Tuesday, May 31, 2011

Baru 'submit 1st draft' kepada Penyelia...


Alhamdulillah penat lelah selama ini rasa berbaloi apabila aku dapat menghantar tesis draf pertama kepada 'supervisor'. Kerja siang malam, kadang-kadang sampai pukul 2, 3 pagi rasa berbalas! Itu belum tengok komen dan cadangan pembetulan dari penyelia lagi... Tapi apa pun yang penting dah siap draf.

Ingat komen Billy, 'supervisor' kedua dari University of Ulster hujung tahun lepas semasa beliau berkunjung ke UTM. Setelah aku 'brief' dan tunjukkan 'progress' tesisku kepadanya, diapun berkata, "Wan, I think you can finish it within 2 weeks!". Lepas dia balik ke UK, semangat akupun turun.

Baru 2 bulan kebelakangan ini, semangat aku naik balik! Ini berkat doa kawan-kawan, anak-anak, saudara mara, baik yang dekat mahupun yang jauh. Doa kalian kepadaku tanpa aku ketahui telah mengembalikan semangat untuk terus berjuang... Aku berdoa kepada Allah supaya membalas kalian dengan maghfirah dan rahmah, diberi keselamatan di dunia dan di akhirat.

Aku pula pantang jumpa orang yang hendak ke Mekah, akan aku minta diselitkan sedikit doa buat ku. Begitu juga rakan-rakan yang tidak ke mana-mana, akan ku pinta juga untuk didoakan... Sesungguhnya, doa itu senjata orang mukmin!

Satu lagi yang menguatkan semangat buat diriku, disamping doa antum semua ialah kerana latihan askar yang telah aku lalui. Dalam latihan askar, tiada menyerah kalah tanpa berjuang... Tiada pertempuran hanya sekerat jalan... tetapi wajib dihabiskan misi tersebut. Dan dalam perjuangan juga, kita hanya ada dua pilihan iaitu samaada menang atau syahid!

Perasaan ingin memotivasikan anak-anakku yang ramai adalah satu lagi perangsang untuk cuba menghabiskan PhD. Kalau abah boleh lakukan dengan segala kekangan yang ada kenapa anak-anak tidak boleh? Berusaha, terus berusaha, dan bertawakkal kepada Allah, insyaAllah berjaya! Kalau tidak juga berjaya, kita harus menerima dengan rasa penuh kesyukuran. Ini adalah ujian dari Allah...

Pernah aku menasihatkan anakku yang bersungguh-sungguh berusaha dalam pelajarannya, dan berjumpa dengan pensyarahnya untuk mendapat bimbingan tetapi masih mendapat keputusan yang kurang baik. Aku katakan kepada anakku, "Abah sudah berpuashati... yang penting kita berusaha... dan keputusan yang diperolehi selepas itu adalah suratan dan kehendak Allah jua. Dan perlu diingat bahawa Allah melihat kepada usaha kita dan bukan hasilnya! Tetapi sebaliknya manusia rata-rata hanya melihat kepada hasilnya..."

Aku mengharapkan kalian terus berdoa buat ku semoga aku dapat menghantar 'final draft', kemudian melalui viva dengan jayanya, dan akhirnya memperolehi PhD. Dan berbekalkan dengan pelajaran yang ada padaku, aku akan lebih bersemangat dalam dakwahMu, ya Allah!

Dan aku juga memanjatkan doa padaMu ya Allah, dijauhi sifat takabur, riya', ujub, dan bangga diri dengan apa yang Engkau anugerahkan kepadaku, ya Allah!

Sesungguhnya aku tahu ilmu daku sangat sedikit berbanding dengan ilmu yang Engkau taburkan di muka bumi ini...ya Allah!

“Katakanlah Muhammad, “Seandainya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai penulisan kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu pula” (Al-Kahfi; 109).

Saturday, May 28, 2011

"Ni cucu ke?", tanya Kak Yah


Cuti sekolah baru bermula. Musim kenduri kahwin pun tiba. Hari ini ada dua walimah (kenduri kahwin) yang wajib aku hadiri. Walimah bagi ku adalah wajib dihadiri apabila dijemput selagi ia dilaksanakan tidak bercanggah dengan batasan agama yang dibenarkan dan jaraknya tidak terlampau jauh. Imbau kembali perkara tentang tanggungjawab seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain...

Pertama, apabila diberi salam, kita wajib menjawabnya dengan kalimah yang sama atau yang lebih baik iaitu sehingga "...warahmatullahi wabarakaatuh". Kedua, apabila diminta pandangan dari kita, maka wajib kita memberi pandangan atau pendapat seperti yang diperlukan. Ketiga, apabila dia bersin dan mengatakan "alhamdulillah" maka wajib kita doakan untuk dia "yarhamukallah" dan dia kembalikan doa untuk kita pula "yahdina wayuslah baalakum..." Keempat, apabila dia sakit, maka tanggungjawab kita untuk menziarahinya. Kelima, apabila dia meninggal dunia, wajib kita mengiringi jenazahnya. Dan keenam, apabila dijemput untuk menghadiri majlisnya, maka wajib kita memenuhi permintaannya.

Begitu cantik peraturan yang digariskan oleh Islam supaya masyarakat hidup dalam keadaan endah dan indah. Begitu harmoni... Saling bantu membantu, lengkap melengkapi, hormat menghormati, dan paling penting masing-masing tahu tanggungjawab masing-masing!

Pukul 11.30 tadi, aku, Kak Ngah, 'Ammar, Rasyid, Sakinah, Syakir, dan Asmaa telah menghadiri walimah anak Dr Abdullah Daud. Anak Dr Abdullah dan Kak Yah yang ketiga, mendirikan rumahtangga dengan seorang pemuda dari Pontian. Majlis diadakan di Rumah Alumni UTM.

Sambil aku dan anak-anak menjamu selera, Dr Abdullah bertanya mana yang lain-lain? Aku memaklumkan bahawa isteriku tak dapat hadir kerana mengendalikan mukhayyam pelajar-pelajar sekolahnya. Anak yang sulung masih di Mesir, abang menghadiri mukhayyam sekolah, dan Achik menghadiri latihan debat di sekolah.

Kehadiran kami yang agak awal, menjadikan keadaan tuan rumah mempunyai banyak masa untuk melayan, bertanya khabar dan sebagainya kerana suasana masih tak sibuk dan tidak ramai orang.

Berlalu Dr Abdullah, datang pula Kak Yah ke meja kami...

"Ni cucu ke?", tanya Kak Yah sambil menunjukkan kepada anak-anakku yang masih kecil. Kak Ngah mula gelak... Ditunjuk pula kepada Rasyid dan Syakir... "Ni kembar ke?", tanya isteri Dr Dollah lagi.

"Bukan Kak Yah, Rasyid darjah 4 dan Syakir darjah 1", balasku padanya.

Kak Yah dan Dr Abdullah tidaklah mengenali sangat keluargaku. Kami sekeluarga tidak pernah bertandang ke rumahnya dan begitu juga mereka tak pernah datang ke rumah kami.

Cuma aku dan Dr Abdullah pernah bekerja satu fakulti di suatu masa dulu. Aku mengenali Kak Yahpun melalui tempahan kuih pelita yang diusahakannya.

Bagi membantu mereka, semasa Dr Abdullah ditahan di Kem Tahanan ISA Kamunting, aku kerap juga 'order' tepung pelita dari Kak Yah. Bukanlah suka sangat tepung pelita tetapi sekadar ingin membantu seorang muslim yang ditahan tanpa bicara selama 6 tahun dan si isteri terpaksa bertungkus lumus menyara kehidupan 11 orang anak.


Setelah Kak Yah berlalu dari meja kami. Aku menanyakan Kak Ngah, "Nampak tua sangat ke abah?" Kak Ngah hanya mampu tersenyum. Kepalaku sudah banyak yang putih. Kira 'balance' la yang hitam dan yang putih. Yang putih bertambah-tambah dalam masa 3, 4 tahun ini bahana membuat PhD. InsyaAllah, jika diizinkan Allah, tamatlah PhDku pada tahun ini.

"Tu la Rasyid tak nak makan sangat..., makcik tu dah kata Syakir dan Rasyid kembar", tambahku lagi. Semua anak-anakku ketawa dan tersenyum simpul dengan apa yang berlaku...

Friday, May 20, 2011

Islam, Pekerja dan Revolusi

Risalah daripada Prof. Dr. Mohammed Badi’ – Mursyidul Am Ikhwan Muslimin 12/5/2011

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah saw dan orang-orang yang mengikutinya. Adapun selepasnya..

Islam dan pekerja:

Islam menggesa untuk bekerja, dan menetapkan kebebasan bekerja untuk mencari rezeki, dan menjadikan setiap Muslim bertanggungjawab secara langsung melakukan pekerjaan yang bermanfaat bagi dirinya sendiri dan masyarakat, bebas memilih pekerjaan yang dijalankan sesuai dengan minat, bakat dan kebolehan masing-masing. Kebebasan memilih pekerjaan tidak dibataskan berdasarkan kelas atau status sosial, tetapi melihat kepada kompetensi dan kemampuan yang menjadi kriteria kelayakan individu. Dengan demikian Islam memastikan tercapai prinsip peluang yang sama bagi semua orang, dan larangan hak istimewa kepada mana-mana pihak atau golongan yang berkuasa.

Sesungguhnya Muhammad bin Abdullah (saw) telah mengumumkan dengan teriakan yang keras ke puncak langit di hadapan orang-orang yang mendakwa memiliki kedudukan dan keturunan yang mulia. Baginda bersabda (maksudnya):

"Awaslah kalian jangan biarkan manusia datang dengan amalan sedang kalian datang dengan bebanan dosa yang kalian pikul di atas bahu kalian".

Allah swt berfirman (maksudnya):
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" (Fussilat: 33).

Islam yang telah menetapkan peluang yang sama dalam mendapatkan pekerjaan, tidak bererti Islam menghendaki mesti sama dalam menikmati hasil dari pekerjaan ini. Ini kerana Islam mengakui perbezaan semulajadi yang wujud antara individu dari segi bakat, kebolehan dan usaha, dan kemudian yang terdapat di dalam Islam hanyalah derjat (tingkatan di sisi Allah), tetapi bukan kasta-kasta. Allah swt berfirman:

“Apakah mereka yang membagi-bagi rahmat Tuhanmu? kami Telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan kami Telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat, agar sebagian mereka dapat mempergunakan sebagian yang lain. Dan rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan”. (Az-Zukhruf: 32)

Konsep kemajuan bagi pekerja dalam Islam:

Seperti yang diketahui tentang ‘pekerja’ adalah orang yang menjalankan pekerjaan menggunakan tangan atau secara manual yakni ‘buruh’, sehinggalah Islam datang, telah menggunakan perkataan pekerja (‘amil) dalam artinya yang betul, dan dibebaskan dari kejumudan pemikiran. Kita lihat bagaimana perkataan pekerja telah digunakan di zaman Rasulullah saw kepada gabenor. Oleh sebab itu Khulafa’ ar-Rasyidin memanggil para gabenor sebagai pekerja (‘amil). Mereka mengatakan: “Umar bekerja (mentadbir) ke atas Mesir”, “Uthman bekerja (mentadbir) ke atas sekian..”. Justeru, setiap gabenor yang mentadbir daerah mereka disebut pekerja (‘amil).

