Sunday, May 15, 2011

Membeli Buku Salah Satu Cara Mengurangkan Cukai...

Seperti yang dijanjikan dengan abang semalam, kami bertolak ke Angsana lebih kurang setengah jam selepas pukul 10 pagi. Aku, abang, Achik, Sakinah, Syakir dan Asmaa menaiki Kancil ke sana. Laluan sungguh selesa, tiada banyak kenderaan di jalanraya.

Kami meletakkan kenderaan di tempat parkir di sebelah Angsana iaitu bersebelahan dengan Menara Jati, tempat kita membayar cukai pendapatan. Bayarannya RM1 sekali masuk tetapi kereta berpanas dan terpaksa berjalan kaki sedikit ke Angsana. Tak mengapa, bila lagi hendak 'exercise' sikit-sikit. Bukan jauhpun, tak sampai 50m...

Selalunya kami meletakkan kereta di dalam Angsana tetapi bayaran meletakkan kenderaan sudah tidak macam dulu lagi. Dulu sekali masuk dikenakan bayaran RM1 tetapi sekarang sudah mengikut masa. Makin lama merayau-rayau dalam Angsana maka makin mahallah bayaran parkirnya.

Kami terus menuju ke Kedai Buku Badan Cemerlang. Asmaa mendapatkan bukunya, 'Colouring and Sticker Book'; Syakir pula mengambil buku 'Activity Book Learn to Write 123'; dan Sakinah membeli buku bertajuk Ponteng Puasa.

Achik dan abang pula mengambil buku-buku keperluan tambahan untuk persiapan peperiksaan PMR dan SPM mereka pada tahun ini. Beberapa buah buku berbentuk motivasi juga mereka ambil. Aku tak kisah, janji mereka rajin membaca!

Aku juga terserempak dengan Noh, anak kawanku Zuleffendi, yang datang mencari buku untuk dijadikan hadiah Hari Guru. Noh sedang belajar di Yaman tetapi terpaksa pulang sekejap sementara pergolakan berlaku di sana. Buat sementara, beliau menjadi guru di SMIH dan mengajar pelajar-pelajar Tingkatan 1, 2, dan 4. Bagus juga polisi yang dibuat oleh sekolah. Guru-guru juga terpaksa membeli satu hadiah dan hadiah itu akan ditukar sesama guru nanti. Nasiblah hadiah apa yang mereka akan dapat nanti...

Aku juga tidak ingin melepas peluang untuk membeli buku. Aku mengambil sebuah buku tulisan Harun Yahya yang bertajuk, Kaum-kaum yang Pupus. Buku ini menceritakan kisah-kisah kaum dahulu kala. Kisah mengenai kaum-kaum yang dihapuskan akibat dari penentangan mereka kepada ajaran Allah SWT. Ada kaum yang diliputi dan ditimbuni dengan ribut pasir, dengan lava, dengan banjir dan bermacam-macam lagi.

Kaum Nabi Nuh AS yang telah tenggelam di bawah air banjir yang mengerikan. Kaum 'Ad yang telah ditimbus oleh ribut pasir yang tiada hentinya. Kaum Nabi Lut AS yang mengamalkan liwat dan telah dihapuskan dari muka bumi dengan aliran lava serta gempabumi. Askar-askar Fir'aun yang telah hilang di dalam laut. Dan banyak lagi kerajaan-kerajaan silam yang telah dihapuskan dari muka bumi ini oleh Allah SWT kerana durhaka mereka.

Habis berbelanja di kedai buku sebanyak RM97.70, kami ke UO pula untuk membuat 'grocery'. Di sini, aku berbelanja lagi hampir RM200 membeli barang-barang makanan, keperluan dapur, dan sebagainya...

Kepada kawan-kawan yang membeli buku atau majalah, aku sarankan supaya mereka menyimpan resit. Resit-resit buku, jurnal, dan majalah boleh dikumpulkan sehingga RM1,000 bagi pelepasan dari cukai pendapatan.

Selamat Membaca Buku...

2 comments:

  1. Salam...
    Best betul dapat beli buku banyak2 macam Tok Wae buat!

    Saya selalu mengidam nak beli Atlas Nabi Muhammad, Atlas Sahabat Nabi, Atlas Al-Quran... tapi harganya... belum mampu milik. Mungkin akan datang insyaallah.

    Apa kata Tok Wae beli, dan pinjamkan kat saya... ngeeeee :D

    ReplyDelete
  2. Anapun tak mampu juga ustaz. Beli yang murah-murah je!

    InsyaAllah bila ada rezeki lebih sikit, bolehlah...

    Orang wakaf tanah, kita wakaf bukupun boleh pahala juga...

    Selamat Hari Guru kepada Ustaz. Dengan niat kita yang ikhlas, insyaAllah dirahmati & dikasihi Allah. Semoga terus maju jaya...

    ReplyDelete