Kita mendapati bahawa semua sekolah melakukan aktiviti luar termasuk juga sekolah kita. Walaupun nama aktiviti itu berbeza tetapi objektifnya tetap sama iaitu supaya pelajar-pelajar menjadi seimbang dari aspeks jasmani, emosi, rohani, dan intelek (JERI).
Mukhayyam dilaksanakan di peringkat sekolah rendah lagi. Banyak bidang kepakaran yang cuba diterap kepada pelajar supaya mereka berkemahiran sebelum mereka keluar ke alam dunia yang sebenar. Alam persekolahan mereka, tidak menggambarkan realiti kehidupan masyarakat di luar sana kerana mereka hanya berkawan sesama mereka (rata-rata semuanya baik-baik). Oleh itu, supaya anak-anak kita tidak terperangkap dengan kepompong idealisme mereka, kita seharusnya menyediakan diri mereka dengan pil-pil anti virus atau 'antibiotic' bagi membantu sistem imuniti mereka.
Di sekolah mungkin mereka tidak pernah mendengar perkataan mencarut tetapi apabila mereka berada di luar sana dan bergaul dengan masyarakat setempat, 'vocabulary' baru akan bertambah dari hari ke hari.
Di sekolah mungkin mereka tidak pernah dibuli tetapi di luar sana perkara buli dan pergaduhan anak-anak sering dan kerap berlaku. Oleh itu, kita perlu mempersediakan mental dan fizikal anak-anak kita supaya mereka bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.
Berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, wasilah tarbiyyah mukhayyam sekolah disediakan bagi mencapai objektif-objektif berikut;
1. Mewujudkan kesegaran, kekuatan dan ketrampilan fizikal pelajar.
2. Membina disiplin, ketaatan dan kesiapsiagaan.
3. Melatih sifat-sifat keperwiraan, kepemimpinan dan kemampuan bersabar dalam kesulitan yang berpanjangan.
4. Meningkat dan memelihara semangat perjuangan dan pengorbanan.
5. Memelihara dan meningkatkan ruhul ukhuwwah dalam ‘amal jama’i.
Penerapan elemen-elemen tersebut amat berguna kepada anak-anak kita supaya mereka tidak akan menjadi mangsa di saat kita mengalami kebejatan sosial yang teruk seperti sekarang. Bahkan anak-anak kita sebaliknya pula boleh menjadi agen perubahan dalam usaha mengislahkan masyarakat.
No comments:
Post a Comment