Thursday, December 27, 2012

Petua Membuat Tugasan Atau 'Assignment' Yang Baik

Pengalaman aku mengajar di Universiti selama 17 tahun banyak memberi pedoman dan panduan. Di sini ingin aku berikan 'tips' asas bagaimana ingin menulis tugasan yang baik. Diharapkan ia memberi sedikit pencerahan kepada pelajar-pelajar yang selalu ditugaskan supaya menyediakan suatu penulisan berkaitan dengan matapelajaran yang dipelajari.

Perkara pertama yang harus difikirkan ialah berkenaan dengan tajuk tugasan. Sekiranya tajuk telah diberikan maka kita tiada pilihan. Tetapi seandainya tajuk itu bebas, maka kita pilihlah tajuk atau isu yang kita suka baca.


Membuat tugasan semestinya memerlukan kepada pembacaan. Sekiranya isu yang kita pilih, kita sangat menyukainya maka masalah mencari bahan bacaan tidak menjadi masalah.

Kita ambil contoh, kita diberikan tugasan untuk menulis tentang sesuatu dasar kerajaan. Di sini kita carilah dasar apakah yang menjadi kesukaan kita untuk membacanya. Banyak dasar-dasar kerajaan yang telah dilaksanakan. Antaranya, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah; Dasar Ekonomi Baru; Dasar Penswastaan; Dasar Warga Emas Negara; Dasar Pendidikan Kebangsaan; Dasar Perumahan Negara; Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara; Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran; Dasar Sukan Negara dan berbagai-bagai dasar lagi.

Menjadi pelajar di zaman IT tidaklah sepayah dulu yang memerlukan kita pergi ke perpustakaan. Sekarang orang kata maklumat hanya di hujung jari. Buatlah carian melalui internet dan disusuli dengan membuat pinjaman buku di perpustakaan.


Seseorang pensyarah mungkin tidak menyukai sekiranya semua rujukan kita berdasarkan 'website' atau akhbar semata-mata! Kalau boleh biar ada buku, artikel dari jurnal, 'website', dan sedikit sahaja rujukan dari akhbar sebagai rujukan kita. Bukan apa, akhbar tidak boleh sangat kita percayai!

Rujukan kita sebaik-baiknya biarlah banyak. Kalau dapat 10 rujukan maka barulah boleh dikatakan memadai.

Langkah pertama, kita ceritakan tentang tujuan dan objektif sesuatu dasar tersebut. Kita juga mengetahui bahawa sesuatu dasar itu dibuat atau digubal bagi menyelesaikan sesuatu isu atau masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Langkah seterusnya kita huraikan tentang pencapaian dan keberkesanan dasar itu sehingga kini. Rujukan kepada pembacaan amat diperlukan di sini supaya kita mengetahui kekuatan dasar tersebut. Berikan hujah-hujah berlandaskan kajian yang telah dibuat oleh orang lain. Nyatakan sumbernya di dalam penulisan kita. Setiap angka atau nombor yang dimasukkan dalam penulisan mesti dinyatakan sumbernya.


Sekiranya kita mengambil ayat orang lain, patah demi patah maka kita perlu membuat 'quotation' dan nyatakan sumber dan muka suratnya sekali di mana kita mengambil ayat tersebut. Tetapi sekiranya kita hanya mengambil isi dan membuat ayatnya sendiri maka memadai dengan kita nyatakan sumber penulisnya sahaja.

Kesilapan yang selalu pelajar buat ialah mereka tidak menulis sumber rujukan di akhir penulisan. Di dalam penulisan teks ada nama sipolan bin sipolan tetapi di dalam senarai rujukan tidak dinyatakan.

Cara menulis bibliografi atau rujukan juga mesti diperhatikan. Banyak cara yang boleh dibuat tetapi yang biasa ialah kita mulai dengan nama penulis, kemudian tahun, kemudian tajuk buku, kemudian tempat diterbitkan, dan akhirnya nama penerbit.

Kalau kita mempunyai 10 rujukan maka nama yang teratas dimulakan dengan A dan seterusnya mengikut abjad sehingga Z yang paling bawah. Bibliografi ini mesti disusun mengikut abjad dan kita tidak boleh meletakkan nama-nama penulis sesuka hati kita.


Disamping keberkesanan sesuatu dasar, kita juga seharusnya melihat kepada kelemahannya juga.

Setelah meneliti keberkesannya dan kelemahannya maka akhirnya kita perlu membuat cadangan kearah penambahbaikan kepada dasar yang kita pilih. Ia wajib dilakukan supaya penulisan kita nampak seperti ada ulasan dan kritikan kearah menjadikan dasar itu lebih mantap dan berkesan. Jika tidak, ia hanya menjadi satu tugasan yang berbentuk laporan semata-mata.

Pensyarah pantang melihat kesalahan ejaan dan kesalahan meletakkan noktah atau koma. Kesalahan yang selalu pelajar buat ialah seperti berikut; ".... menjadi panduan masyarakat .Rukunegara perlu dihayati...." Apa salahnya? Kesalahannya ialah sebelum noktah tiada ruang kosong dan untuk memulakan ayat baru selepas noktah perlu ada satu 'space'!

Apabila kesalahan yang 'simple' sebegini dibuat, ia menunjukkan bahawa penulis tidak membuat semakan dan hanya membaca sekali sahaja tugasan yang telah dibuat. Kita perlu membaca berulang kali supaya mana-mana ayat yang tergantung atau kesalahan ejaan dapat diatasi. Masalah ini lebih ketara sekiranya ia adalah tugasan kumpulan. Maksudnya ahli kumpulan tidak membaca penulisan tersebut dan hanya membiarkan seorang sahaja melakukan tugasan atau membuat penulisan.


Satu lagi ialah berkenaan dengan perkataan inggeris atau bahasa lain yang dipakai seharusnya dibezakan dengan perkataan melayu. Bagaimana ingin dibezakan? Lihatlah perkataan 'space' dan 'simple' di atas!

