Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Wednesday, April 28, 2010
Mengumpul Data Primer Dan Sekunder...
Pepatah yang kita selalu dengar, "You can bring the horse to the water but you can't force the horse to drink it". Itulah apa yang Mat Saleh cakap bahawa kita hanya mampu membawa seseorang ke tempat yang penting dan amat diperlukan tetapi ianya terletak di tangan mereka sendiri samaada untuk memanfaatkannya atau sebaliknya.
Banyak daripada ibubapa melakukan pengorbanan demi masa depan anak-anak mereka. Mereka menghantar anak-anak ke sekolah, ke tempat mengaji Al-Quran, ke 'tuition center', kelas tambahan di sekolah dan bermacam-macam lagi, dengan harapan anak-anak akan mendapat sedikit sebanyak dari apa yang diajar.
Perbelanjaan wang ringgit bukan menjadi alasan utama. Mereka sanggup membelanjakannya asalkan anak ingin belajar. Kadang-kadang, duit untuk pengajian anak-anak itu adalah 'sacrifices of so many days of holidays or' balik kampung. Biar tidak dapat balik kampung jumpa orang tua asalkan ada duit untuk bayar yuran anak sekolah!
Kalau anak-anak bertindak menghirup seteguk dua air yang tersedia maka ibubapa akan merasa puas dan mungkin merasakan 'investment' mereka berbaloi!
Seandainya tidak, maka pelaburan ibubapa hanya sia-sia!
Setengah dari anak sedar pengorbanan ibubapa terhadap mereka dan cuba untuk tidak menghancurkan harapan orang tua mereka. Manakala, setengah lagi kurang sedar dan masih tidak menghargai apa yang cuba dibuat oleh kedua ibubapa mereka.
Suatu hari, mereka pasti sedar jua...
Oklah. Cerita benda lain pulak....
Pada hari Isnin ini, tibalah masanya untuk saya ke tempat mengumpul data kajian saya, iaitu ke Alor Setar, Kedah Darul Aman. Saya mungkin berada di sana untuk 4 atau 5 hari, untuk membina hubungan sebelum menjalankan operasi 'data collection' secara besar-besaran pada bulan Jun nanti.
Saya merancang untuk ke beberapa buah pejabat kerajaan dan swasta. Antara pejabat kerajaan yang akan saya lawati ialah Pejabat Tanah Kota Setar, Majlis Bandaraya Alor Setar, Pejabat Perancang Bandar & Desa Kedah, Pejabat MADA, dan Pejabat Tanah dan Galian Kedah.
Dengan kedatangan kali pertama nanti akan menyenangkan kedatangan untuk kali yang seterusnya, insyaAllah.
Semoga urusan saya ini dipermudahkan Allah... Amin!!!
Tuesday, April 27, 2010
Terserempak Dengan Bekas Pelajar
Aku baru balik dari menunaikan solat Zohor di Masjid Sultan Ismail UTM. Apabila sampai berhampiran Blok B08, aku ditegur oleh seseorang.
"En. Wan kenal saya lagi?" Di bajunya tertera namanya dan logo Pejabat Tanah & Galian (PTG) Johor. "Kenal, kenal, Shahrizan", sambil memerhati nama di bajunya.
"You buat apa kat sini?", tanyaku. "Kita dihantar ke sini untuk belajar Bahasa Inggeris, hari ni", jawabnya.
"Oh, you kerja kat mana?", tanyaku. "Saya kat PTG", jawabnya. "Berapa ramai kawan-kawan kita kerja sebagai Pegawai Tadbir Negeri (PTN) Johor?", balasku pula.
"Batch saya 2 orang, kemudian Rozamusliadi dan Helmi, 4 orang semuanya", jawab Shahrizan.
Aku pernah mengajar Shahrizan dulu. Dia memang budak pandai, tak banyak cakap dan sopan. Lupa pula nak tanya dah kahwin ke belum?
Alhamdulillah, Kursus Pentadiran dan Pembangunan Tanah telah mengeluarkan 4 orang pelajar yang berkhidmat sebagai Pentadbir Tanah di Johor. Encik Mohd Shahrizan Bin Sahid bertugas sebagai Penolong Pengarah PTG Johor bagi urusan Pendaftaran Hakmilik.
