Wednesday, September 30, 2009

Puasa 6 Hari Di Bulan Syawal


Dari Abu Ayyub Al Anshari (r.a.), katanya Rasulullah (saw) bersabda: "Siapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian diiringinya dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa." Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1134.

Berpuasa di bulan Syawal agak banyak cabaran berbanding dengan berpuasa di bulan Ramadan. Di bulan Ramadan semua orang berpuasa. Manakala di bulan Syawal, ramai orang beraya. Dan pastinya, ia menggugat hati dan perasaan bagi mereka yang berpuasa.

Hari ini alhamdulillah, adalah hari yang ke 6 aku berpuasa di bulan Syawal. Isterikupun sama menghabiskan puasa 6nya pada hari ini. Acik dan 'Ammar baru 5 hari.

Mudah-mudahan Allah menerima puasa ku dan aku layak untuk mendapat pahala sepertimana maksud hadis di atas. Aku juga berdoa supaya aku dapat sekali lagi melalui proses pentarbiyyahan Ramadan di tahun depan.

Kepada rakan-rakan yang lain, diharap dapat menghabiskan puasa 6 hari di bulan Syawal dengan jayanya. Rasanya, amat rugi kalau kita tidak cuba untuk melaksanakan puasa 6 ini. Mana mahu dapat, puasa sebulan 6 hari, bonusnya berpuasa setahun!

Fikir-fikirkanlah... Kita bukan hanya hendak bonus di dunia saja tetapi bonus di akhirat lebih-lebih lagi diperlukan...

Saturday, September 26, 2009

Zikir & Doa Selepas Solat


"Jika kamu melakukan solat Subuh, maka ucapkanlah sebelum berbicara dengan sesiapapun:

"Allahumma ajirni minannar!" (Ya Allah, lindungilah aku dari api neraka) sebanyak 7 kali, kerana jika kebetulan kamu meninggal pada hari itu, maka Allah pasti akan melindungimu dari api neraka.

Dan jika kamu solat Maghrib, maka bacalah sebelum berbicara dengan seorangpun jua:

"Allahumma inni as alukal jannah! Allahumma ajirni minannar!" (Ya Allah, mohon dimasukkan daku ke dalam syurga! Ya Allah, lindungi daku dari api neraka) sebanyak 7 kali, maka jika kebetulan kamu meninggal pada malam itu, nescaya Allah 'Azza wa Jalla, akan melindungimu dari api neraka!" (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Friday, September 25, 2009

JGB 6400 Berjaya Membawa Kami Pulang & Kembali...


Alhamdulillah pada pagi 29 Ramadan (Sabtu), kami bersiap-siap untuk berangkat ke Pengkalan Chepa. Ummi dan anak-anak sudah siap 'packing' dari malam tadi lagi. Aku pula malam tadi, bawa van pergi basuh. Setidak-tidaknya apabila 11 orang berada di dalamnya nanti akan merasa sedikit aman, tenteram dan yang pastinya wangi dan bersih.

Malam tadi dah siap maklumkan kepada anak-anak bahawa kita akan bergerak pada pukul 7 pagi. Dan insyaAllah, sempat berbuka puasa di rumah Bu dan Tok Ayah. Malam tadi aku tidak pergi qiam di MSI, UTM.

Beberapa malam sebelum ini, alhamdulillah aku bersama anak-anak berqiamullail di sana. Dan aku panjat setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana mengizinkan dan menguatkan semangat aku untuk bertindak sedemikian. Ya Allah, jauhkanlah diriku dari sifat riya', takbur dan ujub, ingin menunjuk-nunjuk dengan amal yang sedikit tetapi sebaliknya jadikanlah cerita baikku ini menjadi contoh tauladan kepada mereka yang lain. Amin!

Aku terus mengangkat beg ke dalam van Ford Spectron. Jam sudah menunjukkan 7.15 pagi. Tiba-tiba aku terpandang tayar belakang sebelah kiri kempis habis! Subhanallah, dugaan pertama sebelum berangkat pulang....

Aku mengeluarkan 'jack' dan 'spanner' untuk menggantikan tayar tadi dengan tayar 'spare'. Dengan bantuan abang (Abdul Rahman), aku dapat menyelesaikan tugas itu kurang dari 20 minit! Ku lihat sebatang paku 3 inci berada tepat di tengah-tengah tayar yang pancit itu.

Kalau nak tunggu kedai tayar di Taman U buka, sudah pasti aku terpaksa bertolak pukul 9 pagi dan sampai di Taman Seri, Pengkalan Chepa agak lewat. Aku membuat keputusan untuk bertolak segera dan menampal tayar di pertengahan jalan.

