Projek untuk mengadakan al-Ma’thurat IKRAM tercetus di hatiku sudah agak lama. Aku merasakan bahawa zikir-zikir, wirid, dan doa yang ma’thur yang diajar oleh Rasulullah (SAW) patut diamalkan oleh generasi-generasi baru. Bagi pelajar Sekolah Islam Hidayah, insyaAllah, semuanya sudah menjadi cair dan mereka boleh membaca wazifah sughra tanpa melihat teks lagi.
Satu lagi alasan tentang keperluan menerbitkan al-Ma’thurat ini ialah ia merupakan salah satu dari bahan tarbiyyah Assyahid Hassan Al-Banna. Disamping kita melalui ketujuh-tujuh wasail tarbiyyah IM; seperti usrah, katibah, daurah, mukhayyam, nadwah, rehlah, dan muktamar, kita juga mengamalkan wirid-wirid serta doa-doa yang ma’thur.
Alangkah eloknya, apabila ada sahaja ikhwah atau akhawat memasuki usrah kita, kita terus bekalkan dengan al-Ma’thurat IKRAM.
Dewasa ini juga, sudah ramai yang menjadikan buku-buku doa seperti al-Ma’thurat sebagai ole-ole atau buah tangan di hari walimah anak-anak mereka. Tidak lagi seperti dulu, hanya telor rebus untuk orang dewasa dan gula-gula untuk kanak-kanak.
Masyarakat sudah ramai yang mulai sedar sekarang. Dan mereka tidak ingin lagi membuang duit tak tentu hala tetapi ingin menambah amal jariah mereka dengan membekalkan buku-buku zikir dengan harapan apabila ada orang membacanya, dia turut sama mendapat pahala.
Alhamdulillah, projek pertama berjalan lancar dengan kutipan sebanyak RM7,555 dari 20 orang penderma. Bersungguh-sungguh sekali mereka menghulurkan derma. Projek ini menelan belanja RM7,555 iaitu RM7,500 kos untuk cetak 5,000 al-Ma’thurat dan RM55 untuk kos rekabentuk kulit luar.
Sekarang projek ini telah melalui fasa kedua. Fasa I hanya al-Ma’thurat sahaja tetapi fasa II, al-Ma’thurat berserta Surah Yaasin. Pelbagai pandangan diterima untuk meneruskan projek kedua ini. Ada yang ingin dikekalkan hanya al-Ma’thurat sahaja, ada pula yang berpandangan untuk meletakkan surah al-Kahfi bersama, ada juga yang ingin meletakkan surah Yaasin bersama dan sebagainya.
Buat masa ini, setelah meneliti segala pandangan maka akan muncul insyaAllah di hujung bulan ini sebuah al-Ma’thurat beserta surah Yaasin.
Dari segi kutipan sumbangan untuk membiayai projek fasa kedua ini agak kurang memberangsangkan. Setakat ini hanya mendapat sumbangan tidak sampai RM2,000. Manakala kos keseluruhan ialah RM9,500.
Walau bagaimanapun, saya merasakan bahawa kita tidak boleh selalu mengharapkan sumbangan dari orang ramai. Kita mesti ‘self sufficient’! Oleh itu, projek kedua ini mensasarkan Lujnah Tarbiyyah IKRAM untuk menjual al-Ma’thurat beserta Surah Yaasin kepada orang ramai dan tidak lagi hanya memberi sebagai buah tangan (FOC).
Jika kita menjual pada harga RM2 setiap satu, maka kita akan mendapat untung sebanyak RM500. Jika kita menjual pada harga RM2.20 senaskah maka Unit Tarbiyyah Negeri akan mendapat keuntungan sebanyak RM1,500. Secara tidak langsung, Unit Tarbiyyah Negeri Johor dapat lagi membiayai program-program lain dengan jumlah wang tersebut.
Minggu lepas semasa ke Badan Cemerlang, saya sempat meneliti harga al-Ma'thurat bersama surah Yaasin. Harganya berbeza-beza, dari RM2.30 hinggalah lebih RM5 senaskah.
Kulit luar al-Ma'thurat kita kali ini berbeza dengan yang dahulu kerana kita juga meletakkan Aqsa Syarif di muka surat belakang. Tujuannya ialah supaya orang ramai mudah untuk menghubungi Aqsa Syarif apabila ada terasa ingin menaja anak yatim, ingin menderma, dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment