Thursday, April 1, 2010

Adakah Kita Golongan Yang Bekerja?

Dakwah kita sentiasa bekerja siang dan malam tanpa mengharapkan balasan atau sanjungan daripada sesiapa, sebaliknya dakwah ini hanya bekerja kerana Allah sahaja.

Dalam setiap langkahnya, dakwah ini hanya mengharapkan bantuan dan dokongan Allah. Hanya daripada Allah sahaja akan tiba segala bantuan.

Slogan mereka yang bekerja dalam dakwah ini ialah (Surah Hud; 88), “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.”

Soalan-soalan yang sering ditanya oleh mad’u… Adakah jamaah ini jamaah yang praktikal? Atau adakah anggota jamaah ini adalah orang-orang yang praktikal juga? Mereka yang bertanya berkemungkinan tediri dari salah satu kumpulan manusia berikut:

Seorang yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan diri sendiri. Orang ini mungkin orang yang hidup dalam dunia sendiri, mereka tiada tujuan, tiada wawasan dan tiada pegangan.

Orang ini juga mungkin golongan yang gemar bermain bahasa, cenderung melahirkan ucapan yang hebat supaya para pendengar memuji mereka sebagai orang yang bijak. Mereka mahu masyarakat melihat mereka ini hebat sedangkan mereka sebenarnya tiada memiliki apa-apa. Mereka juga sedar mereka sebenarnya membohongi diri mereka sendiri. Apa yang dilakukan ini hanya untuk menutup kelemahan dan keegoan mereka.

Orang ini juga mungkin golongan yang mahu melemahkan semangat orang yang menyeru mereka supaya kelemahan pendakwah ini nanti akan menjadi alasan untuk mereka terus berpeluk tubuh, culas dan menjadi sebab untuk tidak beramal. Firman Allah:

"Sesungguhnya Allah mengetahui akan orang-orang (munafik) yang menghalangi di antara kamu, dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya: Marilah bersatu dengan kami, sedang mereka tidak turut berperang melainkan sebentar sahaja. Mereka bersikap bakhil kedekut terhadap kamu (wahai orang-orang mukmin untuk memberikan sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh yang menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar seperti orang yang pengsan semasa hampir mati. Kemudian apabila hilang perasaan takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil berkata tamakkan kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu tidak beriman, lalu Allah gugurkan amal-amal mereka. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya." (al-Ahzab; 18-19)

Kita mengenali semua golongan ini dengan pelbagai rupa dan gaya mereka.

Walau bagaimanapun ada sekumpulan manusia yang jumlah mereka sedikit tetapi usaha mereka hebat. Kumpulan seperti ini jarang sekali wujud tetapi mereka diberkati dan boleh diharapkan. Mereka bertanya soalan dengan penuh semangat dan ikhlas apabila anda mengajak mereka untuk bersama dan membantu anda.

Semangat ini mendorong mereka bekerja jika mereka tahu cara bekerja yang boleh membuahkan hasil. Semangat ini mendorong mereka bermujahadah, cuma mereka tidak bertemu dengan ruang untuk menampilkan kehebatan sebenar mereka. Mereka bersama masyarakat, mereka mengkaji semua pertubuhan, mereka aktif bersama pelbagai jamaah.

Namun mereka masih belum bertemu dengan sesuatu yang dapat memenuhi kehendak mereka; sesuatu yang sesuai dengan kemahuan mereka, meyakinkan hati mereka, bertepatan dengan semangat dan jiwa mereka. Jika mereka ini bertemu dengan apa yang dikehendaki, sudah tentu mereka akan berada di barisan hadapan. Malah kewujudan mereka ini walaupun seorang di medan tetapi sama seumpama 1,000 orang.

Kita cuba pupuk persefahaman bersama mereka. Walau bagaimanapun hanya Allah sahaja yang memilih tenteraNya dan memilih mereka yang akan bekerja untukNya.

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya." (al-Qasas: 56)

(Dari Himpunan Risalah Imam Hasan al-Banna)

No comments:

Post a Comment