Ini tidak termasuk mereka yang telah mempelajari bidang ini di peringkat Sarjana, baik di Johor mahupun di seluruh negara.
Aku berbangga kerana berjaya membekalkan mereka dengan ilmu...
Friday, April 23, 2010
Kadang-Kadang Kita Terasa Penat...
Penat dan letih memang anugerah Allah yang diberi kepada hambanya sebagai ujian. Penat dan letih ini merangkumi banyak aspeks dalam kehidupan. Penat untuk berkerja, penat untuk belajar, penat untuk membangunkan dan membesarkan ahli keluarga, penat untuk mengajak manusia ke arah kebaikan, penat untuk membuat program, dan bermacam-macam penat lagi.
Yang menjadi bertambah penat dan letih apabila berlakunya perkara yang menghalang atau tidak seiring dengan apa yang telah kita dirancangkan. Dan kadang-kadang, ia datang bertimpa-timpa. Ini yang menyebabkan kita merasa lebih penat...
Walau apapun perasaan dan rasa hati kita, kita perlu tabah dan seharusnya berganjak ke depan. Tiada perkara yang boleh menyekat kemaraan kita. Seharusnya, kita terus istiqamah dan menganggap ujian dan mehnah sebagai asam garam kehidupan. Kata peribahasa melayu, "Bumi mana tidak pernah ditimpa hujan?"
Kadang-kadang pengalaman banyak mengajar kita bagaimana kita seharusnya bertindak apabila sesuatu perkara menimpa kita.
Yang paling asas adalah kita cuba kongsi masalah atau 'let our close friends know about our problems'. Kadang-kadang memberitahu seseorang yang boleh dipercayai (dari segi kerahsiaan) membantu meringankan beban atau tanggungan dalam batu kepala kita.
Dia tidak memberi atau membuat apa-apa tindakanpun... Tetapi apabila kita meluahkan apa yang terbuku di hati maka secara tak langsung perasaan kita menjadi ringan dan kurang 'stress'.
Tetapi perlu diingatkan sekali lagi, kita hanya 'share our problems with somebody who is dear to us and not with any Tom, Dick or Harry'.
'Sharing is one thing but' mengadu hal 'is another thing'. Mengadu hal ini 'can be done solely to Allah, especially in our night prayers'. Menangislah, keluarkan air mata 'tension' sebanyak-banyaknya sambil berbicara dengan Rabbul Jalil. Dia maha mendengar dan maha simpati dengan aduan kita...
Tidak guna kita mengadu hal kepada manusia! Mereka tidak mampu membuat apa-apa... Tetapi Allah, 'He is the greatest, and the most powerful of all'.
Dan yang paling penting, jadikanlah doa ini sebagai doa harian kita;
"Allahumma, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung padaMu dari sifat lemah dan malas, dan aku berlindung padaMu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung padaMu dari cengkaman hutang dan penindasan orang."
"Allahumma inni a'uzubika minal hammi wal hazan, wa a'uzubika minal 'ajzi wal kasal, wa a'uzubika minal jubni wal bukhl, wa a'uzubika min gholabatiddaini wa qahrir rijal."
Wednesday, April 21, 2010
SMIH Menang Debat Bahasa Arab Di UIAM
Alhamdulillah SMIH terus mencipta nama dalam bidang debat yang dianjurkan oleh IIUM Inter-School Debating Championship 2010. Pertandingan debat dalam 3 bahasa ini dipertandingkan di Kampus UIA Gombak, dari 16 hingga 21 April 2010.
Pada tahun lepas, SMIH berjaya menjadi Johan dan Naib Johan dalam debat Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Pada tahun ini, mereka kurang bernasib baik dalam debat Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kerana tersingkir di peringkat awal. Tetapi pasukan debat Bahasa Arab pula muncul menjadi juara dengan mengalahkan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). KISAS merupakan sebuah sekolah kluster dan bistari, Sekolah Berasrama Penuh.
Anas bin Hairozi telah muncul sebagai pendebat terbaik Bahasa Arab!
Tahniah buat SMIH! Semoga sekolah agama ini terus mengharumkan nama di persada tanahair mahupun antarabangsa.
Berita terperinci boleh didapati di lawan web http://www.hidayah.edu.my/. Tahniah sekali lagi kepada seluruh warga Hidayah!!!