Kemudian kita telah membaca dan mendengar tentang “‘amil (pemungut) zakat dalam Islam” dan “‘amil (pemungut) cukai” dan lain-lain, tetapi orang-orang Islam selepas itu terjerumus ke dalam jurang konflik pemikiran. Musuh-musuh Islam telah campur tangan, berusaha mencampur-adukkan maksud sebenar sesuatu perkataan sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam dengan falsafah Greek untuk beberapa ketika lamanya. Dengan kehendak Allah, selepas itu kita mendengar lagi bahawa “Setiap orang yang bekerja adalah pekerja (‘amil)”. Begitu juga kita seringkali menamakan seperti “panduan pekerja”, “undang-undang pekerja” tanpa diskriminasi antara ketua dan orang bawahan, dengan alasan bahawa Allah swt menjadikan bekerja itu suatu kewajipan yang dituntut ke atas setiap orang yang berkemampuan, dan Allah swt meletakkan peluang yang sama ke atas hambaNya sebagai asas untuk bekerja di dunia ini dan perhitungan di akhirat.

Islam melarang pengangguran:

Firman Allah swt bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, Maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezki-Nya. dan Hanya kepada-Nya-lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan”. (Al-Mulk: 15)

Allah telah mencipta manusia memakmur dan membangunkan muka bumi ini; kerana Allah telah menentukan sunnah-Nya demikian, dan Allah telah menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi, supaya dapat bekerja di dalamnya. Firman Allah swt bermaksud:

“Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya”. (Huud: 61)

Ayat-ayat tersebut menjadi dalil terhadap kewajipan membangunkan tanah dan mengusahakan pertanian. Jelas Islam tidak sekadar menyatakan bahawa membangunkan tanah sebagai sunat atau anjuran agama, malah ianya salah satu dari ritual yang wajib kerana diberi ganjaran untuk orang yang melakukannya dan dihukum dosa untuk orang yang meninggalkannya, bersesuaian tugas manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi. Oleh sebab itu ia harus melaksanakan dengan sempurna tugas khalifah, iaitu dengan bekerja dan berusaha keras di permukaan bumi dan dan di dasar bumi; supaya dapat mengeluarkan rezeki yang terdapat di dalamnya, dan dapat menyumbang melalui pekerjaan dalam membina masyarakatnya. Firman Allah swt (bermaksud):

“Kemudian kami jadikan kamu pengganti-pengganti (mereka) di muka bumi sesudah mereka, supaya kami memperhatikan bagaimana kamu berbuat”. (Yunus: 14)

Justeru, Islam telah mengisytiharkan ‘perang’ tanpa henti terhadap pengangguran, iaitu dengan menentang, memberi amaran dan mengancam. Bagaimana boleh ada pengangguran sedangkan Allah telah memudahkan muka bumi untuk kita dan membentangkannya untuk kita berjalan di atasnya, di samping menyenangkan jalan untuk mendapatkan manfaat darinya, maka tidak ada alasan untuk berlaku pengangguran setelah Allah jadikan muka bumi ini mudah untuk manusia. Oleh itu, orang yang enggan atau berhenti bekerja sedangkan mempunyai kemampuan untuk itu, maka ia telah melanggar sunnah Allah di alam semesta, kerana ia hidup menjadi beban bagi saudara-saudara dan rakan-rakannya dalam menjalankan tugas khalifah.

Hak para penganggur untuk bekerja:

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi saw memintanya untuk membantu urusan hidupnya yang tiada pekerjaan, dan tidak ada makanan untuk menguatkan dirinya dan anak-anaknya; Apakah yang dilakukan Rasulullah saw untuk mengajar orang yang sedang mencari dan mengharapkan pekerjaan? Rasulullah telah memanggil lelaki itu datang. Lalu Rasulullah membawakan sebatang kayu yang dibuat dengan tangannya sendiri, dan meletakkan kayu itu pada cangkul, dan kemudian memberikannya kepada orang itu, serta menentukan tempat kerjanya, dan menyuruhnya membuat kerja tersebut. Rasulullah saw meminta orang itu untuk kembali beberapa hari kemudian menceritakan keadaan tersebut. Lalu lelaki itu kembali mengucapkan terima kasih kepada Rasulullah dengan apa yang diajarkannya, dan menyebutkan bahawa keadaan dirinya yang kini telah mulai senang.

Justeru, di antara hak para penganggur jika ia ingin bekerja ialah pergi menemui pihak berkuasa, untuk memberikan pekerjaan kepadanya. Di antara tugas Negara ialah mengiktiraf hak-hak penganggur dan menguruskan pekerjaan bagi mereka, dan juga mengambil tindakan lanjut tentang keadaan mereka. Kita telah melihat bahawa Rasulullah saw bukan hanya mencarikan pekerjaan bagi penganggur, tapi memintanya supaya melaporkan keadaan pekerjaaannya agar dia tenang dan puas hati dengan perkembangannya. Inilah keunikan prinsip undang-undang Islam. Begitu juga antara hak pekerja ke atas negara ialah menyediakan alat-alat bekerja, sepertimana Rasulullah telah membawakan cangkul, meletakkan tangannya, dan berikan kepadanya. Inilah alat bekerja.

Pandangan Islam tentang hak-hak dan kewajipan pekerja:

Islam telah memberi pekerja hak-hak pekerja seperti upah yang adil dan munasabah, dan dibayar pada masa yang dijanjikan atau ditentukan, tanpa lewat atau tangguh, sebagaimana sabda nabi saw bermaksud:

“Berikan pekerja upahnya sebelum kering keringatnya "(HR. Ibnu Majah).

Dan Islam juga memutuskan untuk tidak terlalu membebani pekerja atau ditugaskan bekerja melebihi kemampuannya. Firman Allah swt (bermaksud):

“Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya (al-Baqarah: ayat 233).

Dan melalui lisan nabi Syuaib kepada nabi Musa a.s ketika beliau mahu Musa bekerja untuknya, ia berkata bermaksud:

“Maka Aku tidak hendak memberati kamu”. (Al-Qashash: 27).

