Alhamdulillah, perkhemahan atau mukhayyam untuk tahun ini sudah melabuhkan tirainya. Perkhemahan yang terakhir yang kami jalankan ialah pada 24 hingga 26 Jun yang lalu. Seramai 63 peserta telah mendaftarkan diri untuk mukhayyam yang lepas. Mereka terdiri dari ahli IKRAM yang berstatus Ahli Biasa (AB), Ahli Aktif (AA) dan Ahli Teras (AT). Semuanya digabungjalin dalam satu mukhayyam.
Inilah julung-julung kalinya, kita mencampurkan semua ahli dalam satu mukhayyam. Kebiasaannya kita asingkan mereka mengikut mustawa dan pengendaliannya lebih mudah dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, hasil maklumbalas yang diperolehi, rata-rata mereka lebih suka percampuran yang sebegini. Anak-anak dapat berkenalan dengan pakcik-pakcik dengan lebih mesra dalam suasana yang sungguh informal. Anak-anak juga tidak kisah pakcik-pakcik atau abang-abang yang melambatkan pergerakan kumpulan mereka. Setiap kumpulan diarah supaya bergerak dalam kumpulan masing-masing!
Barang sudah pasti, pakcik yang sudah berusia dan abang yang berisi akan merencat momentum perjalanan mereka. Tetapi mereka tak kisah…
Di akhir program kita telah membuat sesi muhasabah secara 'verbal' dan bertulis. Boleh dikatakan 99% komen yang diberi secara 'verbal' adalah sangat positif! Dalam borang muhasabah kita telah membahagikan kepada 16 ruang untuk diberi markah dan juga ruang untuk membuat komen. Adapun markah bermula dari 1 (terendah/tidak memuaskan) sehinggalah 5 (terbaik/sangat berpuashati).
Keputusan 16 perkara yang kita meminta ‘feedback’ dari responden adalah seperti berikut;
1)Pemakluman/Iklan tentang Mukhayyam 3.88
2)Pendataran 4.31
3)Slot Mas’ul Tarbiyyah Negeri 4.4
4)Taklimat Komandan Kem 4.4
5)Modul Masjid 4.02
6)Modul Trekking 4.63
7)Tugasan Trekking (puzzle, soalan) 3.98
8)Persembahan Kumpulan 4.173
9)Taklimat ‘Water Confidence’ 4.077
10)Modul Kayak 4.33
11)Sesi Maklum Balas 4.286
12)Slot Bersama Pimpinan IKRAM 4.38
13)Makan oleh Penganjur 4.294
14)Pilihan Lokasi 4.47
15)Bandingan Umum Mukhayyam Ini dengan yang Lepas 4.25
16)Lain-lain
Bagi perkara ‘lain-lain’, phak kami hanya menerima 2 maklumbalas dari responden.
Secara keseluruhannya, markah yang tertinggi ialah modul trekking yang mendapat 4.63. Peserta sungguh menikmati acara ini. Walaupun, ia mengambil masa dari 8 hingga ke 10 jam untuk merentasi perjalanan sejauh 17km dalam hujan dan panas tetapi mereka sungguh seronok. Dari sesetengah ‘check point’ mereka perlu berjalan agak laju kerana terdapat ‘bomb line’ yang perlu mereka lepasi. Hasilnya, majoriti kumpulan melepasinya dengan selamat dan ada juga yang mati terkorban!
Markah terendah diperolehi bagi pengiklanan atau pemakluman tentang mukhayyam ini, iaitu 3.88 mata. Kami juga agak hairan kenapa ini boleh berlaku. Kebiasaannya sebulan sebelum tarikh mukhayyam akan dilaksanakan, kita telah memaklumkan dalam IKRAM-net. Tujuannya ialah supaya bakal peserta boleh membuat persiapan diri, baik dari aspeks jasmani, rohani, dan sebagainya. Kemudian, kita akan maklumkan lagi pada minggu seterusnya mengenai barangan yang perlu dibawa. Dan minggu berikutnya pula, kita akan memaklumkan tentang tempat pendaftaran dan jumlah bayaran yang dikenakan.
Besar kemungkinan masalah ini timbul disebabkan oleh naqib yang berada dalam ‘mailing list’ IKRAM tetapi tidak memaklumkan kepada anak usrahnya yang tidak berada dalam rangkaian net IKRAM.
Lokasi mukhayyam dilaksanakan mendapat markah kedua tertinggi iaitu 4.47. Ini menunjukkan responden seronok dengan persekitaran UTM yang mempunyai kelengkapan dan kemudahan fasiliti yang serba mencukupi.
Ramai peserta yang berpendapat mukhayyam pada kali ini adalah lebih baik dari mukhayyam yang lepas.
Pihak UMIJ juga tidak ketinggalan untuk meraikan semua ahli jawatankuasanya. Pada malam tadi, satu sesi BBQ bersama keluarga telah dilaksanakan di rumah akhi Dr. Ruslan. Menu yang utama disamping lontong kering dan air yang disediakan oleh tuan rumah ialah BBQ kambing, ayam, ikan, udang, sotong, sosej, dan ubi stella (sweet potato). Majlis telah diadakan dari pukul 6 hingga 10 malam.
Akhir sekali, saya selaku Ketua UMIJ berdoa ke hadrat Ilahi supaya Allah SWT memberi ganjaran setimpal dengan usaha yang telah disumbangkan oleh setiap AJK. InsyaAllah, jika panjang umur dan diberikan kesihatan yang berpanjangan, kita akan bertugas lagi di tahun depan.
No comments:
Post a Comment