Friday, April 16, 2010
Melayu Bangsaku
Aku bangga berbangsa Melayu?
Adik-adik lelaki bangsaku ramai di pusat pemulihan dadah
Adik-adik perempuan bangsaku ramai yang mengandung anak luar nikah
Abang-abang bangsaku menjual negara demi periuk nasi sendiri
Kakak-kakak bangsaku tiada peduli asalkan suami tidak kahwin lagi
Ayah-ayah bangsaku masih mencari pil ubat kuat
Ibu-ibu bangsaku masih berkerja walau kurang kudrat
Datuk-datuk bangsaku suka berseronok dan berkata lucu
Nenek-nenek bangsaku jarang sekali lupa cucu
Adakah aku masih bangga berbangsa Melayu?
Aku sebenarnya malu
Bangsaku memerintah negara sejak dulu
Tetapi rata-ratanya bangsaku tidak sebulu
Sebab itu bangsaku tidak boleh maju
Aku sebenarnya kelu
Menegur yang aku rasa perlu
Tetapi mereka sangka aku cemburu
Melihat mereka teraju
Duhai ibu pertiwi
Masihkah kau peduli?
Memartabatkan bangsa sendiri
Atau engkau buat ikut suka hati…
Kesian mereka tercari-cari
Kemana kita hendak pergi?
Jika kau masih peduli…
Kesian mereka sudah berbakti
Tetapi tidak diberi saguhati
Jika kau masih mengingati…
Kesian mereka masih menanti
Ingatkan dulu sakit hati
Jika kau masih mengerti…
Oh Bangsaku, Oh Bangsaku...
Sunday, April 11, 2010
Ihtifal SMIH 2010
Alhamdulillah, Hari Ihtifal SMIH berjalan lancar pada hari ini. Majlis yang sepatutnya dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Johor diwakilkan kepada Ketua Sektor Bahagian Sekolah Agama. Ia dilangsungkan di Dewan Kompleks Nusa Mutiara, Johor Bahru.
Banyak hadiah diberikan kepada pelajar-pelajar SMIH diatas pencapaian mereka, baik dari aspek akademik mahupun kokurikulum.
Pada tahun ini, anugerah tokoh pelajar lelaki 2009 dimenangi oleh Abdullah Zubayr bin Mohd Aizaini. Manakala anugerah tokoh pelajar perempuan 2009 dimenangi Maryam Rufaidah bt Zainal Abidin.
Anakanda Wan 'Atikah menerima hadiah dan perhargaan; Anugerah Cemerlang SPM 2009 (8A), Anugerah Cemerlang Sijil Khas Agama (SKA) 2009 (Jayyid Jiddan), Anugerah Gemilang (1A) English GCE O-Level 2009, Anugerah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Penghargaan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Penghargaan Pengawas, dan Penghargaan Kepimpinan Kadet Remaja Sekolah MUSLEH (KRSM) berpangkat Lans Koperal.
Anakanda Wan Abdul Rahman menerima hadiah Anugerah Gemilang PMR 2009 (9A) dan Anugerah Tahfiz Cemerlang 2009 (Tingkatan 3).
Anakanda Wan Ahmad Luqman mendapat Anugerah Akademik Terbaik Tingkatan 1 2009 (11A) dan Anugerah Tahfiz Cemerlang 2009 (Tingkatan 1).
Friday, April 9, 2010
Jangan Lupa Pada Allah...
Dalam usrah minggu ini, naqibku telah mengupas ayat 18-19, Surah Al-Hasyr.
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha teliti terhadap apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, sehingga Allah menjadikan mereka lupa akan diri sendiri. Mereka itulah orang-orang fasik."
Ayat ini tidak asing bagiku kerana aku sudah menghafaznya dari ayat 18 hingga 24. Lagipun ia memang antara ayat-ayat yang dimuatkan dalam al-Ma'thurat (senarai doa dan ayat-ayat yang dilazimi oleh Rasulullah yang telah dikumpulkan oleh Assyahid Hassan Al-Banna).
Ayat ke 18 menyuruh kita muhasabah atau meneliti apa yang telah kita bekalkan untuk akhirat. Kita kebiasaannya membekalkan untuk hari tua tetapi kurang prihatin untuk menyediakan bekalan melangkaui hari tua! Sedikit sebanyak ada duit sikit-sikit sebagai bekalan untuk menyara diri, isteri dan anak-anak yang masih dalam tanggungan.