Sungguhpun begitu pekerja juga mempunyai kewajipan yang mesti ditunaikan, iaitu antaranya: Melaksanakan pekerjaan dengan jujur, ikhlas dan berkualiti, dan mengelakkan penipuan, kelalaian dan pengabaian. Rasulullah saw bersabda bermaksud:

"Sesungguhnya Allah mengasihi ketika salah seorang dari kalian yang melakukan sesuatu pekerjaan maka ia melakukannya dengan baik."

Sabda nabi saw yang lain bermaksud:

"Sesiapa yang menipu maka ia bukan dari golongan kami" (HR. Muslim).

Selain itu, pekerja mesti menjauhkan diri dari pengkhianatan semasa bekerja dalam apa jua bentuk dan keadaannya; seperti membuang masa adalah pengkhianatan, menerima rasuah adalah pengkhianatan, dan mengenepikan kepentingan awam adalah pengkhianatan.

Firman Allah swt bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui”. (Al-Anfal: 27).

Islam dan pengagihan kekayaan:

Allah swt telah mengagihkan kekayaan dengan adil di serata pelosok bumi, supaya manusia dapat saling bertukar-tukar manfaat dan kepentingan mereka. Allah swt berfirman (bermaksud):

“Katakanlah: "Sesungguhnya patutkah kamu kafir kepada yang menciptakan bumi dalam dua masa dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya? (yang bersifat) demikian itu adalah Rabb semesta alam". (Fussilat: 9)

Dan Firman Allah swt (bermaksud):

“Dan dia menciptakan di bumi itu gunung-gunung yang kokoh di atasnya. Dia memberkatinya dan dia menentukan padanya kadar makanan-makanan (penghuni)nya dalam empat masa. (Penjelasan itu sebagai jawaban) bagi orang-orang yang bertanya”. (Fussilat: 10)

Iaitu kadar setiap penghidupan, rezeki dan kekayaan memakan masa yang lebih lama daripada penciptaan langit supaya manfaatnya sempurna bagi semua orang.

Allah swt telah menurunkan jalan pertengahan untuk pengagihan kekayaan di antara manusia, kerana manhaj Allah ini adalah manhaj yang terbaik. Sebaliknya dalam sistem Kapitalisme memperuntukkan segalanya untuk kepentingan golongan pengusaha atau pemodal yang merompak kekayaan, dan sistem sosialisme memiskinkan semua orang. Namun Islam datang dengan dasar pertengahan yang adil antara dua golongan tanpa menindas satu sama yang lain.

Pekerja dan Revolusi:

Para pekerja telah memainkan peranan yang mulia sebelum revolusi, sekarang dan selepasnya. Tidak ada yang dapat menafikan, sejak tahun 2004 dan bahkan 2010 tidak berhenti protes para pekerja; membela hak-hak pekerja dan tuntutan mereka, dan mengambil langkah memberi penjelasan di dalam masyarakat di mana terdapat undang-undang yang memihak kepada pengusaha dengan mengorbankan hak-hak pekerja, di bawah organisasi kesatuan pekerja yang korup dan sistem politik yang menindas, tanpa ragu-ragu untuk menggunakan kekerasan terhadap para pekerja dan para pemimpin mereka yang ditangkap di bawah undang-undang darurat.

Revolusi 25 Januari sebenarnya tidak terpisah dari apa yang berlaku sebelum itu, iaitu asas-asas gerakan rakyat yang telah membuka jalan untuk revolusi ini. Realiti dari keadaan tersebut menegaskan bahawa para pekerja Mesir masih melanjutkan perjuangan mereka untuk menuntut hak-hak mereka.

Pada tahun 2010 mereka telah mengadakan sekitar 530 protes pekerja, iaitu merangkumi 209 piket, 135 mogok, 80 demonstrasi, 83 protes dan 23 perhimpunan. Kerugian pekerja tergambar dari pemberhentian dan pemindahan 40,735 pekerja, dan kematian 118 pekerja, dan mencederakan 6,544 yang lain, akibat dari keadaan kerja yang buruk, dan tiada ciri keselamatan industri dan kesihatan pekerja. Namun tragedi sebenar ialah kes bunuh diri 52 pekerja, selepas gagal menyediakan keperluan sehari-hari keluarga mereka dalam keadaan upah yang rendah dan harga barangan yang meningkat.

Jika seorang pekerja/buruh Tunisia "Bouazizi" dianggap sebagai percikan pertama yang memulakan revolusi Tunisia, maka Revolusi Mesir pula telah melahirkan ramai syuhada’ dari para pekerja, di antara mereka ialah seorang pekerja anggota Ikhwan, syahid "Nur Ali Nur," salah seorang pimpinan kesatuan pekerja minyak di Alexandria, yang dibunuh oleh polis semasa Revolusi.

Jelaslah bahawa gerakan pekerja telah bangkit untuk melakukan reformasi, yang sebahagian besarnya merupakan anggota Ikhwan Muslimin, dan telah mengadakan tunjuk perasaan untuk menuntut pembubaran Jabatan Pentadbiran Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Jabatan Pentadbiran Kesatuan Pekerja-Pekerja Awam miliknya, serta Dewan Jawatankuasa Kesatuan Pekerja, yang telah melakukan semua pemalsuan dan pelanggaran undang-undang dan membatalkan keputusan penghakiman, lebih-lebih lagi peranan kesatuan yang sentiasa membayangi parti demokratik kebangsaan dalam semua dasar, dan menyokong semua keputusan penswastaan dan pembubaran sektor awam, kawalan negara terhadap dana insurans sosial. Jabatan Pentadbiran Kesatuan masih berkhidmat sebagai pemegang amanah pekerja bagi Parti Demokratik Kebangsaan.

Kami meminta kepada semua kesatuan dan gerakan pekerja berdiri di belakang revolusi, tidak tertinggal di belakang, dan tetap berada di ‘jantung’ perjuangan dan proses peralihan kepimpinan negara, untuk memastikan mereka tetap di atas jalan yang sama, menuju arah yang sama sehingga sampai kepada objektif yang lengkap.

