Saturday, May 28, 2011

"Ni cucu ke?", tanya Kak Yah


Cuti sekolah baru bermula. Musim kenduri kahwin pun tiba. Hari ini ada dua walimah (kenduri kahwin) yang wajib aku hadiri. Walimah bagi ku adalah wajib dihadiri apabila dijemput selagi ia dilaksanakan tidak bercanggah dengan batasan agama yang dibenarkan dan jaraknya tidak terlampau jauh. Imbau kembali perkara tentang tanggungjawab seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain...

Pertama, apabila diberi salam, kita wajib menjawabnya dengan kalimah yang sama atau yang lebih baik iaitu sehingga "...warahmatullahi wabarakaatuh". Kedua, apabila diminta pandangan dari kita, maka wajib kita memberi pandangan atau pendapat seperti yang diperlukan. Ketiga, apabila dia bersin dan mengatakan "alhamdulillah" maka wajib kita doakan untuk dia "yarhamukallah" dan dia kembalikan doa untuk kita pula "yahdina wayuslah baalakum..." Keempat, apabila dia sakit, maka tanggungjawab kita untuk menziarahinya. Kelima, apabila dia meninggal dunia, wajib kita mengiringi jenazahnya. Dan keenam, apabila dijemput untuk menghadiri majlisnya, maka wajib kita memenuhi permintaannya.

Begitu cantik peraturan yang digariskan oleh Islam supaya masyarakat hidup dalam keadaan endah dan indah. Begitu harmoni... Saling bantu membantu, lengkap melengkapi, hormat menghormati, dan paling penting masing-masing tahu tanggungjawab masing-masing!

Pukul 11.30 tadi, aku, Kak Ngah, 'Ammar, Rasyid, Sakinah, Syakir, dan Asmaa telah menghadiri walimah anak Dr Abdullah Daud. Anak Dr Abdullah dan Kak Yah yang ketiga, mendirikan rumahtangga dengan seorang pemuda dari Pontian. Majlis diadakan di Rumah Alumni UTM.

Sambil aku dan anak-anak menjamu selera, Dr Abdullah bertanya mana yang lain-lain? Aku memaklumkan bahawa isteriku tak dapat hadir kerana mengendalikan mukhayyam pelajar-pelajar sekolahnya. Anak yang sulung masih di Mesir, abang menghadiri mukhayyam sekolah, dan Achik menghadiri latihan debat di sekolah.

Kehadiran kami yang agak awal, menjadikan keadaan tuan rumah mempunyai banyak masa untuk melayan, bertanya khabar dan sebagainya kerana suasana masih tak sibuk dan tidak ramai orang.

Berlalu Dr Abdullah, datang pula Kak Yah ke meja kami...

"Ni cucu ke?", tanya Kak Yah sambil menunjukkan kepada anak-anakku yang masih kecil. Kak Ngah mula gelak... Ditunjuk pula kepada Rasyid dan Syakir... "Ni kembar ke?", tanya isteri Dr Dollah lagi.

"Bukan Kak Yah, Rasyid darjah 4 dan Syakir darjah 1", balasku padanya.

Kak Yah dan Dr Abdullah tidaklah mengenali sangat keluargaku. Kami sekeluarga tidak pernah bertandang ke rumahnya dan begitu juga mereka tak pernah datang ke rumah kami.

Cuma aku dan Dr Abdullah pernah bekerja satu fakulti di suatu masa dulu. Aku mengenali Kak Yahpun melalui tempahan kuih pelita yang diusahakannya.

Bagi membantu mereka, semasa Dr Abdullah ditahan di Kem Tahanan ISA Kamunting, aku kerap juga 'order' tepung pelita dari Kak Yah. Bukanlah suka sangat tepung pelita tetapi sekadar ingin membantu seorang muslim yang ditahan tanpa bicara selama 6 tahun dan si isteri terpaksa bertungkus lumus menyara kehidupan 11 orang anak.


Setelah Kak Yah berlalu dari meja kami. Aku menanyakan Kak Ngah, "Nampak tua sangat ke abah?" Kak Ngah hanya mampu tersenyum. Kepalaku sudah banyak yang putih. Kira 'balance' la yang hitam dan yang putih. Yang putih bertambah-tambah dalam masa 3, 4 tahun ini bahana membuat PhD. InsyaAllah, jika diizinkan Allah, tamatlah PhDku pada tahun ini.

"Tu la Rasyid tak nak makan sangat..., makcik tu dah kata Syakir dan Rasyid kembar", tambahku lagi. Semua anak-anakku ketawa dan tersenyum simpul dengan apa yang berlaku...

No comments:

Post a Comment