Wednesday, June 17, 2009

Mengerjakan Ibadat Haji -17


Aku berada di Mina pada ketiga-tiga hari Tasyriq. Oleh itu, melontar ketiga-tiga jamrah yang merupakan Wajib Haji dilaksanakan pada tiap-tiap hari.

Pada 11 Zulhijjah, aku dan isteri melontar Jamrah Sughra 7 biji, kemudian Jamrah Wusta 7 biji, dan Jamrah Kubra 7 biji. Pada hari 12 dan 13 Zulhijjah pun demikian juga.

Seterusnya pada 13 Zulhijjah, kami menaiki bas untuk ke Mekah bagi menyelesaikan Rukun Haji iaitu Tawaf dan Sa'ie. Cara melakukan Tawaf Haji dan Sa'ie Haji adalah sama seperti kita melakukan Tawaf & Sa'ie Umrah tempohari. Cuma suasana berbeza kerana orang lebih ramai. Sungguhpun begitu, semuanya dibimbing oleh mutawif.

Sayugia diingatkan, aku dan isteri dikenakan dam Tertib dan Taqdir kerana mengerjakan Haji Tamattu'. Untuk membayar dam ini, kita boleh menggunakan perkhidmatan pelajar Malaysia di sana atau terus membayarnya kepada TH.

Apabila semuanya selesai, kita bolehlah menjalankan kehidupan sebagai suami isteri seperti biasa. Tiada lagi pantang larang...

Untuk bersama isteri, kita bolehlah mengambil kunci 'bilik berkat' yang disediakan oleh pihak hotel.

Kehidupan di Mekah kembali kepada rutin; pergi masjid, makan, tidur dan jika ada duit lebih, bolehlah menambahkan buah tangan kepada kaum keluarga di Malaysia. Manusia pelbagai warna dari seluruh pelusuk dunia begitu ramai tertumpu di Mekah, namun makin hari makin berkurangan kerana ada yang pulang dan ada yang pergi ke Madinah.

Bagi kami yang mengerjakan Haji Tamattu' (yang telahpun ke Madinah) hanya membilang hari untuk pulang ke Malaysia.

Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syari Kala Kalabbaik....

No comments:

Post a Comment