Kesimpulan perlu dibuat. Rata-rata pelajar menyimpulkan tugasan mereka yang mempunyai 10 muka surat dengan hanya satu atau dua ayat! Mana mungkin kita menyimpulkan penulisan kita dengan hanya satu ayat. Ia mesti lebih dan menerangkan intipati kepada penulisan kita.

Muka surat depan mesti ada. Kita meletakkan satu muka surat depan yang mana dituliskan tajuk tugasan, matapelajaran dan kodnya, si penulis dan kepada siapa tugasan itu dihantar. Muka depan seharusnya biar nampak menarik walaupun sesetengah orang mengatakan 'Don't judge the book by its cover'.


Dan sekeping kertas selepas itu yang menyenaraikan isi kandungan bersama muka suratnya juga akan nampak lebih tersusun.

Akhir sekali, penulisan kita seharusnya ada 'cover'. Jangan di'staple'nya saja begitu. Nampak tidak kemas! Kadang-kadang ia terburai kerana 'stapler'nya tidak terkena kesemua muka surat. Belanja sikit untuk membuat 'spiral binding' atau membeli 'plastic cover' yang mempunyai tetulang yang kita boleh 'slide' masuk di tepi tugasan kita.

Semoga bermanfaat!

Wednesday, December 26, 2012

Program BBQ Untuk Ahli Usrahku Dan Ahli Usrah Akhi Hamidon

Alhamdulillah, baru selesai program BBQ di rumahku. Kehadiran ialah ahli usrahku dan ahli usrah PM Hamidon Musa.


Ahli usrah akhi Hamidon yang hadir ialah Mahathir, PM Dr Rosbi, dan Abdul Rahman U. Ahli usrahku pula ialah Firdaus dan isteri (Emily), Hadi dan isteri, Skem, Dr Muhammad Muhaimin, Syed Abdul Hakim, Wan Abdul Rahman, Abdul Muhaimin, 'Ammar Mohd Ruslan, Fikri Abdul Rahman, dan Daniel (kawan Abdul Muhaimin).


Program dimulakan dengan membakar daging BBQ, kemudian disusuli dengan solat Isya' berjamaah yang diimamkan oleh anakanda Wan Abdul Rahman. Setelah selesai menikmati juadah, akhi anakanda 'Ammar Mohd Ruslan memberikan tadzkirah ringkas tentang 'Bersyukur Diatas Nikmat Iman dan Islam'.


Juadah yang dihidangkan ialah nasi putih, kurma kambing, salad dan buah-buahan. BBQ pula ialah ayam, kambing, dan udang. Disebabkan makanan agak banyak dan berlebihan, ikan siakap dan sausage (hot dog) tidak dibakar.


Ternanti-nanti juga ahli trekkers yang berjanji untuk datang. Mungkin ada hal yang tidak dapat dielakkan... InsyaAllah jika ada rezeki dan kelapangan kita buat lagi.

Sedikit taaruf ringkas diadakan sesama ahli yang hadir. Majlis diakhiri dengan doa rabitah oleh anakanda Wan Abdul Rahman. Semoga usaha yang kecil ini diberkati Allah SWT dan mudah-mudahan program ini akan merapatkan lagi ukhuwah sesama ahli usrah, insyaAllah.

Tuesday, December 25, 2012

Liku-Liku Kehidupan 6

Cabaran pengangkutan untuk ke SMT membuatkan aku terfikir untuk bertukar sekolah. Tiada lagi sekolah lain di daerah Tumpat yang mempunyai Rancangan Khas. Pilihan yang ada ialah untuk ke Kota Bharu.

Aku memilih untuk ke Sekolah Menengah Sultan Ismail Kota Bharu (SMSI).

SMSI hanya mempunyai Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Sesiapa yang ingin menyambung ke Tingkatan 4 hanya bertukar sekolah ke seberang padang aje iaitu ke Maktab Sultan Ismail (SIC). Berhampiran dengan SIC ialah Sekolah Zainab.


Tahun 1978 merupakan tahun aku mula meninggalkan kampung halaman.

Di SMSI aku tak dapat masuk ke kelas Rancangan Khas kerana bilangan pelajar yang terlalu ramai. Aku dah lupa samaada kelas aku adalah 2P1 atau 2P2. 'P' maksudnya Perdagangan.

Inilah pertama kali aku bersekolah hanya satu jantina. SMSI adalah sekolah semua lelaki. Pakaiannya ialah baju putih dan seluar pendek hijau.


Sekarang aku menumpang di rumah kakakku, Wan Azizah dan suaminya Hussin Ismail (Abang Sin) yang menyewa di Lorong Che Majid, Wakaf Siku, Kota Bharu.

Rumah ini sebenarnya kepunyaan kakak Abang Sin dan terletak bersebelahan dengan rumah ayah dan ibu Abang Sin.

Kak Zah dan Abang Sin bukanlah senang sangat kerana aku masih ingat Abang Sin pergi kerja menaiki basikal dan Kak Zah menggunakan perkhidmatan beca.


Aku menaiki basikal ke sekolah. Melalui jalan 'net bas', melalui padang Sekolah Menengah Naim Lil Banat, Jalan Raja Dewa dan terus keluar ke Jalan Telipot di mana SMSI berada. Aku ke sekolah bersama Nawi iaitu anak saudara Abang Sin yang sebaya denganku.

Sepanjang persekolahanku semasa di Tingkatan 2 dan 3 di SMSI, segala perbelanjaan ditanggung oleh Kak Zah. Yurannya, duit poketnya, pakaiannya, bukunya, makan minumnya semua Kak Zah yang tanggung.

Aku dan Kak Zah bukan janggal sangat. Semasa aku belum bersekolah, Kak Zah selalu membawa aku ke rumah Abang Long di Terengganu, menemani Abang Mad yang mengajar di Air Papan, Terengganu dan sebagainya. Kalau tidak, susah juga aku ingin menumpang di rumahnya.


Walau bagaimanapun, rumah ibu tetap menjadi idaman. Setiap petang Khamis, aku akan mengayuh basikal ke Tambatan Diraja dan menunggu bot untuk pulang ke Palekbang. Apabila bot tiba, aku bersama basikal menaiki bot. Tambang bot untukku dari Kota Bharu ke Palekbang ialah 20 sen. Masa aku bersekolah rendah dulu, tambangnya hanya 10 sen.