Salam penghormatan untuk para pekerja yang meraikan hari pekerja dengan penuh kegembiraan yang berbeza pada hari ini, setelah Mesir kembali ke pangkuan bangsa Arab, untuk memainkan peranan kebangsaan di nusantara ini, dan memberikan para pekerja harapan untuk masa depan yang lebih baik, membawa mereka kepada kebebasan, keadilan dan kemuliaan manusia.

Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah.

http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=213&ArtID=84151

Projek al-Ma'thurat IKRAM Negeri Johor (II)

Projek untuk mengadakan al-Ma’thurat IKRAM tercetus di hatiku sudah agak lama. Aku merasakan bahawa zikir-zikir, wirid, dan doa yang ma’thur yang diajar oleh Rasulullah (SAW) patut diamalkan oleh generasi-generasi baru. Bagi pelajar Sekolah Islam Hidayah, insyaAllah, semuanya sudah menjadi cair dan mereka boleh membaca wazifah sughra tanpa melihat teks lagi.

Satu lagi alasan tentang keperluan menerbitkan al-Ma’thurat ini ialah ia merupakan salah satu dari bahan tarbiyyah Assyahid Hassan Al-Banna. Disamping kita melalui ketujuh-tujuh wasail tarbiyyah IM; seperti usrah, katibah, daurah, mukhayyam, nadwah, rehlah, dan muktamar, kita juga mengamalkan wirid-wirid serta doa-doa yang ma’thur.
Alangkah eloknya, apabila ada sahaja ikhwah atau akhawat memasuki usrah kita, kita terus bekalkan dengan al-Ma’thurat IKRAM.

Dewasa ini juga, sudah ramai yang menjadikan buku-buku doa seperti al-Ma’thurat sebagai ole-ole atau buah tangan di hari walimah anak-anak mereka. Tidak lagi seperti dulu, hanya telor rebus untuk orang dewasa dan gula-gula untuk kanak-kanak.

Masyarakat sudah ramai yang mulai sedar sekarang. Dan mereka tidak ingin lagi membuang duit tak tentu hala tetapi ingin menambah amal jariah mereka dengan membekalkan buku-buku zikir dengan harapan apabila ada orang membacanya, dia turut sama mendapat pahala.

Alhamdulillah, projek pertama berjalan lancar dengan kutipan sebanyak RM7,555 dari 20 orang penderma. Bersungguh-sungguh sekali mereka menghulurkan derma. Projek ini menelan belanja RM7,555 iaitu RM7,500 kos untuk cetak 5,000 al-Ma’thurat dan RM55 untuk kos rekabentuk kulit luar.

Sekarang projek ini telah melalui fasa kedua. Fasa I hanya al-Ma’thurat sahaja tetapi fasa II, al-Ma’thurat berserta Surah Yaasin. Pelbagai pandangan diterima untuk meneruskan projek kedua ini. Ada yang ingin dikekalkan hanya al-Ma’thurat sahaja, ada pula yang berpandangan untuk meletakkan surah al-Kahfi bersama, ada juga yang ingin meletakkan surah Yaasin bersama dan sebagainya.

Buat masa ini, setelah meneliti segala pandangan maka akan muncul insyaAllah di hujung bulan ini sebuah al-Ma’thurat beserta surah Yaasin.

Dari segi kutipan sumbangan untuk membiayai projek fasa kedua ini agak kurang memberangsangkan. Setakat ini hanya mendapat sumbangan tidak sampai RM2,000. Manakala kos keseluruhan ialah RM9,500.

Walau bagaimanapun, saya merasakan bahawa kita tidak boleh selalu mengharapkan sumbangan dari orang ramai. Kita mesti ‘self sufficient’! Oleh itu, projek kedua ini mensasarkan Lujnah Tarbiyyah IKRAM untuk menjual al-Ma’thurat beserta Surah Yaasin kepada orang ramai dan tidak lagi hanya memberi sebagai buah tangan (FOC).

Jika kita menjual pada harga RM2 setiap satu, maka kita akan mendapat untung sebanyak RM500. Jika kita menjual pada harga RM2.20 senaskah maka Unit Tarbiyyah Negeri akan mendapat keuntungan sebanyak RM1,500. Secara tidak langsung, Unit Tarbiyyah Negeri Johor dapat lagi membiayai program-program lain dengan jumlah wang tersebut.

Minggu lepas semasa ke Badan Cemerlang, saya sempat meneliti harga al-Ma'thurat bersama surah Yaasin. Harganya berbeza-beza, dari RM2.30 hinggalah lebih RM5 senaskah.

Kulit luar al-Ma'thurat kita kali ini berbeza dengan yang dahulu kerana kita juga meletakkan Aqsa Syarif di muka surat belakang. Tujuannya ialah supaya orang ramai mudah untuk menghubungi Aqsa Syarif apabila ada terasa ingin menaja anak yatim, ingin menderma, dan sebagainya.

Tuesday, May 17, 2011

Muhasabah Buat Diriku dan Dirimu...

Ana 'just' nak tanya dari segi 'attendance' yang diambil untuk Katibah, Daurah, Usrah, dan sebagainya. Apa yang dibuat dengan senarai kedatangan tersebut?

Adakah sekadar untuk kira peratus kedatangan program pada hari tersebut? 'That's about it?' Atau diteliti data-data ini dan dibuat 'follow-up' mereka yang dah berturut-turut tak datang? Ana lihat kedatangan Katibah JBT dalam 30 orang aje, orang yang sama... Yang tak datangpun orang yang sama. Bayangkan berapa ramainya AA dan AT di JBT...

Dalam meeting mukhayyam malam tadi, ana ditanya oleh ikhwah 'Seandainya ikhwah kita ada kenduri kahwin anak saudara dan 'present paper' di 'oversea', yang mana ikhwah akan pergi?' Betul ikhwah...., antum akan terus juga ke 'oversea'... dan kenduri kahwin anak saudara boleh di 'qadha' bila-bila.

Tetapi bila ada mukhayyam yang setahun sekali ini, kita akan cari jalan (na'uzubillah), oh ada kenduri kat kampung, cuti sekolah nak balik kampung, 'etc. etc'. Kalau tak balik kampung masa cuti sekolah, bila lagi nak balik? Program Jamaah dah tak nampak ada 'priority'nya. Walhal, kalau ada hal 'urgent' tempat kerjapun, program kita wajib didahulukan. Sudah dari awal tahun dimaklumkan tarikh mukhayyam... Ana terbayang apa akan jadi kalau, kita perlu 'mobilise' segera ikhwah..., bukan notis sebulan, bukan seminggu, tapi dan dan... Agak-agak berapa kerat le yang keluar mengikut arahan...

Untuk menyedapkan hati, ana harap jauh sekali... apa... kita sudah.... kata orang tu, hidup dalam 'comfort zone'... Tak lalu dah, nak susah-susah. Semua kalau boleh nak bayar duit aje... Nak berletih-letih ni, dah tak larat....dah tua...

Cerita-cerita pengorbanan sahabat di zaman Rasulullah (SAW), penghayatan amal jamaie, amalan syura diyakini, janji setia dipatuhi.... hanya menjadi slogan, lirik lagu yang enak didengari...

Tak dinafikan pengorbanan ikhwah dari segi wang ringgit, kalau tak masakan berdiri teguh Kompleks IKRAM, dan sebagainya....

'Come on ikhwah, we can do it better, we have to change our perceptions and our attitudes towards dakwah...'

Cuba ikhwah hayati ucapan YDP Negeri sempena mesyuarat perwakilan IKRAM Johor 2011, m/s. 4, di bawah tajuk Tarbiyah Tunggak Kejayaan.

"......Semua wasilah-wasilah tarbiyah tidak boleh ditinggalkan WALAUPUN kita sibuk dengan pelbagai tugasan hidup maupun tugasan dakwah. Usrah, katibah, daurah, rehlah, mukhayyam dan lain-lain semuanya perlu dirangka dan dirancang supaya dapat melahirkan aktivis yang kuat imannya dan sentiasa komited dalam memikul tanggungjawab yang diberi dengan penuh taat."

Kalau antum baca keseluruhan isi Tarbiyah Tunggak Kejayaan, antum pasti terasa... YDP mengibaratkan kita sebagai pokok....perlu disiram dan dibaja...

Ikhwah, ana pasti para perwakilan begitu terasa dan teruja dengan ucapan YDP pada hari tersebut. Tetapi YDP tidak meminta kita setakat kagum dengan ucapan beliau tetapi 'execute' atau ikuti apa yang disarankan...

Ooops, panjang benar pula luahan hati ana... ana memohon berbanyak-banyak kemaafan jika ada tersalah atau terkasar bahasa...

Your brother fillah,
TOK WAE aka WIFWI

Sunday, May 15, 2011

Membeli Buku Salah Satu Cara Mengurangkan Cukai...

Seperti yang dijanjikan dengan abang semalam, kami bertolak ke Angsana lebih kurang setengah jam selepas pukul 10 pagi. Aku, abang, Achik, Sakinah, Syakir dan Asmaa menaiki Kancil ke sana. Laluan sungguh selesa, tiada banyak kenderaan di jalanraya.

Kami meletakkan kenderaan di tempat parkir di sebelah Angsana iaitu bersebelahan dengan Menara Jati, tempat kita membayar cukai pendapatan. Bayarannya RM1 sekali masuk tetapi kereta berpanas dan terpaksa berjalan kaki sedikit ke Angsana. Tak mengapa, bila lagi hendak 'exercise' sikit-sikit. Bukan jauhpun, tak sampai 50m...

Selalunya kami meletakkan kereta di dalam Angsana tetapi bayaran meletakkan kenderaan sudah tidak macam dulu lagi. Dulu sekali masuk dikenakan bayaran RM1 tetapi sekarang sudah mengikut masa. Makin lama merayau-rayau dalam Angsana maka makin mahallah bayaran parkirnya.

Kami terus menuju ke Kedai Buku Badan Cemerlang. Asmaa mendapatkan bukunya, 'Colouring and Sticker Book'; Syakir pula mengambil buku 'Activity Book Learn to Write 123'; dan Sakinah membeli buku bertajuk Ponteng Puasa.

Achik dan abang pula mengambil buku-buku keperluan tambahan untuk persiapan peperiksaan PMR dan SPM mereka pada tahun ini. Beberapa buah buku berbentuk motivasi juga mereka ambil. Aku tak kisah, janji mereka rajin membaca!

Aku juga terserempak dengan Noh, anak kawanku Zuleffendi, yang datang mencari buku untuk dijadikan hadiah Hari Guru. Noh sedang belajar di Yaman tetapi terpaksa pulang sekejap sementara pergolakan berlaku di sana. Buat sementara, beliau menjadi guru di SMIH dan mengajar pelajar-pelajar Tingkatan 1, 2, dan 4. Bagus juga polisi yang dibuat oleh sekolah. Guru-guru juga terpaksa membeli satu hadiah dan hadiah itu akan ditukar sesama guru nanti. Nasiblah hadiah apa yang mereka akan dapat nanti...

Aku juga tidak ingin melepas peluang untuk membeli buku. Aku mengambil sebuah buku tulisan Harun Yahya yang bertajuk, Kaum-kaum yang Pupus. Buku ini menceritakan kisah-kisah kaum dahulu kala. Kisah mengenai kaum-kaum yang dihapuskan akibat dari penentangan mereka kepada ajaran Allah SWT. Ada kaum yang diliputi dan ditimbuni dengan ribut pasir, dengan lava, dengan banjir dan bermacam-macam lagi.

Kaum Nabi Nuh AS yang telah tenggelam di bawah air banjir yang mengerikan. Kaum 'Ad yang telah ditimbus oleh ribut pasir yang tiada hentinya. Kaum Nabi Lut AS yang mengamalkan liwat dan telah dihapuskan dari muka bumi dengan aliran lava serta gempabumi. Askar-askar Fir'aun yang telah hilang di dalam laut. Dan banyak lagi kerajaan-kerajaan silam yang telah dihapuskan dari muka bumi ini oleh Allah SWT kerana durhaka mereka.

Habis berbelanja di kedai buku sebanyak RM97.70, kami ke UO pula untuk membuat 'grocery'. Di sini, aku berbelanja lagi hampir RM200 membeli barang-barang makanan, keperluan dapur, dan sebagainya...

Kepada kawan-kawan yang membeli buku atau majalah, aku sarankan supaya mereka menyimpan resit. Resit-resit buku, jurnal, dan majalah boleh dikumpulkan sehingga RM1,000 bagi pelepasan dari cukai pendapatan.

Selamat Membaca Buku...

Wednesday, May 11, 2011

Hidup Ini Hanya Mencari Redha Allah...

Kita hidup di dunia yang sekejap ini hanya untuk mencari redha Allah. Tindak tanduk kita sehari-hari hanya cuba untuk 'please' Allah. Tiada yang lain...

Kita 'please' kedua ibubapa kita, kita juga 'please' Allah. Kita ikut sunnah Rasulullah, kita juga 'please' Allah. Kita 'please' suami atau isteri kita, kita 'please' Allah. Kita 'please' sahabat kita 'for the sake of Allah', kita juga 'please' Allah. Tetapi jangan sekali-kali, kita 'please' sahabat, jiran, suami, isteri malah anak-anak but 'we go against Allah'!

Sahabat-sahabat sekalian,

Minggu lepas saya baru terima sms bahawa kawan arwah ibu saya meninggal dunia di kampung...

Di kampung, suatu masa dulu, kita begitu seronok... Ada emak ayah, ada datuk nenek, ada tok saudara, mak saudara, bapa saudara, dan sepupu sepapat. Kitalah anak yang paling seronok, berlari ke sana ke mari, bermain lumpur di bendang, mandi manda di tali air dan di sungai.

Sekarang di kampung hanya tinggal mak saudara, adik beradik, dan ditambah pula dengan anak-anak saudara dan cucu-cucu saudara.

Sedikit masa lagi, di kampung kita mungkin yang paling tua yang tinggal hanya adik beradik kita...

Dan akhirnya mereka dan kita juga akan berlalu pergi...

Dan hiduplah anak-anak kita bersama anak-anak mereka, kemudian muncul pula cucu-cucu kita dan anak-anak cucu kita...

Begitulah silih bergantinya kepenghunian di dunia kembara.
Akhirat jua negara yang kekal abadi.

Sudahkah kita bersedia untuk menuju ke sana?
Cukup sudahkah bekalan kita?
Atau kita masih lupa ke mana sebenarnya destinasi kita...

Jangan kita sibuk mengejar dunia yang sementara...
Dan lupa pada akhirat yang kekal buat selamanya...

Apabila kita dah ke sana, tiada lagi jalan pulang.
Baikkah, burukkah, itulah seadanya...

Ayuh kawan-kawan...
Di kala usia masih ada,
Kita pertingkatkan iman, ilmu, amal dan taqwa.
Supaya kita tidak menyesal di kemudian hari...

Hari yang tiada lagi jual beli...
Hari yang semua sibuk sendiri-sendiri...
Tiada endah lagi anak isteri...
Semua hanya ingin selamat diri sendiri...

Kita masih punya masa
Sehingga Izrail datang mencabut nyawa
Jangan kita lalai dan alpa
Sediakan bekalan untuk dibawa...

Friday, May 6, 2011

Perihal Membaca 10 Ayat dari Surah Al-Baqarah...


Saya apabila masuk ke rumah baru, akan dihabiskan bacaan satu surah al-Baqarah samaada secara bersendirian atau berkongsi 2-3 muka surat seorang dengan anak-anak dan isteri. Tujuannya ialah untuk menghalau jin dan syaitan yang menghuni rumah itu sebelum ini.

Diriwayatkan oleh ad-Darimi, al-Baihaqi di dalam asy Sy'ab daripada Ibnu Mas'ud RA berkata: "Barangsiapa membaca sepuluh ayat daripada surah al-Baqarah pada waktu pagi, maka dia tidak akan dihampiri oleh syaitan sehinggalah waktu petang. Dan barangsiapa membacanya pada waktu petang, maka dia tidak akan dihampiri syaitan sehinggalah waktu pagi, (malah) dia tidak akan melihat sesuatupun yang membuatkannya benci samaada kepada keluarganya dan juga hartanya."

Diriwayatkan oleh at-Tobrani di dalam 'al-Kabir' dan juga al-Hakim, daripada Ibnu Mas'ud RA bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa membaca sepuluh ayat iaitu empat ayat dari permulaan al-Baqarah, diikuti dengan ayat al-Kursi dan dua ayat selepasnya disambung lagi dengan dua ayat terakhir surah al-Baqarah, maka rumah tersebut tidak akan dimasuki oleh syaitan sehinggalah ke waktu pagi."

Di dalam al-Ma'thurat, terdapat ke semua ayat-ayat yang dinyatakan di dalam hadis di atas. Oleh itu, bacalah al-Ma'thurat... Dan mudah-mudahan kita semua dilindungi dari syaitan yang direjam.

