Thursday, September 3, 2009

Menjemput Kak Long di KLIA


Semalam saya ke KLIA untuk mengambil anakanda dari Cairo University yang balik bercuti selama sebulan. Pada mulanya, ingin ke KLIA bersama Syakir (berumur 5 tahun) dengan menaiki Kancil. Tetapi anak-anak yang di Sekolah Rendah juga ingin menjemput Kak Long mereka.

Pada awalnya, saya bertegas yang mereka perlu ke sekolah. Jam 7.05 pagi, 'Atikah, Abdul Rahman, Luqman, 'Ammar, Rasyid dan Sakinah menaiki van untuk saya hantar mereka ke SRIH dan SMIH. Setibanya di sekolah, saya merasa kesian pula kepada mereka kerana ingin benar hendak menyambut Kak Long kesayangan mereka di airport.

'Ammar, Rasyid dan Sakinah berpatah balik ke rumah sementara Acik, Abang dan Kak Ngah berada di SMIH. Apabila sampai di rumah, umminya juga hendak pergi ke KLIA. Ummi menelefon kawannya, Ustazah Salwa supaya membawa balik anak-anak dari sekolah apabila sekolah tamat nanti.

Jam 10 pagi, kami bergerak dari rumah menaiki Spectron dan tiba di KLIA 5 minit sebelum pukul 2 petang. Kapal terbang Emirate Airline dijangka tiba jam 2.15 petang. Sementara menunggu Kak Long, kami berjumpa dengan Al-Fadhil Ustaz Alias Othman bersama isteri dan seorang cucu menunggu anak lelaki bongsu mereka pulang bercuti dari Jordan. Anak Ustaz Alias berada di tahun 3, kursus Pergigian.

Hampir pukul 4 petang, barulah Kak Long bersama rakannya keluar. Saya membantu rakannya untuk 'check in flight' ke Kota Bharu di aras 5. 'Flight' kawan Kak Long akan berlepas jam 6 petang. Kesian juga dengan kawannya kerana bag 'luggage'nya melebihi had muatan berat dan dikenakan bayaran RM100. Itupun, setelah menjadikan satu lagi bag yang agak besar dan berat sebagai 'hand luggage'.

Bertolak dari KLIA, jam 4.01 petang. Kak Long memaklumkan yang dia belum lagi solat. Kami dah selesai solat Zohor dan Asar Jamak Takdim serta Qasar sementara menunggunya di airport tadi. Kami berhenti di Perhentian R & R Seremban bagi Kak Long menyelesaikan tugasnya sebagai hamba.

Kemudian kami bergerak semula dan berhenti di R & R Machap bagi tujuan berbuka puasa dan solat Maghrib dan Isyak Jamak Takdim serta Qasar. Akhirnya, selamat sampai di rumah jam 9 malam!

Sepanjang perjalanan dari KLIA saya sempat bertanya pelbagai soalan kerana terasa begitu 'curious' bagaimana keadaannya belajar di negara Timur Tengah. Kak Long menceritakan Cairo University adalah tempat yang terbaik untuk mempelajari kursus Perubatan berbanding beberapa universiti lain di Mesir.

Pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun lepas mula menghantar 90 lebih pelajar bagi mengikuti kursus Perubatan di Cairo University. Pada tahun ini dijangkakan JPA akan menghantar lebih 100 orang pelajar kursus Perubatan lagi ke sana termasuklah pelajar-pelajar dari Royal Military College (RMC).

Cuma di Cairo University, tandasnya dikunci. Oleh itu, pelajar-pelajar Malaysia agak kesempitan untuk bersuci dan mengerjakan solat. Masjid di Universiti hanya untuk mengerjakan solat, membaca Al-Quran dan berzikir dan di buka hanya pada waktunya sahaja.

Pada waktu lain, masjid dikunci. Jadi tiada peluanglah pelajar-pelajar untuk berehat atau berbaring sementara menunggu kuliah yang seterusnya di dalam masjid. Ini amat berbeza dengan Masjid Sultan Ismail, UTM. Tandasnya selesa dan pelajar boleh berhenti rehat di sini.

Dari segi menghidupkan Ramadhan, masyarakat Mesir memang nombor satu. Kak Long memaklumkan mereka saling doa mendoakan apabila bertemu di jalanan di bulan yang penuh berkat ini. Di waktu malamnya, masjid-masjid penuh melimpah ruah hingga ke jalan, begitu ramai sekali datang bertarawih. Dengan kata lain, mereka benar-benar mengetahui erti Ihya' Ramadhan yang sebenar. Tetapi apabila menjelang hari raya, mereka menyambut dengan berpakaian baru ke masjid untuk menunaikan solat sunat Eidul Fitri dan kembali semula ke rumah.

Kita mungkin kurang menghayati dari aspek Ihya' Ramadhannya tetapi berlebih-lebihan pula dari segi Ihya' Syawalnya. Apa tidaknya, kalau orang Arab hanya beraya sehari tetapi kita beraya sebulan penuh. Itupun kadang-kadang terlajak ke bulan Zulkaedah...

No comments:

Post a Comment