Tuesday, May 31, 2011

Baru 'submit 1st draft' kepada Penyelia...


Alhamdulillah penat lelah selama ini rasa berbaloi apabila aku dapat menghantar tesis draf pertama kepada 'supervisor'. Kerja siang malam, kadang-kadang sampai pukul 2, 3 pagi rasa berbalas! Itu belum tengok komen dan cadangan pembetulan dari penyelia lagi... Tapi apa pun yang penting dah siap draf.

Ingat komen Billy, 'supervisor' kedua dari University of Ulster hujung tahun lepas semasa beliau berkunjung ke UTM. Setelah aku 'brief' dan tunjukkan 'progress' tesisku kepadanya, diapun berkata, "Wan, I think you can finish it within 2 weeks!". Lepas dia balik ke UK, semangat akupun turun.

Baru 2 bulan kebelakangan ini, semangat aku naik balik! Ini berkat doa kawan-kawan, anak-anak, saudara mara, baik yang dekat mahupun yang jauh. Doa kalian kepadaku tanpa aku ketahui telah mengembalikan semangat untuk terus berjuang... Aku berdoa kepada Allah supaya membalas kalian dengan maghfirah dan rahmah, diberi keselamatan di dunia dan di akhirat.

Aku pula pantang jumpa orang yang hendak ke Mekah, akan aku minta diselitkan sedikit doa buat ku. Begitu juga rakan-rakan yang tidak ke mana-mana, akan ku pinta juga untuk didoakan... Sesungguhnya, doa itu senjata orang mukmin!

Satu lagi yang menguatkan semangat buat diriku, disamping doa antum semua ialah kerana latihan askar yang telah aku lalui. Dalam latihan askar, tiada menyerah kalah tanpa berjuang... Tiada pertempuran hanya sekerat jalan... tetapi wajib dihabiskan misi tersebut. Dan dalam perjuangan juga, kita hanya ada dua pilihan iaitu samaada menang atau syahid!

Perasaan ingin memotivasikan anak-anakku yang ramai adalah satu lagi perangsang untuk cuba menghabiskan PhD. Kalau abah boleh lakukan dengan segala kekangan yang ada kenapa anak-anak tidak boleh? Berusaha, terus berusaha, dan bertawakkal kepada Allah, insyaAllah berjaya! Kalau tidak juga berjaya, kita harus menerima dengan rasa penuh kesyukuran. Ini adalah ujian dari Allah...

Pernah aku menasihatkan anakku yang bersungguh-sungguh berusaha dalam pelajarannya, dan berjumpa dengan pensyarahnya untuk mendapat bimbingan tetapi masih mendapat keputusan yang kurang baik. Aku katakan kepada anakku, "Abah sudah berpuashati... yang penting kita berusaha... dan keputusan yang diperolehi selepas itu adalah suratan dan kehendak Allah jua. Dan perlu diingat bahawa Allah melihat kepada usaha kita dan bukan hasilnya! Tetapi sebaliknya manusia rata-rata hanya melihat kepada hasilnya..."

Aku mengharapkan kalian terus berdoa buat ku semoga aku dapat menghantar 'final draft', kemudian melalui viva dengan jayanya, dan akhirnya memperolehi PhD. Dan berbekalkan dengan pelajaran yang ada padaku, aku akan lebih bersemangat dalam dakwahMu, ya Allah!

Dan aku juga memanjatkan doa padaMu ya Allah, dijauhi sifat takabur, riya', ujub, dan bangga diri dengan apa yang Engkau anugerahkan kepadaku, ya Allah!

Sesungguhnya aku tahu ilmu daku sangat sedikit berbanding dengan ilmu yang Engkau taburkan di muka bumi ini...ya Allah!

“Katakanlah Muhammad, “Seandainya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai penulisan kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu pula” (Al-Kahfi; 109).

1 comment:

  1. alhamdulillah...selamat dah first draft...hehe..

    ana proposal pun belum submit lagi. masih mencari2 hala tuju lagi..

    ReplyDelete