Tuesday, May 3, 2011

Satu Pandangan Mengenai Lambakan Pelajar Luar Negara di IPTA

Kita harus menerima kenyataan bahawa polisi pengajian di IPTA tidak lagi seperti dulu. Kalau dulu hanya warganegara Malaysia yang belajar di IPTA. Kemudian, ia mula berubah apabila UIAM mula mengambil pelajar-pelajar antarabangsa tetapi majoritinya dari negara Islam. Kemudian semua IPTA mula berlumba-lumba untuk mendapat pelajar antarabangsa, bahkan pensyarah antarabangsa juga, bagi memenuhi kriteria 'world class university'.

Sekarang di kebanyakan kampus terutama yang berlabelkan Universiti Penyelidikan, anda tidak dapat elak, pasti akan menemui orang Arab, Afrika, Indonesia, China, dan lain-lain.

Kedatangan pelajar-pelajar ini jika dilihat dari pelbagai perspektif maka kita dapat membuat suatu perbandingan diantara kebaikan dan keburukannya.

Kebaikan yang paling ketara kepada negara kita ialah ia mendatangkan implikasi kewangan. Negara mendapat wang mereka dari aspeks yuran pengajian, makan minum mereka, sewa asrama dan rumah bagi yang berkeluarga, kenderaan yang mereka beli, dan lain-lain perkhidmatan yang mereka guna. Dengan kata lain, wang negara Islam lain berhijrah ke negara Islam juga berbanding jika mereka melanjutkan pelajaran ke UK, US, Australia, New Zealand, dan sebagainya.

Dari aspeks pengamalan Islam juga ada impaknya. Penduduk negara kita akan lebih terbuka dari segi pengamalan Islam sebagai satu cara hidup dan tidak terkongkong dengan Mazhab Syafie semata-mata. Di masjid-masjid kita melihat pelbagai bangsa dan warna kulit memenuhi saf apabila tiba waktu solat. Secara tidak langsung, masyarakat tempatan akan melihat kepelbagaian dalam tatacara masyarakat luar mengerjakan solat dan ibadah lain. Oleh itu, mereka akan lebih terbuka dan boleh menerima perbezaan. Sebaliknya pula, masyarakat Islam luar juga akan lebih memahami cara hidup dan penghayatan Islam kita.

Asimilasi budaya akan berlaku. Penduduk luar akan lebih memahami budaya kita dan sebaliknya pula kita akan lebih bertoleransi dengan budaya asing.

Makanan kita juga akan mendapat sambutan! Semalam saya tengok ada sepasang orang Iran atau Arab yang membeli kuih muih tradisional kita. Dalam hati saya berkata, boleh pula mereka memakan kuih yang berbungkus di dalam daun pisang!

Aspeks negatifnya pula ialah kita tidak dapat mengawal cara masyarakat luar berpakaian, terutama pelajar bukan Islam. Ada sesetengah yang memakai pakaian menjolok mata tetapi tiada penguatkuasaan oleh pengawal keselamatan.

Berbanding sebelum kedatangan mereka, gambar tatacara pemakaian yang dibenarkan terpampang di mana-mana dan penguatkuasaan dilakukan oleh pengawal keselamatan dan juga pihak asrama ke atas pelajar lokal.

Seterusnya, peluang pelajar tempatan untuk memasuki IPTA menjadi semakin susah kecuali untuk kemasukan ke kolej-kolej komuniti dan politeknik.

Satu lagi kebaikan tentang ramainya bilangan 'foreign students' yang belajar di IPTA ialah kemungkinan suatu hari nanti mereka akan datang melawat atau melancong ke Malaysia. Kali ini kedatangan mereka mungkin bersama keluarga! Ini hanya berlaku jika mereka dilayan dengan baik dan mempunyai pengalaman yang positif di sini semasa mereka belajar dahulu.

Mungkin juga ada segelintir dari 'so-called foreign students' yang mengambil kesempatan dari polisi kita yang menggalakkan kemasukan pelajar asing telah menyalahgunakan pas pelajar dengan membawa masuk dadah serta menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang negara.

Komunikasi pelajar-pelajar kita akan lebih baik dan mantap dari aspek bahasa Inggeris kerana selalu bercakap dengan 'foreigners'.

Pelajar-pelajar antarabangsa juga boleh mengambil pengalaman dengan sistem atau peraturan di negara kita atau apa sahaja yang baik-baik dan mencuba untuk diaplikasikan di negara mereka.

Dengan ramainya pelajar antarabangsa, permintaan terhadap makanan ruji mereka akan menumbuhkan lagi kedai-kedai makanan yang menyediakan masakan ala Timur Tengah seperti shawarma, kebab, lamb beriani, dan lain-lain lagi. Di Taman Universiti sudah ada beberapa buah restoren Arab dan Parsi.

Di pasaraya besar seperti Jusco dan Giant, bekalan spageti dan sos, keju, susu segar, roti arab, dan lain-lain lagi nampak semakin banyak dipasarkan.

Kadar tukaran wang asing kita juga rendah dan menggalakkan pembelian. Saya pernah berbual dengan seorang rakyat Qatar yang membuat ijazah sarjana semasa makan di Pak Lah Cafe. Beliau adalah seorang guru. Gaji guru dengan ijazah sarjana di Qatar ialah belasan ribu RM (kalah gaji pensyarah biasa). Tetapi nasi beriani katanya, sambil menunjukkan nasi yang dimakannya di Qatar berharga dua, tigu puluh ringgit. Begitu juga dengan sewa rumah, sewa rumahnya di Melawis berharga RM350 tetapi rumah yang sama di Qatar, sewanya seribu lebih RM.

Apa yang saya perhatikan ialah ada baiknya juga pelajar-pelajar internasional ini melanjutkan pelajaran ke negara Islam berbandingkan ke negara barat. Yang pasti yuran pengajiannya jauh lebih murah. Tenaga pengajar kita juga tidak kurang hebatnya. Ramai di kalangan profesor kita lulusan dari luar negara. Dan yang terakhir ialah dari segi kemudahan barang-barang halal amat banyak di negara kita...