Bila tiba petang Sabtu, aku dengan perasaan malas dan hambar mengayuh pula ke pengkalan bot Palekbang untuk kembali ke Wakaf Siku. Sekarang ini, pengkalan bot Palekbang bersama-sama stesen keretapi Palekbang hanya menjadi kenangan. Mereka sudah 'ghairi maujud'!

Kehidupan aku di Wakaf Siku tidaklah membosankan sangat...


Aku akan ke surau dekat 'net bas' dari Maghrib hingga Isya'. Petang sebelum bermain bola di padang Sekolah Naim Lil Banat, aku akan makan rojak mee plus popia mentah atau popia goreng di kereta sorong yang selalu menunggu pelanggan berhampiran sekolah tersebut. Popia dan rojaknya adalah yang paling lazat yang pernah aku rasai.

Semasa aku menumpang Kak Zah dan Abang Sin, rasanya mereka telah dikurniai 2 orang anak iaitu Nor Zahabiah dan Nor Zarifah. Tak pasti pulak Nurul Iman, anak lelaki mereka sudah dilahirkan atau belum... Anak-anak mereka yang lain ialah Nurul Hafiz, Nurul Amin, dan yang terakhir ialah Muhammad Ihsan.

Sepanjang 2 tahun aku di SMSI, aku makin renggang dengan kawan-kawan sekampung. Episod meninggalkan kampung telah bermula...

Sunday, December 23, 2012

Liku-Liku Kehidupan 5

Aku memasuki Sekolah Menengah Kg. Laut pada tahun 1977. Tetapi rasanya hanya sebulan aku di sekolah itu. Aku ditawarkan biasiswa Rancangan Khas ke Sekolah Menengah Tumpat. Biasiswa hanya RM25 sebulan.

Walaupun RM25 tetapi itu sudah cukup banyak dan cukup besar jumlahnya bagiku.

Semasa aku di sekolah rendah dulu, arwah ibu menjual nasi berlauk, nasi himpit, dan nasi kerabu di jemuran rumahku. Hasil jualan itulah menjadi duit saraan keluarga kami hari ke hari. Aku masih ingat Kak Zah yang membantu arwah cik membungkus nasi sebelum beliau ke Kedai Emas Hj Wan Mohamad di Kota Bharu setiap hari.


Kak Zah bekerja di Kedai Emas sebagai jurujual. Arwah Hj Wan Mohamad dan isteri Hajjah Wan Yam adalah saudara kami.

Arwah Hj Wan Mohamad, subhanallah... tersangat pemurah orangnya. Beliau akan memberi beberapa ratus ringgit setiap bulan kepada arwah Cik untuk diagih-agihkan kepada mereka yang daif di Palekbang. Beliau juga menaja seorang setiap tahun untuk menunaikan fardhu Haji. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada roh arwah!

Semasa aku di sekolah rendah juga, arwah Hj Wan Mohamad dan Hajjah Wan Yam memberi 2 buah basikal kepada kami. Satu kepunyaanku dan satu lagi kepunyaan anak saudaraku, Wan Imanul Amin. Aku menggunakan basikal tersebut untuk ke sekolah.


Satu lagi yang tak dapat aku lupakan tentang arwah Hj Wan Mohamad ialah beliau telah memberi peluang kepadaku untuk memiliki sebentuk cincin zamrud dengan harga yang teramat murah. Kalau tak silap aku mungkin hanya 50 atau 60 ringgit sahaja. Cincin itu masih ada sehingga sekarang, cuma terpaksa dibesarkankan saiznya beberapa kali...

Arwah Cik selalu juga membawaku ke rumah mereka di Merbau dan kemudiannya sekitar tahun 1980an, mereka berpindah ke Taman Uda Murni, Jalan Pengkalan Chepa. Pada masa itu, itulah satu-satunya rumah besar di tepi jalan di Taman Uda Murni!

Aku juga masih ingat tentang buku rekod sekolah rendah. Seingatku, arwah ayahku hanya mampu menandatangani buku rekodku mungkin setakat aku darjah 3 saja. Selepas itu hanya arwah ibu yang 'sign'kan kerana arwah ayah sudah tua.


Aku pernah mengadu kepada abang Long tentang aku merasakan seperti tidak mendapat kasih sayang seorang ayah. Sebaliknya abangku mengatakan bahawa aku bernasib baik kerana ayahku agak bengis sewaktu beliau muda. Kalau disuruhnya abangku bercukur kepala sewaktu cuti sekolah maka wajib abangku menuruti kehendaknya. Walau abangku merayu kepada arwah ayah bahawa cuti hanya 2 minggu dan rambut tak sempat nak panjang. Tak berani abangku untuk mengengkarinya!

Seingatku, arwah ayah mempunyai 2 orang rakan karibnya, Pak Lah Uban dan Pak Mud Tukang. Dipanggil Pak Mud Tukang kerana kerjanya sebagai tukang rumah. Rumah buatan Pak Mud sangat cantik!

Semasa aku di Sekolah Menengah Tumpat (SMT), aku terpaksa menumpang motosikal Kawasaki Cikgu Wan Hazit Wan Mahmood. Beliau mengajar di Sekolah Menengah Tumpat. Perkhidmatan bas dari Tumpat ke Palekbang telah diberhentikan pada masa itu.


Ayah Cikgu Wan Hazit adalah abang kepada Wan Mohamad Kedai Emas.

Aku bersekolah petang. Setiap hari semasa menunggu Cikgu Wan Hazit untuk ke sekolah, aku akan makan laksam yang dijual di pasar Palekbang.

Masalah yang aku hadapi semasa bersekolah di SMT ialah bila ada latihan sukan di waktu pagi. Biasanya aku tak pergi kerana tiada kenderaan. Kadang-kadang aku gagahi juga mengayuh basikal sejauh 6 kilometer.