Kami telah membuat keputusan untuk menggunakan laluan Kota Tinggi - Mersing - Pekan - Kuantan - Jerangau - Jabor - Kuala Berang dan seterusnya ke Pengkalan Chepa. Apabila aku sampai di Kulai, aku nampak kedai tayar sudah dibuka. Akupun menampalkan tayar tadi dan menukarkan tayar 'spare' kembali ke tempat asal dengan kos RM5.

Abang mekanik yang menjalankan kerja-kerja tadi mengucapkan 'Selamat Jalan' dan menyuruh kami berhati-hati di jalanraya. "Nak balik mana?", tanya abang 'foreman'. "Kota Bharu", balasku. Selepas mengucapkan terima kasih, kamipun memulakan perjalanan dengan bacaan doa, 'Subhanallazi Sakharalana .....'

Aku telah memusingkan kerusi tengah mengadap ke belakang. Jadi 3 orang di kerusi belakang, 3 orang di kerusi tengah, 2 orang di celah, antara belakang kerusi tengah dan kerusi depan (driver seat). Manakala Asmaa yang masih kecil berada di atas riba umminya di depan. Di celah antara kerusi depan dan kerusi tengah, mereka hamparkan 'sleeping bag'. Jadi, apabila seorang tidur di atas 'sleeping bag', seorang lagi menungkat dagu di atas 'arm rest' pemandu.

Semua begitu ceria, tidak sabar untuk menemui nenek dan datuk mereka. Aku rasa 'trip' kali ini agak selesa kerana Spectron aku telah diperbaiki 'air-con'nya dan menelan belanja RM600.

Sepanjang perjalanan tiada masalah kesesakan yang ketara. Mungkin ramai yang dah balik awal.

Sampai di Sungai Tong, Imi, adik iparku memaklumkan bahawa ibu sudah menyiapkan nasi untuk kami berbuka puasa. Katanya, apabila kami berbuka di tengah jalan nanti, tak perlulah makan 'heavy' lagi.

Setibanya di bandar Jertih, azan maghrib telah berkumandang. Aku berhenti di stesen Petronas untuk membeli air dan roti. Tetapi rupa-rupanya, stesen ini menyediakan air oren, kopi, susu dan roti secara percuma untuk berbuka. Apa lagi, kami 11 orangpun mengambil kesempatan mendapatkan makanan dan minuman percuma. Semoga Allah memberi ganjaran yang besar kepada pengusaha Petronas tersebut dan melipat gandakan keuntungan mereka.

Suasana hari raya agak meriah. Aku sempat menziarahi ramai saudara mara, malah kawan ibu dan tok ayah juga. Dalam Islam, kita dianjurkan untuk menghubungkan sillaturrahim kawan ayah dan ibu kita jua.

Pada hari Rabu malam Khamis, selepas solat Maghrib, aku sekeluarga sempat menziarahi kakak iparku, Kak Wan Dah di Taman Sari, Kota Bharu. Setiap tahun, Kak Wan Dah tak pernah aku 'missed' untuk menziarahinya. Kak Wan Dah, berusia 92 tahun adalah cucu Haji Mohd Noor, bekas mufti Kelantan, yang berkahwin dengan arwah abangku, Wan Yaakob bin Haji Wan Ismail.

Abangku Wan Yaakob meninggal dunia pada tahun 1971 manakala ayahnya, Haji Wan Ismail telah meninggal dunia pada tahun 1981.

Dari mereka berdua, lahir 11 zuriat yang merupakan anak-anak saudara ku. Semuanya lebih tua dari ku dan ada yang telah meninggal dunia. Antara nama-nama anak saudaraku ialah Wan Zain (telah meninggal), Wan Ramli, Wan Zakaria, Wan Mohammad, Wan Abdul Rahman, Wan Idris, Wan Yusuf, Wan Bunyamin, Wan Hanafi, Wan Hasniyah dan Wan Rahimah (ketepatan nama anak perempuan aku kurang pasti tetapi aku memanggil mereka Yah dan Mah aje).

Aku bercadang untuk kembali ke Johor pada hari Rabu kerana ikan dan kucing di Skudai perlu diberi makan. Ibu meminta supaya kami menangguhkan sehari lagi dan pulang pada hari Khamis....

Kami bertolak jam 7.30 pagi pada hari Khamis dan tiba di Taman Pulai Utama, Skudai, jam 10.30 malam. Perjalanan balik agak kurang selesa kerana 'air-con' van sudah tidak berfungsi! Masing-masing kepanasan... Walau bagaimanapun, syukur alhamdulillah kami selamat sampai tanpa menambah bilangan statistik kemalangan jalanraya.

