurah hati memasang khemahnya juga untuk aku.
Aku bersama Rasyid tidur dalam khemah Dr Mat Hussin. Manakala 2 khemah lagi untuk anak-anak lelakiku yang lain bersama anak saudaraku. Keadaan dalam khemah agak hangat berbanding chalet yang dingin dengan 'air-con'. Puas aku berpusing ke depan ke belakang kerana tidak dapat melelapkan mata. Rasyidpun sama kerana kepanasan.
Nyamok juga agak banyak. Kedengaran anak-anakku yang lain bermain bola pukul 1 pagi tapi aku buat tak kisah aje kerana bukan selalu mereka mendapat peluang bermain begini. Asalkan jangan mengganggu orang lain sudahlah. Suara Abang, Acik, 'Ammar, dan Syakir jelas kedengaran, namun makin lain makin jauh dan akhirnya sunyi...
Pagi tadi, kami solat Subuh bersama-sama. PM Dr Razali bersama keluarga terpaksa pulang selepas Subuh kerana ada tugas yang perlu diuruskan.
Sementara menunggu 'breakfast' yang disediakan oleh pihak ibu-ibu, Dr Hishamuddin sempat melayan anak-anak bermain bola baling dalam kolam yang sedalam 2 kaki. Sungguhpun begitu, aku lihat anak-anak sunguh seronok.
'Breakfast' sungguh menyelerakan, nasi arab malam tadi bersama BBQ ayam dan sotong yang digoreng semula bersama 'scramble egg'... Ada pula sardin dan tuna 'sandwiches'. Waduh... enak bangat...
Lepas makan, PM Dr Mohamad Wijaya, Hj Ahmadon dan PM Dr Tholudin memancing di jeti. Aku cuma memerhati. Tiada hasil tangkapan kecuali beberapa ikan todak yang berjaya disauk oleh Salman Hishamuddin.
Tanggal hampir jam 12 tengahari, aku beransur pulang. Semua keluarga lain sudah pulang kecuali Hj Ahmadon sekeluarga mungkin menunggu hingga jam 2 petang, 'check-out time'.
Rehlah keluarga ini sungguh menyeronokkan, mencapai objektif untuk merapatkan ukhuwwah antara keluarga dan perlu diadakan lebih kerap, setidak-tidaknya setahun sekali...
Subscribe to:
Posts (Atom)