Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Monday, June 6, 2011
Berkati Bulan Rejab & Syaaban & Sampaikan Daku ke Bulan Ramadan
Bulan Ramadan bakal muncul lagi. Bulan yang amat dirindui oleh setiap pengamal Islam. Bulan yang begitu dinanti-nanti oleh para alim ulama dan pemergiannya ditangisi. Harap-harapnya begitu juga dengan kita…
Dulu semasa kita masih kecil, Ramadan yang kita kenali dan keseronokan terasa ialah apabila berbuka puasa. Segala jenis juadah kuih muih ada, segala jenis airpun ada, dan lauk pauk tak payah ceritalah. Seperti pesta makanan di rumah dengan adanya akok, jala mas, buah tanjong, tahi itik, onde-onde, air kelapa, air tuak, air tebu, air bandung, ikan percik, daging bakar, kerabu sotong dan sebagainya.
Tak kurang juga keseronokan ialah apabila selesai bertarawih, mesti ada moreh! Solat tarawih tidak seberapa tetapi sesi makan yang ditunggu-tunggu setiap malam. Yang pasti menunya berbeza pada setiap malam.
Dan kemuncak yang ditunggu-tunggu ialah sambutan Hari Raya. Tiada yang lebih seronok dari Hari Raya. Dapat pakian baru, duit raya, dan juadah hari raya yang cukup istimewa…
Jarang kita berfikir tentang mereka yang kurang bernasib baik. Yang ketiadaan pakaian baru untuk dipakai, tiada wang untuk menyediakan juadah berbuka, dan tiada kaum keluarga untuk meraikan bersama…
Itu dulu, bagaimana sambutan kita kepada Ramadan sekarang?
Kita menyambut Ramadan kali ini berbeza sedikit berbanding dengan dulu-dulu. Pertama, sekarang kita menyambut Ramadan semasa di bulan Rejab lagi. Kita berdoa, “Ya Allah, Engkau berkatilah Bulan Rejab dan Syaaban, dan Engkau sampaikanlah daku ke bulan Ramadan. Kita takut kita dimatikan Allah sebelum sampainya bulan Ramadan yang penuh berkat dengan rahmah, maghfirah dan itqun minannar. Kita takut tidak berpeluang untuk beramal lagi.
Bahkan kita juga membuat persiapan mental kita… Begitu juga persiapan fizikal kita… Begitu juga persiapan material kita…
Kita membuat persiapan mental supaya kita dapat melalui Ramadan dengan penuh taqwa dan iman. Kita ingin tingkatkan amalan sunat dan sempurnakan amalan wajib. Kita tahu bahawa setiap amalan sunat diganjari seperti amalan wajib, manakala setiap amalan wajib digandakan sebanyak 70 kali.
Kita membuat persiapan fizikal supaya tubuh badan kita mampu melalui puasa di siang hari tetapi masih bertenaga untuk beramal di malam hari. Dan satu malam yang lebih baik dari seribu bulan adalah matlamat utama kita untuk mencapai atau bertemu dengannya.
Kita juga membuat persiapan material supaya kita mampu bersedekah di bulan yang mulia ini sepertimana Rasulullah (SAW) yang amat mudah bersedekah di bulan Ramadan. Di bulan yang lain Rasulullah (SAW) begitu pemurah tetapi di bulan Ramadan, beliau berlebih-lebih lagi pemurah.
Kita ingin perbanyakkan amalan membaca dan memahami al-Quran, pertingkatkan zikir dan doa, memakmurkan masjid dengan solat-solat sunat, dan memohon keampunan kepadaNya.
Kita ingin banyak beramal dan bukan lagi ingin berpesta makanan dan minuman.
Kita ingin membentuk jiwa dan hati kita sepanjang bulan Ramadan supaya kita mampu meneruskan kehidupan di sebelas bulan yang seterusnya dengan penuh taqwa dan iman.
Ya Allah, sampaikanlah daku ke bulan Ramadan…
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment