Malam tadi aku merasa agak malas untuk ke pejabat seperti biasa. Sebelum aku pulang pada petangnya, kira-kira jam 6.01pm, isteri menelefon menyatakan ia akan pulang lewat dari biasa kerana menunggu Achik habis kelas jam 6.30pm. Isteri juga menyatakan bahawa makanan malam telahpun dia beli. Aku sudah tak kisah, pada hari-hari persekolahan, isteri dan anak-anak akan keluar jam 7am dan pulang ke rumah jam 7pm. Rutin itu sudah lali bagiku.
Pagi ini, aku terasa ingin makan roti canai di Lan Prata. Roti canai yang paling enak di Skudai. Kedai mamakpun kalah. Roti canai Lan sungguh lembut. Senang dan mudah ditarik dan dicarik-carik untuk dicicahkan dengan kuah kari ditaruk sambal!
Akupun mula menghidupkan enjin kereta. Tiba-tiba teringat pula tentang usrah pada malam ni. Setiap malam Rabu, aku ada usrah. Oops, baik aku sms naqib. “Elok dimaklumkan lebih awal jika ada usrah malam ni”, bunyi smsku yang dihantar kepada naqib. Tanpa mengharapkan balasan segera dari naqib, aku meluncur laju ke kedai roti canai Lan. Dulu kedainya dikenali sebagai Lan’s Prata.
Tiba di sana aku nampak Ali pemandu dan 2 orang rakan pemandunya sedang menikmati roti canai. Aku menyapa Ali, “Dah panjang janggut sekarang, Li?”. “Itulah En. Wan, tengok orang pasang janggut, kitapun hendak pasang janggut juga”, balas Ali sambil tersenyum lebar. Aku rasa Ali telah mencipta rekodnya yang tersendiri di UTM. Rekod yang aku maksudkan ialah, Ali dan 2 orang adiknya juga berkhidmat sebagai pemandu di UTM. Adiknya ialah Alias dan Wahid. Alias, disamping tugasannya sebagai pemandu, juga aktif sebagai Lt M dalam perkhidmatan JPA3.
Aku masih ingat semasa balik beraya ke Kelantan pada tahun lepas… Ali yang ‘organise’ untuk pelajar dan staf Kelantan balik beraya. Aku membayar RM810 pada tahun lepas untuk tambang bas pergi balik untuk 9 orang ahli keluarga.
Tahun ini, pelajar UTM naik semester selepas raya nanti. Akupun masih buntu, bagaimana aku hendak balik beraya di rumah mertua tahun ini…
Seperti selalu apabila aku sampai ke kedai Lan, pelayannya akan bertanya, “Seperti biasa?”. Aku menjawab, “Hari ini aku hendak roti sardin!”. Kalau aku menjawab ‘Ya’. Maksudnya, 2 keping roti kosong, 2 biji telor tiga suku masak, segelas Nescafe panas dan secawan air panas akan siap dihidangkan nanti.
Apabila aku siap makan dan bersedia untuk beredar, Lan memaklumkan bahawa makanan aku telah dibayar oleh meja Ali bersama 2 rakannya.
Kadang-kadang, kita terasa betapa besarnya jiwa mereka walaupun hanya bekerja sebagai pemandu tetapi sanggup membelanja orang lain. Dari perspektif lain pula, kalau kita tidak sombong dan berkawan dengan sesiapa jua, maka Allah murahkan rezeki kita pula.
Ramaikan Kawan… Kurangkan Lawan!
No comments:
Post a Comment