Tuesday, September 8, 2009

Allah Yang Membalik-Balikkan Hati....


Selalu kita dengar, kawan kita dulu sangat baik tetapi sekarang sudah berubah. Begitu juga sebaliknya. Dulu perangai macam atau kawan syaitan tetapi sekarang menjadi manusia beriman dan bertaqwa kepada Allah. Dia selalu mengerjakan solat di masjid, berpuasa sunat, bersedekah, dan membuat banyak kerja-kerja kebajikan dan sebagainya.

Teman saya semasa di USA dulu selalu mengikuti usrah, sentiasa solat berjamaah di masjid. Agak-agak lebih 20 tahun saya tidak berjumpa dengannya. Tiba-tiba saya berjumpa dengannya bersama isteri di Hotel Perdana Kota Bharu. Katanya bila dia balik Malaysia, dia berkhidmat dengan PDRM dan sekarang di cawangan Nakotik. Saya melihat isterinya tidak begitu menepati syariat dari segi penjagaan auratnya.

Seorang lagi kawan saya di luar negara juga, menyatakan dia tidak akan membawa balik kereta berjenama ke Malaysia kerana sifat ketawadu'kannya. Alih-alih tengok sampai juga Mercedes 190E ke Malaysia.

Begitulah sifat dan perangai manusia yang boleh berubah-ubah. Kita nampak orang yang baik pada hari ini, tidak semestinya baik sehingga ke akhir hayatnya. Dan kita nampak orang yang jahat tetapi di akhir hayatnya berubah menjadi manusia yang begitu dekat dengan Tuhan.

Kita belum pasti dan tiada jaminan akan kekal istiqamah di jalan Allah. Kadang-kadang keadaan, kawan, perempuan, pangkat dan harta bakal merobah keimanan dan ketaqwaan kita!

Yang pasti jangan kita mudah memandang hina kepada seseorang yang berkelakuan jahat pada hari ini kerana mungkin esok atau lusa dia akan berubah menjadi manusia yang paling baik di sisiNya. Sebaliknya, tanggaplah ia sebagai bakal mad'u kita yang akan digilap sehingga menjadi berkilauan.

Kita disuruh selalu berdoa supaya hati kita tetap di dalam Iman dan Islam. Ya Muqallibal Qulub, Tsabbit Qulu Bana ala Dinik! Sebuah hadis menceritakan...

Hannad menceritakan kepada kami, Muawiyah memberitahukan kepada kami dari Al Aamasy dari Abi Sufyan dari Anas berkata: "Rasulullah (SAW) selalu memperbanyakkan berdoa: "Wahai Zat yang membalikkan hati tetapkanlah hatiku atas agamaMu", lalu aku berkata: "Wahai Rasulullah, kami beriman kepada mu dan apa yang engkau bawa, apakah engkau khuatir kepada kami?", Beliau bersabda: "Ya, sesungguhnya hati itu di antara dua jari dari jari-jari Allah yang membalikkannya menurut apa yang Dia kehendaki." Hadis Sunan At Tirmidzi Jilid 3. Hadis Nombor 2226.

No comments:

Post a Comment