Pagi tadi (Jumaat), aku dikejutkan dengan berita Dr Asiah Othman, mantan Ketua Jabatanku pergi meninggalkan dunia yang fana ini pada jam 7 pagi kerana sakit jantung di usia 51 tahun. Aku terus bergegas ke rumahnya di Taman Sri Skudai dan solat jenazah buatnya... Pemergianmu di pagi Jumaat, penghulu segala hari.

DariNya kita datang, kepadaNya kita kembali.... Semoga rohmu dirahmati dan diberkati Allah! Amin!

Thursday, September 17, 2009

Bebas Akhirnya...


Pagi semalam aku mendapat sms dari Penyelia pengajian PhD ku, PM Dr Ismail Omar, "Pak Lah Daud dah bebas. Jom pi melawat". Aku 'reply' kepadanya, "Biarlah dia bersama keluarganya dulu, lepas solat Zohor kat MSI, kita pi ziarah".

Dr Abdullah Daud adalah sama fakulti dengan kami. Sungguhpun sudah lama tidak berjumpa, aku rasa familinya lebih berhak untuk beramah mesra dengan bapa mereka setelah hampir 8 tahun berada di Kem Kamunting, dibawah tahanan ISA.

Idris, Roshelmy, dan Wan Min sudah lama keluar dari tahanan. Kalau nak dibandingkan Dr Abdullah dengan kawan-kawan mereka yang lain, rasanya Idris dan Roshelmy lagi keras perwatakannya. Pernah sekali, aku duduk di pejabat am fakulti sambil membaca surat khabar, tiba-tiba Idris datang dan berdebat dengan ku tentang suatu isu. Akupun dah lupa apa isu itu...

Walau bagaimanapun, apa yang penting Dr Abdullah sudah kembali ke pangkuan keluarganya. Bagaimana beliau ingin menyara kehidupan keluarganya yang agak ramai, itu satu isu yang lain. Aku sempat bertanya soalan itu kepadanya semalam. "Sijil panjang berjela-jela hingga PhD, takkan tak dapat pohon kerja kot", balasnya. Didoakan mudah-mudahan Dr Abdullah dapat mencari pekerjaan yang sesuai dengan latar belakang pengajiannya sebagai seorang juruukur.

Sepanjang kami berborak-borak, telefon rumahnya sentiasa berdering. Mungkin mereka yang ingin mengucapkan Selamat Pulang kepadanya atau keluarganya. Ada ketika pihak akhbar ingin mendapatkan berita dari Dr Abdullah tetapi beliau dengan penuh hikmah menolak permintaan mereka.

Anak-anaknya nampak ceria dan gembira. Mungkin suatu anugerah atau hadiah Eid-ul-Fithri yang sungguh berharga buat mereka pada tahun ini!

Tuesday, September 15, 2009

Ramadan Beransur Pergi....


Buat kita yang dewasa, pemergian hari-hari di bulan Ramadan begitu terasa... Sudah 25 hari berlalu. Sedih, pilu, dan tertanya-tanya, masih adakah Ramadan buat ku nanti? Bulan yang menggandakan pahala! Atau tahun depan, Ramadan sudah tiada lagi bagi ku?

Buat anak-anak ku, yang masih kecil Sakinah (7 tahun), Rasyid (8 tahun), dan 'Ammar (11 tahun); sehari berlalunya Ramadan, terasa begitu gembira. Gembira kerana kita menghampiri Hari Raya! Kalau tidak silap aku, Sakinah sudah 3 tahun berpuasa penuh! Alhamdulillah, syukur aku kepada Allah. Mudah-mudahan sayangnya kepada Islam akan berterusan sehingga ke akhir hayat.

Petang semalam UTM membuat acara tahunan, iaitu khatam al-Quran mengikut fakulti dan unit di Masjid Sultan Ismail (MSI). Dengan kata lain, setiap unit berkumpul dalam bulatan masing-masing dan menghabiskan setiap juzuk yang telah ditetapkan.

Aku ditemani Rasyid ke MSI. Telah dimaklumkan kepadanya bahawa kita tidak balik ke rumah untuk berbuka dan bersahur kerana kita akan berqiamullail di sana.

Semasa berbuka, aku mengajak Dr Roslan dan anaknya yang sedang bercuti dari UIAM untuk ke tempat berbuka VIP. Pengalaman semasa menjadi Pengetua Kolej dahulu, menunjukkan tempat makan VIP tidak pernah penuh. Pengetua Kolej yang hadir malam tadipun hanya 2 orang. Disamping Pengarah Pusat Islam, mereka mengiringi Prof Azraai (TNC A) yang mewakili Dato' NC yang kini berada di luar negara.