Di SMT, aku mempunyai beberapa kawan rapat iaitu Mazlan Abdul Rashid dari Chabang Empat Tok Mek Ngah, Zulkifli dari Terbak, Azidin dan Abdul Razak Abdul Halim dari Pasir Pekan.


Mazlan dan Zul rasanya menjadi guru dan Razak mewarisi kerja bapanya Abdul Halim menjadi caterer tersohor. Jidin tak pasti pula tetapi rasanya juga sebagai guru.

Semasa di SMT, aku selalu juga ke rumah Cikgu Lan dan begitu juga dia selalu ke rumahku. Aku memanggil kedua orang tuanya dengan panggilan mek dan ayah. Mek dan ayah bertani, menanam kacang panjang, timun dan sayur-sayuran. Hasilnya dijual di pasar Chabang Empat. Disamping itu, ada juga beberapa ekor lembu peliharaannya.

Aku mengenali semua adik beradik Lan, abangnya Mokhtar bekerja sebagai polis di Selangor, adiknya Juki, Nah, dan Man. Nah ialah satu-satunya anak perempuan. Semua mereka sudah puluhan tahun tidak ku temui!


Saturday, December 15, 2012

Liku-Liku Kehidupan 4

SRJK(I) Kg. Laut merupakan sekolah yang disegani juga di kalangan sekolah-sekolah rendah di daerah Tumpat. Sekolah kami sentiasa terkedepan dalam bidang akademik mahupun ko-kurikulum.

Dalam pertandingan bolasepak, kita boleh dikatakan agak kuat dan setiap tahun ada saja pemain-pemain sekolah tersenarai untuk mewakili zon Tumpat. Beberapa orang pemain akan dipilih dari setiap sekolah dan mereka merupakan senarai pemain terbaik dan akan berlawan antara daerah-daerah di Kelantan.

Sungguhpun aku sangat meminati permainan bolasepak dan telah mencuba beberapa kali untuk mewakili sekolah tetapi ternyata bidang sukan bukanlah kelebihanku.


Aku boleh dikatakan menonjol di bidang akademik. Itupun bukanlah menonjol sangat, cuma menonjol dari yang lain-lain yang kurang menonjol.

Pada zamanku, UPSR dinilai pada darjah 5 dan ianya dikenali sebagai Peperiksaan Penilaian Darjah 5. Aku sekadar mendapat 3A, 1B dan 1C. Aku mendapat C dalam Bahasa Inggeris. Aku tak ingat samaada ada sesiapa yang mendapat 3A dan 2B tetapi yang pasti tiada yang mendapat 4A atau 5A.

Aku begitu teruja untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa.  Bangunan batanya yang tidak di'plaster' begitu menarik hatiku dan aku jatuh cinta padanya. Sungguh cantik sekali bangunannya pada pandangan mataku pada masa itu.


Walau bagaimanapun, aku hanya berjaya setakat menduduki peperiksaan IQ di MRSM Pengkalan Chepa. Apabila keluar keputusan, aku hanya mendapat markah 109 dan 'cut off point' untuk memasuki sekolah tersebut ialah 115 markah. Sungguh sedih rasanya.

Semasa di sekolah rendah, disamping kawan-kawan yang lain, aku mempunyai seorang kawan karib. Namanya Mohd Salleh bin Muhammad.

Kami selalu belajar bersama-sama apa yang diajar oleh guru di sekolah. Bila cuti sekolah pula, jika ada program di Masjid Kg. Laut, kami selalu menghadirinya. Banyak ilmu agama yang ditimba di sini.


Aku selalu tidur di rumah Salleh dan diapun selalu datang tidur di rumahku.

Aku mula menjadi pengawas sekolah agak awal, rasanya mungkin semasa di Darjah 3. Kemudian aku menjadi Penolong Ketua Pengawas semasa di Darjah 5 dan menjawat jawatan Ketua Pengawas setahun kemudian.

Semasa aku menjadi Ketua Pengawas, penolongku ialah Nik Rumzi bin Nik Idris. Beliau sekarang sudah bergelar Prof. Madya Dr Nik Rumzi di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UTM.


Aku dan kawan-kawan sepermainan di Palekbang, iaitu Maarof, Othman, Usop, Rozman, dan Azhan bersunat atau berkhatan pada tahun 1976. Othman dan Usop adalah adik beradik dan Azhan atau kami panggil Pak Han adalah bapa saudara mereka. Othman dan Usop adalah dua pupuku kerana ibu mereka adalah sepupu ibuku. Maarof dan Othman adalah sebaya denganku manakala Rozman setahun lebih muda. Usop dan Pak Han sudah pasti lebih 'senior' samaada setahun atau dua tahun dari kami.

Pada hari yang kami ingin bersunat, kami kelima-lima menaiki bot untuk ke Hospital Besar Kota Bharu (HBKB). Apabila bot tiba di pengkalan bot Kota Bharu, kamu meneruskan lagi perjalanan dengan menaiki beca.

Di hospital agak ramai kanak-kanak yang menunggu untuk disunatkan. Kami masing-masing akur menunggu giliran untuk masuk ke 'operation theatre'. Setelah selesai berkhatan, kami kembali menaiki beca untuk ke pengkalan bot.

Kita tidak pulang bersama-sama kerana masing-masing takuti ubat bius akan habis dan sakit mula terasa... Siapa siap dulu, dia akan mula kembali ke rumah Othman atau Usop iaitu tempat kami berkumpul. Kami tidak ditemani oleh sesiapa semasa proses berkhatan, baik ibubapa mahupun adik beradik. Hanya kami berlima.


Cuba bayangkan betapa bergegarnya diri setelah berada di atas beca dan juga di dalam bot. Kami sedaya upaya mencuba untuk menahan sakit. Kayuhan beca yang berantakan dan enjin bot yang sentiasa bergetar kadang-kadang menyebabkan punggung kami terangkat.

Di rumah Man kami begitu berselera memakan nasi air dengan ikan kering. Selama seminggu kami tinggal bersama dan sesekali ada juga kami balik ke rumah masing-masing untuk menemui kedua orang tua.