Tetapi yang lebih besar dan lebih penting dari hari tua...iaitu yaumul mahsyar! Adakah kita bersedia dan membuat tabungan? Allah telah memperingatkan kita awal-awal lagi takut kita tidak bersedia...
Sama dengan kita, memperingati anak-anak tentang masa depan kerana khuatir mereka tidak mampu untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar dan memerlukan wang ringgit dan perbelanjaan yang banyak!
Allah juga mengingati kita supaya tidak lupa kepadaNya. Takut-takut Allah melupakan kita untuk bersiap siaga menyediakan bekalan hari akhirat yang tiada akhirnya dan tiada noktahnya. Tidak seperti di dunia, mungkin susah dan miskin kita akan berakhir dengan kematian. Tetapi di akhirat, subhanallah, kalau susah kita maka susahlah untuk selamanya dan begitulah sebaliknya.
Ya Allah, jadikan daku orang yang menyediakan bekalan untuk hari akhirat dan jadikanlah daku orang yang tidak sama sekali melupaiMu... Amin... Ya Rabbal'Alamin.
Wednesday, April 7, 2010
Kursus Asas Koperasi Di Hotel Selesa, Johor Bahru
Tak pernah aku menghadiri suatu kursus yang aku rasai begitu seronok, tak mahu 'missed a single session of the talk' dan tiada 'pressure at all' kecuali Kursus Asas Koperasi...
Kursus ini diadakan pada 6 dan 7 April 2010 di Hotel Selesa, Johor Bahru.
Selepas menghantar anak-anak ke Hidayah pada hari Selasa, aku terus menuju ke Hotel Selesa JB. Perjalanan agak sesak terutama di kawasan Tampoi.
Pendaftaran sepatutnya bermula 8.30 pagi dan aku sampai kira-kira 15 minit lebih awal. Selepas mendaftar, kami terus dihidangkan dengan sarapan.
Sedang aku bersarapan, tiba-tiba tuan penceramah, En Abdul Halim Mahmud dari Koperasi ANGKASA datang menemui aku. "Tuan Haji, boleh tak minta tuan haji untuk membaca doa sebelum kita memulakan program nanti?" "InsyaAllah?", balasku.
Program selama 2 hari 1 malam mengandungi 4 ceramah dan 2 bengkel. Peserta adalah lebih kurang seramai 35 orang. Majoriti pesertanya dari Koperasi UTM, dan beberapa orang dari Koperasi Melayu Negeri Johor dan Koperasi Perubatan Negeri Johor (tidak berapa pasti nama penuh sebenar kedua-dua koperasi tersebut).
Banyak maklumat yang diperolehi dan memberi kesedaran tentang betapa kita perlu berperanan jika kita ingin melihat koperasi kita maju dan berjaya.
Untuk menubuh sebuah koperasi, kita hanya perlu 50 orang peserta! Ahli Lembaga Koperasi (ALK) perlu dibuat pemilihan dan dilantik diantara 6 hingga 15 orang. Mengikut peraturan baru, Juruaudit Dalaman (JAD) tidak lagi dipilih oleh ahli tetapi dilantik oleh ALK.
Sungguhpun JAD tidak boleh menghadiri mesyuarat ALK tanpa dijemput tetapi JAD perlu membuat pemantauan berterusan keatas ALK dan menyimpan semua minit mesyuarat ALK.
Bilangan koperasi di Malaysia adalah lebih 7,000 buah dan bilangan keanggotaan pula melebihi 6 juta orang. Kerajaan telah menetapkan target supaya kita mempunyai 10,000 buah koperasi menjelang 2013. Dimaklumkan juga bahawa Koperasi Polis dan Tentera adalah antara koperasi yang berjaya!
Pada tahun 2008, sumbangan koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanyalah 1% tetapi kerajaan mensasarkan sebanyak 10% pada tahun 2020. Koperasi di Vietnam telah menyumbang sebanyak 25% kepada KDNK negara tersebut. Manakala di India pula, koperasi telah menyumbang 18% kepada KDNK mereka.
