Tuesday, September 15, 2009

Ramadan Beransur Pergi....


Buat kita yang dewasa, pemergian hari-hari di bulan Ramadan begitu terasa... Sudah 25 hari berlalu. Sedih, pilu, dan tertanya-tanya, masih adakah Ramadan buat ku nanti? Bulan yang menggandakan pahala! Atau tahun depan, Ramadan sudah tiada lagi bagi ku?

Buat anak-anak ku, yang masih kecil Sakinah (7 tahun), Rasyid (8 tahun), dan 'Ammar (11 tahun); sehari berlalunya Ramadan, terasa begitu gembira. Gembira kerana kita menghampiri Hari Raya! Kalau tidak silap aku, Sakinah sudah 3 tahun berpuasa penuh! Alhamdulillah, syukur aku kepada Allah. Mudah-mudahan sayangnya kepada Islam akan berterusan sehingga ke akhir hayat.

Petang semalam UTM membuat acara tahunan, iaitu khatam al-Quran mengikut fakulti dan unit di Masjid Sultan Ismail (MSI). Dengan kata lain, setiap unit berkumpul dalam bulatan masing-masing dan menghabiskan setiap juzuk yang telah ditetapkan.

Aku ditemani Rasyid ke MSI. Telah dimaklumkan kepadanya bahawa kita tidak balik ke rumah untuk berbuka dan bersahur kerana kita akan berqiamullail di sana.

Semasa berbuka, aku mengajak Dr Roslan dan anaknya yang sedang bercuti dari UIAM untuk ke tempat berbuka VIP. Pengalaman semasa menjadi Pengetua Kolej dahulu, menunjukkan tempat makan VIP tidak pernah penuh. Pengetua Kolej yang hadir malam tadipun hanya 2 orang. Disamping Pengarah Pusat Islam, mereka mengiringi Prof Azraai (TNC A) yang mewakili Dato' NC yang kini berada di luar negara.

Selesai solat Maghrib aku sempat mandi dan menukar pakaian. Begitu juga Rasyid.

Saf solat tarawih sudah tidak penuh seperti awal-awal Ramadan dulu. Sekarang ada dalam 5 atau 6 saf saja. Biasalah tahun demi tahun... Kita bersemangat pada mulanya saja. Yang di akhir tu, yang mana sepatutnya kita lebih bersemangat untuk mengejar Lailatul Qadar sudah bukan prioriti lagi. Kalau dan kita solat, kalau tak dan, biar aje lah 'malam yang lebih baik dari 1,000 bulan' tu berlalu pergi....

Selesai solat tarawih, aku bertadarus al-Quran. Baru habis 1 1/2 kali setakat ini. Dalam masa 5 hari lagi ni, aku harap dapat menghabiskan sekali lagi dan dapat khatam 2 kali pada bulan Ramadan tahun ini.

Seterusnya aku meletakkan kepala kerana terasa penat. Sedar pukul 11 malam, aku dapati Abang, Acik, dan 'Ammar juga datang untuk berqiamullail. Mereka menumpang Abdul Muhaimin ke sini. Abdul Muhaimin, kawan abang masih belum tinggal berqiamullail sejak malam ke 21 lagi!

Semakin malam, MSI semakin rancak dikunjungi manusia untuk berqiamullail. Makin lama makin ramai. Dan alhamdulillah, mereka adalah dikalangan para du'at. Dr Hishamuddin dengan anak beranaknya, PM Dr Zaharuddin dengan anak-anaknya, PM Dr Tholudin, PM Zamani, Hassan Hushin dengan anaknya, Abdul Hafidz, Dr Roslan, Norizan, Prof Dr Aizaini bersama Mus'ab, Prof Dr Mahmood dengan anak-anaknya, dan ramai lagi. Dari kalangan anak-anakpun ramai, Ihsan anak Dr Norkhair, dan ramai lagi.

Cuma satu yang menyentuh perasaan ku iaitu Dr Razali Ngah. Begitu bersemangat dia memburu Qiamullail... Dia datang bersama si kecil yang aku rasa belum sampai dua tahun. Itulah orang yang tahu nilai malam yang lebih baik dari 1,000 bulan!

Semoga kita masih beristiqamah untuk beramal ibadat di penghujung Ramadan ini, insyaAllah.

Akhir sekali, aku jua ingin memohon ampun dan maaf jika ada terkasar bahasa dalam mana-mana penulisan ku sejak Januari tahun ini. Kepada yang pulang ke kampung, pandulah dengan cermat dan berhati-hati di jalan raya....

No comments:

Post a Comment