Pada hari yang ketujuh, kami semua pergi mandi di sungai dengan tujuan supaya balutan akan basah dan mudah untuk dibuka balutan.

Alhamdulillah setelah berjam-jam kami di dalam Sungai Kelantan yang mana airnya cukup dingin, dan bila aku naik ke darat, aku dapati balutanku sudah tiada...

Wednesday, December 12, 2012

Liku-Liku Kehidupan 3

Aku tak ingat bila rumahku mendapat bekalan elektrik. Tetapi yang aku pasti ingat ialah setiap pagi apabila aku bangun dari tidur, aku akan menyapu bersih jelaga hitam yang terlekat di dalam lubang hidungku. Jelaga ini terhasil dari asap pelita yang dipasang saban malam sebelum kita melelapkan mata.

Aku memasuki sekolah rendah pada tahun 1971. Aku bersama sepupuku, Rosedah Mat Salleh belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris Kg. Laut. Pada awalnya, aku menumpang basikal abang Leh (yang sepatutnya aku panggil Ayah Leh) yang menghantar anaknya, Rosedah. Arwah ayah Leh ialah suami makcik Fatimah, yakni adik ibuku.


Aku agak jarak rumahku ke sekolah mungkin sejauh 4 atau 5 kilometer.

Aku belajar di sebelah petang. Sebelah pagi, bangunan sekolah yang sama digunakan oleh Sekolah Rendah Kebangsaan Kg. Laut. Pelikkan? Sekolah dan bangunan yang sama mempunyai nama yang berlainan pada waktu yang berlainan.

Di Palekbangpun ada sekolah rendah tetapi hanya Sekolah Rendah Kebangsaan Palekbang. Aku rasa ramai penduduk Palekbang menghantar anak-anak mereka ke sekolah inggeris di Kg. Laut.

Walaupun namanya sekolah inggeris tetapi bahasa pengantarnya telah dimelayukan sejak setahun sebelum aku masuk. Jadi aku hanya belajar bahasa inggeris (BI) sahaja dalam BI. Subjek yang lain, semua dalam bahasa melayu (BM).


Sepanjang 6 tahun di SRJK(I) Kg. Laut, banyak sekali pengalaman yang aku timba.

Aku dikerumuni oleh ramai kawan-kawan. Aku adalah antara budak yang pandai. Di dalam kelasku, aku selalu berlumba dengan seorang murid perempuan, Wan Noralina Wan Abdullah. Kalau dia nombor 1, aku akan mendapat nombor 2 dan begitulah sebaliknya. Tetapi lebih banyak dia di depan dan aku di belakangnya...

Kehidupan sebagai pelajar sekolah rendah sungguh menyeronokkan. Di waktu pagi, kita pergi mengaji al-Quran di rumah Mek. Selesai mengaji, kita bermain 'dechok', 'to jail', 'gelap cerah', bolasepak, dan lain-lain lagi. Semua permainan memerlukan kudrat untuk kita berlari. Badanpun sihat dan otakpun cergas!


Selesai bermain, kita balik ke rumah untuk mandi dan bersiap-siap untuk ke sekolah.

Sebelum menapak ke sekolah, semua cucu dan cicit Mek akan datang ke rumahnya untuk mendapatkan duit belanja sekolah. Begitu mulia hati Mek membekalkan duit belanja sekolah kepada semua cucu cicitnya. Semoga roh arwah Mek ditempatkan bersama-sama para solehin.

Berbekalkan duit 15 sen itulah kami ke sekolah.

Kami berjalan melalui jalan keretapi untuk mengelakkan kasut putih bertukar menjadi warna kuning jika melalui jalan biasa. Jalan dari Palekbang ke Kg. Laut masih belum berturap. Jalan berwarna merah kuning itu akan berdebu apabila panas terik dan bechak berselut apabila hujan. Oleh itu, berjalan di atas landasan keretapi adalah pilihan terbaik walaupun ia agak panas.

Apabila berjalan melalui landasan keretapi, kita kena peka dengan 'jerangkap samar'. Kadang-kadang najis mereka yang membuang air besar dari keretapi terdapat pada kayu selipar landasan.

Perjalanan dari rumah ke sekolah mengambil masa selama 40 minit.


Masa awal-awal dulu, kita menggunakan beg berbentuk kotak yang mana ia mempunyai kunci. Beg ini memang 'favourite' pada suatu masa dulu. Tetapi beg yang paling 'ideal' untuk berjalan di atas landasan keretapi ialah beg bertali. Talinya disangkut ke dahi manakala begnya dibiarkan berada di atas belakang. Dengan cara ini, kita tidak terasa berat buku yang dibawa.

Rumahku agak daif. Bila tiba waktu hujan, banyaklah besen-besen yang bertaburan untuk menadah air hujan yang tiris. Atap rumahku ialah atap 'bata yang nipis'. Kadang-kadang apabila terkena batu dari lastik sesiapa yang melastik burung dari luar rumah, berderai pecah atap tersebut.


Kemudahanpun agak kurang. Kami hanya mempunyai perigi yang perlu digunakan timba. Sesetengah perigi mempunyai pam untuk menaikkan air. Maksud aku bukan pam letrik tetapi pam tangan yang membantu membawa air keluar dari telaga.

Tandas? Tandas bagi kami ada di mana-mana. Cuma yang perlu ada ialah cangkul apabila kita betul-betul ingin membuang air besar.

Bila ingin membuang air besar di waktu malam, otak selalu membuat pertimbangan persoalan diantara takut hantu dan lubang najis ditimbus dengan baik supaya apabila orang datang ke balaisah untuk solat Subuh, mereka tidak terhidu bau yang kurang menyenangkan. Kalau pagi sudah cerah, ayam-ayam yang dilepaskan dari reban akan menyapu bersih najis-najis yang ada.


Arwah ibu yang aku panggil Cik memelihara banyak sekali ayam, itik, dan serati. Cik memelihara ternakan di bawah rumahnya. Pada waktu siang dilepaskan ternakan untuk merayau-rayau ke mana-mana saja. Tetapi bila malam, mereka berada di dalam reban di bawah rumah.

Peliharaan ayam Cik pelbagai. Ada ayam biasa, ada ayam jepun, ada ayam belanda, ada ayam api, dan ada ayam ketek atau ayam serama.

Apa yang bagus bila kita ada ternakan ayam ialah makanan kita tidak akan membazir. Nasi basi pun boleh diselamatkan dengan memberi makan kepada haiwan.


Semasa aku di darjah 3, aku memenangi hadiah pertama dalam pertandingan karangan bahasa inggeris di peringkat sekolah. Aku amat terkejut apabila namaku dipanggil ke depan semasa perhimpunan. Aku masih ingat sebuah buku tebal berbahasa inggeris telah ku terima sebagai hadiah.

Acara sukan aku kalah. Aku tak tahu kenapa aku tak dapat ke depan dalam acara sukan di sekolah. Aku selalu bermain bola di kampung. Kadang-kadang mewakili kampungku melawan kampung yang berdekatan.

Aku pernah memasuki ke dalam skuad pemilihan pemain bolasepak sekolah tetapi kecundang. Begitu juga olahraga. Aku kurang bernasib baik dalam acara sukan. Seingat aku semuanya kalah!


Aku masih ingat di suatu hari, aku ditugaskan untuk mencari dan mengingati lagu inggeris dan perlu mendendangkannya di waktu perhimpunan pada minggu depan.

Aku pulang ke rumah seraya menangis kerana aku tidak mengetahui dan mengingati apa-apa lagu inggeris.

Arwah ibuku menyuruh aku ke rumah makcik kerana anaknya, Muhammad Nasir mempunyai banyak piring hitam lagu-lagu inggeris. Muhammad Nasir memasang lagu kumpulan Bee Gees. Aku cuba mencari lagu yang senikatanya mudah untuk dihafal. Puasku cuba untuk menghafal tetapi gagal.


Aku pulang ke rumah sambil menangis kerana takut dipanggil ke depan semasa perhimpunan nanti. Sekejap lagi aku akan ke sekolah.

Mak Su, adik Cik datang ke rumah dan mengajarku untuk membaca ayat Kursi supaya terlepas dari kena menyanyi di khalayak ramai. Aku cuba menghafal ayat Kursi setakat yang mampu. Cuba bandingkan dengan anak-anak kita. Anak-anak kita sudah mengenal ayat Kursi sewaktu di Tadika lagi.

Alhamdulillah dengan berkat bacaan ayat Kursi, aku terlepas dari terpaksa menyanyi lagu inggeris yang belum tentu aku ingat...


Pada suatu hari, semasa aku di darjah 4, ustaz memaklumkan untuk datang ke rumahku sebaik tamat sekolah. Aku akur dengan permintaan ustaz. Pada petang itu, aku tidak berjalan kaki balik ke rumah seperti biasa tetapi membonceng motosikal Honda C70 bersama ustaz.

Apabila tiba di rumah, aku berlari ke atas memaklumkan kepada ibu bahawa ustaz datang. Ibu menjemput ustaz untuk naik ke rumah tetapi ustaz hanya ingin duduk di jemuran. Ustaz memaklumkan kepada ibu bahawa aku dipilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan pidato di peringkat zon Daerah Tumpat.

Ustaz ingin meminta izin dari ibu untuk membawa aku tinggal di rumahnya di Kota Bharu selama seminggu bagi menghafal skrip pidatoku. Tajuk pidatoku ialah "Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh".

Saturday, December 8, 2012

Liku-Liku Kehidupan 2

Arwah ibuku mempunyai 3 orang adik beradik yang dilahirkan hidup. Beliau adalah yang pertama, adiknya yang kedua bernama Fatimah dan yang bongsu bernama Mariam. Semasa aku masih dibangku sekolah, arwah ibu pernah menzahirkan keterkilanan beliau kerana tidak dihantar ke sekolah oleh kedua orang tuanya sepertimana adik-adiknya. Walau bagaimanapun beliau pandai menulis jawi hasil pembelajaran dari arwah ayahnya.

Tidak banyak yang aku tahu tentang arwah ayahku. Aku tidak pernah mengenali kedua orang tuanya. Yang aku tahu ialah bapanya bernama Wan Mohd Salleh dan ibunya bernama Che Lebar.


Arwah ayah pernah tinggal di Golok, Thailand dan saudara maranya agak ramai di selatan Thai seperti di Narathiwat dan sebagainya.

Ibuku adalah isteri yang ke 4. Dari apa yang aku tahu dari ibu, arwah ayah berkahwin sebanyak 4 kali. Dari seorang isteri sebelumnya dari Pasir Mas mendapat seorang anak bernama Wan Mahmood, dari seorang isteri lagi dari Kutan, Pasir Pekan tiada anak, dan dari seorang isteri lagi dari Kota Bharu mendapat seorang anak yang bernama Wan Yaakob.

Wan Yaakob inilah yang meminang ibuku untuk dikahwinkan dengan ayahnya.


Aku tidak sempat mengenali abangku Wan Mahmood kerana beliau meninggal dunia lebih awal tetapi aku mengenali anaknya Wan Izani yang suatu masa dahulu bekerja dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu. Aku tak pasti samaada Wan Izani masih dengan MPKB. Isteri Wan Mahmood juga aku kenal yang mana aku memanggilnya dengan panggilan Kak Wan.

Abangku Wan Yaakob dikurniakan 11 orang anak, hasil perkahwinannya dengan Kak Wan Dah. Kak Wan Dah ada kaitan dengan bekas mufti Kelantan, Hj Nor. Akupun kurang pasti samaada Kak Wan Dah adalah anak atau cucu kepada Hj Nor.


Kesemua anak-anak Wan Yaakob (panggilanku kepadanya Abang Kob) adalah lebih tua dariku. Dengan kata lain, semua anak-anak saudaraku lebih tua dariku. Nama-nama mereka (tidak mengikut usia) ialah Wan Zain, Wan Ramli, Wan Mohamad, Wan Zakaria, Wan Idris, Wan Abdul Rahman, Wan Bunyamin, Wan Yusuf, Wan Hanafi, Wan Hasniyah dan Wan Mah. Akupun tak berapa pasti nama sebenar kedua-dua anak perempuannya. Yang aku tahu aku hanya memanggilnya Yah dan Mah sahaja.