Selesai solat Maghrib aku sempat mandi dan menukar pakaian. Begitu juga Rasyid.

Saf solat tarawih sudah tidak penuh seperti awal-awal Ramadan dulu. Sekarang ada dalam 5 atau 6 saf saja. Biasalah tahun demi tahun... Kita bersemangat pada mulanya saja. Yang di akhir tu, yang mana sepatutnya kita lebih bersemangat untuk mengejar Lailatul Qadar sudah bukan prioriti lagi. Kalau dan kita solat, kalau tak dan, biar aje lah 'malam yang lebih baik dari 1,000 bulan' tu berlalu pergi....

Selesai solat tarawih, aku bertadarus al-Quran. Baru habis 1 1/2 kali setakat ini. Dalam masa 5 hari lagi ni, aku harap dapat menghabiskan sekali lagi dan dapat khatam 2 kali pada bulan Ramadan tahun ini.

Seterusnya aku meletakkan kepala kerana terasa penat. Sedar pukul 11 malam, aku dapati Abang, Acik, dan 'Ammar juga datang untuk berqiamullail. Mereka menumpang Abdul Muhaimin ke sini. Abdul Muhaimin, kawan abang masih belum tinggal berqiamullail sejak malam ke 21 lagi!

Semakin malam, MSI semakin rancak dikunjungi manusia untuk berqiamullail. Makin lama makin ramai. Dan alhamdulillah, mereka adalah dikalangan para du'at. Dr Hishamuddin dengan anak beranaknya, PM Dr Zaharuddin dengan anak-anaknya, PM Dr Tholudin, PM Zamani, Hassan Hushin dengan anaknya, Abdul Hafidz, Dr Roslan, Norizan, Prof Dr Aizaini bersama Mus'ab, Prof Dr Mahmood dengan anak-anaknya, dan ramai lagi. Dari kalangan anak-anakpun ramai, Ihsan anak Dr Norkhair, dan ramai lagi.

Cuma satu yang menyentuh perasaan ku iaitu Dr Razali Ngah. Begitu bersemangat dia memburu Qiamullail... Dia datang bersama si kecil yang aku rasa belum sampai dua tahun. Itulah orang yang tahu nilai malam yang lebih baik dari 1,000 bulan!

Semoga kita masih beristiqamah untuk beramal ibadat di penghujung Ramadan ini, insyaAllah.

Akhir sekali, aku jua ingin memohon ampun dan maaf jika ada terkasar bahasa dalam mana-mana penulisan ku sejak Januari tahun ini. Kepada yang pulang ke kampung, pandulah dengan cermat dan berhati-hati di jalan raya....

Wednesday, September 9, 2009

Sukarnya Menyampaikan Risalah...


"Alangkah besarnya pahala jika seseorang memeluk Islam disebabkan usaha kita", ujar ku kepada anak-anak setelah mereka menaiki kereta. Anak-anak SMIH, aku ambil mereka jam 3 lebih petang semalam, manakala anak-anak SRIH sedang bercuti kerana ada Peperiksaan UPSR sedang berlangsung.

"Acik, kita pergi ke Bazar Ramadan UTM nak?", tanya ku. "Wow, bestnya", jawab Acik. Pada mulanya dia ingat aku hendak pergi membeli kuih muih untuk berbuka puasa.

"Kita pergi 'distribute leaflet' kepada mereka yang masih belum Islam", sambung ku.

Acik senyap tidak menjawab dan diam seperti Angah dan Abang meneliti kata-kata ku seterusnya. "Ok pukul 4.45, selepas solat dan mandi, kita bergerak ke Bazar Ramadan UTM", tambah ku lagi.

Aku tidak mengajak Abang kerana biarlah dia membuat 'preparation' untuk PMRnya dan Angah sedang berhempas pulas dengan 'trial' SPMnya sekarang.

Apabila sampai di rumah, aku terus mandi dan mengajak anak-anak untuk mengerjakan solat Asar berjamaah. Jam 4.45 petang, akupun menghidupkan enjin Kancil sementara menunggu Acik.

"Acik, masa abah 'study' kat 'oversea' dulu, abah pernah menjual Nasi Pilau selepas solat Jumaat". "Tebalnya rasa muka..., malu nak menjual makanan kepada kawan-kawan".

"Tetapi lama kelamaan dah jadi biasa". Sebenarnya, aku cuba 'set the environment what sort of feeling' akan kami rasai sebentar lagi apabila upacara mengedar risalah berlaku. Aku menceritakan ini supaya Acik akan bersedia 'what to expect' dari perbuatan kami nanti.

Sampai di Bazar, berhampiran Fakulti Alam Bina, aku melihat Prof Madya Zamani sudah bersedia. Kemudian Roslan dan isterinya, Anisah sampai dengan bahan-bahan yang ingin diedarkan. Kemudian sampai Prof Madya Hamidon bersama kurma yang ingin disertakan bersama bahan edaran. 'Wife' Prof Arshad dan anaknya yang balik bercuti dari Mesirpun ada.

Aku memulakan tugas bersama Acik. Bergerak dari satu lorong ke lorong yang lain. Ditanganku ada 10 bag plastik kecil yang setiap satunya mengandungi 2 'leaflet' mengenai Islam, satu CD, dan satu plastik kecil yang mengandungi 3 biji kurma. Di tangan Acik ada 10 lagi bag plastik kecil.

"Free dik, ambik aje, ada kurma..", ujar ku. Namun tiada seorangpun sudi untuk menerima, baik Cina mahupun India.

Muka aku terasa semakin menebal, apa tidaknya? Tiada seorangpun sudi menerima. Acikpun nampak tertekan, "Apalah dia orang ni, bagi freepun tak nak ambik!". "Apa salahnya ambik, lepas tu kalau nak buang, buanglah!", Acik menyuarakan pandangannya.

Roslan yang sibuk mengedar bahan cuba menyuntik semangat kepada ku. "Rasulullah (SAW) semasa menyebar risalah Islam, bukan setakat kata-kata kesat dihambur oleh penduduk Mekah dan Madinah, bahkan dicederakan dengan lontaran batu", katanya.

Aku dan Acik balik semula ke 'base', di tempat bahan-bahan edaran terkumpul dan memulakan kembali tugas dari sini. Setelah puas mempelawa, 2 bag plastik kecil berjaya ku edarkan. Kemudian 2 lagi.

Aku sudah mendapat momentum... Kemudian sekumpulan pelajar Cina dari negara China, aku memberikan mereka setiap seorang satu. "I can't read your ...", kata salah seorang dari mereka. Belum sempat dia meneruskan kata-katanya, aku terus mencelah, "It's ok. It is in English".

"Acik, why don't you try?", kata ku kepadanya. Acikpun memulakan tugasnya yang mana sebelum ini, dia cuma membekalkan barang-barang kepada ku dan menjadi pemerhati saja.

"You want it, it's free!", ucap Acik kepada pelajar Cina lelaki. Pelajar tersebut menggeleng kepala tidak mahu.

Acik mencuba lagi kepada pelajar Cina perempuan. Tetapi dia juga tidak mahu ambil. Kemudian aku cuba membantu Acik mempelawa kepada sepasang 'couple' berbangsa Cina. Tetapi merekapun tidak mahu....

Alhamdulillah, secara keseluruhannya aku dan Acik berjaya mengedarkan sekurang-kurangnya 20 bag plastik kecil. Aku berdoa dan berharap agar ada yang mendapat hidayah hasil dari usaha kerdil kami.

Apabila aku balik ke rumah dan menceritakan apa yang yang berlaku kepada Kak Long. Kak Long terus mencelah, itulah kadang-kadang apabila orang cuba menghulurkan sesuatu kepada kita di 'Shopping Complex' ke, kita sepatutnya sudi menerima. Sekarang baru kita rasa 'how painful it is' apabila kita ingin memberi secara percuma, tiada seorangpun ingin menerima.

Dua pelajaran yang aku pelajari semalam. Pertama, kita perlu cuba 'persuade' mereka supaya sudi menerima dengan apa cara sekalipun. Bak kata PM Hamidon, "Dia mula-mula nampak tak nak, tapi kalau kita terus mendesak, mereka ambil juga."

Kedua, kita perlu zahirkan siapa kita... Ramai juga yang melihat gelagat aku semalam di kalangan staf. Ada yang mengenaliku sebagai mantan Pengetua Kolej, sebagai Pensyarah dan ada yang mengenaliku kerana pernah mempengerusikan Mesyuarat Agung Koperasi UTM.

Program mengedarkan risalah kepada yang belum Islam adalah salah satu dari aktiviti ROSE. ROSE (Ray of Serenity) adalah satu unit di bawah JIM Johor. Fungsi utama ROSE ialah menjalankan program-program dakwah kepada yang belum Islam dan memberikan sokongan kepada yang baru memeluk agama Islam.

Tuesday, September 8, 2009

Allah Yang Membalik-Balikkan Hati....


Selalu kita dengar, kawan kita dulu sangat baik tetapi sekarang sudah berubah. Begitu juga sebaliknya. Dulu perangai macam atau kawan syaitan tetapi sekarang menjadi manusia beriman dan bertaqwa kepada Allah. Dia selalu mengerjakan solat di masjid, berpuasa sunat, bersedekah, dan membuat banyak kerja-kerja kebajikan dan sebagainya.

Teman saya semasa di USA dulu selalu mengikuti usrah, sentiasa solat berjamaah di masjid. Agak-agak lebih 20 tahun saya tidak berjumpa dengannya. Tiba-tiba saya berjumpa dengannya bersama isteri di Hotel Perdana Kota Bharu. Katanya bila dia balik Malaysia, dia berkhidmat dengan PDRM dan sekarang di cawangan Nakotik. Saya melihat isterinya tidak begitu menepati syariat dari segi penjagaan auratnya.

Seorang lagi kawan saya di luar negara juga, menyatakan dia tidak akan membawa balik kereta berjenama ke Malaysia kerana sifat ketawadu'kannya. Alih-alih tengok sampai juga Mercedes 190E ke Malaysia.

Begitulah sifat dan perangai manusia yang boleh berubah-ubah. Kita nampak orang yang baik pada hari ini, tidak semestinya baik sehingga ke akhir hayatnya. Dan kita nampak orang yang jahat tetapi di akhir hayatnya berubah menjadi manusia yang begitu dekat dengan Tuhan.

Kita belum pasti dan tiada jaminan akan kekal istiqamah di jalan Allah. Kadang-kadang keadaan, kawan, perempuan, pangkat dan harta bakal merobah keimanan dan ketaqwaan kita!

Yang pasti jangan kita mudah memandang hina kepada seseorang yang berkelakuan jahat pada hari ini kerana mungkin esok atau lusa dia akan berubah menjadi manusia yang paling baik di sisiNya. Sebaliknya, tanggaplah ia sebagai bakal mad'u kita yang akan digilap sehingga menjadi berkilauan.

Kita disuruh selalu berdoa supaya hati kita tetap di dalam Iman dan Islam. Ya Muqallibal Qulub, Tsabbit Qulu Bana ala Dinik! Sebuah hadis menceritakan...

Hannad menceritakan kepada kami, Muawiyah memberitahukan kepada kami dari Al Aamasy dari Abi Sufyan dari Anas berkata: "Rasulullah (SAW) selalu memperbanyakkan berdoa: "Wahai Zat yang membalikkan hati tetapkanlah hatiku atas agamaMu", lalu aku berkata: "Wahai Rasulullah, kami beriman kepada mu dan apa yang engkau bawa, apakah engkau khuatir kepada kami?", Beliau bersabda: "Ya, sesungguhnya hati itu di antara dua jari dari jari-jari Allah yang membalikkannya menurut apa yang Dia kehendaki." Hadis Sunan At Tirmidzi Jilid 3. Hadis Nombor 2226.

Monday, September 7, 2009

Kita Menghampiri Kemuncak Ramadan


Alhamdulillah, sudah 17 hari kita beramal di bulan yang penuh barakah ini! Kita akan menghampiri kemuncaknya iaitu 10 malam terakhir dalam masa 3 hari lagi...

Ayuh, jangan kita semakin lemah atau semakin bersahaja! Matlamat kita ialah untuk mendapatkan Lailatul Qadar sekali lagi pada tahun ini. Sedikit dorongan kepada kawan-kawan bakal membangkitkan semangat kita jua. Jangan lupa untuk suntikkan semangat yang sama kepada semua ahli keluarga kita juga.

Kekang nafsu tidur, banyakkan solat malam, membaca Al-Quran dan berzikir. Lupakan soal remeh temeh. Kuatkan azam. Berikut ialah hadis Nabi (s.a.w) berkaitan Lailatul Qadar...

Harun bin Ishaq Al-Hamdani menceritakan kepada kami, 'Abdah bin Sulaiman memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Hisyam bin 'Urwah dari ayahnya dari 'Aisyah di mana ia berkata: "Rasulullah (s.a.w) biasa beri'tikaf pada sepuluh terakhir dalam bulan Ramadan, dan bersabda: "Bersungguh-sungguhlah kamu (untuk mendapatkan) Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadan."

Perkara yang sama diriwayatkan pula dari 'Umar, Ubayy bin Ka'b, Jabir bin Samurah, Jabir bin 'Abdullah, Ibnu 'Umar, Al-Falatan bin 'Ashim, Anas, Abu Sa'id, 'Abdullah bin Unais, Abu Bakrah, Ibnu 'Abbas, Bilal dan 'Ubadah dan Ash-Shamit. Abu 'Isa berkata: "Hadis 'Aisyah itu adalah hadis hasan sahih; sedangkan kata yujaawiru ertinya adalah beri'tikaf."