Koperasi di Jepun begitu berjaya sehingga boleh menyumbang biasiswa kepada anak-anak ahli untuk menyambungkan pelajaran ke peringkat universiti. Pasaraya koperasi di Jepun juga menjual barangan dengan harga 50% lebih rendah kepada ahli-ahli mereka berbanding dengan pasaraya awam.
Mereka tidak mementingkan dividen kepada saham tetapi mendapat harga barangan yang rendah sudah mencukupi untuk mereka terus menyokong koperasi mereka.
Kita sebaliknya pula inginkan dividen yang tinggi. Oleh itu, barangan koperasi kita perlu dijual jauh lebih mahal dari kedai-kedai biasa bagi mendapat keuntungan untuk diagihkan kepada ahli. Akhirnya, barangan koperasi kita tidak mendapat sambutan dari ahli apatah lagi bukan ahli...
Elok benar, kalau koperasi kita yang sedia ada dimantapkan lagi dan sekiranya perlu, kita di Johor menubuhkan sebuah koperasi KITA sendiri.
Sunday, April 4, 2010
Memuliakan Tak Kena Cara...
Sering kita ke masjid untuk menunaikan solat 5 waktu. Jarang-jarang sekali kita membuat qiam di masjid tetapi kebiasaannya di bulan Ramadan al-Mubarak agak kerap di 10 malam terakhir. Setiap hari Jumaat, kita pergi solat Jumaat. Kadang-kadang ada majlis ilmu tetapi tidak sekerap mana. Pendengarpun adalah dua tiga kerat.
Dulu saya pernah dengar ada orang bukan Islam mempertikaikan dari segi 'value for money'. Katanya, masjid dibelanjakan dengan duit kerajaan menelan belanja puluhan juta RM sebuah tetapi dari segi penggunaannya amat terhad sekali!
Antara sebab kurangnya penggunaan masjid adalah kerana kita me'mulia'kan sangat masjid. Maksud 'mulia'kan sangat ialah kita tidak membenarkan orang bukan Islam untuk mendekati masjid, untuk mengetahui Islam secara lebih dekat.
Orang bukan Islam dikatakan najis dan tidak sesuai untuk melihat keadaan dan memasuki masjid. Adalah tidak munasabah untuk kita mengajak orang ke pangkuan Islam tetapi apabila mereka ingin melihat cara 'ritual' kita beribadah tidak dibenarkan.
Masjid kita bukan hanya tidak mesra kepada orang bukan Islam tetapi juga kepada kanak-kanak. Kanak-kanak yang datang ke masjid dihalau untuk berada jauh di belakang sesama mereka. Cuba bayangkan apa yang akan berlaku apabila mereka berada sesama mereka... mungkin bising berborak, mungkin bergurau, mungkin yang lebih besar membuli yang lebih kecil.
Silap-silap haribulan kanak-kanak yang jiwanya halus diherdik oleh pakcik-pakcik tua kerana membuat bising dan sebagainya.
Jiwa anak-anak kecil yang tercalar mungkin membuatkan mereka merasa tidak ingin lagi ke masjid. Mereka kembali semula ke masjid apabila sudah meningkat dewasa.
Akhirnya, jadilah masjid sebagai tempat orang-orang pencen menghabiskan sisa-sisa usia mereka.
Dari aspek kebersihanpun, masjid tidak begitu membanggakan! Tandas yang kotor, ruang solat dipenuhi dengan tahi cicak, almari berhabuk, 'carpet' berhapak, dan sebagainya. Apa salahnya jika ajk masjid secara gotong royong mencucinya sekurang-kurangnya seminggu sekali.
Begitu juga Al-Quran, kalamullah... Dimuliakan dan diletakkan di tempat yang tinggi. Hendak membacanyapun diletakkan syarat yang tinggi. Perlu mahir tajwid, perlu betul sebutan, dan akhirnya al-Quran menjadi hiasan dan azimat dalam almari.
Usah hendak diamalkan intipati al-Quran, hendak dibacapun disusahkan begitu sekali. Akhirnya, kita hanya bergelar orang Islam tetapi buta al-Quran...
Ajk masjid yang lebih muda perlu menganggotai masjid-masjid seluruh negara. Program mesra anak-anak perlu diperbanyakkan supaya anak-anak merasai institusi masjid adalah sebahagian dari kehidupan mereka. Masjid juga perlu berperanan sebagai sebuah tempat yang mesra pengunjung! Masjid bukan hanya tempat solat tetapi juga merupakan tempat kita melakukan pelbagai aktiviti, baik aktiviti jasmani, rohani, kebajikan, dan intelektual.
