Sekurang-kurangnya ada dua perkara yang aku rasa remaja tidak boleh hidup tanpanya. Pertama, telefon bimbit dan kedua, 'facebook'. Telefon menjadi alat perhubungan komunikasi yang direka oleh Alexander Graham Bell suatu ketika dahulu. Alat perhubungan ini menjadi penting apabila ada di kalangan ahli keluarga kita keluar dari rumah. Maksudnya abang atau kakak mula keluar dari rumah kerana melanjutkan pelajaran ke universiti atau telah mula bekerja dan tinggal jauh dari ibu dan ayah.
Sekarang jarang kita dapati dalam satu keluarga ada ayah ibu dan datuk nenek sekali atau apa yang dipanggil sebagai ‘extended family’. Tetapi suatu masa dulu, ia menjadi satu perkara biasa! Cuma ayah dan ibu seharusnya membuat pertimbangan yang sebaik mungkin dalam memberi layanan yang terbaik kepada kedua ibubapa yang telah membesarkannya dan pada masa yang sama mempastikan anak-anak mereka juga mendapat belaian mesra.
Jarak yang jauh antara keluarga sudah pasti memerlukan telefon untuk menghubungkan mereka. Kalau dulu telefon menjadi salah satu barang mewah. Hanya mereka yang berada sahaja yang mempunyai telefon rumah. Apabila sesuatu kajian dibuat, antara parameter yang digunakan untuk mengukur status sesebuah keluarga ialah telefon disamping kelengkapan perabot yang lain. Tetapi sekarang tiada rumah yang tidak ada telefon!
Surat menjadi pilihan kedua sesudah telefon bagi mereka yang kurang berkemampuan. Luahan perasaan rindu kepada ayah bonda ditulis berjela-jela supaya perasaan rindu dendam kepada mereka dapat dikurangkan. Selonggok perasaan rindu diterbangkan bersama surat itu. Hati pula berkobar-kobar dan ternanti-nanti untuk mendapat balasan surat dari mereka yang tersayang. Paling cepat kalau jarak tidak jauh, 2 minggu baru mendapat balasan.
Paling lambat pula setahunpun tak sampai lagi. Pengalaman aku menghantar cek kepada kakak di kampong begitulah. Kalau aku pos di Pejabat Pos UTM, banyak yang tak sampai dari yang sampai. Selalunya, bila aku pos surat beserta cek, aku akan poskan di Pejabat Pos Taman Universiti. Tetapi hendak pergi ke Taman Universiti tu rasa malas sikit kerana jauh. Sudah 3 kali aku poskan surat beserta cek di Pejabat Pos UTM tak sampai. Yang terbaru ialah pada 24 Mei lepas, aku poskan surat bersama sekeping cek bernilai RM500.
Hari ini 'facebook' telah menjadi alternatif untuk meluahkan perasaan dan mendapat respons yang pantas dari pihak yang satu lagi. Tak perlu lagi kita menunggu berminggu-minggu untuk mendapat jawapan. Ia menjadi satu medium komunikasi yang sangat mudah dan sungguh interaktif.
Cuba bayangkan remaja tanpa kedua-dua alat ini. Pasti hidup mereka lesu atau dalam bahasa Kelate ‘very dull’. Semalam seorang remaja menelefon ayahnya (kawan saya) semasa kami sedang makan malam dan melapurkan bahawa ‘line internet’ di rumahnya tiada dan mendesak ayahnya supaya memperbaiki segera.
Walau bagaimana pentingnya alat atau ‘gadget’ ini, kita seharusnya pandai menguruskan masa dengan bijak. Tiga atau empat jam sehari menelaah facebook atau ber’sms’ atau ber’e-mail’, aku rasa ia hanya merugikan masa kecuali kita menggunakan komputer untuk belajar ilmu baru. Banyak ilmu dapat kita pelajari dengan menggunakan kaedah carian sebegini. Semua maklumat ‘at our own fingertips’.
Hanya kita yang menentukan samaada mahu atau tidak mahu…
No comments:
Post a Comment