Dengan bilangan anak saudara yang begitu ramai, aku tak pasti berapa ramai cucu-cucu saudaraku...

Semasa aku kecil, aku selalu juga ke rumah Abang Kob di Merbau, Kota Bharu dengan kakakku. Aku menaiki 'boat' dari Palekbang ke Kota Bharu dan kemudiannya menaiki beca ke rumahnya. Abang Kob meninggal dunia, aku kira mungkin sekitar tahun 1970an.


Wan Zain telah meninggal dunia... Semasa aku di Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Tumpat (1977), Wan Zain menjadi pengetua di Sekolah Menengah Datuk Biji Wangsa, yang terletak di bersebelahan.

Kak Wan Dah baru aje meninggal dunia, kalau tak silap aku pada 2 tahun yang lepas. Sekiranya aku pulang beraya di Kelantan, Kak Wan Dah tak pernah aku lupa untuk diziarahi. Beliau sangat bersih air mukanya kerana sentiasa berpuasa dan mengerjakan solat sunat.

Ayahku meninggal dunia kerana sakit tua pada tahun 1981. Aku masih ingat kerana pada masa itu aku sedang bersiap sedia untuk menghadapi SPM di Sekolah Menengah Teknik Terengganu. Semasa arwah ayah masih ada, selalu juga anak-anak abang Kob datang menziarahi beliau. Seingatku Wan Abdul Rahman dan isterinya Sah adalah yang paling kerap menziarahinya.


Semasa ayahku meninggal dunia, arwah Tan Sri Mohamad Yaakob, semasa itu beliau menjadi Menteri Besar Kelantan datang menziarahi arwah ayah bersama isterinya. Ayah arwah Tan Sri adalah saudara ayahku. Akupun tak begitu pasti tahap atau taraf tali persaudaraan mereka.

Ibuku meninggal dunia pada tahun 1995. Telah ku nukilkan bagaimana peristiwa itu berlaku dalam blogku sebelum ini.

Anak-anak arwah ayah dengan ibuku adalah seramai 7 orang. Aku adalah anak yang ke 6. Nama-nama mereka ialah Wan Ibrahim, Wan Mohd Ghazali, Wan Azizah, Wan Zaharah, Wan Hasnaniyah, aku dan adikku, Wan Noor Laili.

Friday, December 7, 2012

Liku-Liku Kehidupan 1

Aku ingin membuat sedikit coretan tentang liku-liku kehidupan yang telah aku lalui sejak dilahirkan dan insyaAllah sehingga kini...

Tujuannya ialah banyak. Tetapi sudah pasti bukannya untuk membuka pekung di dada dan bukan pula untuk membangga diri.


Mungkin ada yang membacanya dikalangan saudara maraku yang telah terputus hubungan dan bolehlah kita menyambung semula tali persaudaraan. Mungkin juga yang membacanya dikalangan anak-anakku yang boleh menjadi tauladan dan pengajaran buat mereka. Mungkin juga yang membacanya dikalangan rakan-rakan sekolahku yang sekian lama ditinggalkan maka bolehlah disambung semula persahabatan kita.

Baiklah. Untuk siri yang pertama ini, ingin ku kisahkan tentang kehidupan yang aku lalui sejak dilahirkan sehinggalah ke peringkat tadika. Fasa ini memang susah untuk kita 'retrieve' dari memori kad kerana ia sudah hampir setengah abad berlalu. Apapun aku cuba setakat yang terdaya...


Aku dilahirkan di Kampung Palekbang oleh ibunda yang tercinta, arwah Hajjah Che Zainab Haji Che Hussin, hasil perkongsian hidupnya dengan arwah Haji Wan Ismail Haji Wan Mohd Salleh tanggal 1 September 1964.

Apa yang aku ingat ialah pada suatu hari begitu ramai orang berada di atas rumah nenekku. Rumah nenekku, Hajjah Che Esah binti Awang Latif, hanya 3 depa di sebelah rumahku. Pada ketika itu, datukku sebelah ibu, Haji Che Hussin pergi menemui Allah buat selama-lamanya. Aku kira peristiwa ini belaku sekitar tahun 1960an.


Walaupun nama datukku Che Hussin tetapi aku masih ingat bahawa nama yang dipanggil oleh orang ramai ialah 'Ya'. Nama nenek (Che Esah) pula dikenali sebagai Mak Teh.

Mereka berdua (datuk dan nenek) telah membina madrasah atau balaisah (panggilan orang Kelantan untuk surau) dan disambungkan ke rumah mereka. Di sinilah segala aktiviti keagamaan dilakukan. Solat waktu dijalankan bagi kelima-lima waktu, disamping majlis ilmu yang dilakukan pada saban malam dan sesi mengajar al-Quran juga diadakan.


Sesi mengaji yang diajar oleh Mak Teh ialah pagi dan petang. Pagi untuk anak-anak yang bersekolah petang dan petang untuk mereka yang bersekolah pagi.

Balaisah di Kg Palekbang pada masa itu hanya ada 2 iaitu satu kepunyaan datuk dan nenekku di sebelah hilir kampung dan satu lagi di tepi jalan besar iaitu Balaisah Hj Nik Man.

Mak Teh atau panggilan manjaku padanya 'Mek' merupakan guru al-Quran yang disegani. Semua orang kampung menghantar anak-anak mereka mengaji dengannya.


Saat yang paling aku seronok ialah bila ada mereka yang khatam al-Quran. Bila ada yang khatam maka ibu mereka akan membawa pulut kuning ke balaisah untuk dimakan bersama oleh rakan-rakan mengaji yang lain.