Thursday, April 1, 2010
Adakah Kita Golongan Yang Bekerja?
Dakwah kita sentiasa bekerja siang dan malam tanpa mengharapkan balasan atau sanjungan daripada sesiapa, sebaliknya dakwah ini hanya bekerja kerana Allah sahaja.
Dalam setiap langkahnya, dakwah ini hanya mengharapkan bantuan dan dokongan Allah. Hanya daripada Allah sahaja akan tiba segala bantuan.
Slogan mereka yang bekerja dalam dakwah ini ialah (Surah Hud; 88), “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.”
Soalan-soalan yang sering ditanya oleh mad’u… Adakah jamaah ini jamaah yang praktikal? Atau adakah anggota jamaah ini adalah orang-orang yang praktikal juga? Mereka yang bertanya berkemungkinan tediri dari salah satu kumpulan manusia berikut:
Seorang yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan diri sendiri. Orang ini mungkin orang yang hidup dalam dunia sendiri, mereka tiada tujuan, tiada wawasan dan tiada pegangan.
Orang ini juga mungkin golongan yang gemar bermain bahasa, cenderung melahirkan ucapan yang hebat supaya para pendengar memuji mereka sebagai orang yang bijak. Mereka mahu masyarakat melihat mereka ini hebat sedangkan mereka sebenarnya tiada memiliki apa-apa. Mereka juga sedar mereka sebenarnya membohongi diri mereka sendiri. Apa yang dilakukan ini hanya untuk menutup kelemahan dan keegoan mereka.
Orang ini juga mungkin golongan yang mahu melemahkan semangat orang yang menyeru mereka supaya kelemahan pendakwah ini nanti akan menjadi alasan untuk mereka terus berpeluk tubuh, culas dan menjadi sebab untuk tidak beramal. Firman Allah:
"Sesungguhnya Allah mengetahui akan orang-orang (munafik) yang menghalangi di antara kamu, dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya: Marilah bersatu dengan kami, sedang mereka tidak turut berperang melainkan sebentar sahaja. Mereka bersikap bakhil kedekut terhadap kamu (wahai orang-orang mukmin untuk memberikan sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh yang menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar seperti orang yang pengsan semasa hampir mati. Kemudian apabila hilang perasaan takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil berkata tamakkan kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu tidak beriman, lalu Allah gugurkan amal-amal mereka. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya." (al-Ahzab; 18-19)
Kita mengenali semua golongan ini dengan pelbagai rupa dan gaya mereka.
Walau bagaimanapun ada sekumpulan manusia yang jumlah mereka sedikit tetapi usaha mereka hebat. Kumpulan seperti ini jarang sekali wujud tetapi mereka diberkati dan boleh diharapkan. Mereka bertanya soalan dengan penuh semangat dan ikhlas apabila anda mengajak mereka untuk bersama dan membantu anda.
Semangat ini mendorong mereka bekerja jika mereka tahu cara bekerja yang boleh membuahkan hasil. Semangat ini mendorong mereka bermujahadah, cuma mereka tidak bertemu dengan ruang untuk menampilkan kehebatan sebenar mereka. Mereka bersama masyarakat, mereka mengkaji semua pertubuhan, mereka aktif bersama pelbagai jamaah.
Namun mereka masih belum bertemu dengan sesuatu yang dapat memenuhi kehendak mereka; sesuatu yang sesuai dengan kemahuan mereka, meyakinkan hati mereka, bertepatan dengan semangat dan jiwa mereka. Jika mereka ini bertemu dengan apa yang dikehendaki, sudah tentu mereka akan berada di barisan hadapan. Malah kewujudan mereka ini walaupun seorang di medan tetapi sama seumpama 1,000 orang.
Kita cuba pupuk persefahaman bersama mereka. Walau bagaimanapun hanya Allah sahaja yang memilih tenteraNya dan memilih mereka yang akan bekerja untukNya.
"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya." (al-Qasas: 56)
(Dari Himpunan Risalah Imam Hasan al-Banna)

Subscribe to:
Posts (Atom)