Banyak riwayat dari Nabi (s.a.w) bahawasanya baginda bersabda: "Carilah Lailatul Qadar itu pada sepuluh terakhir pada setiap yang ganjil."

Diriwayatkan dari Nabi (s.a.w) tentang Lailatul Qadar iaitu bahawasanya Lailatul Qadar itu adalah pada malam 21, 23, 25, 27, 29 dan malam terakhir dari bulan Ramadan.

Asy-Syafi'i berkata: "Itu hanyalah pendapat saya. Dan Allah Maha Mengetahui; di mana Nabi (s.a.w) menjawab suatu pertanyaan sewaktu ditanya tentang Lailatul Qadar." Dikatakan kepada baginda bahawa kami mencarinya pada malam ini, kemudian baginda bersabda: "Carilah Laiatul Qadar itu pada malam ini."

Asy-Syafi'i berkata: "Riwayat yang paling kuat menurut pendapat saya ialah bahawa Lailatul Qadar itu jatuh pada malam tanggal 21." Abu 'Isa berkata: "Diriwayatkan dari Ubbay bin Ka'b bahawasanya ia bersumpah bahawa Lailatul Qadar itu berada pada malam 27 di mana ia berkata: "Rasulullah (s.a.w) memberitahukan kepada kami dengan tanda-tanda malam itu kemudian kami menyebut-nyebut dan menghafalnya."

Diriwayatkan dari Abu Qilabah bahawasanya ia berkata: "Lailatul Qadar itu berkisar pada sepuluh terakhir." 'Abd bin Humaid memberitahukan yang demikian kepada kami, 'Abdur Razzaq memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Ma'mar dari Ayyub dari Abu Qilabah dengan maksud seperti itu." Hadis Sunan At Tirmidzi Jilid 2. Hadis Nombor 0789.

Semoga kita berjaya mendapatkan Lailatul Qadar! Amin ya Allah!

Thursday, September 3, 2009

Menjemput Kak Long di KLIA


Semalam saya ke KLIA untuk mengambil anakanda dari Cairo University yang balik bercuti selama sebulan. Pada mulanya, ingin ke KLIA bersama Syakir (berumur 5 tahun) dengan menaiki Kancil. Tetapi anak-anak yang di Sekolah Rendah juga ingin menjemput Kak Long mereka.

Pada awalnya, saya bertegas yang mereka perlu ke sekolah. Jam 7.05 pagi, 'Atikah, Abdul Rahman, Luqman, 'Ammar, Rasyid dan Sakinah menaiki van untuk saya hantar mereka ke SRIH dan SMIH. Setibanya di sekolah, saya merasa kesian pula kepada mereka kerana ingin benar hendak menyambut Kak Long kesayangan mereka di airport.

'Ammar, Rasyid dan Sakinah berpatah balik ke rumah sementara Acik, Abang dan Kak Ngah berada di SMIH. Apabila sampai di rumah, umminya juga hendak pergi ke KLIA. Ummi menelefon kawannya, Ustazah Salwa supaya membawa balik anak-anak dari sekolah apabila sekolah tamat nanti.

Jam 10 pagi, kami bergerak dari rumah menaiki Spectron dan tiba di KLIA 5 minit sebelum pukul 2 petang. Kapal terbang Emirate Airline dijangka tiba jam 2.15 petang. Sementara menunggu Kak Long, kami berjumpa dengan Al-Fadhil Ustaz Alias Othman bersama isteri dan seorang cucu menunggu anak lelaki bongsu mereka pulang bercuti dari Jordan. Anak Ustaz Alias berada di tahun 3, kursus Pergigian.

Hampir pukul 4 petang, barulah Kak Long bersama rakannya keluar. Saya membantu rakannya untuk 'check in flight' ke Kota Bharu di aras 5. 'Flight' kawan Kak Long akan berlepas jam 6 petang. Kesian juga dengan kawannya kerana bag 'luggage'nya melebihi had muatan berat dan dikenakan bayaran RM100. Itupun, setelah menjadikan satu lagi bag yang agak besar dan berat sebagai 'hand luggage'.

Bertolak dari KLIA, jam 4.01 petang. Kak Long memaklumkan yang dia belum lagi solat. Kami dah selesai solat Zohor dan Asar Jamak Takdim serta Qasar sementara menunggunya di airport tadi. Kami berhenti di Perhentian R & R Seremban bagi Kak Long menyelesaikan tugasnya sebagai hamba.

Kemudian kami bergerak semula dan berhenti di R & R Machap bagi tujuan berbuka puasa dan solat Maghrib dan Isyak Jamak Takdim serta Qasar. Akhirnya, selamat sampai di rumah jam 9 malam!

Sepanjang perjalanan dari KLIA saya sempat bertanya pelbagai soalan kerana terasa begitu 'curious' bagaimana keadaannya belajar di negara Timur Tengah. Kak Long menceritakan Cairo University adalah tempat yang terbaik untuk mempelajari kursus Perubatan berbanding beberapa universiti lain di Mesir.

Pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun lepas mula menghantar 90 lebih pelajar bagi mengikuti kursus Perubatan di Cairo University. Pada tahun ini dijangkakan JPA akan menghantar lebih 100 orang pelajar kursus Perubatan lagi ke sana termasuklah pelajar-pelajar dari Royal Military College (RMC).

Cuma di Cairo University, tandasnya dikunci. Oleh itu, pelajar-pelajar Malaysia agak kesempitan untuk bersuci dan mengerjakan solat. Masjid di Universiti hanya untuk mengerjakan solat, membaca Al-Quran dan berzikir dan di buka hanya pada waktunya sahaja.

Pada waktu lain, masjid dikunci. Jadi tiada peluanglah pelajar-pelajar untuk berehat atau berbaring sementara menunggu kuliah yang seterusnya di dalam masjid. Ini amat berbeza dengan Masjid Sultan Ismail, UTM. Tandasnya selesa dan pelajar boleh berhenti rehat di sini.

Dari segi menghidupkan Ramadhan, masyarakat Mesir memang nombor satu. Kak Long memaklumkan mereka saling doa mendoakan apabila bertemu di jalanan di bulan yang penuh berkat ini. Di waktu malamnya, masjid-masjid penuh melimpah ruah hingga ke jalan, begitu ramai sekali datang bertarawih. Dengan kata lain, mereka benar-benar mengetahui erti Ihya' Ramadhan yang sebenar. Tetapi apabila menjelang hari raya, mereka menyambut dengan berpakaian baru ke masjid untuk menunaikan solat sunat Eidul Fitri dan kembali semula ke rumah.

Kita mungkin kurang menghayati dari aspek Ihya' Ramadhannya tetapi berlebih-lebihan pula dari segi Ihya' Syawalnya. Apa tidaknya, kalau orang Arab hanya beraya sehari tetapi kita beraya sebulan penuh. Itupun kadang-kadang terlajak ke bulan Zulkaedah...

Tuesday, September 1, 2009

Happy Birthday to Me!!!


Hari ini genaplah usiaku 45 tahun. Semalam jam 12.16 pagi, anak pertama sms dari Kaherah, Mesir mengucapkan Selamat Hari Lahir kepadaku. Jam 5.34 pagi, anak kedua pula sms menyatakan benda yang sama.

Hari ini, ramai kawan-kawan internet mengucapkan 'Happy Birthday' kepada ku. Takaful Ikhlas dan Jusco turut mengirimkan sms.

Kalau difikirkan apa untungnya kita mengingatkan seseorang tentang penambahan usia tuanya. Mungkin akan merisaukan lagi 'birthday boy' kerana saat kematiannya semakin hampir...

Sebaliknya pula, ucapan itu kalau diambil secara positif merupakan ucapan tahniah kerana kita berjaya melalui 45 tahun dengan jayanya. Ada rakan sebaya yang tidak sampai ke tahap ini. Ada yang pergi kerana sakit, kemalangan sendiri mahupun kemalangan akibat kesalahan orang lain.

Kalau di Barat, remaja begitu menunggu untuk mencapai usia 18 tahun. Usia yang menjadikan dia bebas untuk membuat keputusan sendiri. Ibubapa sudah tidak boleh memberi tunjuk ajar lagi. Dia sudah bebas sebebas-bebasnya! Bebas untuk meminum minuman keras, bebas untuk pergi ke pub, bebas untuk membuat hubungan kelamin tanpa nikah dan bebas untuk tidak tinggal bersama ibubapa lagi...

Ya Allah, Engkau jauhilah anak-anakku dan zuriat mereka dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar! Ya Allah, Engkau rahmatilah mereka dan berikan mereka perlindungan dari segala cubaan dan tipu daya syaitan. Ya Allah, Engkau suluhkan mereka dengan nur dan hidayah dan tempatkan iman di hati mereka. Ya Allah, Engkau berkatilah kehidupan mereka di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Pendengar dan Pemberi pertolongan. Amin ya Rabbal 'Alamin!

Semoga hari-hari mendatang menjadikan aku lebih bertaqwa kepadaMu, wahai Tuhan!