Bila pulut sampai, maka Mek akan sibut mengait daun pisang 'gala' di sebelah rumahnya untuk meletakkan segenggam pulut kuning beserta lauk bagi setiap muridnya. Lauknya terdiri dari gulai udang, ikan, ataupun telor. Daun pisang 'gala' sangat elok untuk tujuan membungkus kerana daunnya lebar dan susah koyak. Tetapi pisangnya kita tidak makan kerana dipenuhi dengan biji.


Semua yang mengaji dikehendaki mengambil sebaldi air dari perigi di belakang rumah Mek untuk diisi ke dalam tempayan di tangga bagi tujuan membasuh kaki sebelum naik ke atas balaisah. Jika tempayan sudah penuh maka air akan dituangkan ke dalam kolah untuk tujuan mengambil air sembahyang oleh para jamaah nanti. Inilah perkara rutin yang dilakukan oleh setiap murid apabila datang mengaji.

Air perigi diambil dengan menggunakan timba yang diikat tali. Aku pasti budak-budak sekarang tak reti untuk memasukkan air ke dalam timba. Apatah lagi untuk membawa naik air ke atas. Untuk memasukkan air ke dalam timba, ia memerlukan 'skill' iaitu kita perlu menyendeng atau menyengetkan timba. Setelah air mula masuk maka dengan sendirinya timba akan penuh dan tenggelam. Kemudian barulah kita menarik tali naik ke atas.


Masalah menggunakan timba ialah kadang-kadang kita terlepas hujung talinya dan timba terjatuh ke dalam telaga. Jika timba itu dibuat dari tin susu atau tin milo maka ia akan tenggelam ke dasar telaga. Maka proses mengait atau mendapatkannya kembali perlu dilakukan. Bagi sesetengah orang, mereka membuat timba dari bekas tong minyak pelincir. Dengan cara ini, timba tidak akan tenggelam kerana ia adalah dari plastik dan amat mudah untuk dikaitkan naik ke atas.

Setelah itu, mereka akan naik ke atas balaisah dan mula mentadarus al-Quran. Murid perempuan akan duduk di tempat solat perempuan dan murid lelaki akan duduk di tempat solat lelaki. Walaupun Mek berada di dapur rumahnya tetapi beliau sangat peka apabila murid-muridnya salah membaca ayat-ayat suci al-Quran. Deria pendengarannya sungguh tajam dan beliau akan menegurnya dari jauh.


Perangai murid-muridpun agak berbeza dan pelbagai. Ada yang suka membaca al-Quran, ada yang hanya sibuk berborak, dan ada juga yang membawa mainan untuk bermain. Mainan ini bukanlah mainan yang canggih-canggih seperti sekarang. Ada yang membawa biji getah (orang Kelantan panggil buah getah) untuk melagakannya. Ada yang membawa getah urat (rubber band) untuk bermain dan sebagainya.

Bagaimana melagakan biji getah ya? Aku pasti budak-budak sekarang tidak tahu tentang mainan ini...

Setelah sejam atau 2 jam, barulah Mek akan turun ke balaisah untuk mendengar bacaan setiap muridnya. Biasanya 2 orang sekali masuk membaca al-Quran di depan Mek. Masa inilah Mek akan tegur salah dan silap bacaan setiap murid secara terperinci. Kepada yang rajin membuat tadarus maka lancarlah bacaan mereka dan dialih ke muka surat seterus untuk keesokan harinya. Kepada yang asyik bermain maka tergagap-gagaplah bacaannya di depan Mek.


Aku belajar tadika di kampung sebelah iaitu di Kg. Laut. Dan guru yang mengajarnya ialah Cikgu Kamariah, sepupu ibuku.

Cikgu Kamariah ialah anak Pak Man (Abdul Rahman bin Awang Latif) dan isterinya, Tok Cik Yam. Pak Man ialah adik kepada Mek dan rumah mereka hanya selang sebuah rumah dari rumah Mek. Di sebelah kanan rumah Mek ialah rumahku manakala di sebelah kirinya pula ialah rumah Tok Su, iaitu adik bongsu Mek. Seorang lagi adik Mek ialah Tok Ngah (Awang Lah bin Awang Latif). Rumah Tok Ngah agak jauh tapi taklah terlalu jauh dari rumah Mek, hanya jarak kira-kira 500 meter sahaja. Kesemua adik beradik Mek juga telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka. Amin!


Rata-ratanya adik beradik Mek dan iparnya mempunyai keistimewaan masing-masing. Tok Cik Yam kepakarannya ialah berbidan, menyunatkan anak perempuan, dan memandikan jenazah. Begitu juga isteri Tok Ngah, yang kami panggil Tok Ngah Tino, pakar dalam perbidanan, mengurut dan memandikan mayat.

Tok Ngah lelaki adalah seorang yang 'regular' mengumandangkan azan Subuh di balaisah Mek. Azan Subuh Tok Ngah lain dari yang lain iaitu ia didahului dengan bacaan Surah al-Israa', ayat 110-111, yang selalu kita baca dalam al-Ma'thurat. "Qulid 'ullaha awid 'urrahman....". Sejak aku mengenali al-Ma'thurat baru aku tahu apa yang Tok Ngah baca sebelum azan Subuh, iaitu setelah sekian lama Tok Ngah meninggalkan dunia yang fana ini.


Maksudnya, Katakanlah: Serulah Allah atau serulah Ar Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru. Dia mempunyai al asmaa ul husna (nama-nama yang terbaik) dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu. Dan katakanlah: Segala puji bagi Allah yang tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai sekutu dalam kerajaanNya dan tidak mempunyai penolong (untuk menjagaNya) dari kehinaan dan agungkanlah Dia dengan pengagungan yang sebesar-besarnya.

Aku mengenali semua adik-beradik Mek yang hidup, dikhabarkan ada juga yang meninggal dunia semasa lahir. Adik beradik datukku (suami Mek) hanya seorang yang aku kenali iaitu Tok Su Him yang tinggal di Tumpat.

Satu peristiwa yang tidak dapat aku lupakan semasa di tadika ialah aku pernah melihat tahi cicak di dalam baldi air sirap yang kami minum. Murid-murid tadika disediakan dengan minuman sirap dan biskut...