Wednesday, April 7, 2010

Kursus Asas Koperasi Di Hotel Selesa, Johor Bahru


Tak pernah aku menghadiri suatu kursus yang aku rasai begitu seronok, tak mahu 'missed a single session of the talk' dan tiada 'pressure at all' kecuali Kursus Asas Koperasi...

Kursus ini diadakan pada 6 dan 7 April 2010 di Hotel Selesa, Johor Bahru.

Selepas menghantar anak-anak ke Hidayah pada hari Selasa, aku terus menuju ke Hotel Selesa JB. Perjalanan agak sesak terutama di kawasan Tampoi.

Pendaftaran sepatutnya bermula 8.30 pagi dan aku sampai kira-kira 15 minit lebih awal. Selepas mendaftar, kami terus dihidangkan dengan sarapan.

Sedang aku bersarapan, tiba-tiba tuan penceramah, En Abdul Halim Mahmud dari Koperasi ANGKASA datang menemui aku. "Tuan Haji, boleh tak minta tuan haji untuk membaca doa sebelum kita memulakan program nanti?" "InsyaAllah?", balasku.

Program selama 2 hari 1 malam mengandungi 4 ceramah dan 2 bengkel. Peserta adalah lebih kurang seramai 35 orang. Majoriti pesertanya dari Koperasi UTM, dan beberapa orang dari Koperasi Melayu Negeri Johor dan Koperasi Perubatan Negeri Johor (tidak berapa pasti nama penuh sebenar kedua-dua koperasi tersebut).

Banyak maklumat yang diperolehi dan memberi kesedaran tentang betapa kita perlu berperanan jika kita ingin melihat koperasi kita maju dan berjaya.

Untuk menubuh sebuah koperasi, kita hanya perlu 50 orang peserta! Ahli Lembaga Koperasi (ALK) perlu dibuat pemilihan dan dilantik diantara 6 hingga 15 orang. Mengikut peraturan baru, Juruaudit Dalaman (JAD) tidak lagi dipilih oleh ahli tetapi dilantik oleh ALK.

Sungguhpun JAD tidak boleh menghadiri mesyuarat ALK tanpa dijemput tetapi JAD perlu membuat pemantauan berterusan keatas ALK dan menyimpan semua minit mesyuarat ALK.

Bilangan koperasi di Malaysia adalah lebih 7,000 buah dan bilangan keanggotaan pula melebihi 6 juta orang. Kerajaan telah menetapkan target supaya kita mempunyai 10,000 buah koperasi menjelang 2013. Dimaklumkan juga bahawa Koperasi Polis dan Tentera adalah antara koperasi yang berjaya!

Pada tahun 2008, sumbangan koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanyalah 1% tetapi kerajaan mensasarkan sebanyak 10% pada tahun 2020. Koperasi di Vietnam telah menyumbang sebanyak 25% kepada KDNK negara tersebut. Manakala di India pula, koperasi telah menyumbang 18% kepada KDNK mereka.

Koperasi di Jepun begitu berjaya sehingga boleh menyumbang biasiswa kepada anak-anak ahli untuk menyambungkan pelajaran ke peringkat universiti. Pasaraya koperasi di Jepun juga menjual barangan dengan harga 50% lebih rendah kepada ahli-ahli mereka berbanding dengan pasaraya awam.

Mereka tidak mementingkan dividen kepada saham tetapi mendapat harga barangan yang rendah sudah mencukupi untuk mereka terus menyokong koperasi mereka.

Kita sebaliknya pula inginkan dividen yang tinggi. Oleh itu, barangan koperasi kita perlu dijual jauh lebih mahal dari kedai-kedai biasa bagi mendapat keuntungan untuk diagihkan kepada ahli. Akhirnya, barangan koperasi kita tidak mendapat sambutan dari ahli apatah lagi bukan ahli...

Elok benar, kalau koperasi kita yang sedia ada dimantapkan lagi dan sekiranya perlu, kita di Johor menubuhkan sebuah koperasi KITA sendiri.

No comments:

Post a Comment